#19 Al-Mawaqif: Polemik Tauliah Mengajar

Mukadimah

Mutakhir ini, isu tauliah yang dikeluarkan oleh sesebuah negeri atau ditahan yang melibatkan penceramah, imam, agamawan, pendakwah dan lain-lain dalam menyampaikan ceramah atau ilmu sama ada dihalang atau diberi, sentiasa berlaku pasang surutnya. Adakalanya pasang dan adakalanya surut. Ia akan menjadi lebih panas apabila membabitkan pendakwah terkenal sebagai contoh atau orang-orang agama yang masyhur. 

Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan melalui khutbah Jumaatnya pada hari Jumaat, 10 Mac 2023 bersamaan 19 Sya’ban 1444H telah membuat tajuk Tauliah Mengajar: Suatu Keperluan. Kebetulan pada hari Jumaat tempohari, saya telah dijemput oleh pihak Karangkraf untuk menjadi khatib tamu di samping memberi tazkirah sebelum Jumaat. 

Pada hari ini, Sabtu, khutbah yang saya sampaikan itu telah diulas oleh akhbar Sinar Harian dan juga Astro Awani. Justeru, dalam Mawaqif pada kali ini, saya akan cuba memberi ulasan dengan lebih tuntas lagi. Semoga ianya memberi manfaat kepada kita semua. 

Intipati Khutbah Jumaat ‘Tauliah Mengajar: Suatu Keperluan’

Khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah merungkai beberapa salah faham yang timbul terkait tauliah mengajar. Antaranya:

  1. Kenapa Tauliah Mengajar suatu keperluan? Bukankah Nabi Muhammad SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru R.Anhuma:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat.” 

Riwayat al-Bukhari (3461) 

  1. Bukankah kita semua pendakwah? Dalam kalangan kita juga ada kelayakan agama. Jadi kenapa perlu lagi Tauliah? 
  2. Benarkah proses permohonan Tauliah Mengajar sesuatu yang menyusahkan dan tidak diperlukan? 
  3. Adakah itu bermaksud pihak berkuasa agama menghalang kerja-kerja dakwah?

Alhamdulillah, jawapan yang disediakan oleh JAIS dalam teks khutbah berkenaan ringkas dan padat untuk dihadam oleh semua lapisan masyarakat. Dalam hal ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga sering memberi peringatan dan menitahkan hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang boleh diberikan Tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid-masjid atau surau-surau di seluruh negeri Selangor. (Titah DYMM Sultan Selangor, 18 Februari 2022, Istana Alam Shah Klang).

Teks khutbah tersebut menyimpulkan, keperluan Tauliah Mengajar bukanlah untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengajar agama. Ia sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam (Hifz ad Din). Allah SWT berfirman :

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ 

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.”

(Surah Ali Imran ayat 19)

Justeru, bagi memastikan agama Islam itu terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara maka Tauliah Mengajar amat diperlukan pada hari ini. Kita tidak mahu wujud pelbagai persepsi seperti kata Saidina Ali R.A.:

كَلِمَةُ حَقٍّ أُرِيدَ بِهَا بَاطِلٌ

Maksudnya: “Kata-kata yang benar tetapi bertujuan batil.”

Riwayat Muslim (1066)

Maka di sinilah keperluan Tauliah Mengajar yang antara lain untuk memastikan bahawa;. 

  1. Seseorang itu benar-benar layak dan sesuai untuk mengajar agama. 
  2. Mengekang penyebaran ajaran atau fahaman yang menyeleweng daripada pegangan akidah Ahli Sunnah Waljamaah. 
  3. Mengelak sesuatu perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti dalam kalangan masyarakat. 
  4. Mencegah mana-mana pihak yang menggunakan platform ceramah untuk menghina atau mengaibkan orang atau kumpulan tertentu. 
  5. Memastikan pemegang Tauliah Mengajar mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang telah berkuatkuasa.

Pandangan Saya

Pertama: Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

(Surah al-Taubah: 122)

Syeikh al-Maraghi berkata: Ayat ini diturunkan bagi melengkapkan hukum-hukum yang bersangkut dengan perjuangan. Iaitu hukum mengenai pencarian ilmu dan mendalami urusan agama. Ertinya, melalui mempelajari ilmu secara mendalam itu merupakan suatu cara berjuang yang menggunakan hujjah dan menyampaikan beberapa bukti dan juga merupakan suatu rukun yang terpenting dalam aspek menyeru kepada keimanan dan menegakkan sendi-sendi Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/47)

Kedua: Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kamu) kepada golongan ulil amri dari kalangan kamu.

Surah al-Nisa’ (59)

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.

Justeru itu, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 4/2360)

Ketiga: Pemerintah dan agama adalah dua elemen yang tidak akan terpisah dalam sesebuah negara. Ramai tokoh ulama’ sejak zaman dahulu hingga kini memperakukan hal ini. Antaranya:

  • Imam al-Ghazali berkata: 

الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ

Maksudnya: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.” (Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 128)

  • Imam al-Mawardi pula menyebut: 

الإمَامَةُ مَوضُوعَة لِخلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِه

Maksudnya: “Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 5)

  • Imam al-Haramain al-Juwaini juga pernah berkata: 

الإمَامَةُ رياسَةٌ تَامَّةٌ وزعامَةٌ تَتَعَلَّق بِالْخَاصَّةِ وَالعَامَّةِ فِي مهماتِ الدِّين وَالدُّنْيَا

Maksudnya: “Pemimpin utama adalah pemerintah yang sempurna dan kepimpinan berkaitan dengan khusus dan umum pada semua kepentingan agama dan dunia.” (Lihat Ghiyath al-Umam fi al-Tayas al-Zulam, hlm. 15)

  • Imam al-Nasafi berkata:

نِيَابَةٌ عَنِ الرَّسُولِ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي إِقَامَةِ الدِّيْنِ بِحَيْثُ يَجِبُ عَلَى كَافَّةِ الْأُمَمِ الاتِّبَاعُ

Maksudnya: “Pemerintah adalah pengganti rasul Alaihimussalam dalam menegakkan agama sekira-kira menjadi wajib atas semua umat dan pengikut.” (Lihat al-Aqaid al-Nasafiyyah (ms.179)

  • Imam Al-Iji Rahimahullah  berkata:

هِيَ خِلَافَةُ الرَّسُوْلِ  صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  فِي إِقَامَةِ الدِّيْنِ بِحَيْثُ يَجِبُ اتِّبَاعُهُ عَلَى كَافَّةِ الْأُمَّةِ

Maksudnya: “Pemerintah adalah pengganti Rasul SAW dalam menegakkan agama di mana ia adalah wajib diikutinya ke atas semua umat.” Lihat al-Mawaqif (hlm. 395)

  • Ibn Khaldun berkata:

هِيَ حَمْل الْكَافَّةِ عَلَى مُقْتَضَى النَّظَرِ الشَّرْعِيِّ، فِي مَصَالِحِهِمُ الأُخْرَوِيَّةِ، وَالدُّنْيَوِيَّةِ الرَّاجِعَةِ إِلَيْهَا ، إِذْ أَحْوَالُ الدُّنْيَا تَرْجِعُ كُلُّهَا عِنْدَ الشَّارِعِ إِلَى اعْتِبَارِهَا بِمَصَالِحِ الآخِرَةِ، فَهِيَ فِي الْحَقِيْقَةِ خِلَافَةٌ عَنْ صَاحِبِ الشَّرْعِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَا بِهِ

Maksudnya: “Ia adalah memikul ke semua urusan syarak dalam maslahat mereka dunia dan akhirat yang kembali kepadanya. Ini kerana segala urusan dunia semuanya di sisi syarak dilihat kepada maslahat akhirat. Maka ia pada hakikatnya adalah pengganti kepada pemilik syarak dalam mengawal agama dan bersiasah dengannya.” Lihat Muqaddimah Ibn Khaldun (hlm. 190)

  • Profesor Dr. Muhammad Najib al-Muti’i berkata:

الْمُرَادُ بِهَا – أَيْ الإِمَامَةُ- الرِّئَاسَةُ العَامَّةُ فِي شُؤُوْنِ الدُّنْيَا وَالدِّيْنِ 

Maksudnya: “Dikehendaki dengannya- iaitu pemerintahan- pemerintahan yang umum dalam urusan dunia dan agama.” (Lihat Takmilah al-Majmu’, 19/191)

Maka, jelas menunjukkan pelaksanaan Islam dan Syariahnya adalah terletak di punda seorang pemimpin yang menjadi pemelihara kepada agama seperti ungkapan oleh tokoh-tokoh yang telah kita nyatakan tadi. 

Keempat: Syarat-syarat kepada Pengajar atau Guru

Seperti yang telah dibahaskan, ia adalah syarat yang diterima pakai oleh seluruh pemerintah di dunia sekarang ini, termasuklah Mesir yang terdapat padanya Universiti al-Azhar al-Syarif. Begitu juga Arab Saudi yang terdapat padanya Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi. Antara syarat seperti yang telah dinukilkan dalam hadith Muaz bin Jabal menjadi piawaian atau garis panduan dalam memberi kepada seseorang itu tauliah. 

Ketika Rasulullah SAW menghantar Saidina Muaz bin Jabal R.A ke negara Yaman, baginda terlebih dahulu bertanyakan beberapa soalan kepada Muaz berdasarkan sabdanya yang berikut:

كَيْفَ تَقْضِي؟ فَقَالَ: أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللهِ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللهِ؟ قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللهِ؟ قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي، قَالَ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللهِ.

Maksudnya: “Dengan apakah kamu akan berhukum? Maka Muaz menjawab: ‘Aku akan berhukum dengan apa yang terdapat di dalam Kitabullah’. Baginda bersabda: ‘Sekiranya ia tidak terdapat di dalam Kitabullah?’ Maka jawab Muaz: ‘Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah SAW.’ Baginda bertanya lagi: ‘Sekiranya tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW?’ Jawab Muaz: ‘Aku akan berijtihad dengan pendapatku.’ Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufik kepada utusan Rasulullah SAW.” 

Riwayat al-Tirmizi (1327)

Hadis tersebut menunjukkan Rasulullah SAW sedang menguji kelayakan Saidina Muaz dalam menyampaikan dakwah. Setelah berpuas hati dengan manhaj Saidina Muaz dalam berhukum iaitu mendahulukan al-Quran kemudian al-Sunnah dan seterusnya ijtihad, maka baginda pun mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT.

Maka sebab itulah permohonan Tauliah Mengajar perlu melalui beberapa proses tapisan untuk melihat kelayakan, kemahiran, kemampuan dan penguasaan ilmu seseorang sebelum diberikan Tauliah.

Keduanya, suka kami nyatakan hal tersebut telah dipraktikkan oleh Saidina Ali R.A bila melihat al-Hasan al-Basri mengajar di dalam masjid. Pengarang kitab al-Tanwir menyebut:

وَقَدِمَ  عَلِي بنُ أَبِي طَالِب رَضِيَ اللهُ عَنْهُ البَصْرَةَ فَدَخَلَ جَامِعَهَا فَوَجَدَ القَصَّاصَ يَقُصُّونَ فَأَقَامَهُمْ حَتَّى جَاءَ إِلَى الْحَسَنِ البَصْرِي رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُ فَقَالَ: يَا فَتَى إِنِّي سَائِلُكَ عَنْ أَمْرٍ فَإِنْ أَجَبْتَنِي عَنْهُ أَبْقَيْتُهُ, وَإِلَّا أَقَمْتُكَ كَمَا أَقَمْتُ أَصْحَابَكَ – وَكَانَ قَدْ رَأَى عَلَيْهِ سَمْتًا وَهَدْيًا – فَقَالَ الْحَسَنُ : سَلْ عَمَّا شِئْتَ قَالَ: مَا مَلَاكُ الدِّيْنِ؟ قَالَ: الْوَرَعُ قَالَ: فَمَا فَسَادُ الدِّينِ؟ قَالَ: الطَّمَعُ. قَالَ: اجْلِسْ فَمِثْلُكَ مَنْ يَتَكَلَّمُ عَلَى النَّاسِ.

Maksudnya: ‘Ali bin Abi Talib R.A datang ke kota Basrah. Kemudian dia masuk ke dalam masjid Basrah dan mendapati para pencerita sedang bercerita. Beliau pun melarang para pencerita tersebut, hingga akhirnya dia bertemu dengan al-Hasan al-Basri R.A, dan kemudian dia berkata: “Wahai pemuda, sesungguhnya aku ingin bertanya tentang satu persoalan, jika engkau mampu menjawabnya maka aku akan membiarkanmu, jika tidak, maka aku akan melarangmu sebagaimana aku melarang teman-temanmu.” Al-Hasan al-Basri berkata: “Silakan tuan bertanya tentang apa yang tuan inginkan.” Saidina Ali bertanya: “Apa intisari dari agama?” Al-Hasan al-Basri menjawab: “Sikap wara’.” Saidina Ali terus bertanya: “Apa yang menjadi perosak kepada agama?” Al-Hasan al-Basri menjawab: “Sikap tamak.” Saidina Ali R.A pun berkata: “Duduklah untuk mengajar. Orang sepertimu yang sepatutnya berbicara kepada orang ramai!” 

(Lihat al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir, hlm. 103 dan al-Mukhtasar al-Munir fi Tadbir al-Rizq oleh Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari, hlm. 74. Kisah ini juga terdapat dalam al-Mawahib al-Saniyyah Syarh Hizb al-Fath li al-Sadat al-Wafa’iyyah oleh Muhammad bin Taj al-Din al-Wasimi, hlm. 111; Siraj al-Talibin Syarh Minhaj al-‘Abidin ila Jannati Rabb al-‘Alamin, hlm. 112; Iqaz al-Himam fi Syarh al-Hikam, hlm. 158; Muzakkirat fi Manazil al-Siddiqin wa al-Rabbaniyyin min Khilal al-Nusus wa Hikam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari oleh Sa’id Hawwa, hlm. 347; al-Lata’if al-Ilahiyyah fi Syarh Mukhtarat oleh Dr. ‘Asim Ibrahim, hlm. 86)

Kisah yang kedua adalah Syeikh Abu Hatim bin Khamush, seorang alim besar daripada Ray yang tugasnya memberikan tauliah kepada mana-mana pengajar agama di sana. Sesiapa yang tidak diizinkannya, tidak dibenarkan untuk mengajar agama. Hal ini dikisahkan oleh Abdullah al-Ansari al-Harawi (Lihat Al-Qadhi Abu Ya’la, Tabaqat al-Hanabilah1/44)

كان مقدم أهل السنة بالري، وذلك أن السلطان محمود بن سبكتكين لما دخل الري، وقتل بها الباطنية، منع الكل من الوعظ غير أبي حاتم، وكان من دخل الري يعرض عليه اعتقاده ، فإن رضيه ، أذن له في الكلام على الناس، وإلا فمنعه قال: فلما قربت من الري كان معي رجل في الطريق من أهلها، فسألني عن مذهبي، فقلت: حنبلي، فقال: مذهب ما سمعت به! وهذه بدعة! وأخذ بثوبي، وقال: لا أفارقك إلى الشيخ أبي حاتم. فقلت: خيرة، فذهب بي إلى داره، وكان له ذلك اليوم مجلس عظيم، فقال: هذا سألته عن مذهبه، فذكر مذهبا لم أسمع به قط. قال: وما قال؟ فقال: قال: أنا حنبلي. فقال: دعه، فكل من لم يكن حنبليا، فليس بمسلم. فقلت في نفسي: الرجل كما وصف لي. ولزمته أياما، وانصرفت

Abu Hatim bin Khamush adalah pemuka Ahli Sunnah di Ray, disebabkan Sultan Mahmud bin Subuktakin menawan kota Ray, membunuh puak Batiniyyah, dan melarang semua pidato kecuali Abu Hatim bin Khamush.

Sesiapa yang ingin memasuki kota Ray, akidahnya diuji dulu oleh beliau. Jika beliau berpuas hati, beliau izinkan berpidato pada orang ramai. Jika tidak, beliau melarangnya. Ketika aku (Abdullah al-Ansari al-Harawi) menghampiri kota Ray, aku disapa seorang lelaki penduduk Ray dijalanan. Dia bertanya apakah mazhabku. Aku jawab: “Hanbali.”  Lelaki ini menempelak: “Mazhab apa ini aku tak pernah dengar pun! Ini bid’ah!” Lelaki itu menarik bajuku dan berkata:  “Aku tidak akan lepaskanmu sehingga bertemu Sheikh Abu Hatim.” 

Aku pun membalas: “Baiklah.” Lalu aku pergi besamanya ke rumah Abu Hatim, yang kebetulan pada hari itu ada majlis yang besar. Lelaki itu berkata:  “Inilah dia lelaki yang aku tanya akan mazhabnya. Beliau menyebut mazhab yang aku tidak pernah dengar.” Abu Hatim bertanya: “Apa jawapannya?”  Lelaki itu berkata: “Hanbali.”

Abu Hatim berkata:  “Lepaskannya. Setiap orang yang tidak bermazhab Hanbali, maka dia bukan muslim.”  Aku berkata pada diri sendiri; lelaki ini (Abu Hatim) seperti aku. Lalu aku menetap besamanya beberapa hari dan kemudian beredar. (Al-Qadhi Abu Ya’la, Tabaqat al-Hanabilah, 1/44)

Sebelum ketibaan Sultan Mahmud bin Subuktakin, kelompok Batiniyyah menguasai tempat tersebut. Sultan Mahmud berjaya membunuh kesemuanya dan yang tinggal hanyalah penduduk yang bermazhab Hanbali. Maka, sebab itulah Abu Hatim berkata sedemikian kerana jika bukan bermazhab Hanbali, sudah pasti seseorang itu adalah aliran Batiniyyah. 

Kelima: Keperluan syarat adalah amat penting kerana dibimbangi kesesatan atau berlaku penyelewengan. Sebagai contoh, munculnya nabi palsu bernama al-Harith. 

Ibn Kathir menyebut dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (12/285) berkenaan peristiwa yang berlaku pada tahun 79 H: Pada tahun tersebut Khalifah Abdul Malik bin Marwan dapat membunuh al-Harith bin Sa’id yang mengaku menjadi nabi palsu. Beliau juga dikenali dengan nama al-Harith bin Abdul Rahman bin Sa’id al-Dimasyq iaitu maula Abi al-Julas al-‘Abdari dikatakan juga maula al-Hakam bin Marwan.

Beliau berasal dari perkampungan al-Hulah. Kemudian, pergi ke Damsyik dan beribadat di sana. Terkenal dengan rajin beribadat dan zuhud. Kemudian, beliau terpedaya dengan kehebatannya sendiri. Akhirnya, terpaksa pulang dalam keadaan berundur ke belakang.

Beliau telah membohongi ayat-ayat Allah SWT. Beliau juga telah memisahkan diri dari hizbu Allah SWT. Kemudian, beliau mengikut syaitan. Maka jadilah ia sesat. Syaitan sentiasa menggodanya dengan berakhir beliau mengalami kerugian bagi agamanya dan dunianya.

Semoga Allah mencela dan mencelakakannya. Sesungguhnya, kita semua adalah milik Allah SWT dan kepada-Nya kita kembali. Dan cukuplah Allah SWT bagi kita. Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan daripada Allah SWT.

Daripada Abdul Rahman bin Hasan berkata, “Adalah al-Harith pendusta dari penduduk Damsyik. Beliau adalah maula kepada Abi al-Julas. Ayahnya berasal dari perkampungan Hulah. Akhirnya, dia diperdaya oleh iblis walaupun pada asalnya seorang yang kuat beribadat, zuhud. Sekalipun jika dia memakai pakaian jubah daripada emas nescaya kamu melihat padanya terdapat zuhud dan kuat beribadat.”

Jika beliau mula bertahmid, nescaya tidaklah orang yang mendengarnya, tiada seperti tahmidnya. Tiadalah bahasa lebih baik daripada bahasanya. Beliau pernah menulis kepada ayahnya yang berada di Hulah. “Hai, ayahku, cepatlah datang kepadaku, kerana sesungguhnya aku melihat banyak perkara dan aku bimbang syaitan telah mempengaruhiku.” Katanya, maka bertambahlah ayahnya dalam kesesatan dan ayahnya menulis surat kembali. “Hai anakku, terimalah apa yang kamu diperintahkan kerana Allah SWT berfirman:

هَلْ أُنَبِّئُكُمْ عَلَىٰ مَن تَنَزَّلُ الشَّيَاطِينُ ‎﴿٢٢١﴾‏ تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ ‎

Maksudnya: “Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa.”

(Surah al-Syu’ara’: 221)

Dan kamu bukanlah kaki pendusta dan maksiat. Justeru, terimalah apa yang diperintahkan kepadamu dengannya.” Maka datanglah ia kepada ahli masjid seorang, seorang dengan memberi nasihat kepada mereka dan mengkhabarkan apa yang berlaku kepadanya. Ia mengambil perjanjian dan kata seiya untuknya. Sebenarnya tidaklah ia lihat apa yang dia redha sebelum dan kalau tidak nescaya dia dustakannya.

Katanya, ia telah diperlihatkan pelbagai bentuk keajaiban, boleh jadi ia datang ke batu marmar dalam masjid lalu mengukir dengan tangannya. Maka dengarlah ternyata tasbih yang kuat sehingga orang ramai yang hadir gegak gempita. Aku berkata, aku pernah mendengar dari guru kami al-‘Allamah Abu al-‘Abbas ibn Taimiyyah Rahimahullah berkata, “Boleh jadi dia mencakar pada dinding merah yang berukir lantas terdengar darinya tasbih dan beliau adalah kafir zindiq.”

Ibnu Abi Khaithamah dalam riwayat berkata, “Pernah al-Harith memberi mereka makan buah-buahan musim sejuk pada musim panas. Dan sebaliknya, buah-buahan musim panas pada musim sejuk. Dan beliau berkata kepada mereka, “Keluarlah kamu semua untuk aku tunjukkan kepada kamu malaikat.”

Lalu, dia keluar bersama orang ramai ke arah biara al-Muran kemudian diperlihatkan kepada mereka, lelaki-lelaki berkuda. Justeru, ramailah orang terpengaruh dan mengikutnya. Kisahnya tersebar sampai ke dalam masjid, dan makin ramai pengikut dan rakan-rakannya sehinggalah hal ini sampai kepada Gabenor al-Qasim bin Mukhaimirah.

Katanya, lantas ditunjukkan kehebatannya kepada al-Qasim. Kemudian, al-Qasim telah diminta mengambil perjanjian dengannya dan mengikutnya. Jika sekiranya dia redha, perkara tersebut nescaya diterima dan jika dia benci, dia akan diam. Kemudian beliau berkata kepadanya, “Sesungguhnya, aku nabi.” Lantas jawab al-Qasim, “Kamu pembohong wahai musuh Allah, kamu bukan nabi.”

Dalam satu riwayat, kata al-Qasim, “Akan tetapi kamu salah seorang pendusta lagi dajjal yang Rasulullah SAW telah menyebutnya. Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبٌ مِنْ ثَلاَثِينَ، كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللهِ.

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehinggalah dibangkitkan ‘dajjal-dajjal’ (para pendusta) yang jumlahnya menghampiri tiga puluh. Kesemuanya mengaku bahawa mereka adalah utusan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (3609) dan Muslim (157)

Dan kamu salah seorang dari mereka. Dan tiada perjanjian untuk kamu. Lantas, al-Qasim bangkit keluar kepada Abi Idris. Ketika itu, beliau menjawat jawatan Qadhi di Damsyik. Dikisahkannya dengan apa yang dia dengar daripada al-Harith. Jawab Qadhi, “Kami telah mengetahuinya.” Kemudian, dia melaporkan iaitu Abu Idris (Qadhi Damsyik) kepada Khalifah Abdul Malik tentang perkara itu.

Dalam riwayat yang lain, bahawa Makhul dan Abdullah bin Abi Zakaria masuk menemui al-Harith. Maka, al-Harith mengajak keduanya untuk mengaku kenabiannya. Tetapi, keduanya mendustakannya dan membangkang dakwaannya. Bahkan, kedua-duanya melaporkan kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan berkenaan dengan al-Harith ini. Abdul Malik telah mengarahkan untuk menangkapnya.

Ketika itulah al-Harith bersembunyi dan dia lari ke sebuah rumah di Baitul Maqdis. Dia menyeru kepada dirinya secara sembunyi. Tetapi Khalifah Abdul Malik amat cakna akan halnya sehingga beliau sendiri menaiki binatang tunggangan menuju Assannabrah. Di sana beliau menemui seorang lelaki Islam dari Basrah yang selalu menemui al-Harith yang berada di sebuah rumah di Baitul Maqdis. Lelaki itu memaklumkan kepadanya dan di mana dia berada.

Beliau juga memohon daripada Abdul Malik agar mengirim bersamanya sekumpulan tentera Turki untuk menjaganya dari tindakan al-Harith. Khalifah Abdul Malik mengirim bersamanya dan menulis surat kepada gabenor Quds. “Hendaklah kamu mentaati lelaki ini dan lakukanlah apa yang diperintahkan dengannya.” Bila mana lelaki ini telah sampai ke Baitul Maqdis dan menunjukkan surat kepada gabenor, maka segera dilaksanakan perintahnya.

Lelaki ini telah memerintah untuk menghimpunkan obor di mana setiap orang mempunyai obor. Apabila dia perintahkan untuk menyalakannya pada waktu malam. Lantas, mereka menyalakan di segenap penjuru jalan dan lorong sehingga tiada tempat yang tersembunyi. Lelaki tersebut pergi ke rumah yang terdapat padanya al-Harith. Lantas, dia berkata kepada pengawalnya, “Izinkan bagiku untuk menemui nabi Allah.” Jawab pengawalnya, “Pada waktu begini tidak seorang pun yang diizinkan sehingga waktu pagi.”

Dia berkata, “Nyalakan semua obor.” Dan mereka semua menyalakan sehingga seolah-olah malam bertukar menjadi siang. Ketika itulah, orang Basrah tersebut telah menerkam kepada al-Harith sedangkan dia bersembunyi di dalam lubang. Maka sahabat-sahabatnya berkata, “Jauhkan, apakah kamu mahu untuk sampai kepada nabi Allah? Sesungguhnya dia telah diangkat ke langit.” Kemudian, orang Basrah tersebut memasukkan tangannya ke dalam lubang. Maka dia dapat menarik bajunya, dan dikeluarkannya.

Kemudian berkata kepada pembantu-pembantunya daripada tentera Turki khalifah. Tangkaplah dia. Katanya, mereka mengambilnya, mengikat dan merantainya. Dikatakan, rantai-rantai dan tali yang mengikat jatuh dari lehernya berkali-kali. Dan mereka terus melakukannya berulang kali. Dan lelaki Basrah ini membaca firman Allah SWT:

قُلْ إِن ضَلَلْتُ فَإِنَّمَا أَضِلُّ عَلَىٰ نَفْسِي ۖ وَإِنِ اهْتَدَيْتُ فَبِمَا يُوحِي إِلَيَّ رَبِّي ۚ إِنَّهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ ‎

Maksudnya: Katakanlah lagi: “Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa diriku sendiri, dan jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian disebabkan apa yang telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku; sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Dekat”.

(Surah Saba’: 50)

Kemudian, al-Harith berkata kepada tentera-tentera Turki:

أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا أَن يَقُولَ رَبِّيَ اللَّهُ

Maksudnya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah?”

(Surah Ghafir: 28)

Mereka semua menjawab kepadanya dengan lidah dan bahasa mereka, “Ini semua Quran kami, maka datanglah Quran kamu.”

Apabila mereka membawanya kepada Khalifah Abdul Malik, lantas Khalifah memerintahkan untuk disalibnya pada sebatang kayu. Kemudian, seorang lelaki datang menikamnya dengan pisau, namun al-Harith tidak cedera dan hanya terkena pada salah satu rusuk secara sipi sahaja.

Khalifah Abdul Malik berkata kepadanya, “Celaka kamu, adakah kamu lupa menyebut nama Allah ketika mana kamu menikamnya?” Jawab lelaki tersebut, “Aku lupa.” Kata Khalifah, “Bacalah nama Allah kemudian tikamnya.” Katanya, lelaki itu membaca nama Allah kemudian menikamnya dan akhirnya berjaya.

Adalah Khalifah Abdul Malik mengarahkan untuk menahannya sebelum disalibnya dan memerintahkan ulama dan ahli fiqh untuk memberi pengajaran dan menyedarkannya bahawa ini adalah amalan syaitan. Tetapi al-Harith enggan menerima dari mereka kemudian disalibnya. Inilah dari kesempurnaan keadilan dan agama. Benarlah sabda Nabi SAW:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَخْرُجَ ثَلَاثُونَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ، فَمَنْ قَالَهُ فَاقْتُلُوهُ، وَمَنْ قَتَلَ مِنْهُمْ أَحَدًا فَلَهُ الْجَنَّةُ .

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehinggalah keluar tiga puluh ‘dajjal-dajjal’ para pendusta. Kesemuanya mengaku bahawa mereka adalah nabi. Maka, siapa yang berkata kepadanya, hendaklah kamu bunuhnya dan siapa yang di kalangan kamu dapat membunuh salah seorang daripada mereka maka baginya syurga.”

Keenam: Ilmu yang diambil mestilah daripada yang diyakini (thiqah). 

Daripada Hisyam, bahawa Muhammad ibn Sirin berkata:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ، فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka kamu lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.” (Lihat Sahih Muslim pada bahagian Mukadimah, 1/11)

Ketujuh: Isu Tauliah juga terkait dengan Sadd al-Zari’ah. 

Dalam bahasa Arab, lafaz Sadd bermaksud menutup, menegah, menghalang, menyekat atau menyumbat. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/190)

Manakala al-Zara’i’ merupakan lafaz jama’ daripada al-Zari’ah, yang bermaksud jalan-jalan atau lorong-lorong. (Lihat Usul al-Fiqh, ‘Abbas Mutawalli Hamadah, hlm. 265)

Al-Zara’i’ merupakan jalan yang membawa kepada sesuatu, sama ada kebaikan atau keburukan, yang bersifat hissi (dapat dirasai) atau maknawi. (Lihat ‘Ilm Usul al-Fiqh, oleh Ibrahim ‘Abd al-Rahman,  hlm. 131) Selain itu, al-Zara’i’ juga membawa maksud perantara yang menjadi penghubung kepada sesuatu, sama ada sesuatu yang boleh dicapai dengan pancaindera atau makna, sama ada baik atau buruk. (Lihat Usul al-Fiqh, Badran Abu al-‘Ainain, hlm. 333) Ia adalah jalan yang boleh membawa kepada mafsadah (kerosakan) ataupun maslahah.

Akan tetapi, penggunaan lafaz al-Zara’i’ lebih banyak kepada jalan yang membawa kepada kerosakan dan keburukan. (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, ‘Abd al-Karim Zaidan, hlm. 195) Oleh itu sad al-zarai’e adalah menutup jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan ataupun keburukan.

Menurut ulama’ usul, Sadd al-Zara’i’ (سَدُّ الذَّرَائِع) ialah jalan yang membawa kepada sesuatu yang dilarang, yang merangkumi sesuatu yang menyebabkan kerosakan. Contohnya, melihat aurat wanita ajnabi. Sesungguhnya, ia boleh membawa kepada zina. Maka mencegah daripada melihat aurat itu dinamakan sebagai Sadd al-Zara’i’ (سَدُّ الذَّرَائِع). (Lihat Usul al-Fiqh, Badran Abu al-‘Ainain, hlm. 333)

Para ulama’ usul telah membahagikan pengertiannya dari sudut istilah, kepada dua maksud, iaitu:

  • Sadd al-Zara’i’ (سَدُّ الذَّرَائِع): Iaitu menyekat atau mencegah setiap jalan atau perantaraan yang harus dilakukan, sekiranya ia membawa kepada kerosakan dan kemudaratan.
  • Fath al-Zara’i’ (فَتْحُ الذَّرَائِع): Iaitu membuka atau menerima setiap jalan atau perantaraan yang membawa kepada kebaikan dan kemaslahatan. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah al-Zuhaili, 2/567)

Antara contoh-contoh Sadd al-Zaraie’ (سَدُّ الذَّرَائِع) ialah:

  • Pengharaman berkhalwat dengan ajnabi untuk mengelakkan berzina.
  • Larangan untuk seorang lelaki meminang pinangan orang lain. Untuk mengelakkan permusuhan dan kebencian.
  • Larangan untuk melakukan ihtikar (monopoli). Kerana ia merupakan satu jalan untuk menyempitkan urusan manusia dalam makanan asasi mereka.

Justeru, supaya tiada golongan yang tidak layak mahupun menyeleweng dan yang sesat mengambil kesempatan dalam menyampaikan dakwah atau lebih tepat lagi, dakyah mereka, ini sudah tentu akan dapat menyelamatkan masyarakat dari terpengaruh dan terpedaya dengan fahaman yang sesat atau menyeleweng ini. 

Berdasarkan nas hujah dan juga alasan yang kami kemukakan, maka tindakan untuk memelihara agama melalui tauliah oleh Majlis Agama Islam atau kerajaan sesebuah negeri adalah amat wajar dan sepatutnya dipraktikkan.

Cadangan dan Syor

Berdasarkan pengalaman yang ditimba selama menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terutamanya melibatkan tadbir urus Islam di Malaysia, saya kemukakan di sini beberapa cadangan dan syor agar pelaksanaan tauliah lebih dihormati dan difahami oleh pelbagai lapisan dalam kalangan masyarakat terutamanya orang awam dan agamawan.

  1. Pemantauan berkala perlu dibuat bagi memastikan apa yang disampaikan oleh pemegang Tauliah Mengajar, selari dengan undang-undang yang dikuatkuasakan, terutamanya dari sudut kualiti ilmu yang disampaikan. Kita tidak mahu masjid dan surau menjadi medan untuk memecahbelahkan ummah, pentas jenaka (walaupun tidak menjadi kesalahan untuk sesekali bergurau), atau sekadar periwayatan kisah-kisah tanpa sandaran.
  2. Pengecualian atau tauliah khas hendaklah diberi kepada tokoh agama atau ulama’ yang telah dikenali dengan kealimannya serta kedudukannya dalam sesebuah negara atau institusi oleh Raja selaku Ketua Agama Islam atau Mufti negeri berkenaan, apatah lagi di luar negara. Itulah adab yang sebaiknya kerana boleh jadi individu yang perlu ditemuduga untuk tauliah itu sendiri lebih alim daripada penemuduga tauliah. Hal ini pernah berlaku di Mesir seperti yang diceritakan kepada saya oleh Syeikh Mustafa al-Nadwi.
  3. Pengecualian dan tauliah khas juga boleh diberikan kepada tokoh-tokoh politik yang memegang jawatan dalam kerajaan Persekutuan dan Negeri seperti Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Exco-Exco Kerajaan Negeri dengan syarat tidak ada isu-isu politik kepartian yang disentuh. “Politik kepartian” yang saya maksudkan adalah yang menyentuh mana-mana parti secara khusus, atau mana-mana individu dalam parti secara khusus, atau apa-apa perkataan yang dikira perlambangan mana-mana parti. Subjek pengajaran seperti al-Siyasah al-Syar’iyyah semestinya perlu dikekalkan untuk diajar di masjid dan surau oleh pemegang Tauliah Mengajar yang berkelayakan, bagi membentuk pemahaman jemaah yang menyeluruh berkenaan sistem tadbir urus Islam dalam hal kenegaraan.
  4. Pengecualian dan tauliah khas juga boleh diberikan kepada individu yang sudah dikenali akan keilmuannya dan diperkenankan oleh Raja selaku Ketua Agama Islam atau diluluskan oleh Mufti negeri berkenaan, para ulama setempat dan masyarakat tanpa ada sebarang keraguan.
  5. Memandangkan JAKIM adalah urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), sebuah institusi di bawah Majlis Raja-Raja yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus Agama Islam di peringkat Persekutuan, saya melihat ada ruang untuk standard ujian permohonan Tauliah Mengajar diselaraskan di seluruh negara –  dengan titah perkenan Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI dan raja-raja di peringkat Negeri – agar kualiti ilmu para pemegang Tauliah Mengajar di seluruh negara boleh disetarakan atau hampir kepada kesetaraan. 

Sesungguhnya, niat yang baik juga memerlukan pelaksanaan yang baik serta sifat tasamuh kepada mereka yang diberi kuasa atau autoriti untuk meraikan tokoh-tokoh agama atau ulama’ dalam menyampaikan risalah ilmu dengan penuh harmoni dan damai. Mereka yang menyampaikannya dengan mengikut ajaran Ilahi dan neraca Syari’ah adalah mereka yang melaksanakan titah perintah Allah, sebagaimana firman-Nya:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan, ayat ini menunjukkan suruhan supaya berdakwah kepada agama Allah dan syariat ini dengan cara yang baik dan lembut, tanpa fitnah dan kekerasan. Demikianlah juga orang-orang Islam perlu diberi peringatan sehingga hari kiamat, kerana ia merupakan ketetapan yang tegas terhadap orang-orang yang bermaksiat dalam kalangan orang-orang yang mentauhidkan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 10/200)

Al-Maraghi berkata: Gunalah pendekatan yang terbaik dalam dakwah dan berdebat, iaitu berdakwah dengan cara yang terbaik. Itulah kewajipanmu manakala pemberian petunjuk dan penyesatan serta pembalasan terhadap kedua-duanya diserahkan kepada Allah SWT semata-mata. Dia lebih mengetahui keadaan orang yang tidak mahu meninggalkan kesesatan kerana ikhtiarnya yang buruk dan keadaan orang yang mengikut petunjuk kerana dia mempunyai persiapan yang baik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3868)

Saya berdoa kepada Allah, semoga negara kita subur dalam majlis pengajaran agama dan pada saat yang sama, kerjasama yang erat dan adanya persefahaman dari semua pihak terutamanya pihak penganjur dan Pihak Berkuasa Agama Negeri agar perjalanan majlis bukan lagi menjadi fitnah, tetapi membawa kebaikan kepada semua pihak. Amin.

2 thoughts on “#19 Al-Mawaqif: Polemik Tauliah Mengajar

  1. Rozita Abdul Rahman says:

    Cadangan pentauliahan yang dibuat oleh sesebuah negeri perlu jugak diaudit/disemak oleh pihak luaran agar tidak bias dan tidak menjurus ke favouritsm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *