Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah berdosa menipu sijil vaksin Covid-19? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).[1]

Al-Maraghi menjelaskan bahawa larangan mengkhianati amanah Allah iaitu dengan mengabaikan perintah Allah, melanggar larangan-Nya serta melampaui batasan agama. Begitu juga larangan mengkhianati Rasulullah SAW dengan cara tidak mengikuti penjelasan yang diberikan oleh Baginda tetapi mengambil atau berpegang dengan penjelasan hawa nafsunya, pendapat gurunya, bapanya atau perintah pemerintahnya. Bukan itu sahaja, pengkhianatan kepada Rasulullah SAW juga adalah dalam bentuk tidak mengikuti sunnah Baginda, sebaliknya mengikuti sunnah bapanya atau pemimpinnya yang mendakwa mereka lebih mengetahui apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya.

Kemudian, dijelaskan juga akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT.[2]

Menipu sijil vaksin

Dalam kehidupan norma baharu ini, kita tidak dapat menafikan kepentingan untuk mengambil vaksin. Hal ini kerana perkara yang paling utama adalah untuk melindungi diri, terutama bagi golongan berisiko tinggi. Atas dasar ini jugalah, kerajaan telah mewajibkan kepada rakyat untuk mengambil vaksin bagi memberi perlindungan tambahan dan mengurangkan risiko daripada jangkitan Covid-19 yang teruk.

Secara umumnya, perbuatan menipu termasuk dalam perbuatan yang diharamkan serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW melalui tempat timbunan makanan (yang dijual). Lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam timbunan tersebut. Tiba-tiba di dalamnya basah — yakni rosak.  Maka Baginda bertanya: “Apa ini wahai tuan makanan?” Dia menjawab: “Ia terkena hujan, Wahai Rasulullah.” Baginda bersabda:

أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya:Kenapa kamu tidak meletakkannya di atas supaya orang ramai boleh melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”[3]

Dalam riwayat Muslim yang lain datang dengan lafaz:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”[4]

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:

فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya:Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).[5]

Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati.[6]

Maka, jelaslah kepada kita bahawa perbuatan menipu itu bukan daripada ajaran Islam. Seseorang boleh mendakwa dan menganggap bahawa penipuan sijil vaksin itu hanyalah perkara kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Hakikatnya, perbuatan menipu itulah antara punca utama yang menyebabkan timbulnya pelbagai masalah dan barah dalam masyarakat seperti budaya rasuah yang berleluasa, budaya tipu-menipu dan seumpamanya.

Bukan itu sahaja, bahkan perbuatan menipu sijil vaksin ini sebenarnya termasuk dalam perbuatan mendedahkan diri kepada bahaya kerana dengan tidak mengambil vaksin, risikonya untuk dijangkiti dan menjangkiti orang lain adalah lebih tinggi. Hal ini adalah bertepatan dengan larangan yang disebutkan oleh al-Quran menerusi firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”[7]

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan.[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan penghujahan di atas, kami menyimpulkan bahawa perbuatan menipu sijil vaksin termasuk dalam perbuatan yang dilarang dalam agama dan pelakunya dianggap berdosa. Apatah lagi, perbuatan menipu sijil ini juga boleh mendedahkan diri dan orang lain kepada bahaya, di samping memberikan kesan buruk masyarakat dan negara. Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, kita sepatutnya menyahut seruan kerajaan untuk mengambil vaksin sebagai salah satu bentuk ikhtiyar bagi melindungi diri dan masyarakat daripada Covid-19.

Pada kesempatan ini, kami juga ingin menasihati buat mereka yang sudah terlanjur melakukannya untuk sama-sama menginsafi apa yang telah berlaku dan bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat, di samping memperbanyakkan zikir serta beristighfar kepada-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 17 Januari 2022 bersamaan 14 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Anfal: 27

[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/191-194.

[3] Riwayat Muslim (102); Riwayat Ibn Hibban (4905) dan Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih mengikut syarat Muslim.

[4] Riwayat Muslim (101)

[5] Surah Ibrahim: 36

[6] Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231;

[7] Surah al-Baqarah: 195

[8] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *