Mukadimah 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sempena sambutan Hari Ibu pada 11 Mei 2025, kami tampilkan Mauqif kami dengan tajuk “Ibu sebagai Madrasah Pertama: Inilah Mauqif Kami.”

Peranan ibu dalam kehidupan seseorang insan amatlah besar, tidak pernah dinafikan sejak dahulu hingga kini. Islam meletakkan kedudukan ibu pada martabat yang tinggi dan mulia kerana daripadanya bermula kehidupan seorang insan dan daripadanya juga mengalir denyut nadi yang membentuk arah hidup manusia.

Bersempena sambutan ini, kami ingin menyoroti semula kedudukan ibu sebagai madrasah pertama dalam kehidupan umat manusia. Dialah guru awal yang memperkenalkan makna kehidupan, asas nilai, dan batas adab. Ibulah tunjang utama dalam membentuk peribadi anak-anak yang soleh dan solehah, yang kemudiannya menjadi aset ummah dan masyarakat.

Ibu bukan sekadar penjaga rumahtangga, bahkan merupakan pembentuk akhlak, penanam prinsip, dan pendidik awal yang mempengaruhi hala tuju bangsa. Maka wajarlah ibu diberikan penghormatan dan kasih sayang yang penuh sepanjang hayat.

Semoga Mauqif ini menyemarakkan lagi rasa cinta, kasih dan hormat kita kepada ibu—bukan hanya pada hari ini, bahkan sepanjang masa.

Sebagai penutup, kami lafazkan doa yang diajarkan oleh Allah SWT:

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka berdua mendidikku semasa kecil.”

 (Surah al-Isra’: 24)

Pengorbanan Ibu

Firman Allah SWT:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ ‎

Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

(Surah Luqman: 14)

Ibn Kathir dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini beliau berkata : “Daripada ayat ini, Ibn Abbas dan selain beliau daripada kalangan para a’immah (para ulama) mengistinbatkan bahawa tempoh hamil yang paling singkat adalah selama enam bulan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/336)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah: ‘وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ’ (Dan Kami telah memerintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya) Dalam ayat ini, Allah SWT menghubungkan perintah bersyukur kepada ibu bapa dengan perintah bersyukur kepada-Nya sendiri. Ini menunjukkan bahawa hak kedua-dua ibu bapa merupakan antara hak yang paling besar yang wajib ditunaikan oleh seorang anak. ‘حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ’  (Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah) Maksudnya, ibu mengandung anak dalam keadaan fizikal yang lemah dan keadaan itu semakin bertambah dari satu tahap ke satu tahap seiring dengan perkembangan kandungan. Ada juga pandangan yang menyatakan bahawa maksud ayat ini menunjukkan bahawa wanita secara fitrahnya merupakan makhluk yang lemah, dan kelemahan itu bertambah dengan proses kehamilan yang mencabar.

Firman Allah , ‘وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ’ (Dan penyusuannya tamat dalam tempoh dua tahun) Ini bermakna tempoh penyusuan dan pengasuhan anak secara sempurna oleh ibu adalah selama dua tahun. ‘أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ’  (Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu) Ini merupakan inti pati daripada wasiat Allah SWT agar manusia sentiasa bersyukur, bukan hanya kepada-Nya sebagai Pencipta, tetapi juga kepada kedua-dua ibu bapa yang telah berpenat lelah membesarkan mereka. Rasa syukur ini perlu diterjemahkan dalam bentuk penghormatan, ketaatan, doa, dan layanan yang baik. (Lihat Fath al-Qadir, 5/211)

Ibu Sebagai Madrasah

Penyair Mesir tersohor, Hafiz Ibrahim Rahimahullah pernah berkata:

الأُمُّ مَدْرَسَةٌ إِذَا أَعْدَدْتَهَا      أَعْدَدْتَ شَعْبَاً طَيَّبَ الأَعْرَاقِ

الأُمُّ أُسْتَاذُ الأَسَاتِذَةِ الأُلى   بَلَغَتْ مَآثِرُهُمْ مَدَى الآفَاقِ

Ibu adalah sebuah madrasah; jika engkau mempersiapkannya,

Maka sesungguhnya engkau sedang mempersiapkan bangsa yang baik akarnya.

Ibu ialah guru kepada segala guru;

Jasa mereka menjangkau hingga ke seluruh ufuk alam.

Ibu digelar madrasah pertama kerana daripadanya bermula pendidikan awal seorang insan. Dialah yang mula mengajarkan anak bertutur kata, membimbing penggunaan bahasa yang baik dan beradab, serta membina asas pembentukan jati diri. Pertumbuhan fizikal, perkembangan akal, dan pengasuhan akhlak semuanya diperhati dan ditadbir penuh kasih sayang oleh seorang ibu, demi membentuk insan yang benar-benar layak memikul amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Dengan kelembutannya, ibu mendidik dengan kasih; dengan ketegasannya, ibu membentuk manusia yang berwatak mulia. Itulah kehebatan seorang ibu—di sebalik kelembutan ada keteguhan, dan di sebalik senyuman ada kekuatan yang menggerakkan generasi.

Tidak hairanlah, di sebalik setiap tokoh besar dan luar biasa, pasti berdiri seorang ibu yang hebat, tabah dan berjiwa besar. Membicarakan peranan seorang ibu tidak mungkin cukup dengan selembar kertas. Ia memerlukan ribuan helaian untuk menyelusuri jasa dan pengorbanan ibu dari segenap dimensi dan sudut pandang. Itulah ibu—sumber inspirasi, harapan, dan kekuatan sebuah generasi.

Sejarah membuktikan, terlalu ramai tokoh-tokoh ibu mithali yang menjadi madrasah kepada anak-anaknya, antaranya Ummu Anas yang bernama Mulaikah binti Milhan, Asma’ binti Abi Bakr, Safiyyah bin Abd al-Muttalib Ummu al-Zubair, al-Khansa’ Ummu al-Syuhada’ dan ramai lagi.

Contoh Ibu Mithali

Kami paparkan di sini contoh ibu-ibu terbaik yang telah mencipta sejarah dengan melahirkan tokoh-tokoh luar biasa — sama ada dalam keilmuan sebagai ulama terkemuka, mahupun dalam kepimpinan sebagai pemerintah yang adil. Di sebalik keilmuan dan kewibawaan mereka, pasti berdiri seorang ibu yang luar biasa; sosok yang tegas, berprinsip, namun sarat dengan kasih sayang. Kami tampilkan di sini sebahagian daripada contoh ibu mithali yang keunggulannya sukar digambarkan dengan kata-kata. Antaranya:

  • Ibu Abu Hanifah 

Dikatakan ibu Imam Abu Hanifah seorang yang mengambil berat terhadap anaknya iaitu Nukman nama bagi Imam Abu Hanifah. Setiap kali mahu pergi menuntut ilmu, sudah pasti ibunya memberi tips dan nasihat. Yang menghairankan Imam Abu Hanifah ghalibnya (kebiasaannya) nasihat tersebut benar-benar mengena sasaran dan perlakuan yang telah dilakukan oleh Imam Abu Hanifah. Pernah suatu ketika bajunya terkena dakwat menyebabkan dia bergegas ke sumur yang ketika itu ramai wanita yang sedang membasuh baju di situ. Didapati ibunya juga bersama di situ. Tatkala ditanya, kenapa ibu berada di sini, jawab ibunya untuk membasuh baju Nukman. Dari situ fahamlah Imam Abu Hanifah yang ibunya begitu bersungguh-sungguh memerhati gerak-gerinya dari jarak jauh agar anaknya benar-benar menjadi insan rabbani dan ulama pada masa akan datang. Itulah hebatnya ibu Imam Abu Hanifah. (Lihat Biografi Imam Empat Mazhab, hlm. 23)

  • Ibu Imam Malik

Ibu kepada Imam Mālik bin Anas merupakan seorang wanita yang turut mencipta sejarah. Beliau telah meletakkan tapak awal anaknya di jalan ilmu dan mendorongnya untuk terus melangkah di atasnya. Hasilnya, anaknya menjadi antara tokoh imam terkemuka dalam sejarah Islam. Sehingga hari ini, masih terdapat beberapa buah wilayah yang mengikuti mazhab fiqhnya secara hampir eksklusif, di samping banyak lagi negara umat Islam lain yang turut berpegang kepada mazhab ini. Dialah ibu kepada Imam Mālik bin Anas, Imam Dār al-Hijrah, mufti pertama kota Madinah, serta pengasas mazhab fiqh yang diikuti di kawasan Afrika Utara, dan sebelum ini juga di wilayah Andalus.

Nama ibu Imam Mālik ialah ʿĀliyah binti Sharīk al-Azdiyyah. Ayahnya bernama Anas, dan meskipun bapa serta pakcik dan datuknya, Mālik bin Abī ʿĀmir, merupakan dalam kalangan ilmuwan, peranan utama mendidik Mālik telah diambil oleh ibunya. Beliau sangat memuliakan ilmu dan mempersiapkan anaknya dengan pakaian yang sesuai sebelum menghadiri majlis ilmu. Kata Mālik: “Aku berkata kepada ibuku: Bolehkah aku pergi menulis ilmu?” Lalu ibuku berkata: “Marilah, pakailah pakaian ahli ilmu.” Maka beliau memakaikanku pakaian yang terangkat ke atas (pakaian pendek dan kemas), meletakkan serban panjang di atas kepalaku (yakni qalansuwah panjang), kemudian melilitkannya dengan serban. Setelah itu beliau berkata: “Sekarang pergilah dan tulislah ilmu.” Mālik rahimahullah juga menyatakan: “Ibuku yang memakaikan aku serban dan berkata: Pergilah kepada Rabi‘ah dan pelajarilah adabnya sebelum ilmunya” (Rabi‘ah bin Abī ‘Abd al-Raḥmān, seorang faqih yang terkenal dengan pendapatnya dalam kalangan penduduk Madinah, dikenali sebagai Rabi‘ah al-Ra’y). (Lihat Tartīb al-Madārik wa Taqrīb al-Masālik, 1/130)

Diriwayatkan sebuah kisah yang mengatakan, pada awalnya Imam Malik bercita-cita mahu menjadi penyanyi, tetapi ibunya menasihatkannya supaya meninggalkan cita-cita itu dan meminta beliau supaya mempelajari ilmu fiqh. Lalu beliau menerima nasihat ibunya dengan baik. Apabila ibunya mengetahui beliau bercita-cita sedemikian, ibunya memberitahu kepadanya: “Sesungguhnya penyanyi yang mukanya tidak menarik tidak akan digemari ramai.” Oleh itu, ibunya meminta supaya beliau mempelajari ilmu fiqh. Tujuan ibunya berkata demikian adalah untuk melarang Imam Malik daripada menjadi penyanyi kerana Imam Malik adalah terkenal dengan paras rupanya yang menarik. (Lihat al-Aghani oleh al-Asbahani, 4/159)[1]

  • Ibu Imam Syafie

Bapa beliau meninggal ketika beliau masih kecil. Ketika berumur dua tahun, ibu Imam al-Syafi‘i membawa beliau menuju ke Makkah. Dalam perjalanan ke Makkah, mereka sempat menetap di Hijaz bersama ibunya untuk tinggal bersama-sama dengan kaumnya dalam kalangan ahli Yaman daripada suku Azdiyyah. Apabila usia Imam al-Syafi‘i mencecah 10 tahun, ibunya bimbang nasabnya al-Syarif akan hilang dan dilupakan. Justeru, ibunya membawanya masuk ke Makkah. Ini jelas melalui kenyataan Imam al-Syafi‘i sendiri yang berkata: “Aku tiba di Makkah ketika aku berusia kira-kira 10 tahun.” (Lihat Adab al-Syafi‘i wa Manaqibuhu, hlm. 18; al-Imam al-Syafi‘i Faqih al-Sunnah al-Akbar, hlm. 50; Tawali al-Ta’sis, hlm. 52)

Ibu Imam al-Syafi’i telah mewajibkan beliau menghafaz al-Quran al-Karim, dan beliau telah mengkhatamkannya ketika berumur tujuh tahun. Kemudian beliau beralih kepada sumber hadith untuk mengambil manfaat daripadanya, lalu menghafaz kitab al-Muwatta’ ketika berumur sepuluh tahun. Selepas itu, beliau meneruskan pencarian ilmu di Mekah sehinggalah beliau diberi keizinan untuk berfatwa sebelum mencapai usia dua puluh tahun. (Lihat Adab al-Syafi’i wa Manaqibuhu, hlm. 31)

Itulah sebahagian perkara yang menonjolkan keutamaan ibu yang agung ini. Beliau mengetahui jalan yang benar, meletakkan anaknya di atas jalan tersebut, dan mewajibkan anaknya menempuhnya. Semua itu menunjukkan bahawa beliau memiliki kelebihan akal dan kebijaksanaan. Mungkin juga beliau pernah mendalami sedikit sebanyak ilmu, yang mana kaum wanita pada zaman tersebut tidak asing daripada memiliki sebahagiannya. Hal ini disokong oleh riwayat yang menyebut bahawa beliau pernah memberi keterangan di hadapan Qadi (Hakim) Mekah dalam suatu kes bersama seorang wanita lain. Lalu qadi tersebut cuba memisahkan mereka berdua sebagai satu bentuk ujian, namun ibu Imam al-Syafi‘i berkata kepadanya: “Engkau tidak berhak berbuat demikian, kerana Allah Ta‘ala telah berfirman: “ أَنْ تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى ” [Surah al-Baqarah: 282]. Maka qadi itu pun terdiam. (Lihat I’la al-Sunan, 15/308) Peristiwa ini menunjukkan kelebihan akal dan ilmu yang dimiliki oleh beliau.

  • Ibu Imam Ahmad

Bapa Imam Ahmad bin Hanbal meninggal dunia semasa beliau masih kecil dan beliau tidak sempat untuk mengenali bapanya. Beliau menjadi yatim semenjak kecil dan dijaga oleh ibunya. Nama ibunya ialah Safiyyah binti Maimunah binti ‘Abd al-Malik bin Sawadah bin Hindun al-Syaibani, dari suku Amir. Ibunya adalah seorang Arab dari keturunan Syaibaniyyah, sama seperti bapanya. Ibu beliau mengandungkan beliau ketika di kota Marwa al-Syahajan – Khurasan, kemudian berhijrah ke Baghdad. Suku atau kabilah Syaiban terletak di Basrah. Oleh itu, beliau digelar Basri (orang Basrah). Apabila beliau menziarahi Basrah, beliau akan sembahyang di Masjid Mazin, dari keturunan Syaiban. Beliau pernah berkata: Masjid ini adalah masjid datuk moyangku.

Disebabkan bapanya telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil, maka ibunya — seorang wanita yang zuhud, rajin beribadah, berpuasa dan mendirikan solat malam — mengambil tanggungjawab penuh membesarkannya. Inilah peranan wanita apabila dia menjadi seorang yang solehah. Wanita seperti inilah yang melahirkan batu-bata masyarakat yang kukuh dan berkualiti. Ibunya telah mendidik beliau sejak kecil dengan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya serta kecintaan kepada Kitab Allah. Imam Ahmad sendiri berkata: “Ibuku menghafazkan aku al-Quran ketika usiaku sepuluh tahun.” Sesiapa yang menghafaz al-Quran, seolah-olah telah menghimpun benih kenabian di dalam dirinya.

Beliau berkata lagi: “Ibuku biasa mengejutkan aku sebelum waktu Subuh dengan cukup awal, dan memanaskan air untukku kerana cuaca di Baghdad sangat sejuk. Beliau memakaikan aku pakaian, lalu kami solat bersama sebanyak mana yang kami mampu. Selepas itu, kami keluar menuju ke masjid — ibuku dalam keadaan memakai jilbab penuh — kerana jaraknya jauh, gelap dan sunyi. Beliau menemaniku untuk menunaikan solat Subuh di masjid — ketika itu usiaku baru sepuluh tahun — dan akan terus berada bersamaku hingga ke tengah hari untuk memastikan aku belajar ilmu serta menerima didikan yang membentuk diriku menjadi insan yang soleh, yang kelak memberi manfaat kepada ibuku apabila dia kembali menghadap Allah SWT.”

Imam Ahmad berkata: “Apabila aku mencapai usia enam belas tahun, ibuku berkata: ‘Wahai anakku! Pergilah bermusafir untuk menuntut hadis, kerana menuntut hadis itu adalah satu bentuk hijrah di jalan Allah.'”

Lalu ibunya menyediakan sedikit bekalan untuk perjalanan, seperti beberapa keping roti daripada barli, sebungkus kecil garam, dan beberapa keperluan asas untuk musafir. Kemudian ibunya berpesan: “Sesungguhnya jika sesuatu itu diserahkan kepada penjagaan Allah, nescaya Dia akan memeliharanya. Maka, aku menyerahkanmu kepada Allah — Tuhan yang tidak akan mensia-siakan sesuatu yang diserahkan kepada-Nya.” (Lihat Durus li al-Syaikh ‘Ali al-Qarni, 43/21)

Terdapat hal yang menunjukkan bahawa ibu Imam Ahmad bin Hanbal adalah seorang yang tinggi kedudukannya. Malah, pada pandangan anaknya, seperti yang diceritakan oleh beliau sendiri: Apabila beliau keluar menuju ke Kufah, beliau terkena demam panas. Beliau berkata: “Kemudian, aku kembali kepada ibuku dan meminta belas kasihan daripadanya kerana sebelum itu aku tidak meminta izin daripada ibuku.” Percakapan Imam Ahmad bin Hanbal seolah-olah menunjukkan bahawa beliau terkena penyakit demam panas kerana beliau tidak meminta izin daripada ibunya. (Lihat Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 14; Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/179)

  • Ibu Imam Bukhari

Ibu Imam al-Bukhari merupakan seorang wanita yang taat beribadah dan dianugerahkan dengan beberapa karamah (kemuliaan luar biasa). Beliau dikurniakan anugerah besar dalam berdoa dan bermunajat kepada Allah. Beliau terkenal sebagai seorang yang sangat bertakwa dan solehah, serta amat prihatin terhadap pendidikan anak-anaknya, membesarkan mereka atas asas keimanan, akhlak mulia dan kecintaan kepada ilmu.

Abu ‘Ali al-Ghassani turut meriwayatkan dalam bukunya Taqyid al-Muhmal wa Tamyīz al-Musykil mengenai ketakwaan dan kesolehan ibu Imam al-Bukhari:

“Muhammad bin Isma‘il (yakni Imam al-Bukhari) pernah hilang penglihatannya semasa kecil. Ibunya adalah seorang wanita ahli ibadah. Suatu malam, beliau bermimpi melihat Nabi Ibrahim Khalilullah – selawat dan salam ke atasnya – yang berkata kepadanya: ‘Sesungguhnya Allah – Maha Suci dan Maha Tinggi – telah mengembalikan penglihatan anakmu kerana banyaknya doa dan tangisanmu.’”

Beliau berkata: “Maka pada pagi itu, penglihatan anakku telah kembali seperti sediakala.”

Ibunya memberi perhatian penuh terhadap pendidikan Imam al-Bukhari dan memastikan beliau mendapat asuhan yang baik. Beliau menghantar anaknya ke kelas kuttab (sekolah asas mengaji al-Quran dan menulis) dan anaknya terus belajar di sana sehingga mencapai usia sepuluh tahun.

Peranan ibu Imam al-Bukhari tidak terhenti sekadar membesarkan dan mendidiknya dalam lingkungan rumah. Bahkan, beliau terus menyokong perjalanan ilmunya. Ketika Imam al-Bukhari berusia enam belas tahun, ibunya telah keluar bersamanya dan saudaranya, Ahmad, dari kota Bukhara menuju ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadah haji. Selesai menunaikan haji, si ibu pulang ke kampung halaman bersama anak lelakinya Ahmad, manakala Imam al-Bukhari tetap tinggal di Makkah untuk menuntut ilmu hadis.

Imam al-Bukhari sendiri pernah meriwayatkan peristiwa ini sebagaimana disebut dalam Tabaqat al-Syafiiyyah al-Kubra (2/216-217) karya Taj al-Din al-Subki:

Abu Ja‘far Muhammad bin Abī Hātim, salah seorang murid, pencatat dan sahabat rapat Imam al-Bukhari berkata: “Aku bertanya kepada al-Bukhari: Bagaimana permulaan kisahmu?

Beliau menjawab: Aku telah diilhamkan untuk menghafal hadis semasa berada di kelas kuttab ketika berumur sepuluh tahun atau kurang. Aku keluar dari kuttab selepas umur sepuluh tahun, lalu mula menghadiri majlis ilmu bersama al-Dākhilī dan selainnya. Pada suatu hari, al-Dākhilī membaca kepada orang ramai: ‘Sufyan daripada Abu al-Zubayr daripada Ibrahim’.

Lalu aku berkata kepadanya: ‘Sesungguhnya Abu al-Zubayr tidak meriwayatkan daripada Ibrahim.’

Beliau memarahiku, lalu aku berkata: ‘Tuan boleh semak semula pada naskhah asal.’

Lalu beliau masuk dan kembali semula, lalu berkata kepadaku: ‘Bagaimana, wahai anak kecil?’

Aku menjawab: ‘Ia sepatutnya: al-Zubayr bin ‘Adiyy daripada Ibrahim.’

Maka beliau mengambil penaku dan membetulkan catatan tersebut, lalu berkata: ‘Engkau benar.’”

Kemudian sahabatnya bertanya kepada al-Bukhari: ‘Berapa umurmu ketika itu?’

Beliau menjawab: ‘Sebelas tahun.’

Kata beliau lagi: “Apabila aku mencapai umur enam belas tahun, aku telah menghafal kitab-kitab Ibn al-Mubarak dan Waki‘, serta memahami kata-kata mereka. Kemudian aku keluar bersama ibuku dan saudaraku Ahmad ke Makkah. Setelah kami menunaikan haji, saudaraku pulang bersama ibu kami, manakala aku tetap tinggal di sana untuk menuntut ilmu hadis.

Ketika aku mencapai umur lapan belas tahun, aku mula menyusun (kitab) tentang hukum-hakam para sahabat dan tabi‘in serta pandangan-pandangan mereka. Ketika itulah zaman ‘Ubaidullah bin Musa. Aku juga menyusun kitab al-Tārīkh (sejarah perawi-perawi hadis) di sisi maqam Nabi SAW pada malam-malam yang bercahaya bulan. Tiada satu pun nama dalam kitab al-Tārīkh kecuali aku memiliki kisah mengenainya, namun aku tidak suka memanjangkan kitab itu.”

(Lihat Tabaqat al-Syafiiyyah al-Kubra, 2/216-217; Tarikh al-Islam oleh al-Zahabi, 19/170; al-Muntazam oleh Ibn al-Jauzi, 12/115)

Tema Hari Ibu 2025: Sentuhan Kasih Ibu

Tema sambutan Hari Ibu pada tahun ini, “Sentuhan Kasih Ibu”, bukan sekadar ungkapan puitis yang indah didengar, tetapi merupakan tema yang menggambarkan realiti yang sangat mendalam dan menyentuh jiwa. Dalam kehidupan seharian, sentuhan seorang ibu merangkumi lebih daripada sekadar belaian fizikal. Ia adalah simbol kepada kasih yang tidak bersyarat, pengorbanan yang tidak mengharapkan balasan, serta kelembutan yang melahirkan kekuatan.

“Sentuhan kasih” ini merangkumi pelbagai aspek yang menyumbang kepada pembentukan diri seorang anak. Ia bermula dengan dakapan yang menenangkan ketika bayi menangis, doa yang dibisikkan setiap malam sebelum tidur, pandangan yang penuh harapan ketika anak melangkah ke sekolah buat pertama kali, sehinggalah kepada nasihat yang penuh hikmah ketika anak mula dewasa. Sentuhan inilah yang membentuk hati, membina sahsiah, dan menjadi sumber inspirasi dalam menempuh cabaran kehidupan.

Lebih dari itu, kasih ibu adalah asas kepada institusi keluarga yang bahagia. Dalam keletihan dan kesibukan hidup, seorang ibu masih mampu mengurus rumah tangga dengan penuh cekal, memimpin anak-anak dengan kasih sayang, dan menjadi pendamai ketika berlaku konflik dalam keluarga. Kelembutan hatinya bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan yang tersembunyi di sebalik kesenyapan dan senyuman. Di sinilah letaknya kebijaksanaan wanita yang bergelar ibu.

Maka, tema “Sentuhan Kasih Ibu” ini harus dilihat sebagai seruan untuk kita semua menghargai, menyantuni dan mengangkat martabat ibu sebagai tiang kasih yang menyokong tegaknya institusi keluarga dan masyarakat. Dalam dunia yang semakin mencabar dari sudut emosi dan nilai kekeluargaan, kembalinya kita kepada “sentuhan kasih ibu” merupakan langkah ke arah pemulihan dan pembinaan masyarakat yang lebih penyayang dan berakhlak.

Inilah Mauqif Kami

Ibu mithali merupakan suri teladan unggul dan pembakar semangat yang tidak ternilai kepada anak-anak serta generasi mendatang. Ketabahan yang ditonjolkan dalam mendidik dan mengasuh anak-anak sangat dipuji dan wajar dicontohi. Dialah guru pertama di rumah, dialah murabbiah yang membentuk akhlak, dan dialah pendidik terbaik dalam kehidupan insan. Setiap tutur kata, tingkah laku dan keputusannya menjadi cerminan yang membentuk keperibadian anak-anak.

Kisah-kisah yang dipaparkan dalam lipatan sejarah memperlihatkan kewibawaan ibu dalam mencorakkan kehidupan anak-anaknya. Maka, tidak hairanlah apabila Rasulullah SAW pernah ditanya tentang siapakah yang paling utama untuk diberi kebaikan dan layanan terbaik. Baginda menjawab dengan tegas: “Ibumu.” Apabila ditanya buat kali kedua dan ketiga, jawapan Baginda tetap sama. Barulah pada kali keempat Baginda menyebut: “Bapamu.”

Hal ini disebut dalam riwayat Mu‘awiyah bin Haidah al-Qusyairi RA, katanya:

قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مَنْ أَبَرُّ؟ قَالَ: «أُمَّكَ» ، قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: «أُمَّكَ» ، قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: «أُمَّكَ» ، قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: «أَبَاكَ»

Maksudnya: “Pernah ditanya kepada Rasulullah SAW: ‘Wahai Rasulullah, siapakah yang paling utama untuk aku berbuat baik kepadanya?’ Baginda menjawab: ‘Ibumu.’ Lelaki itu bertanya lagi: ‘Kemudian siapa?’ Baginda menjawab: ‘Ibumu.’ Dia bertanya lagi: ‘Kemudian siapa?’ Baginda menjawab: ‘Ibumu.’ Apabila ditanya kali keempat: ‘Kemudian siapa?’ Baginda menjawab: ‘Bapamu.’”

Riwayat Abu Dawud (5139); al-Tirmizi (1897); Ahmad (20028); dinilai salih oleh Imam Abu Daud, dan dinilai sahih thabit masyhur oleh Imam Abu Musa al-Madini dalam al-Lata’if min Daqa’iq al-Ma‘arif (215)

Dalam sebuah hadith lain, diriwayatkan daripada Mu‘awiyah bin Jahimah al-Sulami RA, katanya:

أَنَّ جَاهِمَةَ، جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَرَدتُ أَنْ أَغْزُوَ، وَقَدْ جِئْتُ أَسْتَشِيرُكَ. فَقَالَ: “هَلْ لَكَ مِنْ أُمٍّ؟” قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: “فَالْزَمْهَا، فَإِنَّ الجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا.

Maksudnya: “Sesungguhnya Jahimah datang kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang (berjihad), dan aku datang untuk meminta nasihat darimu.’ Baginda SAW bersabda: ‘Adakah engkau masih mempunyai ibu?’ Dia menjawab: ‘Ya.’ Baginda bersabda: ‘Maka tetaplah bersamanya (berbaktilah kepadanya), kerana sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kakinya.’”

Hadith ini diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad (3/429), al-Nasa’i (no. 3104), Ibn Majah (no. 2781), al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar (no. 2132), al-Hakim dalam al-Mustadrak (2/104), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (9/26) dan dalam Syu‘ab al-Iman (no. 7833 & 7834), Ibn Abi ‘Asim dalam al-Ahad wa al-Mathani (no. 1371), dan al-Hakim lagi (4/151). Al-Hakim mensahihkan hadith ini dan al-Zahabi mempersetujuinya, serta diperakui pula oleh al-Munziri.

Justeru kami katakan, marilah sama-sama kita berbakti kepada ibu dan bapa selama mana hayat mereka dikandung badan. Sesungguhnya, kebahagiaan seseorang apabila dapat menyantuni ibu dengan sebaik mungkin. Ibulah yang akan membentuk keperibadian kita. Doa ibu termasuk di antara doa yang paling mujarab. Hal ini dapat dibuktikan dengan nas dan sejarah yang berlaku di sepanjang zaman.

Sebuah buku yang menarik bertajuk Ummahat Rabbaina ‘Uzama’ yang memberi maksud “Para Ibu yang Mendidik Mereka yang Hebat dan Terbilang,” memaparkan sikap ibu yang luar biasa. Justeru, marilah sama-sama kita mentaati, mematuhi dan mengasihi ibu. Apabila beliau sudah bertemu dengan Tuhan-Nya, maka lakukanlah kebaikan dengan berinfaq bagi pihaknya serta doa sebagaimana yang diajar oleh Allah SWT. Gembirakanlah hatinya selama mana dia masih hidup.

Kami ucapkan Selamat Hari Ibu dan marilah kita berdoa kepada Allah:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Nota Hujung:

[1] Riwayat kisah ini melalui jalur perawi bernama Ishaq bin Muhammad bin Ahmad bin Aban al-Nakha‘i. Al-Zahabi mengkritik perawi ini, mengatakan bahawa dia seorang pelampau al-Rafidhah yang dinisbahkan kepada Mazhab al-Ishaqiyyah, yang mendakwa Saidina Ali itu adalah Allah SWT. (Lihat Tarikh al-Islam, 20/303) Ibn Hajar al-‘Asqalani pula secara jelas mengatakan bahawa Ishaq ini adalah seorang pendusta, mereka-reka cerita tentang Imam Malik yang ingin menjadi seorang penyanyi. (Lihat Lisan al-Mizan, 2/71)