Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum, Terdapat banyak pakaian dan barangan lama yang tidak lagi saya dan keluarga saya. Adakah boleh untuk saya sedekahkan kepada orang lain? Saya risau sedekah saya tidak diterima kerana ianya merupakan barang dan pakaian itu sudah lama. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sedekah pada bahasa bermaksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”[1]

Syeikh al-Maraghi berkata: “Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riyak, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat.” [2]

Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat.

Terdapat begitu banyak kelebihan-kelebihan bersedekah di jalan Allah S.W.T yang disebutkan di dalam al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi S.A.W. Di antaranya adalah firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ  وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ  وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta-harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai yang mana pada setiap satu tangkai itu mempunyai 100 biji benih. Dan Allah melipatgandakan (pahala) kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui.[3]

Ini merupakan suatu dalil yang jelas menunjukkan betapa besarnya pahala sedekah yang boleh menghasilkan 700 kali ganda kebaikan kepada pelakunya. Ayat ini umum meliputi sebarang bentuk sedekah sama ada ia datang dalam bentuk harta benda, makanan dan minuman, pakaian, dan seumpamanya.

Selain dari itu, sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana Allah S.W.T tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya mendapat ganjaran balas yang menguntungkan sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.[4]

Imam Abu Ja’far al-Thabari Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu.[5]

Manakala dalil paling jelas berkenaan keutamaan menyedekahkan pakaian adalah berdasarkan kepada sebuah riwayat daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ مَنْ لَبِسَ ثَوْبًا جَدِيدًا فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي مَا أُوَارِي بِهِ عَوْرَتِي وَأَتَجَمَّلُ بِهِ فِي حَيَاتِي ‏.‏ ثُمَّ عَمَدَ إِلَى الثَّوْبِ الَّذِي أَخْلَقَ أَوْ أَلْقَى فَتَصَدَّقَ بِهِ كَانَ فِي كَنَفِ اللَّهِ وَفِي حِفْظِ اللَّهِ وَفِي سِتْرِ اللَّهِ حَيًّا وَمَيِّتًا

Maksudnya: Sesiapa yang memakai pakaian yang baharu hendaklah dia mengucapkan: ‘’Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan aku sesuatu yang aku dapat menutup auratku dengannya dan aku memperindahkan diri dengannya di dalam kehidupanku’’. Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama) lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan Allah, pemeliharaan-Nya, dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia.[6]

Berdasarkan persoalan di atas, kami tegaskan bahawa walaupun barangan ataupun pakaian itu sudah lama, tetapi sekiranya ianya masih elok dan memberikan manfaat kepada penerimanya, pasti sedekahnya akan diterima selagimana dia ikhlas dalam bersedekah. Sesungguhnya pahala bagi mereka yang menyedekahkan pakaian atau barangan lama amat besar sehingga mendatangkan kebaikan sehinggalah selepas kematian sebagaimana yang telah disebutkan. Kami juga sarankan dua perkara:

  • Carilah pakaian yang baik yang sesuai untuk disedekahkan.
  • Carilah penerima yang benar-benar memerlukan pakaian tersebut.

Kami akhiri persoalan ini dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama.

Wallahua`lam.

 

Bertarikh 2 Disember 2021 M bersamaan 27 Rabiul Akhir 1443 H

 

[1] Surah al-Baqarah: 271

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620

[3] Surah Al-Baqarah: 261

[4] Surah Saba’: 39

[5] Lihat Tafsir al-Thabari, 20/413

[6] Riwayat al-Tirmidzi (3560),  Ibn Majah (3557) dan Ahmad (305). Pengarang kitab Dha’if Ibn Majah (719) dalam takhrij hadith ini menyatakan hadith ini dhaif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *