Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Bolehkah kita sujud kepada ibu bapa atau orang alim sebagai tanda hormat kepada mereka? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ ۚ لَا تَسْجُدُوا لِلشَّمْسِ وَلَا لِلْقَمَرِ وَاسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah.”[1]
Ayat di atas menunjukkan bahawa bukti-bukti kekuasaan Allah SWT terbentang di hadapan mata manusia di dunia ini. la boleh dilihat sama ada oleh mereka yang berilmu ataupun mereka yang jahil. Di samping itu juga, ia boleh memikat hati manusia secara langsung walaupun seseorang itu tidak mempunyai latar belakang keilmuan yang tinggi. Kewujudan alam semesta dan manusia memiliki hubungan yang mendalam dari aspek penciptaan, fitrah dan struktur kejadian. Tuhan manusia ialah Tuhan alam semesta. Oleh sebab itu, manusia menerima alam semesta dengan perasaannya yang mendalam dan memahami logiknya secara langsung.
Al-Quran mengarahkan hati manusia supaya memerhatikan kejadian alam semesta dan menggerakkannya daripada kelalaiannya terhadap alam semesta. Kadang-kala kelalaian menghantui manusia kerana sudah terbiasa dengannya. Oleh kerana itu, al-Quran menghapuskan halangan-halangan tersebut daripadanya supaya ia hidup dan kembali berinteraksi dengan alam semesta sebagai sahabat yang telah dikenalinya semenjak sekian lama. Selain itu, ayat ini juga mengemukakan salah satu bentuk penyelewengan manusia, iaitu terdapatnya satu golongan yang menyembah matahari dan bulan. Ini merupakan kepercayaan yang menyeleweng dan sesat. Mereka menyembah kedua-dua makhluk tersebut untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, al-Quran datang untuk mengembalikan mereka daripada penyelewengan ini dan menghapuskan kekeliruan mereka. Al-Quran menegaskan bahawa jika mereka benar-benar menyembah Allah SWT, maka janganlah sujud kepada matahari dan bulan.[2]
Hal ini kerana Allah SWT yang mencipta semua makhluk, hanya Dialah Tuhan yang selayaknya disembah oleh seluruh makhluk. Adapun matahari dan bulan hanya makhluk yang dicipta oleh Allah SWT.[3] Sekiranya mereka tetap bersikap sombong setelah dikemukakan pelbagai bukti kekuasaan Allah SWT, maka ia tidak akan menjejaskan apa-apa dan ia tidak akan menambah atau mengurangkan kebesaran Allah SWT kerana makhluk yang lain tetap menyembah Allah SWT tanpa bersifat takbur seperti golongan yang ingkar.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, para ulama telah bersepakat bahawa sujud kepada selain berhala dan seumpamanya seperti kepada penguasa atau mana-mana makhluk adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Sekiranya orang yang bersujud itu memaksudkan dengan sujudnya adalah sebagai ibadah kepada makhluk tersebut, maka dia telah menjadi kafir dan terkeluar daripada agama secara ijmak ulama. Namun, sekiranya dia tidak memaksudkannya sebagai ibadah, maka para fuqaha berbeza pendapat. Sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Hanafi mengkafirkan pelakukan secara mutlak, tidak kira dia memaksudkannya sebagai ibadah ataupun tidak. Manakala sebahagian ulama yang lain pula berpendapat, jika sujudnya itu bertujuan sebagai penghormatan, maka dia tidak dikira sebagai kafir dengannya. Akan tetapi jika sujudnya itu tanpa sebarang tujuan, maka dia dianggap kafir di sisi majoriti ulama.[4]
Begitu juga Imam al-Nawawi ada menyebutkan, jika seseorang itu mendekatkan diri kepada Allah dengan perbuatan sujud tanpa sebarang sebab, adakah ia dikira sebagai sujud syukur. Maka dalam hal ini terdapat dua pendapat sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Haramain dan selainnya. Pendapat pertama menyatakan ia adalah diharuskan, dan ini disebutkan oleh pengarang al-Taqrib. Namun, pendapat yang paling sahih adalah tidak dibolehkan. Pendapat ini telah disahihkan oleh Imam al-Haramain dan selainnya, serta telah diputuskan oleh al-Syeikh Abu Hamid. Tambahan lagi, Imam al-Haramain menyebutkan, gurunya iaitu Abu Muhammad sangat keras mengingkari perbuatan sujud seperti ini. Beliau berhujah berdasarkan qiyas ke atas rukuk, di mana kalaulah seseorang itu melakukan rukuk semata-mata (secara sukarela tanpa sebarang sebab), maka ia adalah haram secara sepakat para ulama kerana ia termasuk dalam perkara bidaah melainkan terdapatnya dalil yang mengecualikan perkara tersebut. Justeru, samalah juga halnya dengan khilaf ini berkenaan pengharaman sujud yang dilakukan selepas solat atau selainnya.
Seterusnya, Imam al-Nawawi menyebutkan lagi, tidak termasuk dalam kategori ini apa yang dilakukan oleh ramai orang daripada kalangan orang yang jahil berkenaan sujud di hadapan para masyayikh. Bahkan perkara tersebut adalah haram secara pasti pada setiap keadaan, sama ada sujud itu menghadap ke arah kiblat atau selainnya. Sama ada seseorang itu meniatkan sujud kerana Allah ta‘ala ataupun tidak. Bukan itu sahaja, pada sebahagian bentuknya, ada yang boleh membawa kepada kekufuran atau yang hampir kepadanya — yakni kekufuran itu. Semoga Allah berikan keselamatan kepada kita.[5] Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menjelaskan lagi, adapun berkenaan firman Allah SWT:
وَخَرُّوا لَهُ سُجَّدًا
Maksudnya: “Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf.”[6]
Ayat di atas, sama ada sudah dimansuhkan atau ditakwilkan.[7]
Selain daripada itu, Ibn al-Solah juga ada menyebutkan, perbuatan sujud di hadapan masyayikh yang dilakukan oleh golongan awam daripada kalangan fuqara’ (merujuk kepada kaum sufi yang hidup bergelandangan) termasuk dalam perkara yang berat yakni dosa-dosa besar, sekalipun sujud itu dilakukan dalam keadaan berwuduk dan menghadap ke arah kiblat. Di samping itu, dibimbangi juga ia boleh membawa kepada kekufuran. Adapun firman Allah SWT dalam surah Yusuf, ayat 100 — sebagaimana di atas — sama ada sudah dimansuhkan atau ditakwilkan sebagai “شَرْع مَنْ قَبْلَنَا” iaitu syariat generasi sebelum kita, dan syariat generasi sebelum kita, bukanlah syariat bagi kita.[8]
Tambahan lagi, al-Syarwani juga ada menyatakan, dapat difahami bahawa seseorang itu diaggap menjadi kufur disebabkan oleh niat atau tujuan sujudnya itu sebagai satu bentuk ibadah kepada makhluk tersebut atau mendekatkan diri — yakni taqarrub — kepadanya. Selain itu, hukumnya boleh juga menjadi haram — tetapi tidak dikira kufur — jika tujuan sujudnya itu sebagai satu bentuk penghormatan yakni merendahkan diri kepadanya atau secara mutlak. Demikianlah juga hukumnya bagi sujud kepada ibu bapa dan para ulama.[9]
Bukan itu sahaja, malah ada dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa sujud kepada selain Allah sebagai satu bentuk penghormatan termasuk dalam kekufuran sebagaimana disebutkan oleh al-Sarakhsi dalam kitabnya.[10] Walau bagaimanapun, al-Bujairami menyebutkan, semata-mata sujud di hadapan para masyayikh tidaklah dianggap membesarkan syeikh sepertimana membesarkan Allah ‘Azza wa Jalla dalam erti kata sebagai sembahan, sedangkan kufur itu adalah bila mana dia meniatkan atau bertujuan untuk perkara tersebut — yakni sujud kepada masyayikh sebagai satu bentuk ibadat atau sembahan.[11]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa perbuatan sujud sebagai tanda hormat kepada ibu bapa mahupun kepada orang alim adalah haram dan dilarang sama sekali, serta ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Bahkan dibimbangi perkara itu boleh membawa kepada kekufuran atau apa yang mendekatinya — yakni kekufuran itu.
Selain itu, jika seseorang itu sujud kepada para masyayikh atau seumpamanya dengan niat sebagai satu bentuk ibadah atau sebagai sembahan, maka tidak syak lagi bahawa pelakunya telah menjadi kufur menurut sepakat para ulama. Namun, jika sujud itu dilakukan sebagai satu bentuk penghormatan atau merendahkan diri kepadanya, bukannya sebagai ibadat mahupun sembahan, maka ia adalah haram tetapi tidak dianggap kafir.
Tambahan lagi, kami juga ingin menegaskan di sini, perbuatan sujud adalah berbeza sama sekali dengan perbuatan mencium kaki. Berkenaan hal mencium kaki ibu bapa atau orang alim, kami telah menjawabnya secara panjang lebar dalam ruangan Ahkam Syar‘iyyah bertajuk: #998 Mencium Kaki Ibu dan Kaki Orang Soleh.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 28 April 2022 bersamaan 26 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Surah Fussilat: 37
[2] Lihat Fi Zilal al-Quran, 24/3124.
[3] Lihat Safwat al-Tafasir, 3/124.
[4] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/211.
[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/69.
[6] Surah Yusuf: 100
[7] Lihat Asna al-Matalib, 1/199.
[8] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/122-123; Hasyiah Syarwani, 1/146.
[9] Lihat Hasyiah al-Syarwani, 9/91.
[10] Lihat al-Mabsut, 24/130.
[11] Lihat Tuhfah al-Habib, 1/354.