#3 Ke Arah Pelaksanaan Diyat dalam Sistem Perundangan Malaysia

Pengenalan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Baru-baru ini, kerajaan dilaporkan telah bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, dengan hukuman gantian yang tertakluk kepada budi bicara mahkamah. Keputusan tersebut dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada Mesyuarat Jemaah Menteri. Secara jelasnya, Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), serta 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.[1]

Selain itu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kerajaan mungkin bakal memperkenalkan konsep diyat yang merupakan antara idea yang diterima jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.[2]

Pada bulan ini sahaja, kita dikejutkan dengan kes kemalangan maut menyayat hati yang melibatkan sepasang suami isteri yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) apabila motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki disyaki bawah pengaruh alkohol di Jalan Serkam Pantai, Melaka. Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah dalam kemalangan tersebut yang membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi itu.

Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku apabila pemandu Perodua Myvi yang disyaki memandu bawah pengaruh alkohol, dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan. Akibatnya, kedua-dua motosikal yang datang dari arah hadapan tidak sempat mengelak lalu bertembung kereta berkenaan. Kemalangan tersebut menyebabkan pasangan suami isteri terbabit parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi.[3]

Membaca laporan-laporan akhbar, kita dapati bahawa telah banyak berlaku kes-kes kemalangan yang melibatkan kematian manusia tanpa ahli waris mereka mendapat pembelaan dan pampasan akibat kematian tersebut akibat kecuaian daripada orang lain sehingga ia menjadi suatu kezaliman kepada ahli keluarga yang terlibat. Justeru, pada siri kali ini, saya ingin mengupas dengan lebih teliti berkenaan isu ini, supaya isu diyat boleh diusulkan untuk dilaksanakan di dalam perundangan Malaysia, sekaligus ia dapat memberikan pembelaan kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan kemalangan maut atau seumpamanya akibat kecuaian orang lain, serta memberi keadilan terhadap semua pihak.

Nilai Nyawa dalam Islam

Nyawa manusia adalah perkara paling bernilai untuk dijaga dalam Syariat Islam. Secara perbandingan, nyawa hidupan lain adalah lebih rendah. Apabila berlaku konflik, nyawa manusia perlu diselamatkan dahulu sebelum nyawa-nyawa lain. Allah SWT menyebut hakikat ini di dalam al-Quran:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

   (Surah al-Isra’: 70)

Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah Taala memuliakan Bani Adam dengan memberikan kekuasan kepada mereka ke atas benda-benda selain mereka daripada jenis makhluk. Allah juga memberikan manusia kemampuan untuk menggunakan sekalian makhluk lain untuk manfaat manusia. Allah juga menjadikan makhluk di darat dan air sebagai alat pengangkutan dan tunggangan. Demikian juga makhluk di falak langit sebagai panduan bagi manusia dalam pelayaran dan permusafiran.

Allah memberikan rezeki kepada manusia daripada bahan yang baik sebagai makanan dan minuman yang halal lagi lazat. Allah juga memberikan kelebihan kepada manusia untuk bertukang dan melakukan suatu pekerjaan dengan tangan mereka sendiri, seperti mengambil makanan, minuman dan menyuap ke mulut sendiri. Suatu yang tidak diberikan kepada makhluk-makhluk selain manusia. (Lihat Tafsir al-Tabari, 17/501)

Pada ayat di atas, Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya mengulas mengenai karamah insaniyyah yang dikurniakan oleh Allah SWT, bahawa manusia diberi nikmat yang pelbagai. Antara nikmat tertinggi yang Allah SWT kurniakan ialah kemuliaan dan kehormatan diri, di mana dua nikmat ini tidak ada pada mahkluk yang lain. Selain itu, manusia juga diberikan akal dan kelebihan bertutur yang sempurna, bagi membezakan perkara baik dan buruk serta mengucapkan kata-kata yang baik. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/190)

Para ulama’ Islam yang mengkaji nilai-nilai universal di sebalik Syariat Islam telah menyimpulkan bahawa status nyawa manusia adalah suci dan sangat penting untuk dijaga. Imam al-Syatibi menyebutkan dalam kitabnya berkenaan hubungkait penjagaan nyawa dengan lima keperluan fundamental (daruriyyat al-khams) dengan kata beliau:

“Adapun dharuriyyah, maksudnya ialah sesuatu yang mesti ada dalam membina maslahat agama dan dunia. Tanpa kewujudan kepentingan-kepentingan asas ini, maka urusan kehidupan dunia tidak akan berjalan dengan betul. Tetapi ia akan rosak, kacau bilau serta kehidupan akan musnah. Manakala pada kehidupan akhirat, hilangnya kesejahteraan dan kenikmatan dan kembali dengan kerugian yang nyata.” (Lihat al-Muwafaqat, 2/17)

Kita fahami daripada kenyataan ini, yang pertama, bahawa apabila suatu masyarakat itu gagal menjamin keselamatan nyawa individu-individu yang berada dalam komuniti tersebut, maka masyarakat itu telah gagal dalam merealisasikan tujuan Syarak. Pemeliharaan ini perlu bergerak daripada dua sudut; al-ḥifẓ min jānib al-wujūd (penjagaan daripada aspek mewujudkan suatu keperluan) dan al-ḥifẓ min jānib al-ʿadam (penjagaan daripada aspek mengelakkan suatu keperluan daripada hilang).

Menurut Imam al-Syatibi, pensyariatan berkenaan perkara-perkara adat bertujuan untuk menjaga nyawa dan aqal daripada sudut mewujudkannya, seperti pensyariatan makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.  Ini dapat dilihat dalam hukum nafkah apabila menjadi kewajipan suami untuk menanggung dirinya, isteri, anak-anak, dan orang tuanya. Juga kepada hamba dan haiwan yang berada di bawah jagaannya.

Asas bagi perkara ini terdapat dalam al-Quran, dan dalam kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Ini bagi menunjukkan kelestarian mesej Syariat Islam itu sendiri. Allah SWT berfirman:

مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا  وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُون

Maksudnya: Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.

(Surah al-Ma`idah: 32)

Ayat-ayat sebelum ayat di atas menceritakan tentang kisah masyhur Habil dan Qabil, anak-anak Nabi Adam Alaihissalām, di mana Qabil membunuh Habil akibat dengki korban saudaranya itu diterima oleh Allah.

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebutkan: “مِنْ أَجْلِ bermaksud pembunuhan anak Adam akan saudaranya secara zalim dan penuh permusuhan.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/92)

Manakala, pensyariatan hukum hakam jenayah dan konsep amr maʿruf nahy munkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) adalah bertujuan untuk menjaga semua keperluan darurat itu daripada hilang.  Maka di sini kita fahami bahawa mewujudkan institusi mahkamah, dan institusi penguatkuasaan seperti Polis di-Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM),  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Jabatan Agama Islam Negeri adalah relevan bagi merealisasikan keperluan-keperluan tersebut.

Daripada itu juga, yakni yang kedua, kita fahami bahawa terdapat balasan di Hari Akhirat terhadap orang yang tidak menjaga keperluan-keperluan asas yang lima itu. Dalam konteks nyawa, firman Allah Taala:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّـهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

Maksudnya:Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

(Surah al-Nisa’ : 93)

Nilai ini tidak hanya menggambarkan balasan akhirat kepada orang yang membunuh orang Islam tetapi juga jika mangsa adalah orang bukan Islam. Di sana terdapat beberapa hadis yang mengecam perkara ini. Antaranya, daripada ‘Abdullah bin ‘Amr R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَتَلَ نَفْسًا مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Maksudnya: Siapa yang membunuh orang mu`ahid (orang bukan Islam yang telah mengikat perjanjian keamanan dengan orang Islam), ia tidak dapat mencium bau harum syurga, padahal bau harum syurga itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun.

Riwayat al-Bukhari (6914)

Terdapat banyak dalil dan hujah yang boleh dibawa untuk membuktikan bahawa syariat Islam amat mementingkan penjagaan nyawa dan larangan keras kepada mereka yang tidak menjaga nyawa manusia, apatahlagi cuba untuk mengambilnya tanpa cara yang benar. Ini adalah nilai kulliyyah (universal) yang dibawa oleh Islam, manakala hukum hakam yang membenarkan nyawa dikorbankan perlulah dibaca secara harmoni dengan nilai ini, difahami sebagai kaedah pengecualian daripada kaedah umum, dan perlu melalui prosedur yang ketat dan berhati-hati. InsyaAllah perkara ini akan disentuh dalam subtopik yang seterusnya.

Diyat Sebagai Ganti Qisas

Hukuman mati jelas dinyatakan di dalam al-Quran bagi kesalahan membunuh. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ  ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿١٧٨﴾ وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 178-179)

Imam al-Baiḍawi berkata tentang tafsir ayat ke-179 tersebut: “Kalimah al-qisas ditaʿrifkan dan ḥayah dinakirahkan, untuk merujuk kepada hukum yang menjamin suatu bentuk kehidupan yang lebih signifikan. Itu kerana seseorang yang ingin membunuh akan mencegah dirinya daripada membunuh apabila mengetahui hukum tersebut lalu menjadi sebab terjaminnya dua nyawa di situ (mangsa dan pembunuh). Ini juga kerana (pada zaman Jahiliyyah) mereka akan membunuh semua orang (yakni kabilah si pembunuh itu). Dibunuh satu kumpulan atas kesalahan seorang sahaja. Maka ini akan mendatangkan fitnah kekacauan antara pihak-pihak yang terlibat. Justeru, apabila qisas hanya berlaku kepada pembunuh sahaja, maka selamatnya orang lain dan inilah sebab bagi keselamatan nyawa mereka.” (Lihat Anwar al-Tanzal wa Asrar al-Ta’wil, 1/122)

Firman Allah SWT lagi:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).”

   (Surah al-Isra’: 33)

Berkata Syeikh Muhammad Tahir Ibn Asyur Raḥimahullāh (w.1393H): “Al-Haqq itu bermakna keadilan, atau istihqaq (tuntutan haq), yakni hak untuk bunuh (balas)” Ini selari dengan hadis Rasulullah SAW:

إِذَا قَالُوهَا (أَيْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ) عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا

Maksudnya: “Jika mereka berkata Lailahaillallah maka darah dan harta mereka terperlihara dariku, melainkan orang yang berhak ke atasnya.”

      Riwayat Muslim (21)

Menurut beliau apabila apabila ayat ini diturunkan sebelum Hijrah, maka penentuan haq itu telah berlaku dalam bentuk yang diterima dalam kalangan masyarakat berkabilah ketika itu, dan itulah yang disebut oleh Allah Taala selepas ayat: “dan barangsiapa yang dibunuh secara zalim..sehingga akhir ayat.” Orang Islam pada waktu turun ayat ini hidup bercampur dengan orang Musyrikin di Makkah dan orang Musyrikin itu bukannya mereka yang thiqah (terpercaya) pada melakukan ketaatan dan melaksanakan undang-undang yang adil. Kadang-kadang berlaku penindasan oleh seorang Musyrik ke atas seorang orang Islam dengan suatu pembunuhan yang zalim.

Lalu Allah memerintahkan kaum Muslimin bahawa orang yang dizalimi tidak boleh melakukan kezaliman balas dan Allah berfirman bahawa barangsiapa yang dibunuh secara zalim maka ke atas walinya sultan (kuasa), yakni hak tasarruf (menguruskan atau menentukan hukuman) ke atas pembunuh dengan balas bunuh atau diyat (pampasan). (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 15/92-93).

Pengertian Diyat

Diyat dari segi bahasa berasal daripada kalimah ودى – يدي yang bermaksud hak pihak yang terbunuh. Penggunaan perkataan diyat itu sendiri pada asalnya datang dari perkataan wadyun ودي. Huruf و di hadapan perkataan tersebut ditukarkan kepada ه sebelum dipindahkan ke belakang, maka jadilah diyat (دية).

Diyat (الدِّيَاتُ) dari segi istilah dalam kalangan ulama’ Syafi’iyyah adalah: “Harta yang wajib disebabkan perlakuan jenayah  terhadap orang yang merdeka baik dalam soal kehilangan nyawa ataupun yang lebih rendah daripadanya.” (Lihat I’anat al-Talibin, 4/138).

Diyat bermaksud sejumlah harta yang diwajibkan dengan perlakuan jenayah terhadap nyawa atau sesuatu yang setaraf dengannya. Al-Arsh pula ialah sejumlah harta yang diwajibkan kadarnya menurut syara’ dengan perlakuan jenayah terhadap apa-apa yang tidak membabitkan nyawa iaitu tidak melibatkan diyat sempurna terhadap mana-mana anggota. Berdasarkan penjelasan ini, diyat diertikan sebagai tebusan nyawa atau sesuatu yang setaraf dengannya sedangkan arsh pula adalah diyat anggota.

Diyat juga dapat difahami sebagai hukuman penggantian yang utama bagi hukuman qisas jika gugur hukuman qisas dengan sebab-sebab yang menggugurkannya ataupun jika pesalah dimaafkan oleh mangsa atau waris . Menurut Ahmad Fathi Bahansi, mentakrifkan diyat dari segi syarac ialah nama bagi harta yang digantikan dengan jiwa atau cedera. Menurut Mahmood Ahmad Rasyid, mengatakan bahawa diyat ialah harta yang wajib disebabkan jenayah dan dilaksanakan oleh penjenayah.

Terdapat pelbagai definisi yang diberikan terhadap hukuman yang bersifat bayaran ini. Ada yang mengatakan ianya suatu ganti rugi. Bagi sesetengah para fuqahalain pula ia bukan ganti rugi tetapi bayaran yang dikenakankerana melakukan jenayah membunuh atau mencederakan.

Ini bermaksud, para fuqaha berbeza pendapat, sekurang-kurangnya dalam menggunakan istilah, sama ada diyat merupakan ganti rugi atau hukuman. Berasaskan kepada perbezaan para fuqaha dalam menggunakan istilah ini, kita dapati para fuqaha semasa juga berbeza pendapat mengenainya. Para fuqaha mengklasifikasikan diyat kepada dua kategori. Pertama, diyat berat (diyat mughallazah) dan kedua pula diyat ringan (diyat mukhaffafah). Kategori pertama dikenakan dalam kes-kes kematian atau kecederaan yang dilakukan secara niat (al-‘amd/shibh al-‘amd), sementara kategori kedua pula dikenakan dalam kes-kes kematian atau kecederaan yang dilakukan secara tanpa niat (al-khata’/shibh al-khata’)

Meskipun terdapat pelbagai pengertian diyat, namun pada asasnya kesemua pengertian tersebut mempunyai maksud yang hampir sama iaitu, sejumlah harta yang wajib dibayar oleh pelaku penjenayah dan diberikan kepada mangsa jenayah atau walinya sebagai hukuman dan pampasan akibat daripada sesuatu perbuatan jenayah seperti kesalahan jenayah membunuh atau mencederakan anggota badan seseorang dengan cara tidak sengaja.

Jenis Jenayah yang Dikenakan Diyat

Dari segi jenayah yang dilakukan, diyat terbahagi kepada dua jenis iaitu:

  • Diyat nyawa iaitu diyat dibayar sebagai pampasan kepada nyawa yang dibunuh.
  • Diyat anggota badan iaitu diyat dibayar sebagai pampasan kepada anggota badan yang dipotong.

Dari segi ukuran niat, diyat terbahagi kepada dua iaitu:

  • Diyat mughallazah (berat) iaitu diyat bagi pembunuhan dengan niat dan separuh sengaja.
  • Diyat mukhaffafah (ringan) iaitu diyat bagi pembunuhan tanpa niat.

 Kadar Bayaran Diyat

Terdapat tiga kategori pembunuhan yang melibatkan diyat, iaitu:

  • Pembunuhan dengan niat.
  • Pembunuhan separuh sengaja.
  • Pembunuhan tanpa niat.

Diyat bagi kesemua jenayah ini ialah 100 ekor unta. Perbezaan yang wujud hanya dari segi cara pembayaran bukan jumlah.  Mengikut majoriti para fuqaha, termasuk para fuqaha mazhab Shafii, ia mesti dalam bentuk unta. Pandangan ini berdasarkan kepada hadis-hadis Rasulullah SAW yang menyebut tentang hukuman berkenaan secara jelas dan terperinci. para fuqaha berkenaan berpendapat ia boleh digantikan dengan harganya. Nilai diyat bagi kesalahan membunuh secara umumnya ialah 100 ekor unta. Memandangkan sesetengah negara mengalami kesukaran untuk mendapatkan unta, maka perkiraan diyat boleh juga disandarkan kepada matawang mengikut kadar nilaian 100 ekor unta pada zaman Rasulullah SAW atau zaman khulafa’ al-Rasyidin iaitu sekitar 1000 dirham. Nilai 1000 dirham dalam ringgit Malaysia adalah sekitar RM600,000 hingga 700,000 ribu ringgit bergantung kepada harga semasa emas.

Kaedah pembayaran adalah seperti berikut:

A. Diyat Bunuh dengan Niat

Pada dasarnya, hukuman bagi kesalahan membunuh dengan niat ialah qisas. Oleh kerana qisas adalah hak keluarga mangsa, mereka berhak mengubah hukuman qisas kepada hukuman diyat. Sekiranya hukuman ini diubah kepada diyat, ia perlu dibayar dengan tiga jenis unta iaitu 30 ekor hiqqah iaitu berumur genap tiga tahun, 30 ekor jaza’ah iaitu berumur empat tahun dan 40 ekor unta khalifah iaitu yang bunting.

Sekiranya unta tidak diperolehi, pesalah wajib membayar nilai yang sama. Pembayaran ini mestilah menggunakan harta pesalah sendiri dan dibayar serta-merta tanpa ditangguh.

B. Diyat Bunuh Separuh Sengaja

Diyat bagi kesalahan ini berjumlah 100 ekor unta daripada tiga jenis unta iaitu 30 ekor hiqqah, 30 ekor jaza’ah dan 40 ekor khalifah. Perbezaan antara diyat bunuh dengan niat dan bunuh separuh sengaja ialah:

Bunuh dengan niat, pembayaran menggunakan harta pesalah. Bunuh separuh sengaja,  pembayaran menggunakan harta keluarga pesalah lelaki (aqilah).

Pembayaran ini dibuat dalam tempoh tiga tahun, setiap tahun satu pertiga diyat. Apa yang dimaksudkan dengan keluarga pesalah lelaki ialah ‘asobah pesalah selain daripada zuriat dan keturunannya.

C. Diyat Bunuh Tanpa Niat

Diyat bagi jenayah membunuh tanpa niat juga berjumlah 100 ekor unta tetapi dibahagikan kepada 5 jenis iaitu 20 ekor anak betina makhadh iaitu unta betina berumur genap satu tahun, 20 ekor anak betina labun iaitu unta betina berumur genap dua tahun, 20 ekor anak jantan labun, 20 ekor hiqqah dan 20 ekor jaza’ah. Pembayaran juga dilakukan oleh keluarga pesalah lelaki dan dibayar dalam tempoh tiga tahun.

Pengampunan daripada Diyat

Keluarga mangsa pihak lelaki berhak menggugurkan kesemua atau sebahagian diyat. Ini kerana Allah SWT meletakkan hak ini sebagai hak manusia. Hak diberikan bertujuan memulihkan hubungan manusia supaya tidak diancam angkara dendam dan dengki. Sekiranya pihak yang berhak, menggugurkan haknya, ia suatu perbuatan yang mulia dan terpuji. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِصَاصُ فِى ٱلْقَتْلَى ۖ ٱلْحُرُّ بِٱلْحُرِّ وَٱلْعَبْدُ بِٱلْعَبْدِ وَٱلْأُنثَىٰ بِٱلْأُنثَىٰ ۚ فَمَنْ عُفِىَ لَهُۥ مِنْ أَخِيهِ شَىْءٌ فَٱتِّبَاعٌۢ بِٱلْمَعْرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَـٰنٍ ۗ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ ۗ فَمَنِ ٱعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِيمٌ (١٧٨) وَلَكُمْ  وَلَكُمْ فِى ٱلْقِصَاصِ حَيَوٰةٌ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: Orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

(Surah al-Baqarah: 178-179)

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

وَأَن تَعْفُوٓا۟ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۚ وَلَا تَنسَوُا۟ ٱلْفَضْلَ بَيْنَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.

(Surah al-Baqarah: 237)

Diyat Anggota Badan

Diyat anggota badan bergantung kepada kepentingan anggota badan yang terbabit. Dengan ini, diyat tersebut mungkin bersifat penuh atau hanya sebahagian. Diyat penuh akan dikenakan pada jenayah yang menyebabkan kedua-dua tangan terputus daripada pergelangannya, kedua-dua kaki, semua hidung iaitu bahagian hidung yang lembut terdiri daripada kedua-dua lubang dan pemisahnya, kedua-dua buah zakar, kedua-dua mata, empat kelopak mata, lidah dan kedua-dua bibir.

Diriwayatkan daripada Abu Bakar bin Muhammad bin Amru bin Hizam daripada bapanya daripada datuknya bahawa Nabi SAW pernah menulis surat kepada penduduk Yaman, antara kandungannya:

أَنَّ مَنِ اعْتَبَطَ مُؤْمِنًا قَتْلًا عَنْ بَيِّنَةٍ، فَإِنَّهُ قَوَدٌ، إلَّا أَنْ يَرْضَى أَوْلِيَاءُ المَقْتُولِ، وَإِنَّ فِي النَّفْسِ الدِّيَةَ مِائَةً مِنَ الإِبِلِ، وَفِي الأَنْفِ إذَا أُوعِبَ جَدْعُهُ الدِّيَةُ، وَفِي العَيْنَيْنِ الدِّيَةُ، وَفِي اللِّسَانِ الدِّيَةُ، وَفِي الشَّفَتَيْنِ الدِّيَةُ، وَفِي الذَّكَرِ الدِّيَةُ، وَفِي البَيْضَتَيْنِ الدِّيَةُ، وَفِي الصُّلْبِ الدِّيَةُ، وَفِي الرِّجْلِ الوَاحِدَةِ نِصْفُ الدِّيَةِ، وَفِي المَأْمُومَةِ ثُلُثُ الدِّيَةِ، وَفِي الجَائِفَةِ ثُلُثُ الدِّيَةِ، وَفِي المُنَقِّلَةِ خَمْسَ عَشْرَةَ مِنَ الإِبِلِ، وَفِي كُلِّ أُصْبُعٍ مِنْ أَصَابِعِ اليَدِ وَالرِّجْلِ عَشْرٌ مِنَ الإِبِلِ، وَفِي السِّنِّ خَمْسٌ مِنَ الإِبِلِ، وَفِي المُوضِحَةِ خَمْسٌ مِنَ الإِبِلِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ يُقْتَلُ بِالمَرْأَةِ، وَعَلَى أَهْلِ الذَّهَبِ الفُ دِينَارٍ

Maksudnya:Sesiapa yang terbukti bersalah membunuh orang yang beriman tanpa sebarang alasan yang munasabah, dia akan dihukum bunuh melainkan sekiranya kaum lelaki keluarga mangsa redha. Diyat bagi satu nyawa ialah 100 ekor unta. Hidung yang dipotong sepenuhnya dikenakan diyat, bagi lidah dikenakan diyat, bagi dua bibir dikenakan diyat, bagi zakar dikenakan diyat, bagi dua buah zakar dikenakan diyat, bagi sulbi dikenakan diyat, bagi dua mata dikenakan diyat, bagi sebelah kaki dikenakan separuh diyat, bagi ma’mumah (iaitu luka di kepala yang sampai ke membran otak) dikenakan satu pertiga diyat, bagi jaifah (tikaman yang sampai ke rongga kepala atau rongga perut) dikenakan satu pertiga diyat, bagi munaqqilah (iaitu pukulan yang menyebabkan tulang beralih) dikenakan 15 ekor unta, bagi setiap satu jari tangan atau kaki dikenakan 10 ekor unta, bagi satu batang gigi dikenakan 5 ekor unta, bagi al-Muadhdhihah (iaitu kecederaan yang menampakkan tulang) dikenakan 5 ekor unta, lelaki yang membunuh seorang perempuan akan dihukum bunuh dan orang yang mempunyai emas dikenakan bayaran 1000 dinar. [Riwayat al-Nasaie (4853), Ahmad (2/217), Ibn Hibban (6559) , al-Darimi (1621) dan al-Hakim (1/552)]

Mengenai kesalahan yang dikenakan membayar sebahagian diyat, sebahagiannya oleh hadis di atas seperti sebelah tangan, sebelah kaki, sebelah mata, sebelah telinga dan dua kelopak mata. Setiap satu anggota ini dikenakan separuh diyat iaitu 50 ekor unta, bagi setiap jari tangan dan kaki dikenakan 10 ekor unta. Bagi setiap kelopak mata suku diyat iaitu 25 ekor unta.

Bagi kecederaan al-Muadhdhihah dikenakan 5 ekor unta. Bagi setiap gigi normal yang dicabut, dikenakan 5 ekor unta. Diyat bagi kecederaan atau sebagainya yang tidak dapat dinilai dengan tepat seperti memotong anggota yang tidak berguna, contohnya tangan yang lebih daripada dua, semua kecederaan ini dikenakan hukumah.

Hikmah Pensyariatan Diyat

Diyat bukanlah hukuman asal. Diyat hanya akan berlaku jika hukuman qisas digugurkan. Oleh itu, diyat ini adalah sebagai pengganti kepada hukuman qisas. Oleh itu, pesalah yang digugurkan daripada hukuman qisas oleh sebab tidak cukup syarat atau bukti tidak akan terlepas begitu sahaja tanpa membayar ganti rugi kepada mangsa.

Diyat sebagai alat menjamin kelangsungan hidup. Apabila seseorang mati, maka waris si mati seperti isteri dan anak-anak akan kehilangan punca nafkah. Oleh itu, diyat yang dibayar oleh pembunuh itu dapat menggantikan nafkah yang terhenti disebabkan kematian mangsa. Oleh itu, waris yang tinggal tidak akan hidup melarat dan serba kekurangan.

Mengurangkan penderitaan yang ditanggung oleh mangsa oleh kerana kehilangan atau cacat anggota badan disebabkan oleh kecuaian atau kesalahan orang lain. Diyat yang dibayar itu juga dapat meneruskan hidup mangsa yang cacat, lebih-lebih lagi apabila kecacatan itu membantutkan mangsa untuk mencari nafkah.

Diyat sebagai balasan dan pengajaran kepada pelaku jenayah supaya tidak melakukan jenayah tersebut lagi. Selain itu, ia juga member peringatan dan didikan kepada masyarakat supaya berjaga-jaga dan tidak melakukan jenayah diyat ini.

Nas daripada al-Quran juga jelas menerangkan bahawa hukuman mati bagi kes bunuh itu bukanlah bersifat mandatori seperti yang diamalkan hari ini, tetapi bersifat budi bicara pihak waris si mati. Dalam erti kata lain, meletakkan hukuman mati secara mandatori terhadap kesalahan membunuh dengan niat adalah bertentangan dengan prinsip keadilan Syariah yang menjamin hak waris mangsa bunuh selaku pihak yang paling terkesan dengan pembunuhan yang berlaku.

Menurut mazhab Syafie dan mazhab Hanbali, sekiranya seorang Muslim dibunuh maka menjadi hak warisnya untuk menuntut bunuh balas atau dibayar diyat. Adapun di sisi mazhab Hanafi, jika orang bukan Islam yang tidak memerangi Islam dibunuh orang Islam, maka ke atas waris mereka hak qisas dan diyat juga berdasarkan keumuman ayat di atas. (Lihat al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/136 & 21/61).

Fakta ini menunjukkan bahawa pelaksanaan diyat atau pampasan kepada keluarga mangsa bagi kes bunuh, atau kes-kes lain melibatkan kecedaraan, memiliki peluang untuk dijalankan secara unilateral, atau menyeluruh terhadap semua warganegara tanpa mengambilkira perbezaan agama atau bangsa

Aplikasi Konsep Diyat dalam Perundangan Sedia Ada

Semangat daripada konsep diyat ini sering dikatakan telah wujud dalam Akta Undang-undang Sivil 1956 (Akta 67) (AUS 1956). Hal ini kerana, dalam sistem perundangan hari ini, mangsa atau ahli keluarga mangsa selalunya akan menuntut pampasan melalui tuntutan sivil di Mahkamah Sivil.

Berdasarkan kepada AUS 1956 ini, mangsa atau ahli keluarga mangsa boleh menuntut dua jenis ganti rugi iaitu ganti rugi khas dan am. Ganti rugi khas adalah bayaran yang boleh dituntut atas kerugian yang bersifat kewangan seperti kos rawatan dan kerosakan pada harta. Manakala, ganti rugi am pula lebih menjurus kepada kerugian yang bersifat jangkaan dan abstrak seperti kesakitan dan penderitaan, kehilangan upaya, pengurangan jangka hayat hidup dan lain-lain.

Walaupun akta ini membuka ruang bagi bayaran pampasan dibuat di Mahkamah Sivil, ia dilihat masih menyulitkan mangsa. Kadangkala, mangsa perlu menunggu kes jenayah yang melibatkan tertuduh selesai terlebih dahulu, sebelum mangsa memulakan tuntutan kemalangan sivil untuk menuntut ganti rugi atau pampasan.

Hal ini kerana, mangsa hanya boleh dipanggil sebagai saksi, tetapi tidak boleh memohon pampasan secara terus dalam mahkamah jenayah.  Justeru, tempoh masa akan menjadi lebih lama sebelum mangsa memperoleh pampasan yang sepatutnya. Selain itu, ia juga turut melibatkan kos sekitar 20 peratus sehingga 30 peratus daripada jumlah keseluruhan tuntutan yang diuruskan oleh pihak Peguamcara.

Dari satu sudut yang lain, tuntutan melalui Mahkamah Sivil biasanya dibuat terhadap kenderaan yang dilindungi oleh insurans. Bergantung kepada polisi insurans yang telah ditetapkan, sesetengah syarikat insurans tidak melindungi pemandu mabuk atau pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah. Hal ini bermaksud sekiranya mangsa atau ahli keluarga mangsa mahu membuat tuntutan sivil, pemandu mabuk tersebut perlu menanggung sendiri bayaran pampasan yang diperintahkan oleh mahkamah.

Realitinya, kebanyakan peguam tidak mahu mewakili mangsa atau ahli keluarga mangsa di mahkamah memandangkan keputusan mahkamah hanya akan menjadi penghakiman di atas kertas (paper judgment) dan tidak ada nilai. Apabila hal ini berlaku, dalam banyak situasi, tertuduh tidak mampu untuk membuat bayaran yang bernilai ratusan ribu Ringgit kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa.

Walaupun mangsa atau ahli keluarga mangsa mempunyai pilihan untuk mendapatkan bayaran melalui permohonan writ penyitaan dan penjualan atau melalui pengisytiharan kebankrapan, ia dilihat tidak praktikal kepada mangsa. Dalam kerangka undang-undang yang ada ini, hak mangsa masih belum benar-benar terbela.

Pada masa yang sama, asas, semangat serta kerangka model diyat juga telah wujud di bawah Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) (KTJ). Seksyen ini memperuntukkan bahawa, selain daripada hukuman denda atau penjara, mahkamah juga boleh memerintahkan tertuduh untuk membayar pampasan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa, sekiranya kes tersebut melibatkan apa-apa kecederaan, kerugian, kehilangan, mahupun kematian di pihak mangsa. Namun begitu, seksyen ini hanya boleh digunakan sekiranya permohonan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya dan masih kurang diaplikasikan secara menyeluruh dalam kes-kes jenayah.

Misalnya, perintah untuk pampasan diberikan kepada ahli keluarga mangsa kemalangan pernah dibuat oleh Mahkamah Majistret Tawau terhadap tertuduh yang disabitkan di bawah Seksyen 41 APJ 1987. Dalam kes ini, mahkamah telah memerintahkan tertuduh untuk membayar pampasan kepada dua orang waris mangsa sebanyak RM4,000.00 setiap orang.

Sebenarnya, konsep pembayaran pampasan kepada mangsa ini sudah ada asasnya di dalam undang-undang jenayah di negara kita, di bawah Seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang memperuntukkan kuasa kepada pihak mahkamah, atas permohonan Pendakwa Raya, untuk mengarahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa akibat jenayah yang berlaku pada diri mangsa, harta atau pendapatannya. Dalam kes Pendakwa Raya lwn. Low Lu Keng, Mahkamah Tinggi telah mengarahkan pesalah yang telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh tanpa niat, untuk membayar RM10,000.00 kepada balu mangsa bunuh, dengan merujuk kepada peruntukan dalam Seksyen 426 Akta 593.

Menariknya dalam kes ini, hakim, pesalah dan mangsa yang terlibat semuanya ialah individu-individu bukan beragama Islam. Ini menunjukkan konsep diyat, wang darah atau pampasan kepada mangsa ini adalah sistem yang bersifat manusiawi yang universal serta sesuai dipraktiskan kerana mudah difahami rasional daripada sudut keadilan, serta hikmah dan manfaat daripada sudut Syarak. (Lihat al-Diyah as Compensation for Homicide & Wounding in Malaysia, hlm. 102)

Peruntukan-peruntukan ini menunjukkan konsep dan semangat diyat sebenarnya telah pun wujud dalam pemakaian Undang-undang Sivil sedia ada mengikut kerangka undang-undang di Malaysia. Bezanya, diyat dalam Islam bersumberkan wahyu. Oleh kerana itu, ia mempunyai kadar pampasan yang jelas dan dalam beberapa keadaan, nilainya tidak bergantung kepada penilaian dan ketetapan mahkamah.

Namun, diyat juga bukanlah suatu konsep yang begitu asing sehingga kerajaan perlu menggubal undang-undang khusus bagi melaksanakannya. Justeru, pemakaian kaedah diyat mengikut prinsip Perundangan Islam boleh diusahakan sedikit demi sedikit dengan memperkemas konsep pampasan yang sedia ada dalam undang-undang jenayah di Malaysia agar penggunaannya lebih menyeluruh dan menepati hikmah dan tujuan pensyariatannya.

Cadangan Pemerkasaan Konsep Diyat dalam Undang-Undang yang Melibatkan Mangsa Kemalangan

Jelaslah di sini bahawa undang-undang sedia ada sebenarnya telah menyediakan ruang yang cukup bagi pelaksanaan konsep diyat. Pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan wujud kelemahan dalam peruntukan sedia ada hingga menyebabkan aplikasi konsep diyat tidak dapat diguna pakai secara optimum untuk melindungi mangsa atau ahli keluarga mangsa. Bagi mengatasi hal ini, beberapa pindaan perlu dilakukan bagi tujuan memperkasa konsep diyat dalam undang-undang sedia ada agar pelaksanaannya boleh berjalan dengan lancar.

(1) Memberi kuasa kepada mahkamah untuk memberikan pampasan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa tanpa perlunya kepada permohonan daripada pihak pendakwaraya terlebih dahulu.

Seksyen 426 KTJ membenarkan mahkamah memberi pampasan sekiranya terdapat permohonan daripada Timbalan Pendakwaraya. Maka, adalah lebih baik dan sewajarnya, bagi setiap kes kemalangan yang melibatkan pertuduhan sebagai kes jenayah di mahkamah, keperluan untuk memberi pampasan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa melalui Seksyen 426 ini dilakukan oleh pihak mahkamah secara wajib, tanpa perlu menunggu permohonan oleh pihak pendakwaraya.

Dengan cara ini, proses pemberian pampasan akan menjadi lebih mudah mengikut keperluan kes. Hal ini kerana, mengikut peruntukan sedia ada, mahkamah tidak mempunyai kuasa sekiranya pemberian pampasan tidak dimohon oleh pihak pendakwaraya, walaupun pada pertimbangan mahkamah, mangsa berhak diberikan pampasan sewajarnya. Perkara ini adalah lebih baik kepada mangsa berbanding hukuman denda yang akan dibayar sepenuhnya kepada kerajaan dan mangsa tidak akan mendapat apa-apa daripada tertuduh.

Pindaan ini juga dapat memberikan perlindungan kepada mangsa kemalangan yang melibatkan kenderaan yang tidak memiliki perlindungan insurans. Walaupun terdapat Motor Insurers’ Bureau (MIB) yang menyediakan dana khas untuk melindungi pengguna jalan raya yang dilanggar kenderaan yang tiada perlindungan insurans, namun, jumlah dana dan kadar tuntutan yang diberikan secara relatifnya adalah kecil dan tidak mampu memberi satu bentuk kadar perlindungan yang baik kepada pemohon.

Justeru, melalui pindaan terhadap Seksyen 426 KTJ ini, mangsa yang terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan yang tidak dilindungi insurans juga berhak mendapat pampasan yang munasabah dan sewajarnya daripada tertuduh.

(2) Ahli keluarga mangsa wajib dipanggil ke mahkamah untuk memberi kesan pernyataan mangsa (victim impact statement) terutamanya dalam kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk.

Selain itu, merit pemberian pampasan dapat diadili sewajarnya melalui penyataan mangsa sebagai saksi. Kesan pernyataan mangsa membolehkan pihak mahkamah menilai sendiri kesan kejadian kemalangan tersebut kepada diri mangsa atau ahli keluarga mangsa. Dengan cara ini juga, ia membolehkan keadilan dapat diberikan secara sewajarnya kepada pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa.

Dalam hal ini, peruntukan di bawah Seksyen 183A KTJ menyatakan bahawa mangsa atau wakil keluarga mangsa boleh hadir sendiri ke mahkamah untuk memberi kesan pernyataan mangsa.  Namun begitu, pada waktu ini, seksyen ini memerlukan kepada permohonan daripada keluarga mangsa.

Seringkali berlaku keadaan mangsa atau ahli keluarga mangsa tidak tahu akan hak mereka untuk berbuat demikian hingga menyebabkan keterangan mereka tidak dikemukakan di hadapan mahkamah, walaupun hakikatnya faktor ini merupakan faktor mitigasi pemberat atau peringanan hukuman yang akan diberikan oleh mahkamah.

Justeru, adalah dicadangkan bahawa pindaan terhadap Seksyen 183A ini perlu dilakukan agar pihak mahkamah boleh memanggil mangsa atau wakil keluarga mangsa untuk hadir sendiri ke mahkamah bagi memberi kesan pernyataan mangsa secara wajib, tanpa perlu menunggu permohonan oleh pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa.

(3) Mewujudkan mekanisma yang dapat meringankan hukuman tertuduh setelah pampasan diberikan dalam kes kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian yang tidak disengajakan.

Seterusnya, konsep diyat dalam Islam juga turut menganjurkan pemberian kemaafan daripada mangsa. Dalam jenayah qisas contohnya, diyat boleh menggantikan hukuman yang berat sekiranya kerugian atau kecederaan yang dialami boleh dimaafkan oleh mangsa.

Di Malaysia, bagi kes-kes seperti di bawah Seksyen 41 APJ 1987 (iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan), rekod menunjukkan walaupun wujud kemaafan di pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa, pihak pendakwaan tetap mengenakan pertuduhan yang berat kepada tertuduh.

Walhal, satu bentuk pertuduhan pilihan yang memberikan alternatif hukuman yang lebih ringan kepada tertuduh seperti hukuman denda tanpa penjara sepatutnya boleh sahaja ditawarkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa faktor kemaafan di pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa terhadap kesalahan tertuduh tidak mempunyai apa-apa merit di sisi undang-undang.

Sedangkan, umum mengetahui bahawa proses pendakwaan tehadap tertuduh bagi kes kemalangan (terutamanya dalam kes kemalangan maut) adalah bertujuan untuk memastikan kepentingan awam khususnya kepentingan pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa terpelihara. Hal ini bagi memastikan pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa tidak diabaikan dan mendapat pembelaan sewajarnya. Namun, sekiranya telah wujud kemaafan di pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa, maka tiada keperluan mendesak untuk tertuduh dikenakan hukuman yang berat seperti penjara mandatori.

Kedudukan undang-undang yang ada seperti hari ini dilihat sulit, mendukacitakan pihak-pihak yang terlibat, serta dikhuatiri tidak memberi keadilan kepada tertuduh atas beberapa sebab. Pertama, walaupun dalam kes kemalangan maut, pesalah tidak perlu sehingga masuk ke dalam penjara bagi kesalahan yang bukanlah diakibatkan secara mutlak oleh gaya pemanduan tertuduh yang cuai, melulu atau merbahaya, terutamanya dalam situasi di mana wujud faktor sumbang cuai luaran seperti keadaan jalan, faktor cuaca, faktor kerosakan mekanikal dan lain-lain faktor.

Sewajarnya, bagi kes-kes yang melibatkan kecuaian yang tidak disengajakan, hukuman penjara perlu dielakkan. Hal ini amat penting memandangkan hukuman penjara bukan hanya ditanggung oleh tertuduh semata-mata, tetapi akan turut menjejaskan ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya. Keringanan daripada hukuman penjara setelah wujud kemaafan juga dapat membantu dalam mengurangkan masalah kesesakan dalam penjara dan turut memberi keadilan kepada pihak tertuduh.

Kedua, seringkali juga berlaku keadaan di mana tertuduh terus mengaku salah, terutamanya apabila tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguambela. Situasi ini terjadi apabila tertuduh tidak mampu melantik peguambela kerana proses perbicaraan dalam kes-kes seumpama ini memerlukan kos guaman yang tinggi. Hal ini sekali gus akan turut memberi gambaran bahawa, keadilan itu mungkin tidak dapat dilaksanakan sekiranya seseorang tertuduh ini tidak mempunyai sumber kewangan yang baik bagi melantik peguambela untuk mewakilinya di mahkamah.

Oleh itu, di dalam kes-kes jenayah melibatkan kemalangan yang membawa kepada hukuman penjara, sekiranya di pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa telah memberi kemaafan (iaitu yang membawa maksud bersetuju atau tiada bantahan untuk tertuduh menerima hukuman atau pertuduhan yang lebih ringan), maka perlu diwujudkan saluran atau mekanisma untuk perkara ini dilaksanakan.

Dengan ini, pindaan perlu dilakukan dengan memasukkan satu peruntukan baru ke dalam KTJ. Peruntukan ini akan memperincikan mekanisma yang akan meringankan pertuduhan atau hukuman terhadap tertuduh, sekiranya mangsa atau ahli keluarga mangsa diberikan pampasan di bawah Seksyen 426 KTJ dan Seksyen 183A KTJ sepertimana dinyatakan sebelum ini. Peruntukan ini juga akan memastikan bahawa walaupun kemaafan telah diberikan, pihak mangsa atau ahli keluarga mangsa tetap berhak kepada pampasan yang sewajarnya.

(4) Menjadikan pampasan sebagai salah satu bentuk hukuman dalam APJ 1987.

Akhir sekali, bagi memenuhi hak dan keadilan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa terutamanya dalam kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk, pampasan perlu dimasukkan ke dalam pindaan secara jelas, sebagai salah satu bentuk cabang hukuman, selain daripada hukuman penjara dan denda yang telah ditingkatkan.

Pindaan tersebut boleh menjadikan Seksyen 426 KTJ sebagai rujukan, di mana peruntukan berkaitan kewajipan pampasan diletakkan secara umum, bergantung kepada budi bicara mahkamah, yang akan membuat pertimbangan berdasarkan kepada merit kes.

Konsep diyat ini mungkin kedengaran asing bagi sesetengah pihak, namun ia sebenarnya telah pun berfungsi dalam Undang-undang Sivil dan juga undang-undang jenayah di Malaysia. Walaupun wujud beberapa perbezaan di antara konsep Islam dan peruntukan undang-undang yang ada, ia tidak menghalang proses harmonisasi dilakukan di antara kedua-duanya.

Hakikatnya, aplikasi konsep diyat berasaskan prinsip Islam dalam sistem keadilan akan menguntungkan semua rakyat, baik yang beragama Islam atau yang bukan beragama Islam. Pengiraan diyat mengikut kaedah Islam dalam Undang-undang Sivil akan menjadikan nilai pampasan jauh lebih tinggi daripada pengiraan yang dibuat oleh pihak insurans pada hari ini.

Dalam undang-undang jenayah pula, penggunaan konsep diyat mengikut tatacara Islam akan menjadikan kebajikan mangsa sebagai keutamaan berbanding tumpuan hukuman kepada pesalah. Hal ini dibuktikan oleh model diyat dalam kesalahan qisas, di mana ia memberikan hak kepada ahli keluarga mangsa untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan atau meringankan hukuman.

Oleh yang demikian, asas Undang-undang Diyat yang ada untuk mangsa kemalangan dalam KTJ, APJ 1987 dan AUS 1956 perlu diperkasakan sedikit demi sedikit mengikut prinsip dan kaedah Islam agar ia dapat berkembang selaras dengan nilai dan keperluan masyarakat hari ini.

Pada masa yang sama, usaha perlu dilakukan bagi memastikan konsep diyat ini boleh diluaskan kepada mangsa jenayah yang lain agar kematian, kecederaan atau kehilangan anggota dapat diberi pampasan seadilnya mengikut kadar syarak selaras dengan titah KYDM kepada Jemaah Pengampunan Pahang sebelum ini.

Falsafah perundangan Islam itu terbina di atas lima keperluan asas yang universal untuk menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta bagi manusia. Umat Islam percaya kelima-lima hak ini jika dipelihara dan dijamin dengan baik akan mewujudkan kehidupan yang baik sama ada di dunia dan di akhirat. Saya percaya bahawa hukuman mati mandatori bagi kesalahan bunuh perlu dikaji semula dengan mengambilkira maslahat keluarga si mati dan peluang kedua bagi pihak pembunuh.

Oleh yang demikian, saya menerima baik kenyataan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang bertitah bahawa Majlis Jemaah Pengampunan Negeri akan mengambil kira kaedah diyat dalam pelaksanaan sistem pengampunan dengan merujuk kepada keluarga mangsa sebagai alternatif kepada banduan membuat rayuan untuk mendapat pelepasan daripada hukuman mati, contohnya. Titah baginda lagi pelaksanaan kaedah itu mestilah tidak hanya tertakluk kepada masyarakat Islam tetapi membabitkan semua kaum di negeri ini. Ini merupakan suatu langkah yang sangat penting untuk diwacanakan pada peringkat nasional.

Manakala, bagi kesalahan-kesalahan lain yang diperuntukkan hukuman mandatori oleh undang-undang sivil tetapi tidak di dalam Syariah Islam, saya juga menyokong agar perbincangan semula tentang hukuman berkenaan sebagai wajar jika kedapatan data kajian yang dibuat oleh badan-badan yang berautoriti menunjukkan tahap keberkesanan yang lemah dalam pelaksanaan.”

Sehubungan itu, pihak saya pada 20 Jun 2019 telah merafak sembah di hadapan Tuanku Yang di-Pertuan Agong membentangkan kertas kerja berhubung pelaksanaan diyat dalam program Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri di bawah naungan Seri Paduka Baginda di Istana Negara bersama 27 peserta menghadiri majlis itu termasuk semua Pengerusi dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri, Mufti-mufti negeri, Ketua- Ketua Hakim Syarie dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri di bawah naungan baginda.

Saya juga bersetuju bahawa kuasa keluarga juga dalam menentukan hukuman juga mestilah dihadkan bagi mengelakkan salah guna kuasa. Kita tidak mahu ia digunakan untuk memaafkan pembunuh yang diupah oleh keluarga seperti dalam kes honour killing (pembunuhan kerana maruah) yang berlaku di Pakistan. Hakim juga boleh menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah dengan kadar yang munasabah sekalipun pesalah telah dimaafkan oleh waris-waris mangsa. Kriteria atau merit pengampunan bagi banduan-banduan yang layak itu boleh ditentukan oleh Majlis Jemaah Pengampunan Negeri-Negeri berdasarkan rekod berkelakuan baik sebagai contoh.

Berkenaan dengan kadar diyat yang sesuai di Malaysia, saya mencadangkan nilai RM250,000.00 bagi kesalahan membunuh tanpa niat, RM500,000.00 bagi kesalahan membunuh separuh sengaja dan RM1,000,000.00 bagi kesalahan membunuh dengan niat. Hal ini dengan berdasarkan kiraan secara taqribi (anggaran) iaitu bersandarkan kepada nilai terhampir harga unta semasa. Ini juga diambil berdasarkan kadar pampasan akibat kematian yang ditetapkan dalam amalan takaful oleh beberapa syarikat pengendali. Jumlah ini, seperti yang dimaklumkan di atas, adalah tertakluk kepada pindaan daripada masa ke semasa, dan berkemungkinan meningkat jika digabungkan dengan kos-kos ganti rugi yang dapat dibuktikan di mahkamah.

Walaupun perjalanan untuk mengharmonisasikan undang-undang jenayah Islam dan sivil secara menyeluruh dan sempurna akan mengambil masa yang lama, usaha tetap perlu diteruskan sebagaimana pesan Allahyarham Tan Sri Prof Dr Ahmad Ibrahim, “Oleh kerana undang-undang jenayah Islam dicipta oleh Allah, Allah juga akan menolong kita di dalam pelaksanaannya”

Penutup

Sebagai penutup, saya rumuskan pandangan, syor dan cadangan saya seperti berikut:

Biasanya, apabila berlaku sesuatu kemalangan seperti ini (akibat perbuatan cuai pihak lain), pihak mangsa akan menanggung kesan kemalangan tersebut tanpa pembelaan yang sewajarnya. Lazimnya pihak mangsa akan menanggung seluruh bebanan tersebut. Fenomena ini sebenarnya membebankan mangsa. İa bukan sekadar terpaksa mengalami kesakitan atau kematian bahkan mengalami kerugian wang ringgit untuk kos perubatan dan sebagainya. Dalam konteks ini kedudukan mangsa seolah-olah teraniaya oleh keadaan. İa seolah-olah ibarat pepatah Melayu, “Sudah jatuh ditimpa tangga.” Namun ini akan berbeza sekiranya konsep diyat diamalkan, kedudukan mangsa akan terbela melalui wang pampasan yang diwajibkan ke ataş pihak pesalah. Sekali gus ia dapat mengelakkan daripada berlakunya kejadian mengemis dan merempat serta menagih simpati orang ramai.

Dalam kes pembunuhan, hak diyat sepatutnya diberikan selepas mahkamah mendapati tertuduh itu bersalah. Maksudnya, mahkamah perlu memberikan hak kepada keluarga mangsa untuk membuat pilihan sama ada meneruskan hukuman mati (qisas) atau memilih hukuman diyat atau memaafkan pesalah tanpa sebarang hukuman.

Namun, dalam undang-undang jenayah yang digunapakai hari ini, iaitu berasaskan Kanun Kesiksaan, peruntukan berkaitan diyat dan kemaafan tidak dimasukkan. Mahkamah hanya boleh menjatuhkan hukuman yang diperuntukkan seperti hukuman gantung sampai mati, penjara atau sebat. Jika hukuman berbentuk diyat dan kemaafan hendak dikuatkuasakan, maka Parlimen sewajarnya meminda undang-undang berkaitan bagi membolehkan hakim menyerahkan pilihan kepada keluarga mangsa. Inilah langkah yang patut diambil oleh pemimpin kerajaan Persekutuan jika ingin memartabatkan hukuman diyat.

Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, isu yang timbul adalah kemampuan pesalah untuk membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa. Bagi mereka yang tidak berkemampuan, saya mencadangkan agar beberapa badan berautoriti turut dilibatkan seperti Takaful yang difikirkan bersesuaian, Baitul Mal kerana mereka ini termasuk dalam asnaf al-Gharimin dan juga keluarga dan kaum kerabat sebagaimana dibincangkan oleh fuqaha’ di dalam bab a’qilah.

Justeru, kesemua pindaan ini adalah sangat wajar sebagai satu bentuk pencegahan (deterrence) kepada orang ramai. Namun begitu, pindaan-pindaan yang dibawa ini dilihat lebih menumpukan kepada pemandu mabuk atau pelaku kesalahan yang mencederakan mangsa. Sedangkan, mangsa dan ahli keluarga mangsa juga memerlukan perhatian dan pembelaan sewajarnya. Dalam hal ini, undang-undang sedia ada juga perlu dipinda bagi memberi perlindungan kepada mangsa atau ahli keluarga mangsa.

Tidak dapat dinafikan, mekanisme perlindungan dalam bentuk pampasan atau diyat sebenarnya telah pun wujud dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia. Namun begitu, penambahbaikan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada sangat diperlukan bagi memastikan ia dapat membela kepentingan mangsa atau ahli keluarga mangsa sebaik mungkin.

Oleh yang demikian, wujud keperluan bagi pemerkasaan undang-undang diyat bagi mangsa kemalangan dilakukan melalui pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan, termasuklah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) (KTJ) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (APJ 1987).

Akhir kalam, saya tegaskan sekali lagi bahawa saya menyokong penuh usaha kerajaan kerana ia dilihat lebih dekat penyelesaiannya mengikut neraca Syariah dan memberi keadilan terhadap semua pihak.

Saya menutup perbincangan ini dengan firman Allah:

وَأَن تَعْفُوا أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa.”

(Surah al-Baqarah:237)

Semoga ianya membuka jalan dalam penyelesaian isu kematian disebabkan pembunuhan dengan memihak kepada kedua-dua pihak dimana keluarga mangsa mendapat pembelaan sewajarnya dalam bentuk pampasan, di samping itu juga pelaku jenayah mendapat kemaafan dan jangka hayat hidup dalam membina kehidupan baru dalam keadaan sentiasa bertaubat kepadaNya. Wallahu A’lam.

Nota Hujung:

[1] https://www.astroawani.com/berita-malaysia/keputusan-kerajaan-hanya-libatkan-pemansuhan-hukuman-mati-mandatori-sahaja-wan-junaidi-366024

[2] https://www.kosmo.com.my/2022/06/13/konsep-diyat-ganti-hukuman-mati-sedia-ada-2/; https://www.utusan.com.my/berita/2022/06/konsep-diyat-sebagai-ganti-banduan-hukuman-mati-sedia-ada/

[3] https://www.bharian.com.my/berita/kes/2022/06/963082/suami-isteri-oku-maut-dirempuh-pemandu-disyaki-mabuk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *