Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang isu solat hajat berjemaah? Adakah terdapat panduan daripada Nabi SAW dan para sahabat Baginda tentang melakukan solat hajat berjemaah? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Hajat pada bahasa ialah keperluan atau memohon sesuatu. Dalam kitab Lisan al-Arab (2/242) dan al-Mu’jam al-Wasit (1/527), hajat dengan makna kefakiran dan tidak dikeluarkan penggunaan fuqaha bagi lafaz hajat daripada makna lughawi.

Mengikut ulama usul mengemukakan takrif khas berkenaan hajat seperti al-Syatibi katanya: “Apa-apa yang menjadi keperluan untuk melapangkan dan mengangkat kemudaratan yang membawa kepada masyaqqah dan hilangnya maslahat.”[1]

Kami kemukakan di sini tiga dalil solat hajat, iaitu:

Pertama: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Aufa RA katanya: Rasulullah SAW keluar menemui kami dan bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ، أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُحْسِنِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ، وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang ada sesuatu hajat pada Allah SWT atau pada sesiapa di kalangan anak Adam, hendaklah dia mengambil air wuduk dan berwuduklah dengan baik kemudian hendaklah dia solat dua rakaat kemudian memuji Allah SWT dan berselawat untuk Nabi SAW, seterusnya berdoa:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ الحَلِيمُ الكَرِيمُ، سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ العَرْشِ العَظِيمِ، الحَمْدُ لِلهِ رَبِّ العَالَمِينَ، أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Mulia. Maha suci Allah, Tuhan yang memiliki singgahsana yang agung. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Ku mohon segala amalan yang membuka pintu rahmat dan keampunan-Mu. Kumohon lindungan daripada dosa, kaya dengan segala kebajikan dan selamat daripada dosa. Jangan lah engkau biarkan padaku walau satu dosa kecuali engkau maafkan ia, walau satu masalah kecuali engkau selesaikan ia, walau satu hajat yang engkau redhai kecuali engkau tunaikan ia, wahai tuhan yang Maha Pengasih.[2]

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Solat hajat adalah sunat mengikut hadis ini, di mana ianya wujud dalam sunan al-Tirmizi dan Imam al-Tirmizi menghukumkan hadis ini sebagai hadis gharib.”[3]

Selepas itu hendaklah dia memohon urusan dunia atau akhirat seperti yang dikehendakinya nescaya ia akan ditakdirkan.

Kedua: Hadis di atas dikuatkan lagi dengan sokongan sebuah hadis yang lain, dimana Baginda SAW bersabda:

إِذَا طَلَبْتَ حَاجَةً فَأَحْبَبْتَ أَنْ تَنْجَحَ، فَقُلْ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ الْـحَلِيمُ الْكَرِيمُ، بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْـحَيُّ الْـحَلِيمُ، سُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، وَالْـحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ بَلَاغٌ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلَّا الْقَوْمُ الْفَاسِقُونَ، كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ ذَنْبٍ، اللَّهُمَّ لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا دَيْنًا إِلَّا قَضَيْتَهُ، وَلَا حَاجَةً مِنْ حَوَائِجِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ إِلَّا قَضَيْتَهَا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: “Apabila kamu menuntut sebarang hajat dan mahu supaya berjaya untuk diperkenankan, maka bacalah: [4]

 لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ الْـحَلِيمُ الْكَرِيمُ، بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْـحَيُّ الْـحَلِيمُ، سُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، وَالْـحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ بَلَاغٌ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلَّا الْقَوْمُ الْفَاسِقُونَ، كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ ذَنْبٍ، اللَّهُمَّ لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا دَيْنًا إِلَّا قَضَيْتَهُ، وَلَا حَاجَةً مِنْ حَوَائِجِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ إِلَّا قَضَيْتَهَا بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Ketiga: Daripada Uthman Bin Hunaif RA, bahawa seorang buta telah datang menemui Rasulullah SAW seraya berkata: “Ya Rasulullah, tolong doakan kepada Allah agar aku diberikan penglihatan atau seumpamanya. Kemudian Baginda SAW bersabda:

فَانْطَلِقْ فَتَوَضَّأْ، ثُمَّ صَلِّ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ قُلِ: اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ وأتوجَّهُ إليكَ بنبيِّي محمَّدٍ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ نبيِّ الرَّحمةِ، يا محمَّدُ إنِّي أتوجَّهُ إلى ربِّي بك أن يكشِفَ لي عَن بصَري، اللَّهم شفِّعهُ فيَّ وشفِّعني في نَفسي فرجعَ وقد كَشفَ الله عن بصرِهِ

Maksudnya: “maka pergilah kamu dan berwudu’ kemudian solat dua rakaat dan seterusnya bacalah doa

اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ وأتوجَّهُ إليكَ بنبيِّي محمَّدٍ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ نبيِّ الرَّحمةِ، يا محمَّدُ إنِّي أتوجَّهُ إلى ربِّي بك أن يكشِفَ لي عَن بصَري، اللَّهم شفِّعهُ فيَّ وشفِّعني في نَفسي

Kemudian dia lakukan dan selepas itu Allah kembalikan penglihatannya.”[5]

Matan dalam hadis ini jelas menunjukkan kepada kita tentang adanya pensyariatan solat hajat sebanyak dua rakaat.

Berkenaan hukum solat hajat, ia adalah sunat sebagaimana sepakat di kalangan ulama’ feqah. Mereka berdalilkan dengan dalil-dalil di atas.

Cara Melakukan Solat Hajat

Ulama menyebut beberapa cara untuk melakukan solat hajat iaitu bilangan rakaat solat hajat. Antaranya:

Pertama: Dua rakaat. Inilah pendapat mazhab Maliki, Hanbali dan yang masyhur di sisi Syafi`ie. Begitu juga satu pendapat di sisi Hanafi. Ini berdasarkan kepada hadis Abdullah Ibn Abi Aufa di atas.

Kedua: Empat rakaat. Seperti yang diriwayatkan daripada mazhab Hanafi yang dinukilkan oleh Ibn `Abidin, dilakukan selepas Isyak. Sehingga beliau menukilkan pendapat masyaikhnya yang berkata: “Kami lakukannya dan ditunaikan hajat-hajat kami.”

Ketiga: Dua belas rakaat. Seperti riwayat daripada Wuhaib bin al-Ward bahawa beliau berkata: Sesungguhnya daripada doa yang tidak ditolak bahawa seseorang hamba solat dua belas rakaat, dibaca padanya setiap rakaat dengan Ummu al-Kitab (al-Fatihah), ayat al-Kursi dan Surah al-Ikhlas. Apabila selesai hendaklah sujud seraya membaca doa ini:

سُبْحَانَ الَّذِي لَبِسَ الْعِزَّ وَقَالَ بِهِ، سُبْحَانَ الَّذِي تَعَطَّفَ بِالْمـَجْدِ وَتَكَرّمَ بِهِ، سُبْحَانَ الَّذِي أَحْصَى كُلَّ شَيْءٍ بِعِلْمِهِ، سُبْحَانَ الَّذِي لَا يَنْبَغِي اَلْتَسْبِيْحُ إِلَّا لَهُ، سُبْحَانَ ذِي اَلْمـَنِّ وَالْفَضْلِ، سُبْحَانَ ذِي الْعِزِّ وَالْكَرَمِ، سُبْحَانَ ذِي الطَّوْلِ، أَسْأَلُكَ بِمَعَاقِدِ الْعِزِّ مِنْ عَرْشِكَ وَمُنْتَهَى الرَّحْمَةِ مِنْ كِتَابِكَ وَبِاسْمِكَ الْأَعْظَمِ وَجَدِّكَ الْأَعْلَى، وَكَلِمَاتِكَ التَّامَّاتِ العَامَّاتِ اَلَّتِي لَا يُجَاوِزُهُنَّ بَرٌّ وَلَا فَاجِرٌ أَنْ تُصَلِّيَ عَلىَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Kemudian mintalah hajatnya yang bukan terdapat maksiat nescaya diperkenankannya insya Allah.

Kaifiyat

  • Niat ketika takbiratul ihram
  • “Sahaja aku solat sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Taala.”
  • Membaca surah al-Fatihah
  • Membaca ayat al- Kursi atau surah al-Kafirun atau kedua-duanya sekali.
  • Rukuk
  • Iktidal
  • Sujud
  • Duduk di antara dua sujud
  • Sujud kedua
  • Bangun untuk rakaat kedua
  • Membaca surah al-Fatihah
  • Membaca surah al-Ikhlas
  • Rukuk
  • Iktidal
  • Sujud
  • Duduk di antara dua sujud
  • Sujud kedua
  • Duduk tawaruk
  • Membaca tahiyat akhir
  • Memberi salam
  • Berdoa (bagi orang yang melakukan dua rakaat) tetapi bagi orang yang melakukan dua belas rakaat, ia sujud selepas memberi salam dan berdoa di dalam sujudnya.[6]

Menunaikan Solat Hajat Secara Berjamaah

Berikut kami nukilkan beberapa pendapat para ulama berkaitan isu solat sunat secara berjamaah ini.

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani  apabila mengulas tajuk bab yang diletakkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya (Solat Nafilah Secara Berjamaah) : Maksudnya adalah solat sunat yang mutlak, dan ia juga boleh jadi solat yang lebih umum dari itu. Ibn Wahb meriwayatkan daripada Malik bahawa beliau berkata : Tidak mengapa untuk seseorang itu menjadi imam kepada sebuah kumpulan. Adapun sekiranya perbuatan itu (solat sunat berjamaah) menjadi masyhur lalu dihimpunkan orang ramai maka ini tidak dibolehkan. Ini terbina di atas kaedah sad al-zarai’ (menghalang jalan-jalan) kerana takut orang yang tiada ilmu akang menyangka bahawa solat sunat itu sebagai solat fardhu. Ibn Habib dari kalangan mazhab Malik mengecualikan qiyam Ramadhan kerana telah masyhurnya ia secara berjamaah sebagaimana yang telah dilakukan oleh para sahabat dan golongan selepas mereka.[7]

Ibn Qudamah al-berkata: Boleh untuk solat sunat secara berjamaah dan boleh juga secara bersendirian. Kerana Nabi SAW melakukan kedua-duanya (kadang berjamaah dan kadang bersendirian). Dan kebanyakan solat sunat baginda adalah secara bersendirian.[8]

Syeikh al-Buhuti  mengatakan: Solat sunat secara sembunyi itu lebih afdhal dan tidak mengapa untuk ia dilakukan secara berjamaah. Kata al-Majd dan selainnya: Melainkan jika ia dijadikan sebagai adat kebiasaan dan juga sunnah.[9]

Para fuqaha Syafieyyah seperti al-Khatib al-Syarbini mengatakan: Sesungguhnya semua solat yang tidak disunatkan untuk berjamaah padanya adalah boleh untuk ia dilakukan secara berjamaah. Ini diambil dari perbuatan Umar yang mengumpulkan orang ramai untuk solat taraweh.[10]

Imam al-Nawawi berkata: Sesungguhnya solat-solat sunat itu tidak disyariatkan padanya untuk berjamaah, melainkan pada solat dua hari raya, solat gerhana, dan solat istisqa’. Demikian juga solat tarawih dan witir selepas tarawih. Sesungguhnya jamaah di dalam semua solat tersebut adalah afdhal. Adapun baki-baki solat sunat yang lain seperti solat rawatib yang dilakukan bersama solat-solat fardhu, solat dhuha, dan juga solat-solat sunat yang mutlak, maka tidak disyariatkan pada semua itu untuk berjamaah, iaitu tidak disunatkan. Akan tetapi jika seseorang melakukannya secara berjamaah maka ia dibolehkan. Tidak dikatakan yang perbuatan itu makruh. Imam al-Syafie telah menaskan di dalam Mukhtasar al-Buwaithi dan Mukhtasar al-Rabi’ bahawa tidak mengapa berjemaah dalam solat sunat.[11]

Kesimpulan

Akhir kalam, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur fuqaha yang menyatakan bahawa boleh untuk dilakukan solat hajat, kerana ia termasuk di dalam bab fadha’il al-a’mal. Kami juga berpandangan bahawa boleh untuk dilakukan solat hajat secara berjamaah secara sekali sekala, namun jika dirasakan bahawa solat hajat bersendirian itu lebih mendatangkan kekhusyukan dan kehendak yang dimaksudkan, maka itu adalah lebih utama. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

 

[1] Lihat al-Muwafaqat, 2/121

[2] Riwayat al-Tirimizi (479), al-Nasaie dan Ibn Majah (260)

[3] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/232

[4] Riwayat al-Tabarani (3398) dalam al-Mu’jam al-Ausat

[5] Riwayat al-Nasaie (10496), al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Albani berkata hadis ini sahih

[6] Lihat Solat Hajat dan Doa, hlm. 13-18

[7] Lihat Fath al-Bari, 3/62

[8] Lihat al-Mughni, 1/442

[9] Lihat Syarah Muntaha al-Iradaat, 1/247

[10] Lihat Mughni Al-Muhtaj oleh al-Khatib al-Syarbini

[11] Lihat  al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 3/197

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *