Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ada satu persoalan. Apakah hukumnya solat dengan memakai kasut? Lebih-lebih lagi kepada kami yang terlibat sebagai sukarelawan banjir yang memerlukan kami memakai kasut setiap masa disebabkan oleh keadaan jalan dan tempat. Jadi, kami kadang-kadang terus sahaja solat di mana-mana kawasan lapang atau bahagian tanah kosong yang bersih. Mohon pencerahan Datuk.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنفِقُوا خَيْرًا لِّأَنفُسِكُمْ ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya:Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-perintah-Nya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”[1]

Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan[2] bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendalah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.[3]

Definisi Kasut

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kasut ditakrifkan sebagai alas kaki seperti sepatu, selipar, dan lain-lain.[4] Dalam erti kata lain, kasut ialah perlindungan luar untuk kaki. Kasut mempunyai tapak dan kebanyakan kasut juga mempunyai tumit. Bahagian atas kebanyakan kasut lebih tinggi daripada pergelangan kaki. Manusia memakai kasut untuk melindungi kaki mereka daripada cuaca sejuk, objek yang tajam dan permukaan yang tidak selesa. Kasut juga merupakan bahagian yang penting dalam pakaian manusia. Oleh itu, fesyen selalunya menentukan gaya kasut yang dipakai oleh seseorang. Kebanyakan kasut dibuat daripada kulit. Tetapi banyak bahan lain juga boleh digunakan, termasuk kain kanvas, baldu, dan bahan sintetik seperti plastik. Bahan dan gaya kasut agak berbeza-beza bergantung pada cuaca, adat resam, atau perbezaan yang lain. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 10/332).

Solat dengan Memakai Kasut

Di dalam sebuah hadith daripada Syaddad bin Aus R.A, Nabi SAW bersabda:

خَالِفُوا الْيَهُودَ فَإِنَّهُمْ لاَ يُصَلُّونَ فِي نِعَالِهِمْ ، وَلاَ خِفَافِهِمْ

Maksudnya:Berbezalah dengan orang Yahudi kerana sesungguhnya mereka tidak mendirikan solat dengan memakai kasut atau khuf mereka.[5]

Al-Munawi menyatakan bahawa (disebabkan) orang Yahudi tidak mendirikan solat dengan memakai kasut atau selipar, maka hendaklah kamu solat dengan memakai kasut atau selipar sekiranya ia bersih tidak bernajis (bagi menyelisihi orang-orang Yahudi itu).  Sebahagian ulama salaf mengambil maknanya yang zahir dan berkata: “Sesiapa yang terkena najis pada seliparnya dan apabila bertempuh dengan tanah atau bumi, maka jadilah ia suci dan harus untuk solat dengan menggunakannya.” Inilah pendapat qadim bagi Imam Syafi‘i, manakala pendapat jadid beliau pula menyalahinya.[6]

Terdapat riwayat daripada Abu Maslamah Sa‘id bin Yazid al-Azdi bahawa beliau telah bertanya kepada Anas bin Malik:

أَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي نَعْلَيْهِ؟ قَالَ: نَعَمْ.

Maksudnya: “Adakah Nabi SAW solat dengan memakai kedua seliparnya?” Anas menjawab: “Ya.”[7]

Badruddin al-‘Aini menukilkan daripada Ibn Battal bahawa menurut para ulama hadith ini bermaksud sekiranya tidak terdapat najis pada kedua selipar (atau kasut), maka tidak mengapa untuk solat dengan memakai kedua selipar itu. Sekiranya terdapat pada kedua selipar itu najis, maka hendaklah dia menyapunya — yakni membersihkan najis itu terlebih dahulu — kemudian solatlah dengan memakai kedua selipar itu.

Namun, mereka berselisih pada cara untuk membersihkan najis yang terdapat pada selipar tersebut. Sebahagian ulama berpendapat jika selipar itu terkena kotoran najis yang basah, maka cukuplah untuk membersihkannya dengan cara menyapunya dengan tanah, lalu solatlah dengan menggunakannya. Menurut Imam Malik dan Abu Hanifah pula, kotoran najis yang basah hendaklah dibersihkan dengan air, manakala bagi kotoran najis yang kering, cukup dengan hanya menggosok atau menyapunya (tanpa perlu kepada air). Adapun Imam al-Syafi‘i, beliau berpendapat bahawa najis yang terdapat pada khuf, selipar dan seumpamanya, tidak boleh dibersihkan melainkan hanya dengan air.

Selain itu, al-‘Aini juga ada menukilkan daripada Ibn Daqiq al-‘Id bahawa solat dengan memakai selipar termasuk dalam perkara rukhsah dan bukannya perkara sunat kerana perbuatan tersebut tidak termasuk dalam makna yang dituntut dalam solat. Kemudian, al-‘Aini mengkritik kenyataan tersebut dengan menyatakan bahawa perbuatan tersebut (yakni solat dengan memakai selipar, kasut atau seumpamanya) dianggap sebagai sunat dan digalakkan dari sudut niat untuk menyelisihi pebuatan orang Yahudi dan bukannya termasuk dalam perkara sunnah (dalam solat) kerana solat dengan memakai selipar bukanlah dengan maksudnya secara zat.[8]

Oleh itu, kita dibenarkan untuk mendirikan solat dengan memakai selipar, kasut dan seumpamanya dengan syarat selipar atau kasut itu bersih dan suci daripada najis. Sekiranya terdapat najis pada selipar atau kasut, maka kita hendaklah membersihkannya terlebih dahulu, kemudian barulah solat dengan memakainya. Hal ini juga adalah sebagaimana hadith lain bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya:Apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan untuk mendirikan solat dengan memakai kasut itu.”[9]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpandangan bahawa solat yang didirikan dengan memakai kasut, selipar atau seumpamanya adalah sah dan menepati sebagaimana kehendak syarak agar menyelisihi orang Yahudi. Walau bagaimanapun, hendaklah memastikan terlebih dahulu kasut atau selipar yang dipakai itu bersih dan suci daripada najis. Begitu juga dengan tempat atau kawasan lapang yang ingin dijadikan tempat solat, mestilah bersih daripada segala najis kerana termasuk antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.

Namun, situasi dan keadaan yang berbeza sekiranya ingin mendirikan solat di dalam masjid dengan melihat kepada suasana dan uruf di Malaysia. Justeru, tidak memakai kasut atau selipar semasa berada di dalam masjid dan untuk solat adalah perkara yang biasa bahkan di rumah sendiri pun ditanggalkan kasut ketika mahu memasukinya. Inilah yang lebih aula dan utama daripada memakai kasut yang dibawa masuk ke dalam masjid untuk solat dengannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25/12/2021 bersamaan 21 Jamadil Awal 1443H

[1] Surah al-Taghabun: 16

[2] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/868

[3] Riwayat al-Bukhari (7288)

[4] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kasut. Diakses pada 23 Disember 2021.

[5] Riwayat Abu Daud (652)

[6] Lihat Faidh al-Qadir, 3/431

[7] Riwayat al-Bukhari (386)

[8] Lihat ‘Umdah al-Qari, 4/119

[9] Riwayat Abu Daud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889)

Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *