Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Semalam, 11 April 2025, sukar untuk saya melelapkan mata. Entah tidak pasti sebabnya. Jadi, saya ambil keputusan untuk menonton sebahagian drama yang mendapat liputan meluas di Malaysia dan negara jiran iaitu “Bidaah”.
Ada dua perkara utama yang membuatkan saya berfikir panjang; (i) kesesuaian tajuk drama ini dan (ii) gambaran keseluruhan drama yang mungkin memberi perspektif yang kurang tepat kepada orang awam tentang hakikat sebenar beberapa aspek dalam ajaran Islam menurut al-Qur’an dan al-Sunnah.
Insya-Allah, saya akan ulas dengan terperinci dalam masa terdekat. Apa pun, tahniah kepada saudara Pali Yahya dan Puan Erma Fatima untuk penghasilan drama ini.
Justeru, dengan waktu yang ada dan sedikit kesempatan masa, saya jadikan Mawaqif pada kali ini dengan tajuk, Bidaah: Memandang Ke Hadapan dalam Penghasilan Karya Dakwah Semoga perfileman di Malaysia dan juga drama khususnya dalam bahasa Melayu terus maju, cemerlang serta membina generasi masyarakat dan mendidik ke arah yang lebih baik. Amin.
Kontroversi dan Cadangan Penambahbaikan Berkenaan dengan Drama Ini
Drama Bidaah yang pada awalnya diangkat sebagai karya berani menelusuri isu-isu keagamaan dan penyelewengan akidah, tidak terlepas daripada mencetuskan pelbagai kontroversi dalam kalangan penonton. Meskipun niat asalnya dilihat positif – mahu memberi pendedahan kepada masyarakat tentang bahaya ajaran sesat – namun beberapa kelemahan kecil dalam penyampaian, fakta, serta elemen visual telah menimbulkan persoalan dalam kalangan sebahagian masyarakat tentang sejauh mana drama ini benar-benar bertanggungjawab dari segi syariah dan sensitiviti agama. Kontroversi yang timbul bukan sekadar soal teknikal, tetapi menyentuh hal yang lebih asas: adakah seni boleh menjadi medium dakwah yang sahih tanpa mengorbankan prinsip? Maka, penilaian kritis terhadap drama ini perlu dilakukan secara telus, demi menjaga maruah ilmu dan integriti dakwah dalam dunia perfileman.
Sebagai penggiat seni Muslim, perlu ada kesedaran bahawa tanggungjawab besar terletak pada bahu kita untuk memastikan setiap karya yang dihasilkan tidak hanya memenuhi kriteria hiburan tetapi juga mematuhi prinsip-prinsip agama yang jelas. Beberapa elemen dalam drama “Bidaah” perlu diperbaiki agar ia tidak menyimpang dari nilai-nilai yang diterima dalam Islam.
- Penggunaan Istilah “Bidaah”’ sebagai Tajuk
Saya berpandangan bahawa tajuk Bidaah ini agak mengelirukan dan kurang tepat, khususnya apabila dilihat dari sudut isi kandungannya yang lebih menjurus kepada penyelewengan akidah dan kemunculan ajaran sesat. Istilah “bidaah” dalam perbahasan Islam mempunyai skop makna yang luas, meliputi aspek ibadah, muamalat, bahkan perkara duniawi, dan telah dibahaskan secara panjang lebar oleh para ulama.
Penggunaan tajuk ini untuk menggambarkan penipuan agama, dakwaan kenabian, eksploitasi wanita atas nama wahyu, serta penyimpangan akidah yang membawa kepada kufur dan murtad—seperti yang dipaparkan dalam drama ini—sebenarnya tidak mencerminkan kedalaman krisis yang sedang dibentangkan. Secara spesifik, apa yang dipersembahkan dalam drama ini lebih sesuai digolongkan sebagai al-bid’ah al-i‘tiqādiyyah (bidaah dalam kepercayaan), iaitu bentuk penyimpangan yang paling berbahaya menurut disiplin Ahli Sunnah wal Jamaah.
Tajuk yang terlalu umum ini boleh mengalih tumpuan masyarakat daripada isu sebenar, malah berisiko menyebabkan kekeliruan awam. Tajuk alternatif seperti Wahyu Palsu, Al-Mahdi, atau Ayat Sesat mungkin lebih tepat dan mencerminkan realiti yang ingin digambarkan.
2. Kekeliruan Fakta
Dalam salah satu babak, Baiduri menyatakan bahawa dalam al-Quran disebutkan bahawa jalan untuk isteri ke syurga adalah taat pada suami. Ini adalah kenyataan yang salah, kerana pernyataan seperti itu sebenarnya berasal dari hadis, bukan al-Quran. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ
Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan ta’at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9]
Al-Qur’an sendiri tidak menyebut ketaatan kepada suami sebagai syarat utama masuk syurga. Sebaliknya, ia menekankan keadilan, ihsan, dan saling menghormati dalam rumahtangga. Maka amat penting untuk memastikan semua fakta keagamaan yang dikemukakan telah disemak terlebih dahulu oleh panel rujukan syarie agar tidak menimbulkan kekeliruan.
Selain itu, pemakaian istilah Arab oleh watak Walid yang kedengaran tidak fasih menjejaskan kredibiliti watak tersebut sebagai pemimpin ajaran sesat. Realitinya, kebanyakan pemimpin ajaran sesat di Malaysia menguasai bahasa Arab dengan baik, kerana unsur bahasa menjadi alat penting untuk memanipulasi teks agama dan mempengaruhi pengikut.
3. Penggambaran Ajaran Sesat Berdasarkan Kisah Benar
Ajaran sesat merupakan salah satu cabaran besar yang menggugat akidah umat Islam di Malaysia. Ia merujuk kepada fahaman atau ajaran yang bercanggah dengan prinsip-prinsip asas Islam yang telah disepakati oleh ulama muktabar.
Takrif ajaran sesat yang diguna pakai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada masa ini adalah “sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah (iaitu Hadith sahih) serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah”.
Menurut pengakuan Puan Erma Fatima, drama ini diilhamkan daripada pengalaman peribadinya dalam sebuah kumpulan ajaran sesat. Gabungan elemen-elemen seperti pemujaan pemimpin, dakwaan kenabian, mimpi bertemu Rasulullah SAW, pengakuan sebagai Imam Mahdi, amalan nikah batin dan eksploitasinya terhadap wanita, jelas merujuk kepada fenomena seperti al-Arqam, Ayah Pin, dan kumpulan-kumpulan tarekat menyimpang lain yang masih bersembunyi di balik jubah tasawuf.
Paparan ini amat berani dan wajar dipuji kerana ia bukan sekadar rekaan, tetapi satu kritikan sosial terhadap bentuk penyimpangan akidah yang terus wujud dalam masyarakat moden. Ia juga memberi peringatan bahawa pemikiran sesat sering muncul dengan rupa yang “suci” dan “menenangkan”, namun hakikatnya menjurus kepada kehancuran akidah.
4. Penggambaran Aurat dan Sentuhan Antara Lelaki dan Perempuan Ajnabi
Satu lagi elemen yang perlu diperbaiki adalah penggambaran aurat wanita dan babak yang melibatkan sentuhan antara lelaki dan perempuan ajnabi. Dalam drama ini, Baiduri, yang merupakan lulusan Universiti di Mesir, tidak bertudung dalam beberapa babak dan terdapat babak bersalaman antara lelaki dan wanita ajnabi. Ini tidak selari dengan prinsip syariah yang menggariskan batasan aurat dan pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Walaupun kita faham bahawa elemen-elemen ‘panas’ sering digunakan dalam drama untuk menarik perhatian penonton, namun ia tidak seharusnya mengorbankan prinsip syariah. Sebagai contoh, untuk babak intim antara Walid dan isterinya atau dialog “Walid nak Dewi boleh?”, tiada keperluan untuk menonjolkan adegan tersebut secara keterlaluan. Saya amat khuatir ia menjadi ikutan kanak-kanak kerana sudah ada aduan sampai kepada saya, kanak-kanak mengajuk dialog berkenaan di sekolah.
Teknik close-up, cut-away shots, atau silhouette lighting boleh digunakan untuk mencipta kesan dramatik tanpa perlu memperlihatkan adegan tersebut secara langsung. Pengarah dan penggiat seni sepatutnya lebih kreatif dalam menggunakan teknik kamera atau pendekatan visual yang lebih sesuai tanpa melanggar batasan akhlak dan adab.
Mauqif
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Maksudnya: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”
(Surah Hud: 88)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, lafaz “إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ” (Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku), maksudnya adalah dalam apa yang aku perintahkan kepadamu dan aku melarangmu, aku hanyalah ingin memperbaikimu dengan kemampuanku dan kekuatanku. Seterusnya lafaz “وَمَا تَوْفِيقِي” (dan tiadalah aku akan beroleh taufiq untuk menjayakannya) pula adalah bermaksud dalam meraih kebenaran dalam apa yang aku inginkan. Kemudian, lafaz “إِلَّا بِاللَّـهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ” (melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri) iaitu dalam segala urusanku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/344)
Imam al-Baidhawi menjelaskan maksud ayat (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ) adalah apa yang aku inginkan adalah mengislahkan kamu semua dalam perkara makruf dan mencegah kamu semua daripada perkara mungkar dengan sedaya upaya yang aku miliki. Perkataan (الْإِصْلَاحَ) merujuk kepada kadar yang termampu. Seterusnya, ayat (وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ) ini pula bermaksud aku tidak mendapat taufiq untuk mengatakan yang betul dan benar tanpa hidayah dan pertolongan daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/145).
Struktur Naratif al-Qur’an sebagai Kerangka Filem Dakwah Kontemporari
Sejak awal kewujudannya, al-Qur’an bukan sekadar kitab hukum atau akidah, tetapi sebuah teks naratif yang penuh dengan pengajaran berbentuk kisah (qaṣaṣ), perumpamaan (amthāl), serta pertukaran antara harapan dan ancaman. Unsur ini telah membentuk watak manusia berabad-abad lamanya. Dalam era filem sebagai medium penyampai mesej yang paling berpengaruh, muncul keperluan untuk menggali semula pendekatan Qur’ani ini sebagai asas pembangunan naratif dalam filem dakwah.
Al-Quran membina naratif antara kebaikan dan keburukan dalam bentuk dua etika, bukan untuk memecahkan dunia kepada hitam dan putih secara mutlak, tetapi untuk mendorong manusia berfikir, memilih, dan berubah. Selain itu, al-Qur’an turut menzahirkan pergelutan antara nafsu yang cenderung kepada keburukan dan roh yang mengajak kepada kebaikan.
Misalnya firman Allah SWT
فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
“Maka Dia mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.”
(Surah al-Shams, 91:8)
Dalam ayat ini, Allah tidak hanya menyebut satu sisi, tetapi kedua-dua sisi – memberikan manusia kesedaran moral bahawa mereka memiliki potensi kepada kedua-duanya.
Naratif al-Quran banyak bergantung pada prinsip taqabul – iaitu keseimbangan atau kontras antara dua nilai. Keburukan sering disandingkan dengan kebaikan, sama ada dalam bentuk perbandingan, peringatan, atau sebagai tawaran pilihan. Jadual berikut memperlihatkan beberapa contoh:
Kufur – Iman (al-Baqarah: 256)
Dosa – Taubat (Taha: 82)
Zalim – Adil (al-Ma’idah: 8)
Pendekatan ini membina kesedaran bahawa Islam tidak hanya mengajar tentang yang salah, tetapi turut diberikan alternatif dan jalan kembali.
Al-Quran juga menampilkan dua sayap utama tarbiyah rohani: targhīb (galakan/harapan) dan tarhīb (peringatan/ketakutan). Antara ayat yang menggabungkan kedua-duanya secara indah ialah:
نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ. وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ الْعَذَابُ الْأَلِيمُ
“Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku bahawa sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan bahawa azab-Ku adalah azab yang sangat pedih.”
(al-Hijr, 15:49–50)
Menariknya, rahmat Allah didahulukan, menggambarkan bahawa Islam ialah agama yang memberi peluang dan kasih sayang, meskipun tetap tegas dalam memberi amaran.
Dalam kisah Qarun, al-Quran tidak hanya memaparkan keangkuhan dan kekayaannya yang melampau, tetapi turut menghadirkan suara nasihat daripada kalangan beriman:
وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ
“Berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu…”
(al-Qasas, 28:77)
Naratif ini memperlihatkan bahawa dalam tengah-tengah kemungkaran sekalipun, suara kebenaran dan kebaikan tetap wujud – menjadi hujah ke atas mereka yang ingkar, dan cahaya bagi mereka yang mahu berubah.
Salah satu ciri unik naratif al-Quran ialah ia bukan sahaja menyebut keburukan sebagai sesuatu yang harus dijauhi, tetapi juga memperlihatkan bagaimana ia boleh ditebus dan diganti dengan kebaikan:
إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ
“Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu menghapuskan kejahatan-kejahatan.”
(Hud, 11:114)
Ini memperlihatkan prinsip transformasi kerohanian – bahawa manusia tidak ditakdirkan kekal dalam kegelapan, dan bahawa kebaikan mempunyai kekuatan penyucian (tazkiyah).
Kerangka Karya Seni Dakwah Berdasarkan Naratif al-Quran
Filem atau drama dakwah yang berkesan mesti memaparkan perjalanan moral yang penuh dengan pergolakan antara kebaikan dan keburukan, seperti yang digariskan dalam al-Quran. Elemen pertama yang wajib ada adalah sadmah, atau kejutan awal yang mencetuskan konflik dalam diri watak utama. Ini boleh berupa kehilangan besar, krisis hidup, atau pertemuan dengan musibah yang membuatkan watak tersebut mula berfikir tentang arah hidupnya. Dalam al-Quran, kisah Qarun yang ditelan bumi selepas keangkuhannya adalah contoh yang menunjukkan betapa cepatnya perubahan takdir (al-Qasas: 81).
Konflik dalaman juga memainkan peranan penting. Watak utama perlu berada dalam keadaan terjebak antara kebaikan dan keburukan. Ia dapat dipaparkan dengan visual yang jelas atau monolog dalaman yang mencerminkan pertempuran jiwa antara dua jalan. Ini merujuk kepada konsep al-Quran dalam surah al-Balad (90:10) di mana manusia diberi dua jalan—jalan takwa dan jalan kefasikan.
Elemen penting seterusnya adalah suara dakwah, di mana watak minor atau sekunder memainkan peranan memberi nasihat atau menyedarkan watak utama. Ia tidak semestinya sehingga menenggelamkan watak utama tetapi penuh dengan hikmah dan memberi impak besar, seperti nasihat yang diberikan kepada Qarun dalam surah al-Qasas. Watak ini berfungsi sebagai penyuluh jalan, mengingatkan watak utama tentang pilihan yang lebih baik, sekaligus menjadi alat dakwah dalam filem.
Dalam filem dakwah, tarhīb dan targhīb mesti wujud secara seimbang. Tarhīb boleh ditunjukkan melalui babak yang menggerunkan, seperti gambaran tentang azab atau akibat buruk jika terus memilih keburukan, sementara targhīb memberi harapan dengan menunjukkan rahmat dan pengampunan Allah yang luas, seperti yang digambarkan dalam surah al-Hijr (15:49). Elemen ini sangat penting untuk memberi keseimbangan emosi kepada penonton, di samping mengajak mereka untuk lebih dekat dengan Tuhan. Saya dapat merasakan elemen ini wujud dalam Bidaah cuma mungkin kekuatan watak Walid boleh dikatakan menenggelamkan “aura” Hambali.
Akhirnya, jalan cerita boleh membawa kepada transformasi moral watak utama, yang melalui perubahan besar dari sisi negatif kepada positif. Ini adalah momen redemption arc atau penebusan diri, di mana watak utama belajar dari kesilapannya dan akhirnya memilih kebaikan. Boleh juga digambarkan watak utama ditangkap atau terbunuh atau lain-lain yang menggambarkan kejahatan telah kalah. Babak klimaks ini adalah titik pemisah antara memilih jalan yang benar atau jalan yang salah. Pada akhirnya, meskipun cerita mungkin berakhir dengan cara yang tidak semestinya bahagia, ia wajib memberikan penonton harapan dan keyakinan bahawa kebaikan selalu ada sebagai jalan keluar dari keburukan.
Penutup
Akhir kalam, saya mengangkat setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh krew produksi Bidaah atas daya usaha luar biasa dalam menerbitkan karya yang mencetuskan perbincangan dan kesedaran keagamaan secara meluas, bukan sahaja di Malaysia, bahkan hingga ke Indonesia.
Penghargaan juga kepada para asatizah, guru-guru, dan masyarakat awam yang telah memberi respons yang matang dan penuh hikmah terhadap drama ini. Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita cakna dan sensitif terhadap penerbitan karya-karya yang menyentuh soal agama dan aqidah.
Namun begitu, kami juga melihat keperluan untuk beberapa penambahbaikan, agar karya-karya berunsur Islam bukan sahaja berjaya dari sudut seni dan sinematografi, tetapi juga teguh dari aspek Syariah dan akidah. Maka antara saranan saya termasuklah:
1.Penginstitusian & Tadbir Urus Syariah dalam Industri Kreatif
- Aktifkan semula dan perluaskan mandat Panel Syariah Sektor Kreatif (di bawah FINAS, JAKIM atau kerjasama rentas agensi). Pastikan ia berperanan dari peringkat pembangunan skrip sehingga pasca-produksi.
- Tubuhkan unit penapisan dalaman berasaskan Syariah dalam syarikat produksi yang menghasilkan kandungan agama untuk menilai risiko syirik, kufur, atau bidaah secara dalaman terlebih dahulu sebelum kelulusan agensi luar.
- Wujudkan Standard Operating Procedure (SOP) penghasilan kandungan Islamik, melibatkan rujukan kepada fatwa, Maqasid Syariah dan sensitiviti akidah, yang perlu dipatuhi sebelum sesebuah karya diluluskan untuk tayangan awam.
2. Kepatuhan kepada Piawaian Autoriti Agama
- Rujuk fatwa-fatwa rasmi negeri dan kebangsaan bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan terhadap ajaran sesat yang telah difatwakan atau yang masih dalam pemantauan.
- Gunakan garis panduan kandungan agama oleh JAKIM atau Jabatan Mufti secara proaktif, bukan hanya sebagai rujukan semata-mata, tetapi sebagai kerangka pengawalseliaan (compliance framework).
- Libatkan pakar rujuk agama sebagai penasihat tetap produksi, bukan sekadar sebagai simbolik atau ‘pelaris’ kandungan Islamik.
3. Pembangunan Watak dan Naratif Berteraskan Kebenaran Islam
- Elakkan watak antagonis yang bersifat mutlak jahat tanpa kontras nilai atau taubat. Islam mengajar proses tazkiyah (penyucian jiwa), bukan hanya hukuman. Tampilkan perjuangan batin dan fitrah yang ingin kembali kepada kebenaran.
- Pastikan setiap watak dan perwatakan mengikuti neraca adab Islam, bukan sekadar skrip dramatik — dari cara berpakaian, tutur kata, hingga motivasi tindakan.
- Gunakan naratif al-Qur’an sebagai kerangka cerita: penekanan pada perjuangan antara kebenaran (haqq) dan kebatilan (bāṭil), hikmah dalam dakwah, serta pengakhiran yang menzahirkan sunnatullah terhadap kejayaan perjuangan tauhid.
4. Literasi Kandungan dan Ketelitian Akademik
- Laksanakan kajian latar (background research) secara teliti, merangkumi fiqh, akidah, sejarah, dan sosiobudaya sebelum menghasilkan watak atau gerakan.
- Bekerjasama dengan institusi akademik atau pusat penyelidikan Islam bagi menyemak fakta dan konteks ajaran yang ingin diangkat.
- Elakkan pendekatan sensasi yang boleh mencemarkan citra Islam atau mengelirukan masyarakat awam yang mungkin belum ada latar pendidikan agama yang kukuh.
Drama Bidaah memaparkan sebahagian realiti yang berlaku dalam masyarakat Malaysia – wujudnya segelintir individu atau kumpulan yang menunggang agama demi kepentingan peribadi. Namun, dalam membawa isu ini ke layar, wujud tanggungjawab besar kepada krew produksi untuk menyampaikan naratif yang adil dan seimbang. Penyampaian yang terlalu menonjolkan kesalahan dan kejahatan melalui simbol-simbol agama seperti jubah, serban dan janggut sudah terlalu klise dan boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap keseluruhan institusi keagamaan serta para asatizah yang tulen. Hal ini bukan sahaja tidak adil kepada realiti yang lebih luas, bahkan juga mengundang pandangan sinis segelintir masyarakat terhadap Islam yang bersumberkan rahmat dan hikmah.
Dalam konteks ini, pihak produksi harus lebih sedar bahawa sesebuah drama bukan hanya cerminan realiti, tetapi juga pembentuk persepsi masyarakat. Dalam masyarakat majoriti Muslim seperti Malaysia, drama yang bersandarkan agama tidak boleh bebas nilai. Ia perlu memikul tanggungjawab moral dan budaya dengan mendalam. Naratif yang mengkritik penyelewengan agama perlu diimbangi dengan watak yang benar dan membimbing, sepertimana naratif al-Qur’an memaparkan Musa ketika berdepan Fir‘aun, atau sahabat ketika berhadapan kaum munafik. Kejelasan antara yang haq dan batil dalam bentuk tindakan dan nilai harus dipertahankan agar penonton tidak terus terperangkap dalam stereotaip atau kekeliruan.
Justeru, produksi masa depan perlu lebih peka terhadap kesan jangka panjang terhadap masyarakat. Watak antagonis tidak cukup sekadar ditangkap polis, tetapi perlu juga diimbangi dengan proses taubat, penyucian jiwa, dan penegakan kebenaran oleh watak-watak yang membawa mesej Islam sebenar. Naratif Qurani menampilkan bukan sahaja konflik, tetapi juga jalan keluar dan harapan. Inilah kekuatan naratif Islam – bukan hanya mendedahkan kebatilan, tetapi juga membimbing ke arah cahaya. Tanpa keseimbangan ini, drama agama akan terus menjadi medan kontroversi, bukan medan dakwah.
Saya sentiasa berdoa kepada Allah, satu masa nanti, ada pengarah filem di Malaysia yang mampu menzahirkan senaskhah drama atau filem sepertimana yang telah ada seperti The Lion of Desert, al-Risalah, Diriliş: Ertuğrul, dan banyak lagi drama-drama bersiri yang cukup menarik melibatkan tokoh Islam di Nusantara.
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”
