Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum mengambil pil pencegah haid bagi jemaah haji wanita semasa musim haji? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.[1]

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia.[2]

Pada asasnya, perempuan haid dibolehkan untuk melaksanakan perbuatan-perbuatan haji selain daripada melakukan tawaf di Baitullah. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat al-Qasim bin Muhammad yang mengatakan bahawa beliau mendengar Aisyah R.Anha berkata:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: «مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Sarif, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: “Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?” Aku menjawab: “Ya.” Nabi SAW bersabda: “Ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah.”[3]

Dalam riwayat lain, Nabi Muhammad SAW bersabda kepada Ummul Mukminin Aisyah R.Anha:

افْعَلِي كَمَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي

Maksudnya:Kamu lakukanlah sebagaimana yang dilaksanakan oleh orang-orang yang mengerjakan haji kecuali janganlah kamu bertawaf di Baitullah sehinggalah kamu suci.[4]

Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, hadith di atas menunjukkan larangan perempuan haid melakukan tawaf sehingga darahnya terhenti dan melakukan mandi wajib. Hal ini kerana suatu larangan dalam melakukan perkara ibadat menunjukkan rosaknya ibadat yang dilakukan itu. Dalam erti kata lain, tawaf dilakukan oleh perempuan haid terbatal.[5]

Ibn Rajab al-Hanbali pula menyatakan bahawa haid itu tidak menghalang sedikit pun manasik (perbuatan-perbuatan) haji melainkan tawaf di Baitullah dan solat selepasnya. Adapun selain daripada itu seperti zikir dan berdoa, maka perempuan yang dalam keadaan haid tidak dihalang daripada melakukannya. Termasuklah juga dalam perkara tersebut, berwukuf di ‘Arafah dan Muzdalifah, melontar jamrah, dan berdoa kepada-Nya di tempat-tempat ini. Bahkan semua perkara ini, disepakati akan keharusan mengerjakannya.[6]

Hukum Pengambilan Pil Pencegah Haid

Kami lampirkan terlebih dahulu pendapat para fuqaha berkenaan isu ini:

Al-Bahuti berpendapat bahawa seorang perempuan boleh mengambil ubat-ubatan yang harus hukumnya bagi menghentikan haid selama mana ia selamat daripada sebarang kemudaratan.[7]

Di samping itu, Ibn Hajar al-Haitami juga seolah-oleh memberi isyarat akan keharusan penggunaan ubat bagi perempuan untuk menahan haidnya, supaya dia dapat menyempurnakan ibadah hajinya dengan pergi melakukan tawaf ifadhah sekalipun darah haidnya kembali semula selepas musafir.[8]

Begitu juga dalam kalangan ulama kontemporari, Bekas Mufti Besar Arab Saudi ‘Abd al-‘Aziz bin Baz pernah ditanya mengenai penggunaan pil-pil pencegah haid bagi jemaah wanita semasa musim haji. Beliau menjawab bahawa tidak ada masalah dalam perkara tersebut kerana padanya terdapat faedah dan maslahah bagi membolehkannya melakukan tawaf bersama orang ramai (jemaah-jemaah lain) dan tidak menyebabkan penemannya atau rombongannya tertinggal.[9]

Malah Da’irah al-Ifta’ al-Am al-Urduniyyah juga ada mengeluarkan pendapat bahawa dibolehkan untuk seorang wanita itu meminum ubat-ubatan yang dapat melewatkan kitaran haidnya. Khususnya apabila terdapat keperluan dari sudut syarak untuk mengambilnya seperti takut penemannya semasa proses haji dan umrah tidak dapat menunggu dirinya apabila dia terlewat disebabkan kedatangan haid.[10]

Penggunaan pil pencegah haid bagi jemaah yang mengerjakan haji adalah termasuk di dalam perkara-perkara keduniaan. Bahkan perkara tersebut membantu dan memudahkan lagi mereka dalam menyempurnaan ibadah haji berkenaan. Dalam aspek hal-hal keduniaan, prinsip asasnya ialah hukum asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).[11]

Selain itu, penggunaan pil itu juga dilihat bertepatan dengan seruan agama yang menginginkan kemudahan kepada penganut-penganutnya, di mana ia memberikan kemudahan kepada jemaah-jemaah haji wanita dalam menyempurnakan manasik mereka. Allah SWT berfirman:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”[12]

Walau bagaimanapun, sekiranya terbukti dari sudut perubatan bahawa penggunaan pil-pil seumpama ini akan memudaratkan penggunanya baik dari sudut jangka masa pendek atau panjang, maka hukumnya berubah daripada harus kepada haram. Hal ini adalah berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya:Tidak ada mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”[13]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa penggunaan pil pencegah haid bagi jemaah haji wanita adalah diharuskan, selagi mana ia tidak membawa kepada kemudaratan kepada penggunanya. Lebih-lebih lagi, penggunaannya itu membantu dan memberikan kemudahan kepada jemaah-jemaah haji wanita dalam menyempurnakan manasik mereka. Meskipun begitu, jemaah tersebut hendaklah mendapatkan nasihat pakar perubatan terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah Ali ‘Imran: 96

[2] Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, 213-214.

[3] Riwayat al-Bukhari (294)

[4] Riwayat al-Bukhari (1650)

[5] Lihat Fath al-Bari, 3/505.

[6] Lihat Fath al-Bari, 2/42.

[7] Lihat Kassyaf al-Qina‘, 1/218.

[8] Lihat Hasyiah Ibn Hajar al-Haitami ‘ala Syarh al-Idhah fi Manasik al-Haj, hlm. 387-388.

[9] Lihat Fatawa Islamiyyah, 2/185.

[10] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=863#.YcsxGGhBy3C.

[11] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60.

[12] Surah al-Baqarah: 185.

[13] Riwayat Ibn Majah (2341)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *