Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah tahi cicak itu najis? Kalau ia adalah najis, dalam kategori mana, sederhana atau dimaafkan? Sebabnya, kadang-kadang sampai terpijak tahi cicak kerana sukar untuk dielakkan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.[1]

Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas.[2] Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor.[3]

Begitu juga Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabii manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabii ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan. Nabi SAW pernah bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya:Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”[4]

Definisi Cicak

Cicak ialah reptilia yang rapat kaitannya dengan ular. Seperti ular, sesetengah cicak tidak mempunyai kaki. Sesetengahnya menyerupai ular, tetapi mempunyai kaki. Banyak cicak besar kelihatan seperti buaya. Cicak berbeza-beza dari segi saiz, bentuk dan warnanya. Ahli sains telah mengenal pasti lebih daripada 3750 spesies cicak. Australia mempunyai lebih daripada 500 spesies.[5] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, cicak ialah sejenis reptilia kecil, badan dan ekornya panjang serta memiliki empat kaki.[6] Takrifan yang diberikan oleh Kamus Dewan ini lebih dekat dengan cicak sebagaimana yang dikenali oleh kita semua di Malaysia.

Dalam bahasa Arab cicak disebut sebagai “الوزغة” dan dikenali sebagai haiwan yang melata. Badannya berbintik-bintik seperti penyakit kusta dan merupakan haiwan perosak.[7] Selain itu, cicak juga merupakan haiwan yang boleh dibunuh kerana termasuk di dalam binatang fawasiq (perosak). Di antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Syarik R.Anha:

‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَقَالَ كَانَ يَنْفُخُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم‏‏‏

Maksudnya:Rasulullah SAW memerintahkan untuk membunuh cicak dan bersabda: ‘Dahulunya cicak meniup api (untuk membakar) Nabi Ibrahim A.S.’[8]

Pembahagian najis

Terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat).

  • Najis Mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
  • Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
  • Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. Najis Mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah.[9]

Hukum tahi cicak

Berdasarkan kepada pembahagian di atas, tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah. Hal ini kerana menurut mazhab al-Syafi‘i tahi, najis dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Ibn Mas‘ud R.A, beliau berkata:

فأتيتُه بحجرَيْن وروْثةٍ فأخذ الحَجرَيْن وألقى الرَّوْثةَ وقال: إنَّها رِكسٌ

Maksudnya:Aku telah membawa dua biji batu kepada Nabi SAW dan satu kotoran (tahi binatang yang kering). Baginda mengambil dua biji batu dan membuang kotoran tersebut, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya ia ialah kotoran haiwan.’[10]

Sekalipun pada asalnya, mazhab Syafi‘i berpendapat tinja, bahan buangan dan kencing itu adalah najis, sama ada daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang dimakan dan tidak dimakan. Namun ada beberapa keadaan, yakni berlakunya Umm al-Balwa iaitu keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di dalam masjid, tinja ikan di dalam air dan tinja belalang, dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama, maka ia dianggap najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan.[11]

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tahi cicak itu pada asalnya termasuk dalam kategori najis mutawassitah yang mana cara membersihkannya adalah dengan menghilangkan ainnya terlebih dahulu, kemudian mencucinya dengan air sehingga hilang bau, warna dan rasa.

Sekiranya tahi cicak itu boleh untuk dielakkan, maka jika terpijak, hendaklah segera dibuang kerana dikhuatiri ia boleh merosakkan solat. Namun, sekiranya tahi cicak itu sukar untuk dielak, ia tidaklah merosakkan solat kerana najis itu dimaafkan dan termasuk dalam umm al-Balwa.

Kami mengambil kesempatan di sini untuk menyeru pihak pentadbir masjid untuk membersihkan masjid supaya masjid bersih daripada najis-najis kecil seperti tahi cicak dalam memelihara kesucian masjid dan meninggikan syiarnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 222

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44.

[3] Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35

[4] Riwayat Muslim (223)

[5] Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 5/273.

[6] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=cicak. Diakses pada 30 Disember 2021.

[7] Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/544.

[8] Sahih al-Bukhari (3359)

[9] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41.

[10] Riwayat al-Tirmizi (17); Ibn Majah (314); Ahmad (3685)

[11] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/550; Nihayah al-Muhtaj, 1/80.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *