Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah dibolehkan untuk membaca surah pilihan selepas al-Fatihah dalam rakaat pertama, kemudian mengulangi semula bacaan surah tersebut selepas al-Fatihah dalam rakaat kedua? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, solat merupakan salah satu amal ibadat yang paling utama dalam kehidupan kita. Kemudian, dalam solat pula disyariatkan untuk membaca ayat-ayat al-Quran seperti surah al-Fatihah — yang merupakan salah satu rukun qauli — dan ayat-ayat yang lain. Firman Allah SWT:
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maksudnya: “Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari al-Quran; dan dirikanlah solat.”[1]
Malah, membaca satu surah daripada al-Quran sekalipun ayat yang pendek atau membaca tiga ayat al-Quran yang berurutan adalah disunatkan. Bacaan ini disunatkan bagi imam dan orang yang mendirikan solat secara bersendirian pada dua rakaat yang pertama sahaja bagi setiap solat. Sementara makmum juga disunatkan membacanya pada solat yang diperlahankan bacaan atau sekiranya dia berada jauh daripada imam dan tidak kedengaran bacaannya.[2]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, diharuskan bagi orang yang mendirikan solat untuk membaca surah tertentu selepas al-Fatihah dalam rakaat pertama, kemudian membaca surah yang sama dalam rakaat kedua. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Mu‘az bin Abdullah al-Juhani bahawa seseorang daripada kabilah Juhainah mengkhabarkan kepadanya:
أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ: {إِذَا زُلْزِلَتِ الأَرْضُ} فِي الرَّكْعَتَيْنِ كِلْتَيْهِمَا، فَلَا أَدْرِي أَنَسِيَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمْ قَرَأَ ذَلِكَ عَمْدًا
Maksudnya: “Beliau mendengar Nabi SAW membaca dalam solat Subuh ‘إِذَا زُلْزِلَتِ الأَرْضُ’ — yakni surah al-Zalzalah — pada kedua-dua rakaat. Justeru, aku tidak tahu adakah Rasulullah SAW lupa atau membaca surah itu (dalam kedua-dua rakaat) dengan sengaja.”[3]
Begitu juga terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ رَجُلًا عَلَى سَرِيَّةٍ، وَكَانَ يَقْرَأُ لِأَصْحَابِهِ فِي صَلاَتِهِمْ فَيَخْتِمُ بِقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، فَلَمَّا رَجَعُوا ذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: سَلُوهُ لِأَيِّ شَيْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ؟ فَسَأَلُوهُ، فَقَالَ: لِأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ، وَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَخْبِرُوهُ أَنَّ اللَّهَ يُحِبُّهُ
Maksudnya: “Nabi SAW mengutus seorang lelaki untuk memimpin suatu peperangan. Dalam solatnya, dia membaca (surah tertentu) kepada para sahabatnya dan menutupnya dengan (firman Allah SWT): ‘قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ’ (Surah al-Ikhlas). Apabila kembali, mereka menceritakan perkara itu kepada Nabi SAW, lalu Baginda bersabda: ‘Tanyakan kepadanya, mengapakah dia melakukan itu?’ Lalu mereka bertanya kepadanya, maka dia menjawab: ‘Kerana ia (surah tersebut) adalah sifat bagi al-Rahman dan aku suka membacanya.’ Maka Nabi SAW bersabda: ‘Khabarkan kepadanya bahawasanya Allah mencintainya.’”[4]
Seterusnya, Ibn al-‘Arabi menyebutkan, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan kepada keharusan mengulangi surah yang sama dalam setiap rakaat.[5] Di samping itu, Ibn Qudamah juga ada menyatakan bahawa tidak mengapa seseorang itu membaca suatu surah dalam rakaat pertama, kemudian mengulanginya — yakni membaca surah yang sama — dalam rakaat kedua.[6]
Begitu juga Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin turut menyebutkan bahawa tidak mengapa mengulangi surah yang sama dalam rakaat kedua berdasarkan kepada perbuatan Nabi SAW sebagaimana hadith di atas. Akan tetapi boleh jadi seseorang akan berkata, Baginda melakukannya disebabkan terlupa kerana kebiasaannya Baginda tidak akan mengulangi surah yang sama. Maka, bagi menjawabnya, dikatakan adanya kebarangkalian Baginda terlupa dan ia adalah sesuatu yang mungkin berlaku, akan tetapi adanya juga kebarangkalian pensyariatan iaitu Baginda mengulanginya sebagai satu pensyariatan bagi umat untuk menunjukkan keharusannya. Oleh itu, kebarangkalian pensyariatan didahulukan berbanding kebarangkalian terlupa kerana asal perbuatan Nabi SAW adalah untuk pensyariatan. Lebih-lebih lagi, jika benar Baginda SAW terlupa, sudah tentu Baginda akan mengingatkannya atau menjelaskan mengenainya. Justeru, pendapat ini — yakni untuk pensyariatan — adalah lebih selamat dan dekat dengan kebenaran.[7]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk membaca surah yang sama selepas al-Fatihah bagi rakaat pertama dan kedua, serta sesiapa yang membacanya dikira mendapat pahala sunat bacaan surah atau ayat-ayat al-Quran selepas al-Fatihah dalam solat.
Walau bagaimanapun, perkara ini sekalipun diharuskan dan solatnya dikira sah serta tidak batal, namun ia menyalahi sunnah dan petunjuk Nabi SAW. Hal ini kerana afdhalnya dan lebih digalakkan untuk mempelbagaikan bacaan surah dan ayat-ayat al-Quran yang dibaca dalam solat.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 28 April 2022 bersamaan 26 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Surah al-Muzammil: 20
[2] Lihat al-Fiqh al-Mahaji, 1/152.
[3] Riwayat Abu Daud (816)
[4] Riwayat al-Bukhari (7375); riwayat Muslim (813)
[5] Lihat Ahkam al-Quran, 4/468.
[6] Lihat al-Mughni, 2/169.
[7] Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 3/77.