Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Yang Maha Penyayang, Maha Menyembuhkan. Selawat dan salam ke atas Rasulullah ﷺ, penawar hati umat manusia, serta ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang mulia.
Pada tanggal 12 Mei saban tahun, dunia memperingati Hari Jururawat Sedunia—sebuah penghormatan terhadap insan-insan terpilih yang mewakafkan hidup mereka demi merawat, menenangkan dan menyelamatkan nyawa. Jururawat bukan sekadar pekerjaan, tetapi suatu bentuk ibadah dalam menyantuni manusia yang diuji dengan kesakitan.
Dengan penuh penghargaan dan takzim, kami tampilkan Mauqif kami: Menyoroti peranan jururawat dalam kaca mata Islam dan realiti semasa. Di tangan mereka, kesakitan menjadi reda; dengan kehadiran mereka, harapan kembali menyala. Mereka berdiri di antara keluh kesah dan kesembuhan, menjadi jambatan antara doa pesakit dan qada’ Ilahi.
Jururawat dalam Perspektif Islam
Islam ialah agama rahmah. Setiap amal kebaikan, termasuk merawat dan menyantuni orang sakit, diganjari pahala yang besar. Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ عَادَ مَرِيضًا، أَوْ زَارَ أَخًا لَهُ فِي اللَّهِ، نَادَاهُ مُنَادٍ: أَنْ طِبْتَ، وَطَابَ مَمْشَاكَ، وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الْجَنَّةِ مَنْزِلاً
Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, atau menziarahi saudaranya kerana Allah, maka akan ada malaikat yang menyerunya: ‘Semoga engkau baik, semoga langkahmu diberkati, dan semoga engkau ditempatkan di dalam syurga sebuah tempat yang mulia.'”
Riwayat al-Tirmizi (2008), Ibn Majah (1443) dan Ahmad (8320). Dinyatakan sebagai hasan dalam Sahih al-Tirmizi.
Kami katakan, hadith Rasulullah SAW ini bagi siapa yang menziarahi pesakit akan dikurniakan ganjaran syurga. Bayangkan jika jururawat yang merawat pesakit serta membantu dalam menguruskan pesakit termasuk ubat-ubatan bahkan membasuh dan memandikan pesakit, maka sudah tentu kelebihannya amat besar di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT:
وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang menghidupkan (menyelamatkan) satu jiwa, maka seolah-olah dia telah menghidupkan seluruh manusia.”
(Surah al-Mā’idah: 32)
Firman Allah SWT di atas adalah bersifat umum. Ia mengandungi maksud menyelamatkan seseorang daripada setiap perkara yang membinasakan. (Lihat Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah, hlm. 373)
Dalam sejarah Islam, lahirlah tokoh-tokoh agung yang menjadi pelopor bidang kejururawatan. Dicatatkan dalam lembaran sejarah bahawa seorang sahabat wanita yang bernama Rufaydah R.Anha memiliki sebuah khemah khas di Masjid Nabi ﷺ yang digunakan untuk merawat orang-orang yang sakit. Daripada hadis Mahmud bin Labid, katanya:
لَمَّا أُصِيبَ أَكْحُلُ سَعْدٍ يَوْمَ الْخَنْدَقِ فَثَقُلَ ، حَوَّلُوهُ عِنْدَ امْرَأَةٍ يُقَالُ لَهَا: رُفَيْدَةُ ، وَكَانَتْ تُدَاوِي الْجَرْحَى ، فَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرَّ بِهِ يَقُولُ: كَيْفَ أَمْسَيْتَ؟ ، وَإِذَا أَصْبَحَ: كَيْفَ أَصْبَحْتَ؟ فَيُخْبِرُهُ
Maksudnya: “Ketika pergelangan kaki Sa‘d bin Mu‘az cedera pada hari Perang Khandak dan keadaannya semakin teruk, mereka memindahkannya ke tempat seorang wanita yang dikenali sebagai Rufaydah, yang merawat orang-orang yang cedera. Maka Nabi ﷺ akan lalu dan bertanya kepadanya: ‘Bagaimana keadaanmu pada petang ini?’ Dan apabila pagi, baginda akan bertanya: ‘Bagaimana keadaanmu pagi ini?’ Lalu Sa‘d akan memaklumkan kepada baginda.”
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (no. 1129) dan Ibn Sa‘d dalam al-Ṭabaqat (3/427). Hadis ini telah disahihkan sanadnya oleh Ibn Hajar dalam al-Isabah (8/136), dan juga oleh pengarang Sahih al-Adab al-Mufrad (no. 863).
Rufaydah al-Aslamiyyah telah disebut oleh beberapa ulama dalam karya-karya biografi mereka, antaranya:
- Ibn Abd al-Barr dalam al-Isti‘ab (no. 3340)
- Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah (no. 6925)
- Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah (8/135)
Mereka semua menyebut bahawa beliau memiliki sebuah khemah khas untuk merawat orang-orang yang cedera. Dikatakan juga bahawa nama sebenarnya ialah Ku’aibah (كُعَيْبَةُ) binti Sa‘d al-Aslamiyyah, sebagaimana disebut oleh Ibn Sa‘d dalam al-Ṭabaqat (8/291).
Namun, Rufaydah bukanlah satu-satunya wanita yang menjalankan tugas merawat tentera yang cedera. Terdapat juga para sahabiah lain yang turut serta dalam peperangan bersama Nabi ﷺ dan menjalankan tugas rawatan, seperti:
- Umm ‘Atiyyah
- Al-Rubayyi‘ binti Mu‘awwidh
- Umm Sulaim dan lain-lain lagi.
Dalam Sahih Muslim (no. 1812), disebut bahawa Najdah menulis surat kepada Ibn ‘Abbas untuk bertanya beberapa isu. Antaranya: “Adakah Nabi ﷺ keluar berperang bersama wanita, dan adakah Baginda memperuntukkan saham harta rampasan (ghanimah) kepada mereka seperti kepada tentera lelaki?”
Maka Ibn ‘Abbas R.Anhuma menjawab:
وَقَدْ كَانَ يَغْزُو بِهِنَّ، فَيُدَاوِينَ الْجَرْحَى، وَيُحْذَيْنَ مِنَ الْغَنِيمَةِ، وَأَمَّا بِسَهْمٍ فَلَمْ يَضْرِبْ لَهُنَّ.
Maksudnya: “Dan baginda pernah membawa mereka (para wanita) bersama dalam peperangan, lalu mereka merawat para tentera yang cedera, dan diberikan juga kepada mereka bahagian daripada harta rampasan perang, tetapi tidak diberikan bahagian panah (yakni bahagian tetap seperti para tentera lelaki).”
Riwayat Muslim (1812)
Begitu juga dalam Sahih al-Bukhari (no. 2882), diriwayatkan daripada al-Rubayyi‘ binti Mu‘awwidh R.Anha yang berkata:
كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَسْقِي وَنُدَاوِي الجَرْحَى ، وَنَرُدُّ القَتْلَى إِلَى المَدِينَةِ
Maksudnya: “Kami bersama Nabi ﷺ dalam peperangan — kami memberi air minuman dan merawat yang cedera, serta membawa pulang orang yang terbunuh ke Madinah.”
Riwayat al-Bukhari (2882)
Pengorbanan Jururawat Hari Ini
Jika dahulu jururawat mengharungi debu medan perang, hari ini mereka menempuh medan yang tidak kurang getir—di hospital, wad pesakit kritikal, rumah pesakit, dan terutamanya ketika dunia dilanda pandemik COVID-19. Kita masih ingat bagaimana mereka bekerja siang dan malam dalam pakaian PPE, berpeluh, kelaparan dan keletihan, namun tetap setia berdiri di sisi pesakit.
Jururawat bukan sahaja merawat luka fizikal, tetapi menjadi tempat bergantung emosi bagi pesakit yang cemas dan keluarga yang kebingungan. Dalam linangan air mata pesakit, jururawat hadir sebagai penenang; dalam jeritan kesakitan, mereka membisikkan doa dan harapan.
Ketabahan mereka adalah satu bentuk sabar yang agung, seiring dengan sabda Nabi ﷺ:
وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ
Maksudnya: “Sabar itu cahaya.”[1]
Riwayat Muslim (223)
Sentuhan Kasih Jururawat: Kasih Sayang dalam Tugas
Apa yang membezakan jururawat bukan sekadar kecekapan klinikal, tetapi sentuhan kasih yang menyembuhkan lebih daripada ubat. Sentuhan ini bukan hanya fizikal—ia adalah pancaran empati, belas ihsan, dan semangat insani yang tidak mampu ditiru oleh mesin atau teknologi.
Para jururawat ialah penjaga harapan. Mereka menyambut kelahiran, menemani kematian, dan menjadi saksi kepada detik paling genting dalam kehidupan manusia. Dalam dunia sains perubatan, empati didapati mempercepat proses pemulihan pesakit. Dalam Islam, kasih sayang dan kelembutan ialah sebahagian daripada keimanan.
Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Maha Lembut, dan mencintai kelembutan dalam setiap perkara.”
Riwayat al-Bukhari (6927) dan Muslim (2165)
Mauqif Kami
Mengambil kesempatan pada hari ini, 12 Mei 2025, yang menjadi Hari Jururawat Sedunia untuk kami ucapkan Selamat Hari Jururawat. Kami katakan bahawa tugasa jururawat amat mulia kerana ia menggembirakan pesakit yang amat memerlukan bantuan. Semoga apa yang dilakukannya akan diganjari pahala di sisi Allah SWT. Terlalu banyak pahala yang Allah kurniakan kepadanya kerana dia membantu saudaranya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
وَاللهُ فِى عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِى عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: “Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama mana hamba itu menolong saudaranya.”
Riwayat Muslim (2699) al-Tirmizi (2646), Ibn Majah (225) dan Ahmad (2/407)
Al-Qadhi Iyadh menjelaskan: “Pada hadith ini terkandung kelebihan menolong seorang Muslim terhadap Muslim yang lain dalam setiap perkara yang mendatangkan kebaikan, dan berlaku baik kepadanya, serta menutup keaibannya.” (Lihat Ikmal al-Mu`lim, 8/24)
Nasihat kami kepada jururawat agar teruskan usaha yang mulia ini dengan penuh dedikasi dan keikhlasan. Sesungguhnya jasa anda adalah amat besar dalam pembangunan negara khususnya banyak memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat terutamanya pesakit. Andalah nadi kehidupan mereka. Senyuman dari wajah anda menghilangkan sejuzuk daripada derita yang dihidapi oleh pesakit. Semoga tugas anda sentiasa dirahmati Allah. Maka kami katakan, terima kasih, jazakumullahu khairal jaza’.
Penutup
Jururawat ialah pahlawan kesihatan ummah. Mereka menjadi sebab kesembuhan, dan dalam redha Allah, mereka memikul amanah yang besar. Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
مَن نَفَّسَ عَن مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنهُ كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ
Maksudnya: “”Barangsiapa yang menghilangkan kesusahan seorang mukmin di dunia, Allah akan menghilangkan kesusahannya pada hari kiamat.”[2]
Riwayat Muslim (2699)
Mereka mempermudah urusan yang paling getir—antara sakit dan sembuh, antara hidup dan mati. Maka, marilah kita mendoakan mereka:
اللَّهُمَّ اجْزِهِنَّ عَنَّا خَيْرَ الْجَزَاءِ، وَبَارِكْ فِي جُهُودِهِنَّ، وَاجْعَلْهَا فِي مِيزَانِ حَسَنَاتِهِنَّ
Maksudnya: “Ya Allah, ganjarkanlah mereka dengan sebaik-baik ganjaran, berkatilah usaha mereka, dan jadikanlah ia sebagai pemberat timbangan amal kebaikan mereka di akhirat kelak.”
Kami menyeru masyarakat agar memandang tinggi kepada profesion kejururawatan. Mereka bukan pembantu semata-mata, tetapi pahlawan yang berjuang dalam diam, menyelamatkan nyawa saban hari. Mereka wajar dihormati, disanjung dan didoakan.
Kepada jururawat seluruh dunia, khususnya di Malaysia—teruskan perjuangan kalian. Kalian adalah duta rahmah dalam sistem kesihatan.
Selamat Hari Jururawat Sedunia.
Nota Hujung:
[1] Maksudnya adalah kesabaran yang dipuji dalam syarak, iaitu kesabaran dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah Ta’ala, kesabaran dalam menjauhi maksiat kepada-Nya, serta kesabaran dalam menghadapi musibah dan berbagai macam kesulitan di dunia. Yang dimaksudkan di sini adalah bahawa kesabaran yang terpuji akan terus menerangi pemiliknya, memberikan petunjuk, dan menjaganya agar tetap berada di atas jalan yang benar. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/350)
[2] Kita dapat mengambil manfaat daripada hadith ini tentang keutamaan meringankan kesusahan orang beriman, yang merangkumi segala bentuk kesusahan sama ada berkaitan fizikal, kewangan, atau keadaan mereka secara umum. Contohnya, membantu seseorang dengan memberikan pinjaman wang, membebaskannya daripada kesulitan, atau berdiri bersama dalam menghadapi ujian dan kesusahan hidup. Hadith ini menjadi bukti bahawa membantu dan melepaskan kesulitan sesama Muslim adalah salah satu sebab Allah SWT akan meringankan kesusahan seseorang di hari kiamat serta menyelamatkannya daripada kesulitan yang lebih besar pada hari tersebut. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, oleh al-Luhaimid, 4/531)
