Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan tupai? Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’”[1]
Begitu juga firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’”[2]
Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[3]
Definisi tupai
Tupai ialah haiwan yang mempunyai ekor berbulu, mata besar berwarna hitam dan telinga bulat. Banyak jenis tupai adalah haiwan yang cergas dan mempunyai ekor yang panjang berbulu lebat. Ia melompat-lompat di atas tanah atau di atas pokok. Tuapi pokok sering dilihat di taman dan di hutan jarang. Ia termasuk tupai kelabu, tupai merah dan tupai terbang. Tetapi banyak jenis tupai mempunyai ekor yang pendek dan tidak pernah memanjat pokok. Ia dikenali sebagai tupai tanah, dan termasuk chipmunk, marmot dan anjing prairi. Tupai tinggal di seluruh dunia kecuali di Australia, Madagascar dan bahagian selatan Amerika Selatan. Salah satu tupai yang terkecil ialah tupai pigmi Afrika yang terdapat di barat Afrika. Beratnya lebih kurang 15 gram. Badannya lebih kurang 8 sentimeter. Tupai raksasa di Asia termasuk spesies tupai yang terbesar. Tupai ini membesar sepanjang 85 sentimeter, termasuk ekornya.
Terdapat lebih daripada 300 jenis tupai. Ia membentuk famili tupai, Sciuridae. Tupai adalah satu daripada famili terbesar rodensia (haiwan menggeroget). Seperti rodensia lain, tupai mempunyai gigi depan bak pahat. Perkataan squirrel dalam bahasa Inggeris berasal daripada dua perkataan Yunani yang bermakna ekor bayang. Ekornya yang besar dan berbulu tebal melengkung ke dalam dan kelihatan menjadikannya sentiasa berada dalam bayang. Tupai sangat tangkas. Ia mempunyai cakar yang kuat dan tajam, dan pergelangan tangan dan sendi buku lali yang fleksibel. Ia boleh bergayut kepala ke bawah untuk mencapai makanan dan berlari pantas turun dari batang pokok. Ia melompat dari dahan ke dahan, menggunakan ekornya yang berbulu tebal sebagai pengimbang.
Tupai memakan beri, buah-buahan, kulat, bijiran dan pelbagai jenis bijian. Ia juga memakan serangga dan telur burung atau anak burung. Tupai menghabiskan banyak masa merayau mencari makanan sama ada di atas pokok atau di atas tanah. Serangga adalah sumber makanan yang banyak di hutan tropika. Banyak spesies tupai biasa terdapat di kebun, taman dalam bandar, dan tapak perkhemahan dalam hutan tempat ia boleh mendapatkan makanan tambahan daripada manusia. Aktiviti makan yang dilakukan oleh tupai boleh menjadikannya perosak di ladang perhutanan komersial. Ia mengunyah kulit pokok untuk mendapatkan sap yang manis pada lapisan di bawah kulit pokok. Ini merosakan pokok berharga, malah boleh mematikannya.[4]
Selain itu, daging tupai juga telah menjadi masakan biasa di sesetengah restoran. Rasa dagingnya yang manis dan mempunyai tekstur pejal bermakna ia boleh disediakan dalam pelbagai cara, terutamanya semasa majlis keraian. Untuk mengelakkan risiko dijangkiti CJD dan penyakit lain daripada tupai yang dijangkiti, tupai biasanya diburu semasa musim sejuk dan otaknya tidak dimakan. Umumnya, daging tupai selamat untuk dimakan dan menawarkan banyak protein dan vitamin penting yang lain. Dagingnya juga sesuai untuk orang yang mempunyai masalah kesihatan.[5]
Hukum memakan tupai
Secara umumnya, para ulama telah berbeza pendapat mengenai hukum memakan dagingnya kepada dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan, ia adalah harus untuk dimakan. Ini adalah salah satu pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i dan merupakan pendapat yang sahih sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.[6] Tambahan lagi, Daud al-Fatani juga telah memasukkan tupai sebagai antara binatang darat yang halal dimakan.[7]
Menurut Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari, tupai halal dimakan kerana tupai adalah daripada jenis-jenis rubah. Manakala rubah pula termasuk dalam haiwan yang bertaring tetapi taringnya lemah dan tidak digunakan untuk memangsa. Oleh sebab itu, ia halal dimakan.[8]
Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menukilkan pendapat daripada al-Qadhi bahawa haram memakan tupai kerana ia menggigit dengan taringnya. Maka, ia menyerupai juraz (sejenis tikus besar). Selain itu, ada kemungkinan juga hukum memakannya adalah harus kerana ia menyerupai yarbu’ (tikus gurun). Apabila ada ketidakpastian (yakni ragu-ragu) antara dua hukum yang mengharuskan atau mengharamkan, maka yang didahulukan adalah hukum harus kerana ia adalah hukum yang asal dan keumuman pada nas menghendakinya.[9]
Manakala pendapat kedua pula menyebutkan bahawa ia adalah haram untuk dimakan. Ini merupakan salah satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya,[10] pendapat Abu Yusuf al-Hanafi dan Muhammad Arsyad al-Banjari. Kenyataan Muhammad Arsyad al-Banjari dapat dilihat dengan jelas dalam kitabnya, di mana beliau telah menyenaraikan haiwan tupai ini termasuk dalam kategori haiwan yang haram dimakan.[11]
Abu Yusuf menyebutkan bahawa tupai tergolong dalam kumpulan haiwan buas (pemangsa) seperti musang dan ibn ‘irs (weasels). Justeru, tidak boleh dimakan dagingnya kerana haiwan-haiwan tersebut memiliki taring. Maka, ia termasuk dalam keumuman hadith (yang mengharamkan semua haiwan yang bertaring).[12]
Tupai termasuk dalam kategori hidupan liar yang dilindungi
Keluarga Sciuridae adalah termasuk dalam kategori hidupan liar yang dilindungi sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716 yakni Akta Pemuliharaan Hidupan Liar. Jadual Pertama (seksyen 3), Bahagian 2 telah menyatakan bahawa haiwan daripada keluarga Sciuridae seperti Epixerus ebii (Western Palm Squirrel), Ratufa (Giant Squirrels) dan lain-lain adalah termasuk dalam spesies hidupan liar lain yang dilindungi.[13] Begitu juga, di dalam Jadual Kedua (seksyen 3) iaitu Hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, telah memasukkan sejumlah besar haiwan daripada keluarga Sciuridae seperti Aeromys tephromelas (Tupai Terbang Hitam), Callosciurus prevostii (Tupai Gading), Hylopetes Lepidus (Tupai Terbang Pipi Kelabu), Hylopetes spadiceus (Tupai Terbang Pipi Merah), Petaurillus kinlochii (Tupai Terbang Terkecil) dan lain-lain.[14]
Oleh sebab itu, menjadi satu kesalahan dalam negara kita untuk memburu, menangkap atau menahan jerat terhadap haiwan-haiwan berkenaan. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan dan hukuman sebagaimana yang telah termaktub dalam Akta 716 berkenaan.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging tupai haram dimakan sebagaimana salah satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i dan merupakan pendapat yang lebih selamat (Ahwat). Hal ini adalah setelah kami mengambil kira keadaan realiti dan waqi‘ negara Malaysia.
Lebih-lebih lagi, spesies tupai adalah hidupan yang semakin pupus. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang supaya dapat melihat dan mengenalinya. Maka, ia bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai‘ yakni menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar iaitu kepupusan tupai. Oleh itu, pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahat tersebut. Terdapat satu kaedah fiqh yang masyhur menyebutkan:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”
Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf — yakni baik.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 19 Februari 2022 bersamaan 17 Rejab 1443H
[1] Surah al-An‘am: 145
[2] Surah Ma’idah: 4
[3] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18.
[4] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 21/722-724.
[5] Lihat https://www.worldsafety2018.org/is-squirrel-safe-to-eat/. Diakses pada 18 Februari 2022.
[6] Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/12.
[7] Lihat Matla‘ al-Badrain, (susunan PMWP), 2/26.
[8] Lihat Asna al-Matalib Syarh Raudh al-Talib, 1/564.
[9] Lihat al-Mughni, 9/412.
[10] Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/12.
[11] Lihat Sabil al-Muhtadin, hlm. 258.
[12] Lihat Tabyin al-Haqaiq, 5/294.
[13] Lihat Akta 716, hlm. 111.
[14] Lihat Akta 716, hlm. 152-153.