Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah SWT atas segala limpah kurnia dan rahmat-Nya. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta seluruh umat yang mengikuti ajarannya hingga ke akhir zaman.

Tragedi kebakaran paip gas yang berlaku di Putra Heights pada 1 April 2025 bukan sahaja menggemparkan negara, bahkan turut mengundang simpati dan keprihatinan masyarakat terhadap nasib mangsa yang terjejas. Dengan kemusnahan harta benda bernilai puluhan juta ringgit serta lebih 400 buah rumah yang terkesan, insiden ini telah menimbulkan persoalan besar tentang bagaimana bantuan sewajarnya dapat disalurkan – termasuk dari sudut hukum dan fiqh zakat.

Penulisan ini bertujuan merungkai persoalan penting: Adakah mangsa kebakaran paip gas ini layak menerima zakat, dan di bawah kategori asnaf manakah mereka boleh diklasifikasikan? Ia menghimpunkan pandangan dan hujah ulama berserta dalil-dalil mereka berkenaan pelaksanaan bantuan zakat dalam situasi bencana, dengan tujuan agar bantuan zakat dapat diagihkan dengan penuh hikmah, adil, dan bertepatan dengan dalil.

Lebih penting, ia juga menjadi satu rujukan berguna kepada institusi zakat, pembuat dasar, NGO Islam dan masyarakat awam dalam memahami garis panduan syarak dalam pengurusan bantuan pasca-bencana. Dalam semangat kebersamaan dan kepedulian, semoga usaha ini menjadi sumbangan kecil dalam memulihkan kehidupan mereka yang diuji, dan menjadi amal jariah yang berkekalan insya-Allah.

Wallahu waliyyu al-taufiq.

Kronologi

Insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku awal pagi 1 April 2025 di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, telah mengejutkan penduduk setempat apabila api marak dengan begitu dahsyat sehingga disamakan dengan gegaran gempa bumi oleh sesetengah saksi.

Kebakaran tersebut menghasilkan kepulan api yang menjulang tinggi ke langit dan dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer, menyebabkan panik dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sekitar.

Pasukan bomba dan penyelamat  bertungkus lumus menjalankan operasi pemadaman dan pengawalan keadaan, manakala pihak berkuasa turut menjalankan siasatan awal bagi mengenal pasti punca kejadian. Berikut adalah kronologi kebakaran yang berlaku:

8:23 PAGI

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima laporan kecemasan berkaitan letupan kebakaran paip gas di Taman Puchong Perdana, Puchong. Pusat Gerakan Operasi mengerahkan pasukan dari beberapa balai bomba termasuk Subang Jaya, Shah Alam, Puchong, Klang Selatan, Klang Utara, Bukit Jelutong, Rawang, Cyberjaya dan Damansara ke lokasi.

9:30 PAGI

Operasi memadam api masih diteruskan dengan kebakaran masih marak. Beberapa rakaman tular di media sosial menunjukkan kerosakan serius termasuk rumah yang terbakar. Penduduk di kawasan berhampiran telah dipindahkan sebagai langkah keselamatan.

10:35 PAGI

Seramai 25 orang menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan, dan lima daripadanya dihantar ke Hospital Serdang. Antara kecederaan yang dilaporkan termasuk lecur, luka dan kesukaran bernafas.

10:57 PAGI

Mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kawasan bahaya ditempatkan sementara di kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya yang berdekatan dengan lokasi kejadian.

11:00 PAGI

Beberapa mangsa lain turut dirawat di lokasi dan kemudiannya dibawa ke hospital berhampiran seperti Hospital Serdang, Putrajaya dan Cyberjaya untuk rawatan lanjut.

11:06 PAGI

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mengumumkan pembukaan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa.

11:14 PAGI

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan bahawa berlaku gangguan bekalan elektrik di sekitar kawasan Subang dan Putra Heights.

11:15 PAGI

TNB turut menggerakkan pasukan teknikalnya ke tempat kejadian untuk menilai tahap kerosakan dan keadaan semasa.

11:20 PAGI

Laporan awal JBPM menunjukkan punca kebakaran adalah daripada kebocoran saluran paip gas sepanjang 500 meter.

11:25 PAGI

Petronas Gas Berhad mengesahkan bahawa insiden berlaku pada paip utama berhampiran Putra Heights sekitar 8:10 pagi. Petronas Dagangan Berhad pula mengesahkan tiada sebarang kebakaran berlaku di mana-mana stesen minyak milik Petronas.

11:30 PAGI

Bekalan elektrik di kawasan terjejas telah pulih sepenuhnya.

11:54 PAGI

Jabatan Alam Sekitar (JAS) mula menjalankan pemantauan terhadap kualiti udara di kawasan kejadian.

12:19 TENGAH HARI

Masjid Al-Falah USJ 9 di Subang Jaya dibuka untuk memberikan perlindungan kepada mereka yang terkesan.

1:00 TENGAH HARI

Seramai 78 anggota bomba dengan kekuatan 22 aset digerakkan, termasuk 10 jentera Fire Rescue Tender (FRT), empat unit EMRS, lima Water Tanker, dan masing-masing satu unit Hazmat, ALP dan BA Tanker. Sejumlah 82 mangsa telah diselamatkan dengan 12 orang mengalami kecederaan.

1:05 TENGAH HARI

Lebuhraya ELITE dari Seafield ke Bandar Saujana Putra ditutup kepada semua kenderaan. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Subang tidak terjejas dan berjalan seperti biasa.

1:25 TENGAH HARI

Sebanyak 63 mangsa yang mengalami melecur telah dibawa ke hospital-hospital berdekatan. Empat injap utama di Dengkil, Puchong, Batu Tiga dan Meru ditutup pada jam 11:48 pagi untuk membolehkan sisa gas dibuang secara terkawal dalam tempoh kira-kira empat jam.

1:30 TENGAH HARI

Jumlah terkini menunjukkan 112 individu terjejas bersama 49 buah rumah yang mengalami kerosakan akibat kebakaran.

1:40 TENGAH HARI

Kerja-kerja pemadaman masih diteruskan secara agresif. Beberapa kenderaan seperti polis, ambulans dan jentera bomba dilihat berulang-alik ke lokasi kejadian.

Kerugian 

Menurut laporan akhbar yang dikeluarkan oleh Kosmo yang bertarikh 7 April 2025,  kebakaran besar melibatkan saluran paip gas yang berlaku di kawasan Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights, Subang Jaya, dilaporkan telah menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak RM65.4 juta. Jumlah ini merangkumi kemusnahan terhadap 437 unit kediaman, termasuk kos baik pulih pendawaian elektrik di keseluruhan kawasan yang terjejas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan dalam satu sidang media di Wisma Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bahawa anggaran tersebut dibuat berdasarkan penilaian terperinci oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas meninjau skala kerosakan.

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan pantas oleh JBPM bersama pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan harta benda yang dianggarkan bernilai lebih RM285.9 juta, sekali gus mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan sebelum ini menyatakan bahawa seramai 25 pegawai penyiasat kebakaran dari JBPM telah digerakkan dari lima buah negeri bagi menjalankan siasatan menyeluruh. Fokus utama mereka adalah untuk menilai tahap keselamatan, mengenal pasti punca kebakaran serta membuat taksiran kerugian fizikal dan teknikal di lokasi kejadian.

Kejadian yang berlaku turut menjejaskan bekalan elektrik, menempatkan ratusan mangsa di pusat pemindahan sementara, serta memerlukan tindakan penyelarasan pantas dari pelbagai agensi termasuk Petronas Gas Berhad, TNB, dan Jabatan Alam Sekitar bagi tujuan pemantauan serta pengurusan krisis.

Sejarah Berlaku Kebocoran Paip Gas

Kebocoran paip gas bukanlah satu isu baharu dalam landskap keselamatan industri dan infrastruktur negara. Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai insiden telah direkodkan melibatkan kebocoran saluran paip gas sama ada di kawasan perumahan, perindustrian mahupun laluan utama. Insiden-insiden ini bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa, bahkan turut memberi kesan besar terhadap keselamatan awam serta keyakinan masyarakat terhadap sistem pengurusan tenaga negara. ​Berikut adalah beberapa insiden kebocoran paip gas yang pernah berlaku di Malaysia:​

 Kebakaran Paip Gas di Putra Heights, Selangor (1 April 2025)

Pada 1 April 2025, satu kebakaran besar berlaku di Putra Heights, Selangor, akibat kebocoran pada saluran paip gas milik Petronas. Kejadian ini menyebabkan lebih daripada 100 orang yang terjejas dan memusnahkan beberapa kediaman berhampiran. Api marak sehingga 30 meter tinggi dan kelihatan dari jarak beberapa kilometer. ​

Letupan Paip Gas di Lawas, Sarawak (17 November 2022)

Pada 17 November 2022, satu letupan berlaku pada saluran paip gas Sabah–Sarawak di Long Ugui, Lawas, Sarawak. Insiden ini mengakibatkan seorang maut dan dua lagi cedera. Letupan tersebut dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan kebocoran gas.​

Kebocoran Paip Gas di Ayer Keroh, Melaka (2013)

Pada tahun 2013, satu kebocoran paip gas asli kenderaan (NGV) bawah tanah berlaku di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh, Melaka. Kejadian ini menyebabkan 482 pekerja dari tiga kilang dan sebuah gudang diarahkan mengosongkan bangunan sebagai langkah keselamatan. Kebocoran dipercayai berlaku akibat paip gas terkena jengkaut semasa kerja pemasangan longkang. ​

Kebocoran Gas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (4 Julai 2024)

Pada 4 Julai 2024, berlaku kebocoran gas metil merkaptan di sebuah fasiliti kejuruteraan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kejadian ini menjejaskan kira-kira 20 kakitangan yang mengalami pening dan dihantar untuk rawatan perubatan. Operasi lapangan terbang tidak terjejas dan tiada risiko keselamatan awam yang teruk dilaporkan. ​

Insiden-insiden ini menekankan kepentingan pemantauan dan penyelenggaraan berkala terhadap saluran paip gas bagi memastikan keselamatan awam dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Asnaf Penerima Zakat

Pengertian zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11)

Begitu juga, Allah SWT telah menyatakan golongan yang berhak diagihkan zakat melalui firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah: 60)

Ibn ‘Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175)

Daripada ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat lapan kategori asnaf yang berhak menerima bahagian zakat iaitu:

  • Golongan Fakir, iaitu orang yang tidak mempunyai harta, yang dapat menampung keperluan makanan, pakaian dan kediamannya.
  • Golongan Miskin, iaitu orang yang mempunyai harta, tetapi tidak cukup untuk menampung keperluannya.
  • Golongan Amil, iaitu pemungut hasil yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat.
  • Golongan Muallaf, iaitu mereka yang baru memeluk agama Islam. Dengan pemberian zakat, ia diharap akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka.
  • Golongan Hamba, di mana hamba yang layak menerima zakat ialah orang yang ingin membebaskan dirinya daripada perhambaan (المكاتب), iaitu hamba yang membuat perjanjian dengan tuannya apabila dia dapat memberikan sejumlah harta kepadanya.

  • Golongan yang Berhutang, iaitu mereka yang dibebani hutang dan tidak mampu melunaskannya dengan syarat mereka berhutang untuk tujuan yang halal.
  • Golongan Musafir iaitu orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syara’, sekalipun untuk melancong.
  • Fi sabilillah (untuk jalan Allah) bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62)

Hukum Memberikan Zakat Kepada Mangsa Kebakaran Paip Gas di Putra Heights

Persoalan ini berbalik semula kepada bagaimana cara kita memahami firman Allah SWT:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah: 60)

Ayat ini menunjukkan bahawa golongan yang berhak menerima zakat hanya lapan golongan sahaja. Jumhur fuqaha’ berpendapat tidak harus diberikan kepada selain daripada mereka yang dinaskan al-Qur’an iaitu lapan golongan ini.

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa zakat yang difardukan diberikan kepada lapan golongan tersebut. Huruf lam yang terdapat pada ayat tersebut membawa makna wajib. Zakat tersebut adalah khusus untuk lapan golongan ini sahaja dan tidak boleh diberikan kepada orang lain. Secara zahirnya, ayat ini membawa makna takhsis (pengkhususan) hak zakat kepada lapan golongan ini dan wajib untuk memberi hasil zakat kepada setiap golongan jika ada. Begitu juga, perlu menjaga kesamarataan di antara mereka kerana mereka berhak memperoleh hak yang sama. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 10/258)

Al-Khatib al-Syirbini pula menjelaskan bahawa ayat 60 daripada Surah al-Taubah ini berbentuk al-Hasr (pengkhususan) yang membawa makna hasil zakat tersebut tidak boleh diberikan kepada selain daripada lapan golongan ini. Bahkan, perkara ini telah berlaku ijma‘ padanya. Adapun perselisihan yang timbul adalah sama ada perlu mencari setiap daripada golongan tersebut untuk diberikan zakat.” (Lihat al-Iqna‘ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja‘, 3/86)

Mazhab Syafi‘i menetapkan bahawa wajib dibahagi kepada semua golongan yang ada dalam kalangan asnaf yang berhak menerima zakat. Sedangkan mazhab yang lain memadai dengan sekumpulan daripada golongan yang berhak menerima zakat sahaja. Perkara ini juga difatwakan oleh Ibn Ajil dan al-Asba‘i serta ramai dalam kalangan ulama’ terkemudian kerana kesukaran dalam mencari kesemua lapan asnaf. Inilah yang disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin (1/219).

Berbalik kepada isu di atas, perkara yang perlu difahami oleh kita adalah setiap mangsa kebiasaannya berada dalam keadaan yang amat memerlukan bantuan mengikut kadar kemusnahan yang dialami. Boleh jadi aset atau harta benda mereka ranap sebahagian kecil, sebahagiannya sahaja atau musnah keseluruhannya. Bahkan, berkemungkinan juga mangsa bencana terperangkap dan terkandas di luar kawasan kediamannya, atau kedudukan mereka jauh daripada harta miliknya sehingga menimbulkan kesukaran buat mereka untuk pulang ke tempat asal mereka. Oleh itu, jika diteliti, mangsa bencana atau kebakaran paip gas atau seumpamanya ini sebenarnya dapat dikaitkan dengan empat kategori asnaf bergantung kepada keadaan yang menimpa mereka iaitu asnaf fakir, miskin, yang berhutang dan musafir.

Kami perincikan keempat-empat golongan ini seperti berikut:

Pertama & Kedua: Golongan Fakir dan Miskin

Terdapat pendapat menyatakan bahawa miskin itu lebih susah keadaannya daripada fakir. Ini adalah pendapat ulama mazhab Maliki dan masyhur di sisi ulama mazhab Hanafi. Pendapat yang lain pula menyatakan bahawa golongan fakir itu lebih susah keadaannya dan ini merupakan pendapat ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa fakir dan miskin itu sama sahaja dan ini adalah pendapat Abu Yusuf al-Hanafi dan Ibn al-Qasim al-Maliki. Namun, pada hakikatnya pendapat ini menyelisihi jumhur. (Lihat Fiqh al-Zakah oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 2/10-12)

Adapun pendapat yang sering digunakan oleh kebanyakan pusat zakat di Malaysia ialah pendapat ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali yang mengatakan bahawa keadaan golongan fakir itu lebih susah daripada miskin. Oleh itu, definisi fakir dan miskin yang telah disepakati serta digunapakai dalam penentuan asnaf adalah seperti berikut:

Fakir: Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan.

Dalam erti kata lain, mereka ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan, atau mempunyai pekerjaan (hasil usaha) atau harta tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan makanan, pakaian dan kediaman, yang mana pendapatan yang diperolehi itu kurang daripada setengah jumlah keperluan yang ditanggungnya. Sebagai contoh, setiap bulan dia memerlukan sebanyak 500 riyal bagi menampung keperluan asasinya tetapi jumlah pendapatan yang diperolehi kurang daripada 250 riyal. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 423)

Miskin: Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya.

Dengan kata lain, jumlah pendapatan yang diperoleh mereka hanyalah melebihi sedikit daripada setengah jumlah keperluan yang ditanggung. Sebagai contoh, setiap bulan dia memerlukan sebanyak 500 riyal bagi menampung keperluan asasinya tetapi jumlah pendapatan yang diperolehi hanyalah 400 riyal. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 423)

Menurut pendapat yang sahih, kedua-dua golongan tersebut diberikan zakat yang mencukupi keperluan seumur hidup mereka mengikut jangka hayat yang biasa. Juga diberi perhatian, keinginan berkahwin adalah termasuk dalam perkara yang diambil kira ketika menilai keadaan dan keperluan hidup mereka. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62)

Justeru, berdasarkan kepada pengertian yang diberikan ini jelaslah kepada kita bahawa memasukkan mangsa banjir sebagai asnaf fakir dan miskin mestilah memenuhi syarat-syarat yang melayakkan mereka tergolong di bawah kedua asnaf tersebut.

Lebih-lebih lagi Rasulullah SAW mengharuskan mereka yang ditimpa bencana seperti musibah kebakaran, banjir besar dan seumpamanya membawa kepada kerosakan dan kemusnahan harta benda milik mereka untuk meminta zakat sehingga dia berkecukupan untuk bangkit semula meneruskan kehidupannya. Hal ini adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Qabisah bin Mukhariq al-Hilali, beliau berkata:

تَحَمَّلْتُ حَمَالَةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَسْأَلُهُ فِيهَا فَقَالَ: أَقِمْ حَتَّى تَأْتِيَنَا الصَّدَقَةُ فَنَأْمُرَ لَكَ بِهَا.‏ قَالَ: ثُمَّ قَالَ: يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا.

Maksudnya: “Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda: ‘Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu.’” Qabisah berkata: “Kemudian Baginda SAW bersabda: ‘Wahai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan, maka bolehlah baginya untuk meminta sehingga menyelesaikannya, kemudian menyimpannya. Lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya, maka bolehlah baginya untuk meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, dan lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Wahai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya juga adalah haram.’”

                                                                                                    Riwayat Muslim (1044)

Selain itu, Syeikh al-‘Azim Abadi juga ada menyatakan bahawa sesiapa yang ditimpa bencana ke atas harta bendanya sama ada dari langit atau bumi seperti cuaca sejuk yang melampau, banjir dan seumpamanya sehingga menyebabkan tidak ada apa-apa lagi harta yang tersisa baginya untuk meneruskan kehidupan, maka dibolehkan baginya untuk meminta — yakni zakat dan selainnya — sehingga dia memperoleh kecukupan dan menutup kesukarannya. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 3/36)

Oleh itu, dapat difahami daripada hadith Qabisah dan kenyataan di atas bahawa berkemungkinan mereka yang ditimpa bencana seperti kebakaran, banjir besar, puting beliung dan seumpamanya itu, telah menyebabkan mereka tergolong dalam kalangan miskin atau fakir kerana kemusnahan harta benda yang dialami, maka dalam hal ini tidak diragukan lagi mereka layak untuk meminta dan menerima zakat.

Justeru, kami katakan bahawa sesungguhnya kebakaran paip gas yang berlaku pada 1 April 2025 di Putra Heights amat menepati dengan maksud bencana yang layak mendapat zakat sebagai asnaf fakir miskin, jika bencana itu telah menyebabkan kemusnahan harta benda sehingga tidak ada lagi harta yang tersisa baginya untuk meneruskan kehidupan seperti yang difatwakan oleh Syeikh al-‘Azim Abadi.

Ketiga: Golongan Musafir (ibn al-sabil)

Lafaz ibn bermaksud anak, manakala al-Sabil bermaksud jalan. Maka, secara ringkasnya, ia bermaksud anak jalan. Lafaz ini merupakan satu kiasan terhadap orang yang selalu merantau atau bermusafir disebabkan mereka selalu berada di jalan bagi tujuan permusafiran tersebut. (Lihat Lisan al-‘Arab, 6/162-163)

Dalam mazhab Syafi‘i, Ibn al-Sabil ditakrifkan sebagai orang yang berada di suatu kawasan harta sedekah (zakat), dan dalam permusafiran yang bukan maksiat, namun dia tidak mampu untuk sampai ke destinasi melainkan diberi bantuan kepadanya. Jelas Imam al-Nawawi, terdapat dua golongan yang boleh dikategorikan sebagai Ibn al-Sabil. Pertama, anak watan atau bukan, atau orang yang bermukim di sesuatu tempat yang ingin memulakan perjalanannya. Kedua, orang asing yang terkandas dan tidak dapat meneruskan perjalanannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/214)

Mazhab Hanafi pula mendefinisikan Ibn al-Sabil sebagai orang asing yang terputus hartanya meskipun dia seorang yang kaya di tanah airnya. Ini disebabkan dia dianggap sebagai seorang fakir pada masa tersebut. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 2/908)

Menurut Mazhab Maliki, Ibn al-Sabil adalah orang asing yang memerlukan harta bagi meneruskan perjalanan ke destinasinya. Ia mestilah bukan dalam perkara maksiat, dan dia tidak memiliki wang untuk menyara dirinya meskipun dia memilikinya di tanah air. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/498)

Berdasarkan beberapa kenyataan yang dinukilkan di atas, dapat difahami bahawa pada asasnya, Ibn al-Sabil adalah mereka yang terkandas atau menghadapi kesukaran dalam perjalanan disebabkan terputusnya bekalan, di mana jika disalurkan bantuan tersebut kepadanya, ia akan membantu mereka untuk sampai ke tempat yang dituju.

Dalam konteks mangsa kebakaran paip gas yang berlaku di Putra Heights, kita boleh andaikan mereka menghadapi terputus bekalan makanan dan minuman seperti kerana terperangkap dan berada di Pusat Penempatan Sementara (PPS) tidak dapat meneruskan perjalanan kerana harta benda musnah ketika pulang beraya atau ketika menziarahi sanak-saudara di kawasan kemalangan/bencana seperti mana di Putra Heights, meskipun sebahagian mereka bukanlah dalam kalangan fakir miskin.

Hal ini juga selari dengan resolusi oleh Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali yang menyatakan bahawa mangsa bencana boleh diletakkan dalam asnaf Ibn al-Sabil melalui bantuan kewangan dengan penubuhan tabung khas, sama ada di dalam negara atau luar negara.

Perkara ini disebut dalam Persidangan ke-18 pada 9-14 Julai 2007 bersamaan 24-29 Jamadil Akhir 1428H dalam resolusi bertajuk Memperkasakan Peranan Zakat dalam Membasmi Kemiskinan, Penyusunan Kutipan dan Agihan Zakat Berdasarkan Ijtihad Fiqh, no. 165 (3/18).

Keempat: Orang yang Berhutang (al-Gharimin)

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali sepertimana telah dinyatakan di atas, Baginda Nabi SAW antara lain bersabda:

وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ

Maksudnya: “Lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya, maka bolehlah baginya untuk meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya.”

Riwayat Muslim (1044)

Sebahagian ulama menganggap bahawa ia adalah bencana yang menyebabkan harta benda mereka musnah dan memerlukan kepada bantuan serta berhutang sama ada untuk diri mereka atau keluarga mereka. Justeru, kebanyakan ulama memasukkan golongan seperti ini dalam asnaf al-gharimin iaitu orang yang berhutang. Sebahagian ulama mensyaratkan jenis hutang ini adalah yang bersifat darurat dan keperluan, bukannya untuk kemewahan atau berfoya-foya.

Oleh kerana itulah, kami menyatakan bahawa harus diberi zakat kepada golongan yang ditimpa bencana sama ada kebakaran, banjir besar, puting beliung, tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki. Sekalipun kemusnahan harta benda tersebut tidaklah sampai menyebabkan mereka jatuh miskin, tetapi mereka terpaksa menanggung bebanan hutang dan kepayahan untuk bangkit semula bagi meneruskan kehidupan. Mereka boleh dikategorikan sebagai golongan al-Gharimin yang berhak menerima zakat.

Tambahan pula, al-Qurtubi menyebutkan dalam tafsirnya bahawa zakat diberikan kepada dua golongan. Pertama, golongan yang berharta tetapi dalam masa yang sama mempunyai hutang keliling pinggang, maka diberikan zakat untuk melangsaikan hutangnya. Keduanya, golongan yang tidak berharta dan mempunyai hutang, maka diberikan zakat kepadanya melalui dua tabung asnaf iaitu “al-gharimin” dan “fakir miskin”. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 8/184)

Selain itu, jika dilihat kepada tafsiran ulama, antaranya Mujahid pernah menyatakan bahawa terdapat tiga golongan boleh dikategorikan sebagai al-gharimin iaitu:

  • Mereka yang hartanya dihanyut oleh banjir atau bah.
  • Mereka yang ditimpa kebakaran yang menyebabkan musnah hartanya.
  • Mereka yang mempunyai tanggungan tetapi tidak mempunyai harta sehingga terpaksa berhutang bagi menunaikan nafkah kepada tanggungannya itu. (Lihat Musannaf Ibn Abi Syaibah, 3/97)

Justeru, pemberian zakat kepada mangsa kebakaran paip gas mengikut asnaf al-gharimin juga menepati kaedah syarak sepertimana yang dibahaskan di atas.

Tambahan lagi, al-Syaukani ada menyebutkan dalam tafsirnya bahawa Ibn Abi Syaibah, Ibn al-Munzir, Ibn Abi Hatim dan Abu al-Syeikh meriwayatkan daripada Abu Ja‘far mengenai firman Allah SWT: “وَالْغَارِمِينَ” iaitu orang yang berhutang kerana perkara darah atau berhutang kerana bencana yang menimpanya. (Lihat Fath al-Qadir, 4/715)

Kenyataan Mujahid ini adalah bertepatan dengan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Qabisah sebagaimana yang telah disebutkan di atas.

Di samping itu, beberapa ulama lain turut memberikan fatwa dalam hal ini. Antaranya, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan dalam kitabnya, bahawa mereka yang termasuk dalam kategori asnaf al-Gharimin ialah mereka yang dikejutkan dengan bencana alam sehingga habis binasa harta bendanya, lalu mereka terpaksa menanggung hutang bagi meneruskan kehidupan diri dan keluarga. (Lihat Fiqh al-Zakat, 2/623)

Begitu juga dengan Syeikh Prof. Dr. Husamuddin bin Musa Muhammad bin ‘Afanah, Profesor Fiqh dan Usul daripada Universiti al-Quds, Palestin yang menyatakan  hukumnya adalah harus diberikan kepada golongan seperti ini dalam kitabnya Yas’alunaka ‘an al-Zakat (hlm. 132)

Syeikh Ali Muhyiddin al-Qurrah Daghi juga ada mengatakan bahawa termasuk dalam jenis asnaf al-Gharimin ialah mereka yang dikejutkan dengan bencana yang merosakkan lalu jatuhlah mereka ke dalam kebinasaan harta benda dengan sebab banjir, kebakaran dan seumpamanya. Beliau menukilkan pendapat Mujahid ketika mentafsirkan al-Gharimin di dalam al-Quran yang menyatakan, “Mereka yang terbakar rumahnya atau ditimpa musibah banjir sehingga musnah harta benda serta terpaksa menanggung hutang untuk menyara keluarganya.” (Lihat Buhuth Fi Fiqh al-Zakat al-Mu’asirah, hlm. 332).

Selain itu, Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke 24 pada 10 Jamadil Awwal 1435H/ 12 Mac 2014M sebulat suara menerima garis panduan berkaitan dengan pengurusan zakat asnaf riqab dan gharimin, antara yang dinyatakan  adalah “Individu yang ditimpa musibah seperti bencana alam” ertinya seseorang yang hartanya rosak kerana banjir, juga rosak kerana terbakar, dan seseorang yang mempunyai ahli keluarga tetapi dia tidak memiliki harta, lalu dia berhutang untuk memberi nafkah kepada ahli keluarganya.

Sikap Kerajaan

Pada 1 April 2025, YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sewaktu meninjau lokasi tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights telah mengumumkan bantuan tunai segera kepada mangsa membabitkan:

  • RM5,000 untuk kediaman yang musnah sepenuhnya akibat kebakaran.
  • RM2,500 untuk kediaman yang terjejas sebahagian.

Kemudian, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang medianya pada 7 April 2025 di Wisma Dewan Annexe, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, bagi memaklumkan perkembangan terkini berhubung kejadian kebakaran saluran paip gas yang berlaku di Putra Heights, telah menyatakan bahawa mangsa (pemilik rumah yang terkesan akibat kebakaran saluran gas) akan menerima tambahan sumbangan sebanyak RM5,000 dan RM2,500 daripada Petronas, mengikut kategori atau tahap kerosakan rumah tersebut. Ini menjadikan mangsa yang tergolong dalam kategori rumah musnah sepenuhnya akan menerima keseluruhan RM10,000, manakala bagi separa musnah dan penyewa masing-masing akan menerima sebanyak RM5,000.

Dalam kesempatan ini, wajar untuk kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dan barisan kabinetnya, atas tindakan pantas dan keprihatinan yang ditunjukkan dalam menangani tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025. Pengumuman segera bantuan tunai oleh YAB Perdana Menteri di lokasi kejadian, serta susulan sumbangan tambahan daripada Petronas yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, jelas membuktikan bahawa kerajaan hari ini responsif, bertanggungjawab, dan prihatin terhadap rakyat.

Langkah pantas ini bukan sahaja membantu meringankan beban mangsa yang terjejas, tetapi turut memperlihatkan kesepaduan antara kerajaan Persekutuan, negeri, dan sektor korporat dalam menghulurkan bantuan secara menyeluruh dan tersusun. Inisiatif ini wajar dipuji dan dijadikan contoh teladan dalam pengurusan bencana yang berteraskan kebajikan rakyat.

Pada masa yang sama, badan zakat juga boleh bertindak untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran paip gas yang berkelayakan. Ini bukanlah suatu perkara yang ganjil, bahkan dahulu pada tahun 2021, semasa negara kita di beberapa buah negeri  dilanda bencana banjir besar sehingga merosakkan harta benda mereka, pusat-pusat zakat telah menyalurkan bantuan zakat kepada mangsa banjir di beberapa negeri, seperti Pahang, Johor, dan Kelantan. Antara badan zakat yang terlibat ialah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Bantuan zakat yang disalurkan termasuklah barangan makanan, kit bantuan bencana, bantuan kewangan, dan bantuan perubatan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga mengagihkan zakat kepada asnaf fakir, miskin dan muallaf yang terjejas dengan bencana banjir yang berlaku di seluruh Negeri Selangor. Ia disumbangkan berbentuk “one-off payment” yang merupakan salah satu inisiatif Lembaga Zakat Selangor untuk meringankan beban asnaf yang terkesan dengan bencana banjir tersebut.

Kami merasakan hal sama turut boleh dilakukan kepada mangsa kebakaran paip gas Putra Heights yang berkelayakan oleh pihak zakat.

Kenyataan, Syor dan cadangan

Kami mengikuti dengan rasa dukacita insiden kebakaran paip gas di Putra Heights yang telah mengakibatkan kemusnahan harta benda dan menjejaskan kehidupan ramai mangsa. Takziah kami ucapkan kepada pemilik (mangsa) lebih kurang 437 buah rumah yang terlibat, yang dianggarkan kerugian keseluruhannya mencecah RM 65.4 juta, dan juga keluarga mangsa yang terlibat. Syor dan cadangan kami adalah seperti mana berikut:

  • Kami berpendapat bahawa harus untuk memberi zakat kepada mangsa kebakaran paip gas yang berkelayakan, sebagaimana pendapat-pendapat yang telah dikemukakan.
  • Kami juga mencadangkan supaya zakat hendaklah diberi melalui Baitulmal, di mana Baitulmal akan mengenalpasti golongan yang benar-benar terdesak dan memerlukan bantuan dengan membuat anggaran kerosakan yang ditanggung dan juga keperluan yang dihajati. Ini kerana, jika diberi secara langsung dengan kuantiti yang banyak, dibimbangi sebahagian sahaja yang memperolehnya sedangkan sebahagian yang lain tidak mendapat walaupun sedikit. Justeru, pasti rasa tidak selesa akan terwujud pada kebanyakan golongan yang ditimpa bencana yang tidak dapat apa-apa bantuan atau bantuan yang tidak mencukupi.
  • Selain itu, Baitulmal hendaklah menggerakkan tenaganya dengan seupaya mungkin bagi menyelesaikan kemelut tersebut dengan secepat mungkin kerana keperluan untuk hidup adalah bersifat segera.
  • Di samping itu, kami nyatakan juga bahawa golongan yang kehilangan harta akibat bencana seperti kebakaran boleh dikategorikan sebagai fakir miskin jika kebakaran tersebut telah memusnahkan seluruh hartanya sehingga tiada lagi harta yang tersisa untuknya meneruskan kehidupan atau asnaf al-gharimin (orang yang berhutang) jika mereka memerlukan dana untuk pemulihan kehidupan dan pembayaran liabiliti yang timbul akibat kejadian ini. Dalam hadith riwayat Imam Muslim daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali, Rasulullah SAW mengizinkan individu yang ditimpa musibah untuk meminta bantuan sehingga mereka dapat kembali kepada kehidupan yang stabil.

Oleh itu, kami menyeru agar institusi zakat, NGO Islam serta individu yang berkemampuan menyalurkan zakat kepada mangsa yang benar-benar memerlukan, khususnya mereka yang kehilangan tempat tinggal, punca pendapatan, atau menanggung hutang akibat insiden ini. Bantuan ini boleh diberikan dalam bentuk kewangan bagi membiayai kos pemulihan pasca-bencana dan menyokong kehidupan harian mereka sehingga stabil semula.

  • Dalam masa yang sama, kami turut menggalakkan umat Islam untuk terus menzahirkan solidariti melalui sedekah bagi membantu mangsa-mangsa yang terkesan dalam kalangan Muslim dan bukan Muslim.
  • Kami juga berpandangan, bantuan zakat hendaklah didahulukan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, seperti mereka yang kehilangan tempat tinggal, punca pendapatan, atau terpaksa menanggung hutang akibat kebakaran. Pemberian zakat dalam bentuk wang tunai lebih utama bagi membantu mereka menanggung kos pemulihan, baik pulih rumah, dan keperluan asas pasca-bencana.  Adapun bantuan dalam bentuk barangan atau makanan hendaklah diniatkan sebagai sedekah umum atau infaq fi sabilillah, kecuali jika benar-benar diperlukan oleh asnaf yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh institusi zakat.
  • Selain daripada itu, agihan zakat boleh dilakukan melalui pusat zakat negeri, NGO Islam yang dipercayai dan telus, atau secara terus kepada mangsa yang layak. Jika melalui NGO atau badan kebajikan, pastikan dana zakat digunakan sepenuhnya untuk pemulihan mangsa dan tidak bercampur dengan dana lain.
  • Sekiranya terdapat mangsa yang terkandas di luar kawasan kediaman mereka akibat kebakaran, mereka boleh dikategorikan sebagai asnaf ibn sabil dan layak menerima zakat bagi membantu mereka kembali ke tempat asal.
  • Manakala mangsa yang masih memiliki aset seperti rumah dan tanah, tetapi kekurangan dana cair boleh menerima zakat mengikut kadar yang ditentukan oleh institusi zakat.

Semoga bantuan ini dapat meringankan beban saudara-saudara kita yang terkesan dan menjadi amal soleh yang diterima di sisi Allah SWT.  Kita doakan juga agar Allah SWT menggantikan kehilangan mereka dengan kebaikan yang lebih besar dan mengurniakan ganjaran kepada semua pihak yang membantu dalam usaha pemulihan ini.

Marilah kita akhiri perbincangan ini dengan sama-sama berdoa dan bermunajat kepada-Nya:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”