Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adalah wuduk terbatal sekiranya suami sentuh isteri seperti bersalaman ketika hendak keluar? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”[1]
Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas.[2]
Mukadimah
Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syarak pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan.[3]
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib.[4]
Perkara-perkara yang membatalkan wuduk
Secara umumnya — menurut mazhab al-Syafi‘i — Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan, perkara yang membatalkan wuduk ada empat iaitu:
- Keluar sesuatu daripada kedua jalan (qubul dan dubur) melainkan air mani. Hal ini kerana keluarnya air mani mewajibkan mandi.
- Hilang akal sama ada dengan tidur atau selainnya, kecuali sekiranya tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.
- Bersentuhan kulit di antara lelaki dewasa dan perempuan ajnabi dewasa secara langsung tanpa berlapik.
- Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan atau jari-jemari bahagian dalam.[5]
Al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa sentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ajnabi membatalkan wuduk, tidak kira dengan bersyahwat atau tidak. Namun, sentuhan itu tidak membatalkan wuduk sekiranya terdapat halangan (berlapik) sekalipun ia nipis.[6] Pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i menyatakan batal wuduk isteri dan suami sekiranya bersentuhan sama ada bernafsu ataupun tidak. Hal ini kerana suami atau isteri itu merupakan ajnabi di antara keduanya.[7]
Di dalam al-Fiqh al-Manhaji disebutkan bahawa di antara perkara yang membatalkan wuduk ialah seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain (ajnabi) tanpa berlapik. Perbuatan tersebut membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain (ajnabi) ialah semua perempuan yang halal untuk dikahwini oleh lelaki berkenaan. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam menerangkan perkara-perkara yang mewajibkan berwuduk:
أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ
Maksudnya: “Atau kamu sentuh perempuan.”[8]
Berdasarkan bacaan mutawatir, perkataan “لَامَسْتُمُ” bermakna “لَمَسْتُم” iaitu kamu menyentuhnya.[9]
Begitu juga, hadith daripada riwayat Mu‘az bin Jabal, bahawa seorang lelaki menemui Nabi SAW lalu berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا تَقُولُ فِي رَجُلٍ لَقِيَ امْرَأَةً يَعْرِفُهَا فَلَيْسَ يَأْتِي الرَّجُلُ مِنْ امْرَأَتِهِ شَيْئًا إلَّا قَدْ أَتَاهُ مِنْهَا غَيْرَ أَنَّهُ لَمْ يُجَامِعْهَا؟ قَالَ: فَأَنْزَلَ اللَّهُ هَذِهِ الْآيَةَ: {وَأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ} [هود: 114] الْآيَةَ. فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: تَوَضَّأْ ثُمَّ صَلِّ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, apakah pandangan engkau tentang seorang lelaki yang bertemu dengan seorang perempuan yang dikenalinya. Dia melakukan apa sahaja ke atas wanita itu kecuali persetubuhan.” Muaz berkata: Lalu Allah SWT turunkan ayat ini:
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.”[10]
Maka, Nabi SAW bersabda kepadanya: “Berwuduklah dan dirikanlah solat.”[11]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada persoalan di atas, kami berpendapat bahawa bersentuhan kulit antara suami dan isteri membatalkan wuduk kedua-duanya sebagaimana pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i. Walau bagaimanapun, wuduk mereka tidak terbatal sekiranya sentuhan itu berlapik sekalipun nipis.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H
[give_form id=”14962″][1] Surah al-Ma’idah: 6
[2] Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61.
[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53.
[4] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82.
[5] Lihat Al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 100-103.
[6] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/30.
[7] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, 102.
[8] Surah al-Ma’idah: 6
[9] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/63.
[10] Surah Hud: 114
[11] Riwayat Ahmad (22165)