Soalan
Assalamualaikum ustaz. Bagaimana cara duduk yang betul semasa kita duduk pada tahiyat akhir?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Dalam isu ini, para fuqaha menyatakan bahawa terdapat dua jenis duduk yang dilakukan oleh seseorang ketika tahiyat akhir. Yang pertama adalah duduk tawarruk, dan keduanya adalah duduk secara iftirasy.
Kedua-dua cara duduk ini boleh dijelaskan seperti berikut:
- Duduk Tawarruk: Seseorang itu duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak, dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat. Manakala kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan, dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah.
- Duduk Iftirasy: Seseorang itu duduk dengan meletakkan bahagian punggungnya di atas kaki kirinya. Manakala tapak kaki kanan itu ditegakkan jari jemarinya menghadap ke arah kiblat.
Duduk tawarruk adalah duduk yang disunatkan ketika tasyahhud akhir pada solat empat rakaat seperti Zohor dan Asar, demikian juga disunatkan pada solat tiga rakaat seperti solat Maghrib. Manakala duduk secara iftirash pula, ia disunatkan ketika duduk di antara dua sujud, ketika tasyhahhud awal bagi solat tiga rakaat dan empat rakaat, serta ketika tasyahhud akhir bagi solat dua rakaat seperti solat subuh, solat tahiyyatul masjid, dan selainnya daripada solat-solat sunat.
Dalam mazhab Imam al-Syafie, tokoh-tokoh besar mazhab ini berpendapat bahawa duduk secara tawarruk juga turut berlaku pada solat-solat dua rakaat.
Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (16/270) ada menyatakan beberapa pendapat fuqaha mazhab berkenaan cara duduk ketika tasyahhud yang kami nukilkan seperti berikut:
Pertama, Mazhab Hanafi: Keadaan duduk bagi orang lelaki ketika tasyahhud adalah secara iftirasy. Maka bagi orang perempuan pula adalah duduk secara tawarruk. Sama ada duduk tasyahhud awal ataupun tasyahhud akhir.
Kedua, Mazhab Malik: Keadaan duduk ketika tasyahhud akhir adalah secara tawarruk. Mazhab ini juga turut berpandangan bahawa duduk tawarruk itu lebih didahulukan berbanding duduk iftirasy.
Ketiga, Mazhab al-Syafi: Para fuqaha Syafieyyah menjelaskan bahawa tidak ditentukan cara duduk untuk mengatakan bahawa dengannya dianggap sah. Maka cara duduk yang bagaimana pun dianggap sebagai sah. Akan tetapi yang sunnah ketika duduk semasa akhir solat adalah duduk tawarruk, dan duduk yang kedua itu adalah secara iftirasy. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi: “Bahkan apa cara duduk yang mampu dilakukan adalah sah, sama ada secara tawarruk mahupun iftirasy. Tetapi yang menepati sunnah adalah dengan duduk tawarruk pada akhir solat, dan duduk iftirasy pada selainnya.”[1]
Mazhab Syafieyyah berpandangan bahawa di antara duduk tawarruk dan iftirasy, terdapat padanya perincian. Iaitu jika ia solat dua rakaat, maka duduk tasyahhud itu adalah secara iftirasy. Begitulah juga tasyahhud awal bagi solat-solat tiga dan empat rakaat. Manakala bagi solat tiga dan empat rakaat, duduk pada tasyahhud akhir adalah secara tawarruk.
Keempat, Mazhab Hanbali: Golongan Hanabilah berpandangan bahawa keadaan duduk bagi orang lelaki semasa tasyahhud awal adalah secara iftirasy, manakala semasa tasyahhud akhir adalah secara tawarruk.
Kesimpulan
Setelah kami menyebutkan beberapa pendapat di atas, kami cenderung kepada pandangan bahawa posisi duduk adalah secara tawarruk ketika tasyahhud akhir bagi solat tiga dan empat rakaat. Manakala bagi solat dua rakaat dan juga ketika tasyahhud awal bagi solat tiga dan empat rakaat, posisi duduk adalah secara iftirasy.
Kami juga menyatakan, hendaklah diraikan juga keadaaan sekeliling semasa duduk tersebut. Sekiranya keadaan saf itu sempit, manakala duduk secara tawarruk ketika tasyahhud akhir itu hanya akan menyempitkan lagi ruang selain akan mengganggu jemaah yang berada di sebelahnya, maka pada ketika itu duduklah secara iftirasy pada tasyahhud akhir.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 13/11/2021 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1443H
[1] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/429