Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Keadilan merupakan asas yang tidak dapat dipisahkan daripada ajaran Islam. Ia bukan sahaja menjadi tonggak kepada pentadbiran dan kehakiman, malah turut menjadi landasan dalam hubungan antara individu, masyarakat serta agama-agama yang pelbagai. Dalam konteks negara yang berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, keadilan perlu ditafsir dan dilaksanakan dengan hati terbuka, berdasarkan neraca wahyu, tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan, hak asasi serta sensitiviti agama masing-masing.

Hal ini sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu jadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, juga hendaklah kamu menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorongmu untuk bersikap tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

(Surah al-Ma’idah: 8)

Termasuk dalam perjanjian yang diperintahkan Allah SWT kepada umat Islam untuk dipatuhi adalah bersifat konsisten dalam menegakkan keadilan terhadap manusia. Kemuncak kepada penegasan ini, Allah SWT menyatakan bahawa ia perlu ditegakkan dan dipatuhi walaupun terhadap orang yang mereka benci dan tidak menjadikan kebencian mereka kepada sesuatu pihak itu menghalang mereka untuk berlaku adil. Allah SWT menyatakan bahawa perbuatan menegakkan keadilan adalah lebih dekat kepada takwa. Islam tidak mengajar diskriminasi, sebaliknya menuntut supaya nilai keadilan menjadi prinsip teras dalam semua lapangan kehidupan, termasuk dalam isu-isu yang bersangkutan dengan rumah ibadat bukan Islam, tanah wakaf, dan kepentingan perpaduan nasional yang kian dibangkitkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin pertama negara Islam, telah menunjukkan teladan yang agung kepada kita ketika mana Baginda mewartakan Piagam Madinah yang berfungsi untuk memelihara masyarakat Madinah yang berbilang penganut agamanya. Dalam sejarah manusia, perlembagaan sosial pertama telah ditulis dalam melindungi hak penganut agama lain selagi mereka tidak memerangi umat Islam atau mencetuskan kekacauan. Sabda Baginda SAW:

وَإِنَّ يَهُودَ بَنِي عَوْفٍ أُمَّةٌ مَعَ الْمُؤْمِنِينَ، لِلْيَهُودِ دِينُهُمْ، وَلِلْمُسْلِمَيْنِ دِينُهُمْ، مَوَالِيهِمْ وَأَنْفُسُهُمْ، إلَّا مَنْ ظَلَمَ وَأَثِمَ، فَإِنَّهُ لَا يُوتِغُ إلَّا نَفْسَهُ، وَأَهْلَ بَيْتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Yahudi Bani ‘Auf adalah satu umat (masyarakat) bersama orang-orang beriman. Bagi Yahudi agama mereka, dan bagi orang-orang Islam agama mereka, begitu juga sekutu-sekutu mereka dan diri mereka sendiri, kecuali sesiapa yang melakukan zalim dan kesalahan, maka sesungguhnya dia hanya membinasakan dirinya sendiri dan ahli keluarganya.” (Lihat Sirah Ibn Hisyam, 1/503)

Klausa ini menetapkan hubungan antara orang-orang Yahudi dengan orang-orang Mukmin, dan menganggap mereka sebagai sebahagian daripada warganegara dalam sebuah negara Islam, serta menjamin kebebasan beragama bagi mereka selama mana mereka menunaikan segala kewajipan yang tertakluk ke atas mereka

Dalam pada itu, kebebasan beragama ini mempunyai batas yang mesti difahami oleh rakan-rakan yang bukan beragama Islam, agar tidak ada sebarang unsur yang menyentuh sensitiviti serta hukum-hakam agama Allah SWT, seperti isu tanah wakaf. Keadilan bukan bermakna semua pihak mendapat hak yang sama rata, tetapi setiap pihak mendapat hak yang setimpal dan selaras dengan undang-undang juga ketetapan syara‘. Tanah wakaf adalah harta yang diikrarkan kepada Allah SWT, dengan tujuan tertentu – lazimnya untuk manfaat umat Islam. Maka penggunaannya mestilah ditentukan berdasarkan hukum yang sah, tanpa menafikan nilai toleransi dan keterbukaan yang perlu dipupuk dalam sebuah masyarakat majmuk.

Sesungguhnya keadilan yang sebenar hanya dapat dicapai apabila manusia bersedia melihat perbezaan sebagai kekuatan, dan memahami peranan agama sebagai pemacu kepada keamanan dan kasih sayang, bukannya perpecahan. Maka, isu-isu rumah ibadat, tanah wakaf dan perpaduan ini hendaklah dihadapi dengan ilmu, hikmah dan takwa.

Jaminan Kebebasan Beragama pada Zaman Pemerintahan Islam

Islam telah memerintahkan agar ditunjukkan kebaikan, kasih sayang, dan keadilan dalam berinteraksi dengan golongan yang berbeza akidah kepercayaan. Firman Allah Ta‘ala:

لَّا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمْ يُقَـٰتِلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوٓا۟ إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah al-Mumtahanah: 8)

Berpandukan ayat ini, umat Islam sejak dahulu hingga kini – baik generasi salaf mahupun khalaf – telah mengamalkan akhlak mulia ini dalam lembaran sejarah mereka yang gemilang dengan budi pekerti yang luhur. Dengan akhlak inilah mereka berjaya menyentuh hati manusia sehingga akhirnya diberikan kepercayaan untuk memegang tampuk pemerintahan, bermula sejak zaman para Khulafa’ al-Rasyidin dan seterusnya.

Pada zaman Amir al-Mu’minin Saidina ‘Umar bin al-Khattab R.A, beliau telah menegaskan dalam perjanjiannya dengan penduduk al-Quds (Baitulmaqdis) tentang kebebasan beragama mereka. Beliau memberikan jaminan keamanan kepada diri mereka, keselamatan kepada gereja-gereja mereka, bahkan menulis satu dokumen untuk mereka yang menyebutkan:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Inilah jaminan yang diberikan oleh hamba Allah, ‘Umar – Amir al-Mu’minin, kepada penduduk Iliya’ (nama lama bagi Baitulmaqdis) – berupa jaminan keamanan kepada diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka, salib-salib mereka, yang sakit dan yang sihat dalam kalangan mereka, serta seluruh agama mereka. Gereja-gereja mereka tidak akan ditakluki, tidak akan dirobohkan, tidak akan dikurangkan apa-apa daripadanya mahupun dari kawasan sekitarnya, tidak juga dari salib-salib mereka atau dari apa jua milik mereka. Mereka tidak akan dipaksa meninggalkan agama mereka, dan tidak seorang pun daripada mereka akan disakiti. Perjanjian ini adalah berdasarkan janji Allah, jaminan Rasul-Nya SAW, jaminan para khalifah, dan jaminan orang-orang beriman – selama mereka menunaikan tanggungjawab membayar jizyah. Perjanjian ini disaksikan oleh: Khalid bin al-Walid, ‘Amr bin al-‘As, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, dan Mu‘awiyah bin Abi Sufyan. Ditulis dan disaksikan pada tahun ke-15 Hijrah.”

Begitu juga, beliau menulis satu perjanjian yang serupa kepada penduduk Ludd, yang turut meliputi semua penduduk Palestin yang bersama mereka. Dicatatkan dalam perjanjian tersebut:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Inilah jaminan yang diberikan oleh hamba Allah, ‘Umar, Amir al-Mu’minin, kepada penduduk Ludd dan semua yang bersama mereka dari kalangan penduduk Palestin keseluruhannya. Mereka diberi jaminan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka, salib-salib mereka, yang sakit dan yang sihat dalam kalangan mereka, serta seluruh agama mereka. Gereja-gereja mereka tidak akan ditakluki, tidak akan dirobohkan, tidak akan dikurangkan apa-apa daripadanya, kawasan sekitarnya, agama-agama mereka, salib-salib mereka, atau apa jua milik mereka. Mereka tidak akan dipaksa meninggalkan agama mereka, dan tidak seorang pun daripada mereka akan disakiti.” (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 3/609)

Sebuah peristiwa lain yang melibatkan Saidina ‘Umar R.A juga disebut oleh Ibn Khaldun dalam Tarikh Ibn Khaldun (2/225), melibatkan gereja secara khususnya. Apabila Saidina ‘Umar bin al-Khattab R.A memasuki Baitulmaqdis, beliau telah singgah di Gereja al-Qiyamah (Church of the Holy Sepulchre) dan duduk di ruang tengahnya. Apabila masuk waktu solat, beliau berkata kepada Patriark (ketua gereja): “Aku ingin bersolat.” Lalu Patriark menjawab: “Silakan solat di tempatmu.” Namun, Saidina ‘Umar enggan dan sebaliknya bersolat secara bersendirian di anak tangga di pintu gereja. Setelah selesai solat, beliau berkata kepada Patriark:

لَوْ صَلَّيْتُ دَاخِلَ الْكَنِيسَةِ، أَخَذَهَا الْمُسْلِمُونَ بَعْدِي، وَقَالُوا: هُنَا صَلَّى عَمَرُ

Maksudnya: “Sekiranya aku bersolat di dalam gereja ini, pasti umat Islam selepasku akan mengambilnya dan berkata: ‘Di sinilah ‘Umar pernah bersolat.’”

Kisah ini turut disebut dengan penuh kekaguman oleh para orientalis, antaranya Darmesteter dalam bukunya The Life of Mohamet. Beliau menyatakan: “Al-Quran dan Hadith penuh dengan arahan yang menyeru kepada toleransi. Para penakluk Muslim era awal telah melaksanakan arahan-arahan ini dengan cermat. Ketika ‘Umar R.A memasuki Baitulmaqdis, beliau telah mengarahkan umat Islam agar tidak menyusahkan orang-orang Kristian atau mengganggu gereja-gereja mereka. Dan apabila beliau dijemput oleh Patriark untuk bersolat di dalam Gereja al-Qiyamah, beliau menolak. Penolakan itu disebabkan kebimbangannya bahawa umat Islam kelak akan menjadikan solatnya di gereja sebagai alasan untuk menaklukinya.”

Perkara yang sama turut dicatatkan oleh B. Smith dalam bukunya Muhammad and Muhammadanism. (Lihat al-Tasamuh wa al-‘Udwaniyyah oleh Soleh al-Husain, hlm. 120–121).

Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-’Aziz juga sangat menekankan pelaksanaan janji-janji perlindungan yang diberikan kepada golongan bukan Islam. Beliau pernah menulis kepada gabenornya dengan perintah supaya tidak merobohkan gereja, rumah ibadah atau kuil api (tempat ibadah penganut Majusi) yang telah disepakati dalam perjanjian damai.

Diriwayatkan daripada Ubai bin Abdullah al-Nakha‘i, katanya: Telah sampai kepada kami surat daripada ‘Umar bin ‘Abd al-‘Azīz yang menyebut:

لَا تَهْدِمُوا بِيعَةً، وَلَا كَنِيسَةً، وَلَا بَيْتَ نَارٍ صُولِحُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Jangan kamu robohkan mana-mana bi‘ah (rumah ibadat Nasrani), gereja, atau rumah api (tempat ibadat Majusi) yang telah mereka peroleh melalui perjanjian damai.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah (32983)

Apabila berlaku sebarang pelanggaran terhadap perjanjian-perjanjian ini, para khalifah yang adil akan membetulkannya dan mengembalikan hak kepada pemilik asalnya. Sebagai contoh, Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Sallam meriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Hamlah, beliau berkata:

خَاصَمْنَا عَجَمَ أَهْلِ دِمَشْقَ إِلَى عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ فِي كَنِيسَةٍ، كَانَ فُلَانٌ قَطَعَهَا لِبَنِي نَصْرٍ بِدِمَشْقَ، فَأَخْرَجَنَا عُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ مِنْهَا وَرَدَّهَا إِلَى النَّصَارَى

Maksudnya: “Orang-orang ‘Ajam dari kalangan penduduk Damsyik telah membawa kes kepada ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz mengenai sebuah gereja yang telah dipotong (diambil) oleh seseorang lalu diberikan kepada Bani Nasr (kaum Muslimin) di Damsyik. Maka ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah mengeluarkan kami daripadanya dan mengembalikannya semula kepada orang-orang Nasrani.” (Lihat al-Amwal, hlm. 201)

Justeru, berdasarkan nas-nas ini, jelas membuktikan bahawa Islam bukan sahaja menganjurkan toleransi beragama, malah para pemimpin Islam seperti ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah menguatkuasakan keadilan terhadap bukan Islam dengan mengembalikan hak mereka walaupun melibatkan rumah ibadat. Ini mencerminkan keagungan prinsip keadilan dan amanah dalam pemerintahan Islam yang tulen, serta bagaimana hak-hak golongan minoriti dilindungi dengan penuh integriti dan hormat.

Kesemua contoh ini memperlihatkan satu prinsip agung dalam tamadun Islam sejak awal penyebarannya, iaitu penghormatan terhadap rumah-rumah ibadat agama lain, serta pengiktirafan terhadap hak-hak hidup dan ibadah mereka – selagi mana mereka hidup secara aman bersama umat Islam. Ini menunjukkan bahawa toleransi bukan sekadar ajaran teoritikal dalam Islam, malah ia diamalkan secara praktikal oleh para sahabat dan panglima Islam terdahulu.

Malaysia – Negara Berbilang Bangsa

Malaysia adalah tanah air yang kita cintai bersama. Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kita telah membuktikan bahawa keharmonian hanya dapat dicapai apabila kita berpegang kepada prinsip keadilan – meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Sejak mencapai kemerdekaan, kita telah membuktikan bahawa keharmonian masyarakat berbilang bangsa merupakan suatu realiti yang boleh dicapai, dengan syarat kita berpegang teguh kepada prinsip keadilan. Dalam Islam, keadilan didefinisikan sebagai “meletakkan sesuatu pada tempatnya,” bukan hanya dalam konteks undang-undang, tetapi dalam semua urusan kehidupan bermasyarakat. Malaysia menjadi contoh di seantero dunia berkenaan konsep ta‘ayush silmi (التَّعَايُشُ السِّلْمِي) atau hidup bersama secara damai, seperti yang dianjurkan oleh Islam. Oleh itu, kita dapati bahawa Islam telah mendahului segala bangsa dunia dan pertubuhan antarabangsa dalam mengisytiharkan seruan kepada keamanan sejagat yang menyeluruh, berdasarkan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسِّلْمِ كَآفَّةً

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu dalam agama Islam secara keseluruhan.”

(Surah al-Baqarah: 208)

Menurut para ilmuwan Tafsir, ayat ini bukan sahaja menyeru agar umat Islam mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh, tetapi turut difahami sebagai seruan kepada keamanan dalam segala aspek. Imam Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur berpendapat, al-silm (السِّلْمِ) di sini ialah kedamaian dan mengelakkan peperangan. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/277)

Namun begitu, keutuhan perpaduan ini hanya akan kekal apabila setiap pihak terus menghayati makna sebenar keadilan dan kehidupan bersama. Ia bukan sekadar bersabar terhadap perbezaan, tetapi menghormatinya dengan ikhlas, dan memastikan setiap bangsa dan agama mendapat hak mereka tanpa sebarang penindasan terhadap hak orang lain.

Islam sebagai Agama Rasmi

Dalam memahami konsep keadilan, kita tidak boleh mengabaikan asas utama negara ini, iaitu Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Meskipun begitu, prinsip asas keadilan dan toleransi tetap dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana dijelaskan dalam Perkara 3 (1):

“Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Ini bukan sekadar susunan kata dalam dokumen rasmi, tetapi satu realiti yang perlu dihayati oleh setiap warganegara Malaysia. Islam bukan sekadar satu agama peribadi umat Islam, tetapi mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara. Kebebasan beragama yang diberikan ini turut diikat dengan syarat-syarat lain agar tidak berlakunya penindasan yang dilihat cuba menggugat agama rasmi negara, seperti disebutkan dalam perlembagaan tersebut berkenaan kebebasan beragama, Perkara 11 (4) dan 11 (5):

“(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan manamana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.”

Malaysia tidak hanya mengiktiraf keistimewaan dan peranan agama Islam dalam sistem pemerintahan dan perundangan, tetapi juga memastikan keadilan dan kesejahteraan untuk semua rakyatnya, tanpa mengira latar belakang agama. Prinsip toleransi dan kerjasama antara agama adalah kunci kepada perpaduan yang harmoni dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Oleh itu, setiap warganegara, baik Muslim mahupun bukan Muslim, harus memainkan peranan dalam menjaga dan memperkukuh keharmonian ini, dengan berpegang teguh kepada prinsip keadilan, toleransi, dan saling menghormati antara satu sama lain.

Tanah Wakaf untuk Pembinaan Masjid

Susulan usul pembinaan Masjid Madani yang bakal direalisasikan oleh Kerajaan Malaysia di tanah wakaf milik JAKEL, isu pendudukan sebuah binaan di atas tanah wakaf tersebut dibangkitkan oleh masyarakat. Isu ini tidak timbul begitu sahaja tanpa latar belakang yang jelas, sebaliknya ia telah melalui proses yang panjang dan penuh perbincangan, yang melibatkan pelbagai pihak sejak lebih sepuluh tahun yang lalu. Saya yakin bahawa segala keputusan yang telah diambil oleh pihak berwajib, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kerajaan Persekutuan, bukanlah hasil daripada tekanan atau sentimen tertentu. Sebaliknya, ia adalah keputusan yang berasaskan pertimbangan yang teliti, mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat, demi memastikan kelangsungan keharmonian dalam masyarakat majmuk kita.

Saya kagum dengan pihak JAKEL yang telah menunjukkan sikap terbuka dan toleransi tinggi dalam hal ini, dengan terus memberi ruang untuk perbincangan dan rundingan demi rundingan. Ini jelas menunjukkan keikhlasan mereka dalam mencari jalan penyelesaian yang adil dan tidak mementingkan diri sendiri. Tolak ansur yang ditunjukkan oleh pihak JAKEL adalah sesuatu yang sangat dihargai, kerana mereka terus berusaha untuk meraikan hasrat semua pihak yang terlibat, termasuk umat Islam yang ingin mendirikan masjid dan juga pihak-pihak lain yang mungkin terkesan oleh pembangunan tersebut. Mereka memperlihatkan bahawa keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat kita adalah lebih penting daripada kepentingan individu atau kelompok tertentu. Ini adalah contoh yang baik, bagaimana dialog terbuka dan pertimbangan yang matang dapat membantu menyelesaikan isu yang sensitif tanpa menjejaskan hak dan kepentingan mana-mana pihak.

Namun begitu, pemilikan tanah tersebut telah jelas dibuktikan sebagai kawasan yang telah diwakafkan oleh pengasas JAKEL, iaitu Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad. Maka, secara serta merta tanah wakaf itu telah menjadi hak Allah SWT yang wajib ditunaikan, seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat Raudhah al-Talibin, 5/342)

Tanggungjawab menguruskan tanah wakaf di kawasan Wilayah Persekutuan pula dipikul oleh pihak berautoriti Islam, seperti yang telah ditetapkan dalam Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993, di bawah seksyen 61 yang memperuntukkan:

“Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan yang terkandung dalam mana-mana surat cara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal, atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah yang tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas, semua nazr ‘am, dan semua amanah daripada segala perihal yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang Islam mengikut Hukum Syarak, setakat mana-mana harta yang tersentuh olehnya dan terletak di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan dan, jika pemberi harta itu atau orang lain yang mewujudkan amanah, wakaf atau nazr ‘am itu telah berdomisil di Wilayah-Wilayah Persekutuan, setakat semua harta yang tersentuh olehnya di mana-mana jua harta itu terletak.”

Ini telah menjadikan segala bentuk harta wakaf sebagai hak eksklusif Islam yang mesti diutamakan, lebih-lebih lagi selaku agama rasmi negara ini. Maka segala bentuk penindasan terhadap hak ini secara langsung telah melanggar Perkara 11 seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, dan ia perlu diselesaikan mengikut undang-undang yang benar tanpa sebarang unsur menjaga kepentingan peribadi mana-mana pihak. Beginilah yang sepatutnya dilakukan, sejajar dengan perintah Allah SWT:

۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

(Surah al-Nisa’: 58)

Biarkanlah tanggungjawab dan amanah ini dipikul oleh pihak berautoriti sebagaimana yang telah ditetapkan dalam undang-undang Islam di Malaysia, agar keadilan terhadap agama Allah SWT benar-benar dapat ditegakkan dengan penuh keadilan.

Kenyataan, Syor dan Cadangan

Kami nyatakan pendirian kami berkenaan isu ini seperti berikut:

❶ Dalam soal keagamaan, kita ada badan rasmi yang bertanggungjawab. Umat Islam merujuk kepada JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam urusan masjid dan surau. Penganut Hindu pula ada Hindu Sangam sebagai rujukan utama dalam urusan berkaitan kuil. Ini bukan sekadar sistem pentadbiran, tetapi asas bagi menjamin kestabilan dan saling menghormati antara agama. Jika setiap kelompok bertindak sendiri tanpa mengikut badan tertinggi agama masing-masing, kita membuka ruang kepada ketegangan yang tidak sepatutnya berlaku.

❷ Perlu diingat, dalam sejarah negara ini, banyak masjid dan surau juga pernah dipindahkan atas pelbagai faktor seperti perancangan bandar dan melangkaui tanah yang sudah ada pemiliknya yang sah. Umat Islam menerima keputusan itu dengan hati terbuka lantas berlumba-lumba menyumbang dan berwakaf untuk pembelian tanah baharu kerana memahami keperluan dan keadilan yang lebih besar. Maka prinsip yang sama harus diterapkan dalam semua keadaan. Tidak boleh ada dua piawaian dalam menangani isu rumah ibadat.

❸ Saya juga ingin memberi peringatan tegas kepada segelintir pihak yang cuba mengeruhkan keadaan; jangan bermain api dengan sentimen agama. Agama bukan pelaris untuk dijadikan medium melampias amarah dan kejadongan (jahat, bodoh dan sombong). Perpaduan kita juga bukan alat untuk dipolitikkan. Rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk mengenal pasti siapa yang benar-benar mahu menjaga keharmonian dan siapa yang hanya mahu meraih keuntungan politik dengan mencetuskan perbalahan.

Penutup

Mengakhiri siri Mawaqif pada kali ini, saya ingin mengingatkan semua pihak tentang pentingnya menjaga keharmonian sejagat yang telah sekian lama menjadi teras kehidupan bersama di tanah air tercinta ini. Malaysia, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, telah menunjukkan kepada dunia bahawa perpaduan dapat tercapai apabila kita semua berpegang kepada prinsip keadilan yang sebenar. Keperluan untuk saling memahami dan menghormati, terutamanya pada perkara-perkara yang melibatkan sensitiviti agama tidak boleh diabaikan. Bagi kita yang beragama Islam, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjunjung tinggi prinsip-prinsip keadilan yang telah digariskan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Namun, dalam masa yang sama, kita juga harus berusaha untuk terus membina dan mengekalkan keharmonian dengan masyarakat yang berbeza latar belakang agama, bangsa, dan budaya.

Saudara-saudaraku, baik Muslim mahupun Hindu, kita telah hidup bersama di bumi ini sejak sekian lama; mencari rezeki, mendidik anak-anak, dan membina masa depan yang lebih gemilang. Keharmonian bukan sekadar slogan, tetapi amanah yang perlu kita jaga dengan kejujuran dan keadilan. Kita tidak boleh membiarkan isu-isu yang boleh diselesaikan secara berhemah dan berlandaskan saluran yang sah ini menjadi bahan untuk memecahbelahkan kita

Marilah kita kembali kepada akhlak yang diajarkan agama masing-masing iaitu berbicara dengan fakta, bertindak dengan hikmah, dan menghormati hak masing-masing. Inilah asas untuk Malaysia yang lebih aman, lebih matang, dan lebih sejahtera. Saya juga menyeru untuk kita terus memupuk perpaduan dan kerjasama sesama kita, tanpa mengira agama dan bangsa, demi masa depan negara kita yang lebih sejahtera dan berkah.

Saya akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَبْعِدْ عَنْهُمْ بِطَانَةَ السُّوْءِ وَالْمُفْسِدِيْنَ، وَقَرِّبْ إِلَيْهِمْ أَهْلَ الْخَيْرِ وَالنَّاصِحِيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah daripada mereka (para pemimpin kami) teman rapat yang jahat dan yang merosakkan. Dekatkanlah kepada mereka orang-orang yang baik dan pemberi nasihat yang baik, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

Wallahu a‘lam