Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah puasa terbatal jika seseorang menelan makanan sewaktu azan Subuh? Contohnya, seseorang bangun makan sahur lewat. Ketika sedang makan, azan Subuh berkumandang. Dia pun menelan makanan yang masih tersisa dalam mulutnya? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, bersahur termasuk dalam perkara sunat yang digalakkan bagi sesiapa yang ingin berpuasa. Bahkan Ibn al-Munzir menyatakan bahawa umat telah bersepakat bahawa sahur termasuk dalam perkara sunat dan digalakkan, serta tidak berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya.[1]

Di samping itu, Nabi SAW sendiri menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatan padanya.  Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.[2]

Maksud sahur itu tercapai dengan sebarang makanan sama ada banyak atau sedikit serta dengan air.[3] Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَسَحَّروا، ولو بجُرْعةِ ماءٍ

Maksudnya: “Hendaklah kamu bersahur, sekalipun dengan seteguk air.”[4]

Waktu bersahur adalah di antara pertengahan malam sehingga terbitnya fajar.[5] Walau bagaimanapun, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa masuknya waktu sahur adalah pada seperenam akhir malam.[6]

Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, bahawa kebanyakan ulama’ fiqh berpendapat bahawa waktu sahur dimulakan antara pertengahan malam yang akhir sehingga terbitnya fajar. Sebahagian ulama’ Hanafiyyah dan Syafi’iyyah berkata bahawa waktu sahur dimulakan pada seperenam malam akhir sehingga terbitnya fajar.[7]

Meskipun begitu, amalan bersahur adalah afdhal untuk dilewatkan. Ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, bahawa para ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan selainnya telah bersepakat bahawa afdhal untuk melewatkan sahur.[8] Dalam erti kata lain, disunatkan untuk melewatkan sahur sebelum terbit fajar. Kadar melewatkan waktu sahur dengan waktu fajar adalah kira-kira bacaan 50 ayat al-Quran. Perkara ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Zaid bin Thabit R.A, beliau berkata:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

Maksudnya: “Kami bersahur bersama Nabi SAW. Kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku (Anas) bertanya: ‘Berapakah lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) lima puluh ayat.’[9]

Menurut Imam al-Nawawi, maknanya ialah jarak antara kedua waktu tersebut dalam anggaran bacaan 50 ayat al-Quran, dan hadith ini mengandungi galakan untuk melewatkan sahur sehingga sebelum waktu fajar.[10] Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana yakni bukanlah ayat yang terlalu panjang, mahupun ayat yang terlalu pendek.[11]

Status Puasa Jika Menelan Makanan Sewaktu Azan Subuh

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”[12]

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa ayat di atas memberi kebenaran untuk makan dan minum sehingga ternampaknya cahaya subuh (fajar sadiq) dari kegelapan malam.[13]

Abu Bakar Al-Jasas di dalam Ahkam al-Quran menyatakan: Allah SWT membenarkan untuk bersetubuh, makan dan minum pada malam-malam puasa, dari awal malam sehingga terbit fajar. Kemudian Dia memerintahkan untuk menyempurnakan puasa sehingga malam.[14]

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam, maka makan dan minumlah sehingga azannya Ibn Umm Maktum.” [15]

Ketika zaman Rasulullah SAW, azan subuh dilaungkan sebanyak dua kali. Sekali sebelum masuknya waktu subuh untuk memberikan peringatan manakala azan yang kedua bermaksud telah masuknya waktu subuh. Berdasarkan hadith di atas, Bilal RA melaungkan azan pada waktu malam menunjukkan bahawa beliau melaungkan azan yang pertama iaitu sebelum masuknya waktu subuh. Maka, Rasulullah SAW memberikan keizinan untuk makan dan minum pada waktu tersebut (untuk bersahur). Sekiranya Ibn Umm Maktum RA melaungkan azan untuk azan yang kedua, maka ia menunjukkan bahawa waktu subuh telah masuk dan telah bermulanya waktu berpuasa. Iktibarnya di sini adalah masuknya waktu iaitu terbitnya fajar al-sadiq dengan berkumandangnya azan.

Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ menyebutkan: “Telah kami sebutkan bahawa sekiranya telah terbit fajar dan padanya (di dalam mulutnya) terdapat makanan, maka perlu dia mengeluarkan makanan tersebut dan kemudian sempurnakan puasanya. Sekiranya dia menelan apa yang ada di dalam mulutnya itu, setelah mengetahui terbitnya fajar al-sadiq, maka batallah puasanya. Dalilnya adalah hadith daripada Ibn ‘Umar RA dan ‘Aisyah R.Anha yang mana Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ …”.[16]

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf menyebut: Antara kesalahan keji yang sering berlaku oleh kebanyakan manusia pada saat ini adalah ketika mereka mendengar azan Subuh, mereka bersegera untuk minum kerana meyakini akan bolehnya hal tersebut sehingga muazzin selesai daripada azannya. Hal itu tidak boleh. Sesiapa yang melakukannya, maka puasanya terbatal dan dia hendaklah mengqadha’ (mengganti) puasa tersebut, jika itu adalah puasa fardhu (puasa Ramadhan).

Hal ini kerana tidak disyariatkan untuk seorang muazzin melaungkan azan kecuali setelah terbitnya fajar. Dengan demikian, jika seseorang minum di pertengahan azan, hal itu bererti dia minum setelah terbitnya fajar. Hal ini adalah disebabkan kejahilan, dan tidak ada seorang pun dari kalangan ulama’ muktabar yang membolehkan hal tersebut. [17]

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah pernah ditanya berkenaan hukum puasa seseorang yang mendengar azan Subuh, namun dia tetap makan dan minum. Beliau menjawab: Apabila seseorang mendengar azan dan dia yakin azan tersebut sebagai tanda terbitnya fajar (masuk waktu), maka dia wajib menahan diri daripada segala sesuatu yang membatalkan puasa. Tetapi, apabila azan tersebut dikumandangkan sebelum terbit fajar, maka kita masih boleh makan dan minum sehingga fajar benar-benar terbit. Sekiranya kita tidak tahu apakah itu azan terbit fajar atau setelahnya, maka lebih baik kita berhati-hati dan menahan diri daripada makan dan minum. Tidak mengapa jika menghabiskan makan dan minum ketika sudah terdengar azan, kerana dia tidak tahu terbitnya fajar.

Sebagaimana kita ketahui, bahawa apabila kita tinggal di dalam kota yang penuh dengan cahaya lampu elektrik, kita tidak dapat melihat terbitnya fajar dengan mata kita. Oleh kerana itu, kita hendaklah berhati-hati dengan cara memperhatikan azan dan melihat kalendar yang di situ terdapat jadual waktu terbit fajar. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

دَعْ مَا يَرِيْبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيْبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkan sesuatu yang meragukanmu dan kerjakanlah sesuatu yang tidak meragukan.”[18]

Baginda SAW juga bersabda:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjauhi perkara syubhat (yang meragukan), bererti dia telah memelihara agama dan kehormatannya.”[19]

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa hendaklah seseorang yang berpuasa itu berhenti makan dan tidak menelan makanan yang berada di dalam mulutnya sewaktu azan Subuh berkumandang. Jika tetap menelannya, maka batallah puasanya. Hal ini berdasarkan firman Allah:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”[20]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360

[2] Riwayat al-Bukhari (1923)

[3] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360

[4] Riwayat Ibn Hibban (3476); Riwayat Abu Nu‘aim dalam Ma‘rifah al-Sahabah (4191); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (17/151) menyebutkan bahawa sanadnya adalah hasan.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360

[6] Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/16

[7] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/270

[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/36

[9] Riwayat al-Bukhari (1921)

[10] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/208-209

[11] Lihat Fath al-Bari, 4/138

[12] (Surah al-Baqarah: 187)

[13] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/512

[14] Lihat Ahkam al-Quran, 1/265

[15] Riwayat al-Bukhari (620)

[16] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab6/333

[17] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 84

[18] Riwayat al-Tirmizi (2442) dan al-Nasa’ie (5615)

[19] Riwayat al-Bukhari (2051)

[20] (Surah al-Baqarah: 187)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *