Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah seseorang yang mendirikan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah di masjid pada 10 malam terakhir akan mendapat ganjaran orang yang berqiyam pada lailatul qadar? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar (1) Dan adakah kamu mengetahui akan kebesaran malam al-Qadar itu? (2) Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”[1]
Imam al-Nawawi menyatakan, para ashab kami — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — dan selain mereka menyebutkan bahawa ia merupakan sebaik-baik malam dalam setahun. Ayat “لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ” bermaksud malam itu lebih daripada seribu bulan yang tiada di dalamnya lailatul qadar. Selain itu, lailatul qadar ini juga adalah khusus buat umat ini, yang Allah SWT tambahkan kemuliaan kepada mereka, yang tidak ada pada umat sebelumnya.[2]
Bagi menjawab soalan di atas, terdapat hadith daripada Uthman bin ‘Affan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن صَلّى العِشاءَ في جَماعَةٍ فَكَأنَّما قامَ نِصْفَ اللَّيْلِ، وَمَن صَلّى الصُّبْحَ في جَماعَةٍ فَكَأنَّما صَلّى اللَّيْلَ كُلَّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan solat Isyak secara berjemaah, maka seakan-akan dia mendirikan solat setengah malam, dan sesiapa yang mendirikan solat Subuh secara berjemaah, maka seakan-akan dia mendirikan solat pada malam keseluruhannya.”[3]
Selain itu terdapat dalam riwayat lain dengan lafaz:
مَن شَهِدَ العشاءَ في جَماعةٍ كانَ لَهُ قيامُ نِصفِ ليلَةٍ، ومَن صلّى العشاءَ والفَجرَ في جماعةٍ كانَ لَهُ كقيامِ ليلةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyaksikan (menunaikan) solat Isyak secara berjemaah, maka dia telah mendirikan solat (berqiyam) setengah malam, dan sesiapa yang mendirikan solat Subuh secara berjemaah, maka dia telah mendirikan solat (berqiyam) seluruh malam.”[4]
Selain daripada itu, Ibn Rajab ada menyebutkan dalam kitabnya, sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i menukilkan daripada Ibn Abbas bahawa untuk menghidupkan malam adalah dengan menunaikan solat Isyak secara berjemaah, kemudian berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah. Di samping itu, diriwayatkan dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah secara marfu‘, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ فِي جَمَاعَةٍ فِي رَمَضَانَ فَقَدْ أَدْرَكَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Isyak pada (malam-malam) terakhir pada bulan Ramadhan, maka dia telah meraih lailatul qadar.”
Kemudian, Ibn Rajab menyebutkan, hadith di atas dilaporkan oleh Abu al-Syeikh al-Asbahani dan Abu Musa al-Madini juga meriwayatkan hadith ini melalui jalur riwayatnya. Selain itu, disebutkan bahawasanya beliau (Abu Musa al-Madini) ada meriwayatkan dengan jalur lain daripada Abu Hurairah hadith seumpamanya. Selain daripada itu, hadith ini juga diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib, namun sanadnya tersangat lemah.[5]
Selain itu, kebanyakan ulama menyatakan bahawa kelebihan lailatul qadar akan diperoleh bagi sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Di antaranya, Imam Malik ada menyatakan dalam al-Muwatta’ bahawa Ibn al-Musayyib menyebutkan sesiapa yang menunaikan solat Isyak pada malam datangnya lailatul qadar yakni secara berjemaah, maka dia telah mengambil bahagiannya (yakni ganjarannya) daripada malam itu.[6] Kemudian, ‘Abd al-Karim al-Khudhair dalam syarahannya terhadap al-Muwatta’ menyebutkan, adapun Subuh tidak termasuk disebabkan waktu Subuh bukanlah sebahagian daripada malam al-Qadar kerana apabila terbitnya waktu Subuh, maka tamatlah waktu lailatul qadar.[7]
Begitu juga Imam al-Syafi‘i menyebutkan dalam fatwanya yang qadim (lama) bahawa sesiapa yang menyaksikan (menunaikan) solat Isyak dan Subuh pada malam datangnya lailatul qadar, maka dia telah mengambil bahagiannya (yakni ganjaran) daripada malam itu. Selain itu juga Imam al-Syafi‘i turut menyebutkan, disunatkan seseorang itu bersungguh-sungguh pada siang harinya (hari lailatul qadar) sebagaimana dia bersungguh-sungguh pada malamnya sebagaimana dinaskan olehnya dalam fatwanya yang qadim. Seterusnya, tidak diketahui adanya nas daripada fatwanya yang jadid (baru) yang bertentangan dengan perkara ini. Kemudian, Imam al-Nawawi menegaskan bahawa apa-apa nas daripada pendapat Imam al-Syafi‘i yang qadim, dan tidak terdapatnya nas lain dalam pendapatnya yang jadid, yang bertentangan mahupun bertepatan dengannya, maka itu ialah mazhabnya tanpa sebarang khilaf.[8]
Tambahan lagi, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, waktu bermulanya malam al-Qadar adalah selepas terbenamnya matahari dan berakhir apabila terbitnya fajar berdasarkan ayat terakhir di dalam surah al-Qadar. Ini juga merupakan pendapat ashab kami (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i) ketika menafsirkan ayat tersebut.[9]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sesiapa yang mendirikan solat Isyak secara berjemaah, lalu bertepatan dengan lailatul qadar, maka dia mendapat ganjaran qiyam pada malam tersebut kerana pada waktu tersebut sudah bermulanya waktu lailatul qadar. Lebih-lebih lagi, terdapatnya hadith sahih sebagaimana dinyatakan di atas bahawa sesiapa yang memelihara — yakni mendirikan — solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, maka baginya ganjaran seolah-olah berqiyam pada seluruh malam. Justeru, jika malam itu bertepatan dengan lailatul qadar, maka tidak ada syak lagi bahawa dia telah meraihnya.
Kami juga mengambil kesempatan di sini mengajak semua, marilah kita sama-sama mencari dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kelebihan-kelebihan dan fadhilat-fadhilat yang berbaki pada akhir-akhir Ramadhan ini, terutamanya dalam mengejar lailatul qadar. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berqiyam pada malam al-Qadar (lailatul qadar) dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, maka akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”[10]
Bahkan terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain.”[11]
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan segala amal kebajikan, dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″][1] Surah al-Qadr: 1-3
[2] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/447.
[3] Riwayat Muslim (656); Abu Daud (555)
[4] Riwayat al-Tirmizi (221); Ahmad (408)
[5] Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 185.
[6] Lihat Syarh Sunan Abi Daud li Ibn Ruslan, 6/629.
[7] Lihat Syarh al-Muwatta’ oleh ‘Abd al-Karim al-Khudhair, 63/32.
[8] Lihat juga al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/451.
[9] Lihat Fath al-Bari, 6/451.
[10] Riwayat al-Bukhari (1901)
[11] Riwayat Muslim (2009)