Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Rentetan insiden yang berlaku baru-baru ini melibatkan penghinaan Islam oleh beberapa individu di Crackhouse Comedy Club, saya terpanggil untuk menjelaskan pendirian Islam berkenaan lawak jenaka yang mungkin disalahfahami oleh segelintir Muslim dan juga bukan Muslim.

Definisi Lawak Jenaka

Lawak didefinisikan sebagai melakukan atau membuat sesuatu yang menggelikan hati (melucukan) dan juga orang yang suka membuat kelakar.[1] Manakala jenaka pula didefinisikan perbuatan atau kata-kata yang meng­gelikan hati dan membuatkan penonton-penonton tidak dapat menahan ketawa.[2]

Lawak biasanya merupakan cerita pendek atau susunan perkataan yang bersifat lucu. Terdapat pelbagai kategori lawak dari lawak yang boleh hinggalah lawak yang mempunyai multi-makna. Maksudnya ia biasa sahaja kepada sesetengah golongan tetapi ia menjadi lawan kepada kumpulan sasaran yang lain.

Lawak Jenaka dalam Sejarah Awal Islam

Kurun ke-3 Hijrah / 9 Masihi dalam sejarah Islam memperlihatkan era penulisan monograf berkenaan orang-orang tolol banyak ditulis. Ibn al-Nadim dalam kitabnya al-Fihrist memuatkan sejumlah tajuk berkaitan antaranya senarai buku-buku yang diletakkan di bawah topik Dialog Orang-Orang Tolol yang Tidak Diketahui Siapa Penyusunnya (ahadith al-battalin la yu’raf man sanafaha). Nama yang tersenarai antaranya adalah Haushab al-Asadi, ‘Urwah bin Abdullah, Al-Ghadiri, Abu Sa’ib al-Makhzumi, Abu ‘Umar al-A’raj, Damdam al-Madini, Qalus, Abu Sikkah, Masrur al-Awsi, Abu Ma’n al-Ghifari, Al-Darimi, Ibn Ahmar, ‘Iqrit, Hutami al-Dallal, Abu al-Hurr al-Madini, Al-Find/Fand/Qand .[3]

Ibn al-Nadim juga menghimpunkan catatan  kisah lucu dan menarik (al-nawadir) tentang orang-orang tolol yang dihimpunkan oleh penulis yang tidak diketahui. Antaranya adalah Joha, Abu Damdam, Ibn Ahmar, Sawrah al-Badwi, Ibn Mawsili, Ibn Ya’qub, Abu Ubaid al-Hazimi, Abu ‘Alqamah, dan Sayfawayh.[4]

Ibn Zulaq (m. 386/387 Hijrah) dalam Akhbar Sibawayh al-Misri membawakan kisah pakar Bahasa Arab, Sibawayh yang turut dikategorikan dalam orang “gila” yang berakal (‘uqala’ al-majanin). Bagi yang meneliti kisah-kisah hidup beliau, kita akan dapati banyak sisi lawak jenakanya namun dalam bentuk lawak jenaka yang ilmiah yang memfokuskan isu-isu politik, mahupun akidah.

Pandangan Islam tentang Lawak Jenaka

Dalam membincangkan isu ini, saya tertarik untuk asaskan perbincangan ini sepertimana pandangan yang dikemukakan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fatawa Mu‘asirah dan al-Islam wa al-Fan seperti berikut:[5]

Ketawa adalah antara ciri-ciri istimewa manusia. Semua haiwan tidak ketawa kerana ketawa datang selepas mencapai beberapa jenis daripada bentuk kefahaman dan pengetahuan seseorang terhadap apa yang didengari ataupun dilihat olehnya. Maka, dia ketawa dengan sebab keadaan itu.

Oleh kerana itu dikatakan, “Manusia ialah sejenis hidupan yang ketawa,” la dibenarkan lagi dengan pernyataan di sini, “Saya sedang ketawa, jadi saya ialah seorang manusia.”

Islam sebagai agama fitrah tidak menggambarkan langsung ada daripadanya kenyataan yang membantah naluri kemanusiaan untuk ketawa dan bersenang-senang dengannya. Bahkan, Islam menggalakkan perlakuan setiap perkara yang menjadi kehidupan ini berseri dan baik. Bahkan menyukai seseorang Muslim itu memiliki keperibadian yang sentiasa optimis dan ceria. Islam juga tidak menyukai keperibadian yang sering bermuka masam dan tidak ceria. Iaitu, tidak memandang kepada hakikat kehidupan dan manusia sekeliling yang melihat setiap perkara dengan pandangan negatif.

Ikutan yang paling baik bagi orang-orang Muslim adalah Rasulullah SAW Sesungguhnya dengan keadaan Baginda yang penuh dengan dugaan, Baginda tetap bergurau dan tidak menyatakan dalam gurauannya itu, melainkan yang benar sahaja. Baginda juga hidup bersama para sahabatnya dengan kehidupan mengikut fitrah naluri manusia yang biasa. Baginda turut bergelak-ketawa, bermain, dan bergurau bersama mereka. Baginda juga berkongsi segala perkara sedih dan dugaan yang mereka hadapi.

Zaid bin Thabit R.A menyatakan dan diminta kepadanya untuk berbicara kepada sahabat-sahabat yang lain mengenai perihal Rasulullah SAW, katanya:

كُنْتُ جَارَهُ، فَكَانَ إِذَا نَزَلَ عَلَيْهِ الْوَحْيُ، بَعَثَ إِلَيَّ، فَكَتَبْتُهُ لَهُ، فَكَانَ إِذَا ذَكَرْنَا الدُّنْيَا، ذَكَرَهَا مَعَنَا، وَإِذَا ذَكَرْنَا الآخِرَةَ، ذَكَرَهَا مَعَنَا، وَإِذَا ذَكَرْنَا الطَّعَامَ ذَكَرَهُ مَعَنَا، فَكُلُّ هَذَا أُحدِّثُكُمْ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya:Aku ialah orang yang hampir dengan Baginda. Sekiranya wahyu turun kepada Baginda, Baginda akan mengirimkannya kepada aku. Lalu, aku akan menulis buat Baginda. Sekiranya kami berbicara mengenai hal ehwal dunia, Baginda akan turut serta bersama kami. Sekiranya kami berbicara mengenai hal ehwal akhirat, Baginda turut berbicara bersama kami. Sekiranya kami berbicara mengenai makanan, Baginda turut berbicara bersama kami. Semua inilah yang ingin aku ceritakan kepada kamu mengenai Rasulullah SAW.”[6]

Di rumah Rasulullah SAW, Baginda sendiri sering bergurau bersama isterinya. Baginda juga sering mendengar kisah-kisah daripada mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith Ummu Zar‘ yang terkenal dalam kitab Sahih al-Bukhari.

Begitu juga ketika mana perlumbaan Baginda bersama Aisyah R.Anha. Ketika Aisyah R.Anha mendahului Baginda sekali dalam perlumbaan itu dan selepas beberapa tempoh mereka saling berlumba-lumba bagi mendahului seorang daripada mereka. Maka Baginda berjaya mendahului Aisyah R.Anha. Baginda SAW menyatakan kepada Aisyah R.Anha:

هَذِهِ بِتِلْكَ السَّبْقةِ

 Maksudnya: Ini adalah ganti dengan kemenangan kamu yang pertama.”[7]

Baginda SAW juga menundukkan belakang Baginda untuk dinaiki oleh Hasan dan Husain ketika zaman kanak-kanak untuk ditunggangi. Kedua-duanya juga berseronok tanpa terjatuh dan tidak juga tercedera. Pada ketika itu, datang seorang sahabat kepada Baginda dan menyaksikan keadaan ini, beliau pun berkata, “Tunggangan yang kamu berdua naiki adalah sebaik-baik tunggangan.” Maka Baginda pun menjawab:

وَنِعْمَ الفَارِسَانِ هُمَا!

Maksudnya:Dan sebaik-baik pengemudi kuda ialah mereka berdua.”[8]

Anas bin Malik R.A pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW didatangi oleh seseorang dan bertanyakan supaya membawanya seekor tunggangan. Lalu Baginda bersabda kepadanya:

إِنِّي حَامِلُكَ عَلَى وَلَدِ النَّاقَةِ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا أَصْنَعُ بِوَلَدِ النَّاقَةِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَهَلْ تَلِدُ الإِبِلَ إِلَّا النُّوقُ؟

Maksudnya:Aku akan membawa kamu di atas belakang seekor anak unta. Maka lelaki itu pun menjawab: ‘Wahai Rasulullah! Apa yang aku dapat buat dengan anak unta?’ Lelaki itu menganggap dia perlu menunggangi anak unta. Baginda berkata lagi: ‘Bukankah unta yang besar ini dahulunya kecil?”[9]

Zaid bin Aslam R.A menyatakan:

 إِنَّ امْرَأَةَ يُقَالُ لَهَا أُمُّ أَيْمَنْ جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَيْهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – فَقَالَتْ: «إِنَّ زَوْجِي يَدْعُوكَ» قَالَ: «وَمَنْ هُوَ؟ أَهُوَ الَّذِي بِعَيْنِهِ بَيَاضٌ؟» قَالَتْ: «وَاللَّهِ مَا بِعَيْنِهِ بَيَاضٌ» ، قَالَ: «بَلَى إِنَّ بِعَيْنِهِ بَيَاضًا»، فَقَالَتْ: «لَا وَاللَّهِ» فَقَالَ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَبِعَيْنِهِ بَيَاضٌ» وَأَرَادَ بِالْبَيَاضِ الْمُحِيطَ بِالْحَدَقَةِ

Maksudnya: “Seorang wanita yang dipanggil dengan Ummu Aiman datang kepada Rasulullah SAW. Beliau berkata kepada Baginda: ‘Suami aku menjemputmu.’ Lalu Baginda bertanya: ‘Siapakah dia? Adakah dia yang ada warna putih pada matanya?’ Ummu Aiman menjawab: ‘Demi Allah! Tiada selaput warna putih pada matanya.’ Maka Baginda bersabda lagi: ‘Ya, sememangnya di matanya ada yang berwarna putih.’ Kemudian, Ummu Aiman berkata lagi: ‘Tidak, demi Allah!’ Maka Baginda SAW bersabda: ‘Tidak ada daripada seorang manusia pun melainkan ada pada matanya yang berwarna putih.’ Baginda ingin menyatakan yang warna putih adalah bahagian putih yang mengelilingi anak mata hitam.”[10]

Diriwayatkan bahawa al-Dhahhak bin Sufyan al-Kilabi R.A seorang lelaki yang tidak elok parasnya lagi hodoh. Ketika beliau sedang berbaiah kepada Nabi SAW, al-Dhahhak R.A berkata:

عِنْدِي امْرَأتَان أَحْسَنُ مِنْ هَذِهِ الْحُمَيْرَاءَ، أَفَلَا أَنْزِلُ لَكَ عَنْ إِحْدَاهمَا فَتَتَزَوَّجَهَا؟ وَعَائِشَةٌ جَالِسَةٌ تَسْمَعُ قَبْلَ أَنْ يُضْرَبَ الْحِجَابُ، فَقَالَتْ: أَهِيَ أَحْسَنُ أَمْ أَنْتَ؟ قَالَ: بَلْ أَنَا أَحْسَنُ مِنْهَا وَأَكْرَمُ؛ وَكَانَ امْرَأً دَمِيمًا قَبِيحًا، قَالَ: فَضحِكَ النَّبِيُّ -صلى الله عليه وسلم- مِنْ مَسْأَلةِ عَائِشَةَ إِيَّاهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mempunyai dua orang hamba yang lebih cantik daripada al-Humaira’ ini. Mahukah engkau sekiranya aku menyerahkan kepadamu seorang daripadanya, bolehlah engkau mengahwininya? Aisyah R.Anha yang sedang duduk turut mendengar kata-kata itu. Peristiwa ini terjadi sebelum turunnya ayat perintah hijab.  Aisyah bertanya: ‘Adakah dia (perempuan itu) yang lebih elok rupa parasnya ataupun engkau?’ Maka al-Dhahhak pun berkata: ‘Bahkan aku lebih tampan daripadanya dan lebih mulia.’ Pada hakikatnya dia seorang yang kurang elok rupanya. Perawi berkata: Nabi SAW pun ketawa disebabkan oleh pertanyaan Aisyah kepada al-Dhahhak.”[11]

Rasulullah SAW seorang yang suka menyebarkan suasana kegembiraan dan kemeriahan dalam kehidupan manusia, lebih-lebih lagi ketika perayaan-perayaan seperti sambutan hari raya ataupun majlis perkahwinan. Ketika Abu Bakar R.A menunjukkan rasa kurang senangnya terhadap nyanyian dua orang hambanya pada hari raya di rumahnya, beliau menegur kedua-duanya dengan suara yang tinggi. Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

 دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ فَإِنَّهَا أَيَّامُ عِيدٍ ! وَفِي بَعْض الرِّوَايَاتِ: لَتَعْلَمُ يَهُودُ أَنَّ فِي دِينِنَا فُسْحَةً.

Maksudnya: “Biarkanlah kedua-duanya, wahai Abu Bakar. Sesungguhnya ia sebahagian daripada kegembiraan pada hari raya.[12]

Rasulullah SAW mengizinkan kepada kaum Habsyah untuk bermain dengan lembing-lembing mereka di halaman masjid Baginda pada suatu hari di hari raya. Baginda turut memberi sokongan kepada mereka dan menyatakan:

 دُونَكُمْ يا بَنِي أرْفِدَةَ

 Maksudnya: Selain daripada kamu semua anak-anakku, kami juga menyokong kamu.[13]

Baginda turut memberikan peluang kepada Aisyah R.Anha bagi menyaksikan mereka daripada belakang Baginda dan mereka turut bermain dan menari. Baginda juga tidak melihat pada keadaan sedemikian sebagai sesuatu yang salah dan tidak patut dilakukan. Bahkan Baginda tidak bersetuju apabila pada suatu hari, ketika seorang gadis ingin meraikan majlis perkahwinan ke rumah suaminya dengan majlis perkahwinan yang sepi tanpa disertai dengan hiburan dan nyanyian. Lalu Baginda menyatakan:

هَلَّا كَانَ مَعَهَا لَهْو؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمْ اللَّهْوُ، أَو الغَزَلٌ. وَفِي بَعْض الرِّوَايَاتِ: هَلَّا بَعَثْتُمْ مَعَهَا مَنْ  يُغْنِيهِمْ وَتَقُولُ: أَتَيْنَاكُمْ أَتَيْنَاكُمْ فَحَيُّونَا نُحَيِّيكُمْ

Maksudnya: “Mengapa tidak disertakan bersamanya sebarang nyanyian? Sesungguhnya golongan Ansar suka nyanyian atau hiburan.” Dalam sebahagian riwayat yang lain menyebutkan: “Mengapakah kamu tidak mahu menyediakan orang yang akan mendendangkan lagu ini? Lalu dia menyanyikan, ‘Kami datang kepada kamu, kami datang kepada kamu. Maka kamu menyambut kami dan kami juga akan mengalu-alukan kamu.’”[14]

Rasulullah SAW Berjenaka

Terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah berjenaka. Imam al-Tirmizi ada menghimpunkan hadith-hadith yang menggambarkan sifat jenaka Rasulullah SAW dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah.

Di antaranya, kisah Baginda SAW yang pernah berjenaka dengan seorang wanita tua sebagaimana riwayat daripada al-Hasan R.A, beliau berkata:

أَتَتْ عَجُوزٌ إِلَى النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ ادْعُ اللهَ أَن يُدْخِلَنيِ الجنَّةَ فَقَالَ: يَا أمَّ فُلَانٍ إنَّ الجنَّةَ لَا تَدْخُلُهَا عَجُوزٌ قَالَ: فولَّتْ تَبْكِي فَقَالَ: أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لَا تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ إنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُولُ: إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَاراً عُرُباً أَتْرَاباً

Maksudnya:Seorang wanita tua datang bertemu dengan Nabi SAW lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga.’ Maka Baginda menjawab: ‘Wahai Ummu Fulan, sesungguhnya syurga itu, tidak dimasuki oleh orang tua.’” Beliau berkata: “Wanita itu lantas berpaling dan menangis, lalu Baginda SAW bersabda: ‘Kamu sampaikanlah kepada wanita itu bahawa dia tidak akan masuk ke dalam syurga dalam keadaan dia tua kerana sesungguhnya Allah SWT berfirman (yang bermaksud): Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.’ (Surah al-Waqi‘ah: 35-37).”[15]

Selain daripada itu, Rasulullah SAW juga pernah bergurau dengan kanak-kanak untuk menggembirakan mereka. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Mahmud bin al-Rabi‘ R.Anhuma:

عَقَلْتُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَجَّةً مَجَّهَا فِي وَجْهِي وَأَنَا ابْنُ خَمْسِ سِنِينَ مِنْ دَلْوٍ

Maksudnya:Aku masih ingat lagi semburan air oleh Nabi SAW dengan mulutnya ke mukaku, yang diambil daripada satu timba dan ketika itu aku baru berusia 5 tahun.[16]

Al-Qastalani menyebutkan, perbuatan Nabi SAW itu adalah bertujuan untuk bergurau atau mendatangkan keberkatan kepadanya — yakni Mahmud — sepertimana Baginda SAW selalu melakukannya dengan anak-anak para sahabat.[17]

Begitu juga hadith daripada Anas bin Malik R.A tentang Rasulullah SAW memujuk anak saudaranya Anas yang kematian burung peliharaan. Diriwayatkan daripada Anas R.A, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ – قَالَ: أَحْسِبُهُ – فَطِيمًا، وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: «يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ» نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا.

Maksudnya:Nabi SAW merupakan insan yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai seorang saudara lelaki yang diberi gelaran Abu Umair — dia berkata: Aku kira dia sudah berhenti daripada meminum susu ibu. — Sekiranya Baginda datang, Baginda akan bertanya: ‘Wahai Abu ‘Umair! Apa yang sedang dilakukan al-Nughair?’ iaitu sejenis burung pipit yang selalu dia bermain-main dengannya. Kadang-kala apabila tibanya waktu solat sedangkan Baginda berada di rumah kami, maka Baginda menyuruh untuk disapu (dibersihkan) tikar yang duduk di atasnya, lalu direnjis dengan air. Kemudian Baginda solat dan kami pun berdiri di belakang Baginda, Baginda mengimamkan kami.[18]

Walau bagaimanapun, sekalipun Rasulullah SAW selalu bergurau dan berjenaka dengan para sahabatnya, Baginda tidak menipu dalam bergurau dan berjenaka. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa para sahabat pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah! Kamu sering bergurau (atau mengusik kami).” Baginda menjawab:

إِنِّي لَا أَقُولُ إِلَا حَقًّا

Maksudnya:Sesungguhnya aku tidak berkata (dalam gurau) melainkan hanya perkara yang benar.[19]

Begitu juga kita dapat melihat bahawa lawak dan jenaka Rasulullah SAW itu tidak bersifat sia-sia, bahkan sebaliknya ia memiliki nilai dan pengajaran supaya lebih memberi kesan kepada hati dan kefahaman, sesuai dengan keperibadian Nabi SAW yang terpelihara daripada keburukan dan kebodohan.

Kisah Para Sahabat dan Tabi‘in Bergurau

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, Fatawa Mu‘asirah menyebut:[20]

Para sahabat Nabi SAW dan para tabi‘in pada kurun umat yang terbaik sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW, mereka juga ketawa dan bergurau sebagai satu ikutan kepada perbuatan Nabi SAW Ia sebagai mengikuti jalan petunjuk yang ditunjukkan oleh Nabi SAW hinggakan pemuda seperti Umar bin al-Khattab R.A, sebagaimana yang diketahui umum adalah seorang pemuda yang tegas dan garang. Diriwayatkan mengenai Umar yang bergurau dengan hambanya. Beliau berkata kepada hambanya:  “Telah menciptakan aku Pencipta Orang-Orang yang Mulia dan menciptakan kamu Pencipta Orang-Orang yang tidak mulia.” Ketika beliau melihat hambanya berubah masam wajahnya disebabkan kata-kata ini, Umar menyatakan secara berterus-terang kepadanya, “Tidakkah Pencipta orang-orang yang mulia dan Pencipta orang-orang yang tidak mulia tidak lain adalah Allah SWT yang Maha Agung lagi Maha Tinggi?[21]

Sebahagian golongan ini mengetahui perkara dalam kehidupan Nabi SAW dan memperakuinya. Perkara itu berterusan dalam kehidupan umat selepas Baginda dan sebelumnya juga turut dilalui oleh para sahabat. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang menafikannya. Jikalau beberapa peristiwa mereka disampaikan kepada kita pada hari ini, maka majoriti orang-orang yang kuat beragama akan menafikan peristiwa-peristiwa itu dengan sekeras-kerasnya. Orang-orang yang fasik dan sesat juga akan berpandangan sedemikian.

Antara sahabat-sahabat Nabi SAW yang terkenal dengan sifat lucu, suka berjenaka, sering berseloroh hingga menyebabkan orang ketawa adalah al-Nu‘aiman bin ‘Amr al-Ansari R.A yang diriwayatkan mempunyai cerita-cerita aneh dan melucukan. Mereka menceritakan, beliau antara sahabat yang menyaksikan peristiwa Perjanjian ‘Aqabah yang kedua, menyertai Perang Badar, Perang Uhud, dan Khandak. Beliau ialah sahabat yang menyaksikan kebanyakan peristiwa penting bersama Nabi SAW.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan bahawa al-Zubair bin Bakkar meriwayatkan beberapa kisah pelik daripada al-Nu‘aiman dalam bukunya al-Fukahah. Al-Zubair menyatakan:

 وَكَانَ لَا يدْخل الْمَدِينَة رُسُل وَلَا طُرفَةٌ إِلاَّ اشْترى مِنْهَا ثمَّ جآء بِهِ إِلى النَّبِي صلّى الله عَلَيْهِ وسلّم فَقَالَ: يَا رَسُول الله هَذَا أَهديته لَك، فإِذا جآء صاحبُه يطْلب نُعيمان بِثمنِهِ جآء بِهِ إِلى النَّبِي صلّى الله عَلَيْهِ وسلّم فَقَالَ: يَا رَسُول الله أَعطِ هَذَا ثمن مَتَاعه فَيَقُول رَسُول الله صلّى الله عَلَيْهِ وسلّم: أوَ لم تُهِده لي فَيَقُول: يَا رَسُول الله إِنه لم يكن عندى ثمنُه وَلَقَد أَحببت أَن تأكلَه فيضحك رَسُول الله صلّى الله عَلَيْهِ وسلّم وَيَأْمُر لصَاحبه بِثمنِهِ

Maksudnya: Apabila sesuatu rombongan itu memasuki Madinah, Nu’aiman tetap akan membeli sesuatu daripadanya. Kemudian, beliau datang dengan barang beliannya kepada Nabi SAW, lalu berkata, ‘Ini aku hadiahkan kepada engkau.’ Ketika pemilik barangan itu datang meminta kepada Nu‘aiman bayaran barangannya, beliau membawanya kepada Nabi SAW sambil berkata, ‘Berikan bayaran bagi harga barangannya.’ Kemudian, Rasulullah SAW bersabda, ‘Bukankah engkau menghadiahkannya kepada aku?’ Nu‘aiman menjawab, ‘Demi Allah! Aku tidak mempunyai wang bagi membayarnya. Aku hanya mahu engkau memakannya.’ Rasulullah SAW pun ketawa dan meminta sahabat supaya membayar harganya kepada pemilik barangan itu.”[22]

Al-Zubair meriwayatkan mengenai kisah lain yang diriwayatkan oleh Rabi‘ah bin Uthman, katanya: “Seorang Arab Badwi datang kepada Nabi SAW dan menambat untanya di belakang halaman Baginda. Lalu, sebahagian sahabat berkata kepada al-Nu‘aiman al-Ansari, ‘Sekiranya engkau menyembelihnya, kami akan memakannya. Sesungguhnya kami benar-benar menginginkan dagingnya.’ Nu‘aiman terus menyembelih unta itu untuk dijadikan hidangan. Ketika orang Arab itu pergi kepada untanya, dia terus menjerit, ‘Engkau sudah menyembelihnya wahai Muhammad!’ Nabi SAW pun keluar dan terus berkata, ‘Siapa yang melakukan perbuatan ini?’ Para sahabat pun menjawab, ‘al-Nu‘aiman.’ Maka Baginda pun mencarinya dan bertanyakan tentangnya dan mendapati beliau memasuki rumah Dhuba’ah binti al-Zubair bin ‘Abd al-Muttalib. Beliau bersembunyi di bawah himpunan haiwan ternakan milik Dhuba’ah yang di atasnya ditutupi oleh pelepah tamar. Seorang lelaki menunjukkan kepada Rasulullah SAW di mana beliau berada. Kemudian, Baginda menyuruh al-Nu‘aiman keluar. Baginda bertanya, ‘Apa yang menyebabkan engkau melakukan perbuatan ini?’ Al-Nu‘aiman pun menjawab, ‘Mereka yang menunjukkan tempat aku bersembunyilah yang menyuruh aku melakukan hal ini wahai Rasulullah.’ Dinyatakan selepas itu, Baginda membuang tanah pada wajah al-Nu‘aiman sambil ketawa. Kemudian, membayar ganti rugi kepada orang Arab Badwi itu.”[23]

Al-Zubair juga menyatakan: Diriwayatkan daripada bapa saudaraku, daripada datukku, katanya: “Makhramah bin Naufal R.A sudah mencecah usia 115 tahun. Dia berdiri di dalam masjid kerana hendak membuang air kecil. Maka, orang di sekelilingnya pun menjerit kepadanya dan menyatakan, ‘Masjid! Masjid!’ Al-Nu‘aiman bin ‘Amr R.A memegang tangannya dan membawanya, kemudian mendudukkan Makhramah bin Naufal R.A di sudut hujung daripada masjid, lalu al-Nu‘aiman berkata, ‘Bahkan di sini tidak mengapa engkau melakukannya.’ Dikatakan juga bahawa orang di masjid masih berteriak kepadanya. Makhramah bin Naufal R.A pun berkata, ‘Celakalah kamu semua. Siapakah yang datang bersama aku dan meletakkan aku di tempat ini?’ Mereka menjawab, ‘al-Nu‘aiman.’ Makhramah bin Naufal R.A pun berkata, ‘Demi Allah! Sekiranya aku menemuinya, aku akan memukulnya dengan tongkatku dengan pukulan sebagai ganti hingga dia merasakan apa yang dirasai olehku.’ Perkara itu sampai ke telinga al-Nu‘aiman. Beliau menunggu saat yang benar-benar sesuai. Kemudian, beliau menemui Makhramah bin Naufal R.A pada suatu hari dan ketika itu Uthman R.A sedang berdiri menunaikan solat di penghujung penjuru masjid. Al-Nu‘aiman R.A pun berkata kepada Makhramah, ‘Adakah engkau masih mempunyai urusan dengan al-Nu‘aiman R.A?’ Makhramah R.A menjawab, ‘Ya.’ Dinyatakan bahawa al-Nu‘aiman R.A memegang tangannya sehingga membawanya berhenti bersebelahan Uthman R.A. Beliau sedang solat dan tidak berpaling langsung wajahnya. Makhramah pun berkata, ‘Rasakan kamu, ini balasannya al-Nu‘aiman.’ Makhramah R.A memegang tongkatnya dengan kuat, lalu memukul Uthman R.A hingga beliau tercedera. Orang di sekeliling berteriak kepadanya, ‘Engkau memukul pemimpin orang-orang yang beriman.’ Beliau juga turut menyatakan baki daripada kisah itu.[24]

Kisah ini dinukilkan oleh Ibn Hajar al-‘Aqsalani dalam  al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah, daripada al-Zubair bin Bakkar dalam kitabnya al-Fukahah wa al-Murah. Berdasarkan daripada kisah-kisah lain, para sahabat lain juga adalah mereka yang suka berjenaka dan bergurau. Mereka mampu menjangkau tahap seperti apa yang dilakukan oleh al-Nu‘aiman R.A dalam beberapa peristiwa yang melucukan. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam kisah Suwaibit bin Harmalah R.A bersama al-Nu‘aiman R.A. Beliau juga merupakan  antara sahabat yang menyertai Perang Badar.

Ibn ‘Abd al-Bar juga ada menyebutkan mengenai kisah hidup Suwaibit R.A, iaitu beliau suka bergurau sehingga melebihi hadnya. Beliau juga mempunyai kisah yang sangat lucu di samping al-Nu‘aiman R.A dan Abu Bakar al-Siddiq R.A. Kami ingin menyebut mengenainya bagi menunjukkan sebahagian daripada keindahan sifat dan kebaikan perilaku mereka.[25]

Diriwayatkan oleh Ummu Salamah R.A, beliau berkata:

خَرَجَ أَبُو بَكْرٍ فِي تِجَارَةٍ إِلَى بُصْرَى، قَبْلَ مَوْتِ النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – بِعَامٍ، وَمَعَهُ نُعَيْمَانُ وَسُوَيْبِطُ بْنُ حَرْمَلَةَ، وَكَانَا شَهِدَا بَدْرًا، وَكَانَ نُعَيْمَانُ عَلَى الزَّادِ، وَكَانَ سُوَيْبِطُ رَجُلًا مَزَّاحًا، فَقَالَ لِنُعَيْمَانَ: أَطْعِمْنِي، قَالَ: حَتَّى يَجِيءَ أَبُو بَكْرٍ، قَالَ: أما لَأُغِيظَنَّكَ، قَالَ: فَمَرُّوا بِقَوْمٍ، فَقَالَ لَهُمْ سُوَيْبِطٌ: تَشْتَرُونَ مِنِّي عبيدًا لِي؟ قَالُوا: نَعَمْ، قَالَ: إِنَّهُ عَبْدٌ لَهُ كَلَامٌ، وَهُوَ قَائِلٌ لَكُمْ: إِنِّي حُرٌّ، فَإِنْ كُنْتُمْ إِذَا قَالَ لَكُمْ هَذِهِ الْمَقَالَةَ تَرَكْتُمُوهُ، فَلَا تُفْسِدُوا عَلَيَّ عَبْدِي. قَالُوا: لَا، بَلْ نَشْتَرِيهِ مِنْكَ، فَاشْتَرَوْهُ بِعَشرة قَلَائِصَ، ثُمَّ أَتَوْهُ فَوَضَعُوا فِي عُنُقِهِ عِمَامَةً أَوْ حَبْلًا، فَقَالَ نُعَيْمَانُ: إِنَّ هَذَا يَسْتَهْزِئُ بِكُمْ، وَإِنِّي حُرٌّ لَسْتُ بِعَبْدٍ. فَقَالُوا: قَدْ أَخْبَرَنَا خَبَرَكَ. فَانْطَلَقُوا بِهِ، فَجَاءَ أَبُو بَكْرٍ فَأَخْبَرُوهُ بِذَلِكَ، قَالَ: فَأَتْبَعَ الْقَوْمَ، وَرَدَّ عَلَيْهِمْ الْقَلَائِصَ، وَأَخَذَ نُعَيْمَانَ، قَالَ: فَلَمَّا قَدِمُوا عَلَى النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَأَخْبَرُوهُ، قَالَ: فَضَحِكَ النَّبِيُّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَأَصْحَابُهُ مِنْهُ حَوْلًا

Maksudnya: Abu Bakar al-Siddiq R.A keluar berdagang ke Basrah sebelum setahun kewafatan Nabi SAW dan beliau membawa bersamanya al-Nu‘aiman R.A dan Suwaibit bin Harmalah R.A. Kedua-duanya turut menyertai Perang Badar. Pada ketika itu, al-Nu‘aiman R.A membawa bekalan makanan. Suwaibat R.A pun berkata kepadanya dan beliau juga seorang pemuda yang suka bergurau: ‘Berikan aku makanan.’ Al-Nu‘aiman R.A menjawab: ‘Tidak, sehinggalah Abu Bakar R.A sampai ke sini.’ Suwaibit R.A pun berkata: ‘Demi Allah! Aku akan melakukan satu helah terhadap engkau.’ Ketika bertemu dengan sekumpulan orang, Suwaibit R.A berkata kepada mereka: ‘Adakah engkau ingin membeli hamba daripada aku?’ Lalu mereka menjawab: ‘Ya.’ Suwaibit R.A juga menyebutkan kepada mereka: ‘Dia seorang hamba yang sering menyatakan sesuatu. Dia akan menyatakan kepada kamu, ‘Sesungguhnya aku seorang yang merdeka!’ Sekiranya dia menyatakan kata-kata ini kepada kamu, jangan pedulikan kata-katanya. Jangan kamu juga mencederakannya.’ Mereka berkata: ‘Bahkan kami akan membelinya daripada engkau.’ Suwaibit R.A berkata: ‘Belilah dia dengan harga 10 qalais.’ Dinyatakan juga bahawa mereka pergi kepada al-Nu‘aiman R.A, lalu meletakkan pada lehernya kain yang diletakkan di atas kepala ataupun tali. Nu’aiman R.A pun berkata: ‘Ini adalah satu gurauan (Suwaibit) dengan kamu semua. Aku seorang yang merdeka, bukan hamba.’ Mereka berkata: ‘Sesungguhnya dikhabarkan kepada kami mengenai engkau.’ Lalu, mereka membawanya pergi. Tidak lama kemudian, datanglah Abu Bakar R.A. Suwaibit pun menceritakan kepada beliau apa yang terjadi. Kemudian, terus mengekori orang-orang itu. Maka Abu Bakar R.A memulangkan kembali 10 qalais itu dan mengambil al-Nu‘aiman kembali. Ketika mereka sampai kepada Nabi SAW, mereka terus menceritakan kepada Baginda dan dinyatakan, Nabi SAW dan para sahabat ketawa mendengar cerita daripada peristiwa itu tanpa henti-henti.”[26]

Beberapa Kisah Lawak Jenaka dalam Islam

Tamadun Islam kaya dengan pelbagai himpunan kisah-kisah lucu sebagaimana yang termaktub dalam kitab-tulisan al-Jahiz seperti:

  1. al-Azkiya’
  2. al-Bayan wa al-Tabyin
  3. al-Bukhala’

Begitu juga kitab-kitab tulisan Ibn al-Jauzi seperti:

  1. Akhbar al-Ziraf wa al-Mutamajinin
  2. Akhbar al-Hamqa wa al-Mughaffalin 

Abu al-Barakat juga terkenal dengan himpunan kisah-kisah lucunya melalui al-Murah fi al-Muzah. Jika hendak disenaraikan, sememangnya terlalu banyak karya yang menarik lantas membuktikan bahawa Islam bukanlah agama yang tidak menghargai fitrah manusia yang gemar kepada lawak jenaka. Saya nyatakan di sini beberapa kisah yang masyhur terkait topik ini. Di antaranya:

Ibn Sirin

Abu Nu‘aim menceritakan berkenaan Abu Bakar Muhammad bin Sirin bahawa beliau ialah seorang yang warak, amanah, berhati-hati dan sangat menjaga. Beliau pada malam hari menangis teresak-esak, sedangkan pada siang hari pula beliau tersenyum dan dalam keadaan berpuasa. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari (yakni tidak berpuasa) secara selang-seli.[27]

Ummu ‘Ubbad isteri kepada Hisyam bin Hassan menyebutkan, kami singgah (dan bermalam) bersama Muhammad bin Sirin di rumahnya. Kami mendengar suara tangisannya di malam hari dan suara ketawanya di siang hari.[28]

Selain itu, al-Zahabi juga ada menukilkan dalam kitabnya daripada Umar bin Syabbah: Yusuf bin ‘Atiyyah menyampaikan kepada kami bahawa beliau melihat Ibn Sirin seorang yang banyak bergurau dan ketawa.[29]

Begitu juga Abu Nu‘aim al-Asbahani turut menyebutkan dalam kitabnya bahawa Habib bin al-Syahid menyebutkan, Ibn Sirin tidak merintih apabila ditimpa musibah, sebaliknya boleh jadi beliau ketawa sehingga menitiskan air mata. Selain itu, dinukilkan daripada al-Sari bin Yahya dan Ibn Syauzab bahawa kedua-duanya menyebutkan, Ibn Sirin boleh jadi ketawa sehingga berbaring dan mengunjurkan kedua kakinya.[30]

Kisah Bahlul dengan Khalifah Harun al-Rasyid

Dinukilkan bahawa Bahlul ialah seorang yang dianggap gila pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyah Harun al-Rasyid. Diceritakan bahawa pada suatu hari Khalifah Harun al-Rasyid berjalan melintasinya, sedangkan ketika itu Bahlul sedang duduk di atas salah satu kubur. Maka, Harun al-Rasyid berkata kepadanya dengan tujuan untuk mengingkari perbuatannya itu: “Wahai Bahlul, wahai orang gila, bilakah engkau hendak berakal?” Lalu Bahlul berlari dan memanjat naik ke atas pokok yang tertinggi, kemudian dia menjerit kepada Harun al-Rasyid dengan suara yang kuat: “Wahai Harun, wahai orang gila, bilakah engkau hendak berakal?”

Kemudian Harun al-Rasyid pergi ke bawah pokok tersebut, dan ketika itu beliau sedang berada di atas kudanya, lalu berkata kepada Bahlul: “Aku orang gila ataupun engkau yang duduk atas kubur?” Maka Bahlul menjawab kepadanya: “Bahkan aku ialah orang yang berakal.” Harun al-Rasyid bertanya: “Bagaimanakah itu?” Bahlul menjawab: “Hal ini kerana aku mengetahui bahawa ini akan hilang (yakni tidak kekal) — dan dia menunjuk ke arah istana Harun. Adapun ini pula akan kekal — dan dia menunjuk ke arah kubur. Oleh itu, aku membangunkankan ini (kubur) sebelum ini (istana). Adapun engkau pula telah membangunkan ini  (yakni istananya) dan merobohkan (melupakan) ini (yakni kubur). Engkau tidak suka untuk berpindah daripada kemakmuran kepada kehancuran dalam keadaan engkau mengetahui bahawasanya tempat kembali engkau itu tidak dapat dielakkan.” Dia menambah lagi: “Justeru, katakanlah kepadaku siapakah sebenarnya orang gila?”

Maka hati Harun al-Rasyid bergetar disebabkan oleh kata-kata Bahlul itu, lalu beliau menangis sehingga basah janggutnya dan berkata: “Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah benar.” Kemudian Harun al-Rasyid berkata lagi: “Tambahkanlah lagi kepadaku (nasihat-nasihat) wahai Bahlul.” Bahlul berkata: “Cukuplah bagi engkau kitab Allah dan berpeganglah dengannya.” Harun al-Rasyid bertanya lagi: “Adakah engkau mempunyai suatu hajat yang dapat aku tunaikannya? Bahlul menjawab: “Ya, aku mempunyai tiga hajat, jika engkau dapat menunaikannya maka aku akan berterima kasih kepada engkau.” Harun al-Rasyid berkata: “Kalau begitu, mintalah.” Bahlul berkata: “Aku meminta supaya engkau menambahkan (yakni memanjangkan) umurku.” Harun al-Rasyid menjawab: “Aku tidak mampu.” Bahlul berkata lagi: “Aku meminta kepada engkau agar melindungiku daripada malaikat maut.” Beliau menjawab: “Aku tidak mampu.” Bahlul berkata lagi: “Aku meminta kepada engkau agar memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku daripada neraka.” Beliau menjawab: “Aku tidak mampu.” Bahlul pun berkata: “Maka, ketahuilah bahawa engkau ialah seorang hamba (yang dimiliki) dan bukannya raja (yakni merujuk kepada Tuhan yang Memiliki dan Menguasasi). Oleh itu, aku tidak perlukan engkau.”[31]

Semasa belajar di Universiti Islam Madinah, antara kisah yang masyhur adalah kisah jenaka Syeikh Ibn Baz. Dua kisah yang masih segar dalam ingatan saya adalah sebagaimana berikut:

Kisah Syeikh Ibn Baz dengan seorang lelaki

Syeikh Ibn Baz ialah seorang yang sangat berlembut dengan tetamunya, suka membahagiakan mereka, dan suka bergurau dengan mereka tanpa berlebih-lebihan atau merendahkannya. Diceritakan bahawa seorang lelaki yang bercerai datang kepadanya, maka Syeikh bertanya kepadanya: “Siapakah namamu?” Dia menjawab: “Zib (ذيب).”[32] Syeikh bertanya lagi: “Siapakah nama isterimu?” Dia menjawab: “Zibah (ذيبة).”[33] Syeikh pun berkata kepadanya secara gurauan: “Aku memohon kepada Allah kesejahteraan! Kamu ialah serigala, dan isteri kamu juga ialah serigala, justeru bagaimana anak-anak kamu akan hidup antara kamu berdua?”

Kisah Syeikh al-Albani dan Ibn Baz

Diceritakan bahawa salah seorang penuntut ilmu menumpang kereta yang dipandu oleh Syeikh al-Albani dan Syeikh al-Albani memandu kereta itu dengan laju. Maka, pelajar tersebut berkata kepadanya: “Perlahankanlah pemanduan kamu wahai Syeikh, kerana Syeikh Ibn Baz telah berfatwa bahawa membawa kenderaan melebihi kelajuan termasuk dalam perbuatan mencampakkan diri kepada kecelakaan.” Syeikh al-Albani pun berkata: “Ini ialah fatwa daripada orang yang tidak pernah memandu kenderaan.”[34] Pelajar itu berkata: “Bolehkah aku sampaikan kepada Syeikh Ibn Baz?” Syeikh al-Albani menjawab: “Sampaikanlah kepadanya.” Apabila pelajar itu menyampaikan kepada Syeikh Ibn Baz apa yang dikatakan oleh Syeikh al-Albani, beliau pun ketawa dan beliau berkata: “Sampaikan kepadanya bahawa fatwa itu adalah daripada orang yang belum pernah membayar wang diyat.”[35]

Hukum Berlawak Jenaka

Saya cuba untuk melihat pertimbangan yang adil antara keharusan lawak jenaka dan peringatan daripada Rasulullah SAW dan para salafussoleh tentang lawak jenaka yang keterlaluan.

Imam al-Nawawi menukilkan dalam kitabnya bahawa para ulama berpendapat, gurauan yang dilarang adalah yang keterlaluan (melampaui batas) dan berterusan dalam bergurau kerana ia akan mewariskan sifat ketawa dan keras hati, serta menyibukkan diri daripada mengingati Allah SWT dan berfikir pada perkara-perkara yang penting dalam agama. Begitu juga dalam banyak keadaan ia membawa kepada menyakitkan seseorang, menimbulkan perasaan dendam, menjatuhkan maruah dan kehormatan diri seseorang.

Adapun jika gurauan atau jenaka tersebut selamat daripada semua perkara ini, maka hukumnya adalah harus. Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri pernah melakukannya — yakni bergurau. Namun, Baginda SAW dalam banyak keadaan sangat jarang sekali bergurau dan melakukannya kerana maslahah tertentu dan bertujuan untuk menyenangkan jiwa orang yang hendak disampaikan dan melunakkannya. Justeru, dalam situasi ini tidak ada tegahan untuk melakukannya secara pasti, bahkan sebaliknya ia merupakan sunnah yang digalakkan sekiranya ia dalam situasi ini.[36]

Tentang lawak jenaka yang berlebihan, Mis‘ar bin Kidam pernah berkata:

أَمَّا الْمَزَاحَةُ وَالْمِرَاءُ فَدَعْهُمَاخُلُقَانِ لَا أَرْضَاهُمَا لِصَدِيقِ

Maksudnya: “Adapun gurauan dan senda, maka tinggalkanlah kedua-duanya. Ia adalah dua perbuatan yang aku tidak suka untuk menjadi teman.”[37]

Begitu juga Umar bin Abdul Aziz turut menyebutkan:

لَا يَكُونُ الْمُزَاحُ إلَّا فِي سُخْفٍ أَوْ بَطَرٍ

Maksudnya: “Tidaklah senda gurau itu disukai, melainkan sesiapa yang kurang akal ataupun lupa daratan.[38]

Selain itu dinyatakan juga: “Gurauan mendatangkan kesusahan dan melenyapkan kurniaan. Orang yang suka bergurau dianggap pengacau dan orang yang menjadi mangsa pasti membalas dendam kembali.[39]

Akan tetapi, apa yang dinyatakan daripada Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda adalah lebih berhak untuk diikuti kerana mereka merupakan contoh kepada keseimbangan dan kesederhanaan. Ibn Abi Syaibah ada meriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman R.A, beliau berkata:

لَمْ يَكُنْ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُنْحَرِفِينَ وَلَا مُتَمَاوِتِينَ، وَكَانُوا يَتَنَاشَدُونَ الشِّعْرَ فِي مَجَالِسِهِمْ، وَيَذْكُرُونَ أَمْرَ جَاهِلِيَّتِهِمْ، فَإِذَا أُرِيدَ أَحَدُهُمْ عَلَى شَيْءٍ مِنْ دِينِهِ دَارَتْ حَمَالِيقُ عَيْنَيْهِ كَأَنَّهُ مَجْنُونٌ

Maksudnya:Tiada seorang pun sahabat Rasulullah SAW yang bersifat dengan sifat yang keras dan tidak bersemangat. Mereka ialah orang yang selalu mendendangkan syair-syair, mengingati kehidupan mereka ketika Jahiliyyah. Sekiranya aku menginginkan mereka bagi menceritakan sesuatu daripada urusan agamanya, mereka akan berbicara tentangnya sehingga terbeliak kedua-dua biji matanya seolah-olah dia orang yang gila.”[40]

Selain itu, Ibn Sirin juga pernah ditanya mengenai perihal para sahabat, “Adakah mereka saling bergurau senda?” Dia menjawab, “Tidaklah mereka melainkan sepertimana manusia yang lain. Ibn Umar R.Anhuma sendiri pernah bergurau dan mendendangkan puisi.”

Oleh itu, pendirian dan sikap mereka yang kuat berpegang pada agama ataupun bersemangat dalam mengamalkan ajaran agama, dengan wajah-wajah mereka yang masam dan serius, tidak menggambarkan langsung hakikat agama yang sebenar dalam sesuatu perkara. Ia juga tidak selari dengan petunjuk Rasulullah SAW dan jejak langkah para sahabat Baginda. Akan tetapi ia disebabkan oleh kefahaman mereka yang salah terhadap Islam ataupun kerana sikap keperibadian mereka sendiri atau disebabkan juga oleh keadaan mereka membesar dan cara mereka mendapat didikan.

Apa-apa pun keadaannya, seorang Muslim mengetahui imej Islam tidak diambil daripada keperibadian individu ataupun kumpulan tertentu. Hal ini kerana, mereka semua boleh betul dan tersilap. Sebaliknya, Islam itulah yang menjadi bukti ke atas mereka dan bukannya mereka menjadi bukti ke atas Islam. Islam itu diambil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang jelas.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa sebagai agama yang sesuai dengan fitrah manusia, Islam tidak menentang hiburan termasuklah gurauan, komedi atau lawak jenaka. Malah Islam juga tidak mahukan penganutnya sentiasa serius sehingga tiada ruang langsung untuk bersantai dan berhibur.

Hal ini kerana pada asasnya hukum berhibur dan bergurau itu sendiri adalah diharuskan selagi mana tidak keterlaluan dalam hal tersebut, melanggar batas-batas agama, membawa kepada menyakiti orang lain, menimbulkan perasaan dendam, menjatuhkan harga diri dan maruah seseorang, dan seumpamanya. Jika semua perkara ini tidak dapat dielakkan, maka tidak syak lagi bahawa hiburan atau gurauan tersebut adalah dilarang.

Justeru, saya cenderung kepada pendapat bahawa hukum lawak jenaka adalah diharuskan tetapi mestilah dengan garis panduan sebagaimana yang akan dijelaskan nanti.

Fatwa Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Beliau menyebut, sesungguhnya ketawa, jenaka, dan gurauan adalah satu perkara yang disyariatkan dalam Islam. Ini sebagaimana yang dibuktikan ke atas perkara itu oleh nas-nas yang telah dinyatakan dan perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya.

Semua itu disyariatkan untuk keperluan fitrah manusia dengan disediakan kepadanya sesuatu yang terdiri daripada perkara yang melapangkan diri mereka, iaitu permasalahan kehidupan dan cabaran dalam kehidupan seharian.

Berkaitan dengan permasalahan ini, Ali R.A menyebutkan:

 إِنَّ هَذِهِ القُلُوبَ تَمَلُّ كَمَا تَمَلُّ الْأَبْدَانِ، فَابْتَغُوا لَهَا مِنْ طَرَائِفِ الْحِكْمَةِ

Maksudnya:Sesungguhnya hati ini akan merasai jemu sebagaimana jasad itu akan jemu terhadap sesuatu. Maka, carilah sesuatu yang dapat melapangkan hati.[41]

Beliau juga menyatakan:

رَوِّحُوا الْقُلُوبَ سَاعَةً فَسَاعَةً، فإِنَّ الْقَلْبَ إِذَا أُكْرِهَ عَمِىَ

Maksudnya:Lapangkan hati kamu dari setiap detik ke satu detik yang lain. Sesungguhnya jikalau ia dipaksa, ia akan menjadi buta.”[42].[43]

Sebagaimana juga hiburan dan kesenangan boleh membangkitkan kecergasan jiwa sehingga ia mampu meneruskan perjalanan yang memerlukan masa panjang. Sebagaimana seorang manusia menenangkan hati binatang tunggangannya dalam permusafiran sehingga tunggangannya itu tidak keletihan dan jemu.

Berkaitan dengan ini juga, Abu Darda’ R.A menyatakan:

إِنِّي لَأَسْتَجِمُّ قَلْبِي بِالشَّيْءِ مِنَ اللَّهْوِ؛ لِأَقْوَى بِهِ عَلَى الْحَقِّ

Maksudnya: “Aku menyediakan buat hatiku dengan sesuatu daripada hiburan supaya dengannya ia boleh membantuku lebih kuat bagi meneruskan kewajipan agama yang dituntut untuk ditunaikan.”[44]

Syariat membenarkan ketawa, berjenaka, dan bergurau sudah semestinya tidak diragui langsung asalnya ia diharuskan. Tetapi, ia juga terikat dengan panduan-panduan dan syarat-syarat yang tidak boleh tidak, perlu dititikberatkan.

Pertama: Tidak terdapat padanya sebarang pendustaan dan rekaan bagi menjadi bahan yang membuatkan orang ketawa. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian orang pada awal bulan April, iaitu pada ketika itu mereka menamakannya sebagai ‘April Fool’.

Terdapat riwayat Mu‘awiyah al-Qusyairi, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ، لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ، وَيْلٌ لَهُ، وَيْلٌ لَهُ ‏

Maksudnya: “Celakalah bagi orang yang berbicara, lalu dia berdusta bagi membuatkan segolongan orang ketawa. Celakalah baginya, celakalah baginya.”[45]

Nabi SAW bergurau dan tidak menyatakan dalam gurauan Baginda, kecuali yang perkara yang benar sahaja.

Kedua: Gurauan itu tidak mengandungi sebarang penghinaan terhadap orang lain atau memperolok-olokkan orang lain dengannya, serta sebarang persendaan, melainkan sekiranya gurauan itu diizinkan dan disukai oleh orang yang mendengarnya.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah pula kaum wanita mencemuh ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama faşik selepas dia beriman.”[46]

Dinyatakan juga dalam hadith yang sahih daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

Maksudnya: “Cukuplah seseorang Muslim itu menjaga dirinya daripada menghina saudara seagama.”

Riwayat Muslim (2564), Abu Dawud (4882), al-Tirmizi (1927), Ibn Majah (4213) dan Ahmad (234)

Aisyah R.Anha turut menyebut di hadapan Nabi SAW mengenai seorang daripada isteri Baginda. Maka beliau memperkatakan kekurangan yang terdapat dalam diri seorang daripada isteri Baginda dan mengaibkannya dengan cerita itu. Rasulullah SAW bersabda:

لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ بِمَاءِ الْبَحْرِ لَمَزَجَتْهُ‏.‏ قَالَتْ: وَحَكَيْتُ لَهُ إِنْسَانًا -أي قلدته في حركته أو صوته أو نحو ذلك- فَقَالَ: مَا أُحِبُّ أَنِّي حَكَيْتُ إِنْسَانًا وَأَنَّ لِي كَذَا وَكَذَا‏.‏

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau telah menyatakan satu perkataan yang sekiranya engkau mencampurkan dengan air laut, engkau benar-benar mencampurkannya.” Aisyah R.A menjawab: ‘Aku berbicara mengenai apa yang dimiliki oleh semua manusia. — iaitu, aku hanya meniru pergerakannya ataupun suaranya atau seumpamanya. — Maka Baginda bersabda: ‘Aku tidak suka menceritakan kekurangan sesiapa pun, si fulan itu begini dan begitu…”[47]

Ketiga: Tidak terangkum di atas gurauannya unsur memburukkan dan menakutkan seseorang Muslim itu.

Abu Daud meriwayatkan daripada ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila, beliau menyebutkan bahawa sahabat Nabi SAW menyatakan kepada kami, sesungguhnya mereka berjalan bersama-sama Baginda, maka bangunlah seorang lelaki daripadanya. Lalu, sebahagian yang lain cuba mendapatkan tali yang berada pada lelaki yang berdiri tadi dan dia begitu terkejut. Maka Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

Maksudnya: “Tidak dibenarkan bagi seorang Muslim untuk menakutkan seorang Muslim yang lain.”[48]

Selain itu, al-Nu‘man bin Basyir R.A turut meriwayatkan, beliau berkata:

كنّا مع رسولِ اللهِ -صلى الله عليه وسلم- في مسيرٍ فخفَق رجُلٌ على راحلتِه -أي نعس- فأخَذ رجُلٌ سهمًا مِن كِنانتِه فانتبَه الرَّجُلُ، ففزِع، فقال رسولُ اللهِ: لا يحِلُّ لِمُسلِمٍ أنْ يُروِّعَ مُسلِمًا

Maksudnya:Kami berada di samping Rasulullah SAW dalam perjalanan. Seorang daripada lelaki menyertai perjalanan terlelap di atas tunggangannya — yakni mengantuk. Seorang lelaki yang lain pula mengambil anak panah daripada busurnya, lalu membuatkan lelaki yang mengantuk tadi terperanjat. Rasulullah SAW bersabda: ‘Tidak dibenarkan bagi seorang Muslim untuk menakutkan seorang Muslim yang lain.”[49]

Berdasarkan konteks hadith tadi, dapat difahami bahawa orang yang ingin  menakut-nakutkan kawannya tadi adalah bertujuan untuk berjenaka, akan tetapi ia tidak dibenarkan oleh Islam.

Selain itu, terdapat juga dalam hadith yang lain:

 لا يَأْخُذْ أحدُكُمْ مَتاعَ أَخِيهِ لاعِبًا ولا جادًّا

Maksudnya: “Janganlah seseorang daripada kamu mengambil hak milik saudaranya dengan cara bergurau dan berjenaka dengannya ataupun dengan cara yang serius.”

Riwayat al-Tirmizi (2160).[50] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (13/508).

Keempat: Tidak bergurau ketika dalam keadaan serius dan tidak ketawa semasa keadaan yang memerlukan kita menangis. Bagi setiap sesuatu perlakuan ada masanya dan setiap perkara mesti kena pada tempatnya serta setiap kata-kata diucapkan itu berdasarkan situasi dan keadaan tertentu. Kebijaksanaan itu adalah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang sesuai.

Antara pujian para pujangga:

 إِذَا جَدَّ عِنْدَ الجَّدِّ أَرْضَاكَ جِدّهُ         وَذُو باطلٍ إِن شِئْت أَلهاك باطله!

“Apabila seseorang itu bersungguh-sungguh melakukan perbuatan yang serius, maka dia meletakkan sikapnya itu pada tempat yang betul.

Begitu juga apabila dia tidak berada dalam keadaan serius, dia pasti meletakkan kebatilan[51] pada tempat yang sepatutnya!”

Diriwayatkan oleh al-Asma‘i, beliau melihat seorang wanita di pedalaman sedang solat di atas hamparan sejadahnya dengan penuh khusyuk. Ketika sampai waktu lapangnya, dia berdiri di hadapan cermin sambil berdandan dan menghias diri. Beliau pun bertanya kepada perempuan itu, “Di manakah perginya keadaan kamu yang sebentar tadi.” Lalu, dia mendendangkan serangkap puisi sambil berkata:

وَلِلَّهِ مِنَّيْ جانِبٌ لا أُضِيعُهُ       وَلِلَّهْوِ مِنَّيْ وَالْبَطالَةِ جَانِبُ!

“Aku memiliki hak yang perlu ditunaikan terhadap Tuhanku.

Di samping itu, aku juga mempunyai masa untuk berhibur dan   bersenang-senang.”

(Lihat Durar al-Hikam oleh Abu Mansur al-Tha‘alibi, hlm. 47; Husn al-Tanabbuh, 2/496 dan Bughyah al-Idhah li Talkhis al-Miftah fi ‘Ulum al-Balaghah, 1/98).

Al-Asmai‘i berkata lagi: “Barulah aku tahu, sesungguhnya dia ialah wanita yang kuat beribadah dan mempunyai seorang suami yang dia berhias buatnya.”

Dinyatakan juga di dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ، وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ: النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ ‏

Maksudnya:Tiga perkara yang tidak boleh dipermainkan dan jikalau dijadikan bahan senda gurau, ia tetap menjadi sesuatu yang serius, iaitu perkahwinan, perceraian, dan rujuk.”

Riwayat Abu Dawud (2194), al-Tirmizi (1184) dan Ibn Majah (2039). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai hasan li ghairihi dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2194).

Selain itu, al-Quran juga mencatatkan terhadap orang-orang munafik mengenai kegembiraan mereka dan gelak tawa mereka kerana menentang Rasulullah SAW dengan cara menarik diri daripada Peperangan Tabuk. Mereka memberi alasan yang dusta untuk kekal duduk bersama orang-orang yang menarik diri daripada menyertai Peperangan Tabuk. Maka Allah SWT berfirman:

فَرِحَ الْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلَافَ رَسُولِ اللَّهِ وَكَرِهُوا أَن يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَقَالُوا لَا تَنفِرُوا فِي الْحَرِّ ۗ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا ۚ لَّوْ كَانُوا يَفْقَهُونَ ‎﴿٨١﴾‏ فَلْيَضْحَكُوا قَلِيلًا وَلْيَبْكُوا كَثِيرًا جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Orang yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bergembira disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah SAW Mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa pada jalan Allah, dan mereka pula menghasut dengan) berkata: Janganlah kamu keluar di musim panas ini. Katakanlah: Api neraka jahanam lebih panas membakar, jikalaulah mereka itu memahami. Oleh itu, bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini ) dan akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan.[52]

Kelima: Menjadikan gurauan itu dengan kadar yang boleh diterima akal dan dalam batasan yang sederhana, serta seimbang supaya ia diterima oleh fitrah manusia yang sejahtera. Ia juga boleh diterima oleh akal yang waras dan mampu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat menjadi positif.

Islam tidak menyukai sikap berlebih-lebihan dan melampau dalam setiap perkara walaupun dalam soal ibadah, apatah lagi dengan hiburan dan gurau senda yang berlebih-lebihan. Oleh sebab itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW menyatakan:

 وَلاَ تُكْثِرِ الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ

Maksudnya: “Janganlah kamu banyak ketawa, sesungguhnya banyak ketawa itu akan mematikan hati.” [53]

Larangan tersebut adalah agar tidak terlalu banyak dan berlebihan dalam ketawa. Sesungguhnya dinyatakan daripada Ali R.A, beliau menyatakannya:

أعط الكَلَام مِن الْمَزْحِ، بِمِقْدَارِ مَا تُعْطِي الطَّعَامَ مِنَ المِلْحِ

Maksudnya: “Berilah sedikit gurauan dalam perbicaraan sebagaimana makanan itu diberikan sedikit garam.”[54]

la adalah kata-kata orang bijaksana yang menunjukkan kepada kita, sepatutnya tidak berlebihan dalam bergurau sebagaimana ia menunjukkan kepada kemudaratan sekiranya berlebihan padanya.

Berlebihan bermaksud gurauan itu dikhuatiri akan dilakukan di luar batasan syarak yang sepatutnya, ataupun menyebabkan kita disifatkan sebagai golongan yang kurang akalnya, ataupun mendatangkan kemarahan kepada rakan-rakan. Inilah yang dimaksudkan apa yang dinyatakan daripada sebuah hadith:

لاَ تُمَارِ أَخَاكَ وَلاَ تُمَازِحْهُ

Maksudnya:Janganlah kamu berdebat dengan saudaramu dan janganlah kamu bergurau dengan saudaramu.[55]

Berlebihan dalam bergurau seperti berjenaka berlebih-lebihan, kedua-duanya membawa kepada hilangnya rasional seseorang itu. Hal ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Sa‘id bin al-As kepada anaknya:

 اقتَصِدْ في مُزاحك فَالإِفْرَاط فِيهِ يُذهب البهَاءَ ويُجرِّئ عَلَيْك السُّفَهَاءَ، وَتركه يقبضُ المؤانسينَ ويوحش الْمُخَالطين

Maksudnya: “Berpada-padalah dalam gurauanmu, maka berlebih-lebihan padanya menghilangkan keindahan dan menyebabkan orang-orang yang kurang akal berhimpun di sekelilingmu. Manakala meninggalkan terus gurauan akan menyebabkan rakan-rakan dan orang di sekeliling kita akan meninggalkan kita.[56]

Sebaik-baik perbuatan adalah yang bersifat sederhana dan ia adalah cara Islam yang sebenar serta satu keistimewaan terbesar yang ada pada Islam. Ia merupakan satu kelebihan yang ada pada umat Islam mengatasi umat yang lain. Justeru, sepatutnya ia adalah jalan lurus yang selalu diminta oleh kita kepada Allah SWT supaya memberikan petunjuk kepada kita kepada jalan-Nya serta menetapkan kita di atas jalan-Nya, sama ada dalam kata-kata, pandangan-pandangan perbuatan-perbuatan, dan semua keadaan.[57]

Garis Panduan Berjenaka

Berdasarkan nas dan kenyataan yang telah dikemukakan di atas, saya rumuskan di sini beberapa garis panduan dalam berjenaka seperti berikut:

Pertama: Tidak mempersendakan agama Islam dan syiar-syiarnya

Islam merupakan agama yang meraikan kebahagiaan dan keharmonian dalam kalangan penganut-penganutnya. Justeru, agama Islam tidak pernah melarang untuk bergurau senda mahupun berjenaka selagi mana perkara tersebut masih lagi dalam landasan yang disyariatkan oleh agama Islam dan mengikut etika-etika yang ditetapkan oleh agama.

Di antara perkara yang perlu diberi perhatian ketika berjenaka adalah tiadanya unsur mempersendakan agama Islam mahupun syiar-syiarnya. Menggunakan nama-nama Allah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam serta syiarnya dalam lawak jenaka adalah perlu dijauhkan dan dielakkan, lebih-lebih lagi jika ia dipersembahkan dalam bentuk yang dilihat seolah-olah mempersendakan, kerana dibimbangi perbuatan tersebut akan membawa kepada haram. Perkara ini jelas dapat dilihat daripada firman Allah SWT:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Maksudnya:Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.”[58]

Begitu juga firman Allah SWT yang lain:

الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ فَالْيَوْمَ نَنسَاهُمْ كَمَا نَسُوا لِقَاءَ يَوْمِهِمْ هَٰذَا وَمَا كَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Maksudnya:(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.[59]

Dapat difahami daripada ayat di atas bahawa sebahagian ciri-ciri penghuni neraka ialah mereka sentiasa merendah-rendahkan agama Allah dan menjadikannya sebagai bahan hinaan dan mainan; dan mereka tertipu oleh kehidupan dunia dan syahwat yang ada di dalamnya. Justeru, pada hari kiamat ini, Allah SWT tinggalkan mereka di dalam azab, sebagaimana mereka meninggalkan amal kebaikan sebagai persiapan bagi bertemu Tuhan mereka pada hari ini, dan mereka mendustakan ayat-ayat Allah yang jelas.[60]

Oleh itu, ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada larangan untuk mempermainkan agama dan membuat sesuatu lawak yang mempunyai kaitan dengan ajaran Islam. Hal ini adalah bertujuan untuk menjaga kehormatan agama Islam itu sendiri sepertimana yang telah digariskan dalam maqasid syariah yang dharuriyyat iaitu menjaga agama. Apatah lagi, kita dituntut untuk meninggikan syiar-syiar agama Allah SWT dan menghormatinya. Malah, menghormati syiar-syiar agama Allah SWT itu termasuk dalam ciri-ciri orang yang bertaqwa.  Firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maknanya:Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (Dia-lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang Mukmin.”[61]

Kedua: Tidak menghina agama-agama lain

Pada asasnya, Islam melarang penganutnya daripada menghina, mencela dan memaki agama-agama lain.  Firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Bermaksud:Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan Setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

(Surah al-An‘am: 108)

Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan maknanya adalah janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan bahawa orang-orang Musyrikin berkata: “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu.” Maka Allah SWT melarang orang-orang beriman daripada mencela atau memaki berhala-berhala mereka.[62]

Begitu juga Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, Allah SWT melarang Rasul-Nya dan orang beriman daripada mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin sekalipun dalam hal itu adanya maslahah. Akan tetapi mafsadah daripada perbuatan tersebut adalah lebih besar daripada maslahahnya iaitu orang-orang Musyrikin akan membalas kembali dengan mencela Tuhan orang-orang beriman yakni Allah, tiada tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Dia.

Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma bahawa janganlah kamu wahai kaum Muslimin mencela tuhan-tuhan (yakni sembahan) orang Musyrikin yang disembah selain Allah kerana boleh jadi akibat daripada perbuatan tersebut mereka mencela dan mencerca Allah ‘Azza wa Jalla secara zalim dan melampaui batas bagi menimbulkan kemarahan orang-orang beriman, dalam keadaan mereka jahil dengan takdir Allah dan kebesaran-Nya. Oleh itu, perkara ini menunjukkan bahawa suatu ketaatan atau maslahah, jika ia membawa kepada maksiat atau mafsadah, maka ia ditinggalkan.

Selain itu, para ulama berpendapat bahawa hukum ayat ini — yakni larangan mencerca atau menghina sembahan agama lain — adalah kekal bagi umat ini dalam setiap keadaan. Justeru, selagi mana orang kafir enggan atau tidak mahu tunduk kepada pemerintahan Islam dan kaum Muslimin, serta dibimbangi mereka akan mencela agama Islam atau Nabi SAW atau Allah ‘Azza wa Jalla, maka orang Islam tidak boleh untuk mencela atau menghina salib mereka, agama mereka atau gereja (tempat ibadat) mereka, dan tidak terdedah untuk melakukan apa-apa perbuatan yang membawa kepada perkara itu kerana ia seolah-olah menggalakkan maksiat — iaitu penghinaan kepada Allah dan Rasul-Nya.[63]

Ketiga: Tidak menipu dalam berjenaka

Umumnya, perkataan ‘menipu’ berasal daripada perkataan ‘tipu’ yang bermaksud perbuatan curang atau kata-kata dusta untuk menyesatkan orang.[64]  Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, menipu ialah mengkhabarkan akan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja ataupun tersilap.[65] Manakala Imam al-Nawawi menambah lagi dengan menyebutkan, sama ada perkhabaran itu perkara yang telah berlaku ataupun yang akan datang.[66]

Perbuatan menipu termasuk dalam dosa-dosa besar. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maksudnya: Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.” [67]

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa telah jelas nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia termasuk dalam perbuatan dosa yang buruk dan suatu keaiban yang keji. Malah, para ulama telah menyatakan ijma‘ akan pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas. (Lihat al-Azkar, hlm. 377). 

Lebih-lebih lagi terdapat sebuah hadith mengingatkan supaya menjauhi amalan berdusta agar tidak tercatat di sisi Allah SWT sebagai seorang pendusta. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya:Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”[68]

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu.[69]

Bukan itu sahaja, menipu atau berbohong dengan tujuan untuk membuatkan orang ramai ketawa (yakni berjenaka) juga termasuk dalam perkara yang dilarang dalam Islam. Terdapat sebuah riwayat daripada Mu‘awiyah bin Haidah al-Qusyairi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ ‏

Maksudnya: Celakalah buat seseorang yang menceritakan sesuatu perkara lalu dia berdusta, dengan tujuan untuk membuatkan suatu kaum itu ketawa. Celakalah buatnya, celakalah buatnya.”[70]

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan menipu dengan tujuan untuk membuatkan orang ramai tertawa termasuk dalam perkara yang dilarang. Al-San‘ani menyebutkan, hadith ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa perbuatan berbohong bagi membuatkan sesuatu kaum itu ketawa adalah haram, dan pengharaman ini bersifat khusus. Selain itu, diharamkan juga ke atas para pendengar untuk mendengarnya, apabila mereka mengetahui yang dia sedang berbohong. Ini kerana perbuatan itu dianggap sebagai iqrar — yakni mengakui — perkara yang mungkar. Bahkan wajib ke atas mereka untuk mengingkari perbuatan tersebut, atau bangun dari tempat duduk. Sesungguhnya menipu itu dikira sebahagian daripada dosa-dosa besar sebagaimana yang disebutkan oleh al-Ruyani daripada kalangan ulama mazhab Syafi‘i.[71]  Tambahan lagi, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah turut menyatakan bahawa sesiapa yang mengada-adakan cerita bagi membuatkan orang ramai ketawa atau dengan tujuan yang lain, maka dia telah menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya — yakni berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Bahz bin Hakim daripada bapanya daripada datuknya sebagaimana hadith yang telah disebutkan di atas. Selain itu, Ibn Mas‘ud juga pernah berkata:

لَا يَصْلُحُ الْكَذِبُ فِي جِدٍّ وَلَا هَزْلٍ، وَلَا أَنْ يَعِدَ أَحَدُكُمْ وَلَدَهُ شَيْئًا ثُمَّ لَا يُنْجِزُ لَهُ

Maksudnya:Janganlah melakukan pendustaan terhadap perkara yang serius atau gurauan. Janganlah salah seorang daripada kamu menjanjikan sesuatu kepada anaknya tetapi tidak ditunaikannya.[72]

Selain daripada itu, jika perbuatan tersebut menyebabkan timbulnya permusuhan antara kaum Muslimin dan memberi kemudaratan dalam agama, maka ia adalah lebih-lebih lagi diharamkan. Walau apapun, pelakunya berhak untuk dikenakan hukuman secara syar‘i yang dapat mencegahnya daripada perkara tersebut. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 32/256).

Keempat: Tidak menghina suatu kaum mahupun orang lain

Allah SWT telah mengharamkan sejumlah perkara yang dimaksudkan untuk melindungi persaudaraan Islam serta apa yang diwajibkan tentang kehormatan manusia. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”[73]

Al-Qaradhawi dalam kitabnya menyebutkan, tidak boleh seseorang Mukmin yang takut kepada Allah dan mengharapkan kebahagiaan di hari akhirat menghina atau merendah-rendahkan sesiapa pun daripada kalangan manusia, ataupun menjadikan sebahagian orang tempat ejekannya, atau penghinaannya, atau permainannya, atau perolok-olokannya. Semua perbuatan ini adalah timbul daripada sikap takabbur yang tersembunyi dan peremehan terhadap orang lain serta jahil tentang nilai-nilai kebaikan di sisi Allah SWT. Oleh sebab itulah, Allah SWT berfirman sebagaimana dalam ayat di atas yang bermaksud: “Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.

Hal ini kerana kebaikan di sisi Allah SWT adalah dinilai berdasarkan keimanan dan keikhlasan, serta baik pertaliannya dengan Allah SWT, dan bukannya dinilai berdasarkan gambaran dan tubuh badan, ataupun dinilai berdasarkan kedudukan, pangkat dan harta benda. Terdapat dalam hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu dan tidak juga kepada harta benda kamu, akan tetapi Allah SWT melihat kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu.[74]

Justeru, adakah patut seseorang manusia dihina, tidak kira lelaki ataupun perempuan hanya disebabkan oleh suatu kecacatan pada badannya, penyakit pada kejadian rupanya, atau kerana kemiskinan pada harta bendanya? Terdapat riwayat yang menyebutkan bahawa pada suatu hari terselak kaki Abdullah bin Mas‘ud sehingga ternampaklah betisnya yang kurus kering. Lalu sebahagian orang yang berada di situ ketawa melihat betisnya yang kurus itu. Maka Rasulullah SAW bersabda:

أَتَضْحَكُونَ من دِقَّةِ ساقَيْهِ ! والذي نفسي بيدِه لَهُما أَثْقَلُ في الميزانِ من جَبَلِ أُحُدٍ

Maksudnya:Adakah kamu ketawa disebabkan oleh kurusnya kedua betisnya itu?! Demi jiwaku yang berada di dalam tangan-Nya, kedua-dua betisnya itu adalah lebih berat dalam timbangan daripada gunung Uhud.[75]

Al-Quran banyak menceritakan berkenaan kaum musyrikin yang jahat, betapa mereka menghina dan merendah-rendahkan orang beriman yang baik-baik, terutamanya mereka yang datang daripada kaum yang lemah, seperti Bilal dan Ammar. Namun, sebenarnya kelak merekalah — yakni orang-orang yang menghina semasa di dunia dahulu — akan berada di tempat penghinaan dan pengejekan di hari akhirat, sesuai dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ أَجْرَمُوا كَانُوا مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا يَضْحَكُونَ (29) وَإِذَا مَرُّوا بِهِمْ يَتَغَامَزُونَ (30) وَإِذَا انقَلَبُوا إِلَىٰ أَهْلِهِمُ انقَلَبُوا فَكِهِينَ (31) وَإِذَا رَأَوْهُمْ قَالُوا إِنَّ هَٰؤُلَاءِ لَضَالُّونَ (32) وَمَا أُرْسِلُوا عَلَيْهِمْ حَافِظِينَ (33)

Maksudnya:Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman (29). Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya) (30). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira (31); Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: ‘Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!’ (32) Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang-orang yang beriman itu! (33) Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu.[76]

Begitu juga termasuk dalam perkara yang diharamkan ialah al-Lamz (اللَّمز) iaitu maknanya dari segi bahasa ialah tusukan (الوَخْز) dan tikaman (الطعن). Akan tetapi maknanya di sini adalah merujuk kepada aib iaitu seolah-olah orang yang memburukkan atau mengaibkan orang lain sama seperti dia menikamnya dengan pedang atau menusuknya dengan tombak. Kenyataan ini adalah sangat benar, bahkan boleh jadi tikaman dengan lidah atau tusukan dengan lisan itu adalah lebih berat dan lebih melukakan hatinya. Dikatakan penyair ada menyebutkan:

جِرَاحَاتُ السِّنَانِ لَهَا التِئَامٌ # وَلَا يَلْتَئِمُ مَا جَرَحَ اللِّسَانُ

“Luka-luka disebabkan tikaman pedang masih boleh diubati,

Namun luka yang disebabkan lisan tidak akan sembuh.”

Oleh itu, Allah berfirman dalam ayat 11 surah al-Hujurat: “وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ ” iaitu yang dimaksudkan, janganlah setengah kamu mencela setengah yang lain. Akan tetapi al-Quran mengibaratkan kelompok orang beriman itu seolah-olah mereka adalah satu jiwa, kerana mereka itu semuanya saling tolong menolong dan jamin menjamin. Justeru, sesiapa yang mencela atau mengaibkan saudaranya, maka pada hakikatnya dia telah mencela dirinya sendiri, kerana dirinya itu sebahagian daripadanya.

Selain daripada itu, termasuk dalam perkara-perkara yang diharamkan juga adalah menggelar orang lain dengan gelaran yang buruk, atau memanggilnya dengan panggilan yang menyakiti hatinya, atau membuatnya membenci panggilan itu, sehingga menjadikan dirinya tempat ejekan orang. Seorang Muslim tidak boleh menyakiti hati saudaranya dengan memanggilnya dengan gelaran-gelaran yang membuatnya marah atau tidak senang. Hal ini tentulah akan mengubah jiwanya dan menimbulkan permusuhan dalam persaudaraan. Bahkah ia bertentangan dengan adab kesopanan dan rasa kehormatan diri yang tinggi nilainya.[77]

Lebih-lebih lagi, terdapat riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ

Maksudnya:Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”[78]

Penutup

Saya berpandangan, perlunya ada kerjasama yang erat antara pihak Kerajaaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Agama Negeri bagi memperkukuh pelaksananaan undang-undang dan mendidik masyarakat akan ruang-ruang sensitiviti yang wajar dipelihara. Kebebasan bersuara adalah jaminan yang diberikan dalam hak asasi manusia termasuk Perlembagaan Malaysia dan ia datang dengan rasa kebertanggungjawaban dan kematangan atas setiap apa yang dituturkan. Selagi kita berpegang dengan syariat Islam dan adab ketimuran, saya yakin kita akan kekal unggul dengan cara kita sendiri.

________________

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=lawak

[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=jenaka

[3] Lihat al-Fihrist, hlm. 381.

[4] Ibid.

[5] Lihat juga: https://www.al-qaradawi.net/node/4076

[6] Riwayat al-Baihaqi (13340) dalam al-Sunan al-Kubra, dan al-Tabarani (4882) dalam al-Mu‘jam al-Kabir dengan sanad yang hasan seperti dalam Majma‘ al-Zawa’id (9/17).

[7] Riwayat Abu Dawud (2578), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8945) dan Ahmad (26277). Hadith ini dinilai sahih sebagaimana dalam al-Silsilah al-Sahihah (131).

[8] Riwayat al-Bazzar (293) dalam Musnadnya, Ibn Kathir dalam Musnad al-Faruq (2/680) menyatakan bahawa hadith ini gharib dengan wajh ini.

[9] Riwayat Abu Daud (4994) dan al-Tirmizi (1991). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (3605) menilai  sanadnya sebagai sahih.

[10] Riwayat al-Zubair bin Bakkar dalam kitab al-Fukahah wa al-Murah. Diriwayatkan juga oleh Ibn Abi al-Dunya daripada hadith ‘Ubaidah bin Sahm al-Fahri dengan sedikit perbezaan, sebagaimana yang disebut oleh al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ (hlm. 1019). Lihat juga Manahil al-Safa, (hlm. 233, hadith no. 1270).

[11] Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata bahawa hadith ini diriwayatkan oleh al-Zubair bin Bakkar dalam al-Fukahah daripada riwayat Abdullah bin Hasan secara mursal ataupun mu‘dhal. (Lihat Takhrij al-Ihya’, hlm. 1020).

[12] Riwayat al-Bukhari (3529) dan Muslim (892)

[13] Riwayat al-Bukhari (949) dan Muslim (892)

[14] Hadith ini dinilai hasan berdasarkan Irwa’ al-Ghalil (1995). Hal ini kerana terdapat jalan riwayat yang menguatkannya. (Lihat Adab al-Zafaf, hlm. 109).

[15] Riwayat al-Tirmizi (230) dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah

[16] Riwayat al-Bukhari (77)

[17] Lihat Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari, 1/177

[18] Riwayat al-Bukhari (6203)

[19] Riwayat al-Tirmizi (1990)  dan beliau menilai hadith ini sebagai hasan.

[20] Lihat juga: https://www.al-qaradawi.net/node/4076

[21] Lihat al-Murah fi al-Muzah, hlm. 73

[22]  Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 6/366

[23] Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 6/366-367

[24] Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 6/367

[25] Lihat al-Isti‘ab, 2/590

[26] Riwayat Ibn Majah (3719) dan Ahmad (26729). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam tahqiqnya terhadap Sunan Ibn Majah (4/567) menilai sanad hadith ini sebagai dhaif.

[27] Lihat Hilyah al-Auliya’, 2/263

[28] Lihat Ruhban al-Lail oleh Sayyid bin Husain al-‘Affani, 1/366

[29] Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 4/607-608

[30] Lihat Hilyah al-Auliya’, 2/274

[31] Lihat https://www.almasryalyoum.com/news/details/904748. Diakses pada 21 Julai 2022.

[32] Iaitu merujuk kepada serigala jantan.

[33] iaitu merujuk kepada serigala betina.

[34] Hal ini kerana Syeikh Ibn Baz ialah seorang yang buta dan tidak boleh memandu kenderaan.

[35] Lihat Idhak ma‘a al-Tullab wa Mu‘allimin, hlm. 118; ‘Abd al-‘Aziz bin Baz: Masirah al-‘Ata’, hlm 59).

[36] Lihat al-Azkar, hlm. 326-327

[37] Lihat Hilyah al-Auliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’, 7/221

[38] Lihat Muhadarat al-‘Udaba wa-Muhawarat al-Shu’ara wa-al-Bulagha’, 1/345

[39] Ibid, 1/346

[40] Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya (27738)

[41] Lihat al-Jami‘ li Akhlaq al-Rawi (1399) oleh al-Khatib; Adab al-Majalisah wa Hamd al-Lisan oleh Ibn ‘Abd al-Bar, hlm. 107; al-Adab al-Syar‘iyyah oleh Ibn Muflih, 2/100; Jami‘ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi oleh Ibn ‘Abd al-Bar, 1/133 dan Ansab al-Asyraf oleh al-Balazuri, 2/135

[42] Lihat al-‘Iqd al-Farid oleh Ibn ‘Abd Rabbih, 8/90; al-Bariqah al-Mahmudiyyah, 2/79

[43] Sebahagian menisbahkan ungkapan ini kepada Abdullah bin Mas‘ud. (Lihat Bahjah al-Majalis wa Ans al-Mujalis oleh Ibn ‘Abd al-Bar, 1/20)

[44] Lihat al-Kuna wa al-Asma’, 1491 oleh al-Daulabi; Bughyah al-Ra’id oleh al-Qadhi ‘Iyadh, hlm. 119; dan al-Jami’ al-Kabir oleh al-Suyuti, 22/105

[45] Riwayat Abu Dawud (4990), al-Tirmizi (2315), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (11126) dan Ahmad (20046). Imam al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir (9629) menilai hadith ini sebagai sahih.

[46] Surah al-Hujurat: 11

[47] Riwayat Abu Daud (4875) dan al-Tirmizi (2502). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih dalam Takhrij Riyadh al-Salihin (1525).

[48] Riwayat Abu Dawud (5004) dan Ahmad (23064). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai isnadnya sebagai sahih dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (5004).

[49] Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (2/187). Al-Munziri menyatakan bahawa para perawinya adalah thiqah dalam al-Targhib wa al-Tarhib (3/40).

[50] Dalam riwayat al-Tirmizi dengan lafaz: ‘لاَ يَأْخُذْ أَحَدُكُمْ عَصَا أَخِيهِ لاَعِبًا أَوْ جَادًّا’

[51] Maksud kebatilan di sini ialah hiburan dan senda gurau.(Lihat al-Murah fi al-Muzah, hlm. 40; al-Tazkirah al-Hamduniyyah, 9/374; Nihayah al-Arab fi Funun al-Adab, 4/5; al-Amali oleh al-Qali, 1/275)

[52] Surah al-Taubah: 81-82

[53] Riwayat al-Tirmizi (2305), Ahmad (8095) dan Ibn Majah (4218). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai baik (jayyid) dalam Takhrij al-Musnad (8095).

[54] Lihat Fasl al-Khitab fi al-Zuhd wa al-Raqa’iq wa al-Adab, 1/259

[55] Riwayat al-Tirmizi (1995), al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (394), Ibn Abi al-Dunya (123) dan Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Auliya’ (3/344). Al-‘Ajluni menilai sanadnya sebagai dha’if dalam Kasyf al-Khafa’ (2/483).

[56] Lihat Usul al-Wusul ila Allah Ta‘ala, hlm. 51

[57] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/4076

[58] Surah al-An‘am: 70

[59] Surah al-A‘raf: 51

[60] Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 496

[61] Surah al-Hajj: 32

[62] Lihat Safwah al-Tafasir, hlm. 380

[63] Lihat al-Tafsir al-Munir, 7/325-328

[64] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tipu. Diakses pada 17 Mac 2022.

[65] Lihat Fath al-Bari, 1/201

[66] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/69

[67] Surah al-Hajj: 30

[68] Riwayat al-Bukhari (6094)

[69] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160

[70] Riwayat Abu Daud (4990); al-Tirmizi (2315); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (11126); Ahmad (20046)

[71] Lihat Subul al-Salam, 2/683

[72] Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (387)

[73] Surah al-Hujurat: 11

[74] Riwayat Muslim (2564)

[75] Riwayat Ahmad (3991) dan Syu‘aib al-Arna’ut menilainya sebagai sahih li ghairihi; riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir (8452); riwayat al-Bazzar dalam musnadnya (3305); riwayat Ibn Hibban dalam Manaqib al-Sahabah (7069)

[76] Surah al-Mutaffifin: 29-34

[77] Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 359-361

[78] Riwayat al-Tirmizi (1977) dan Ahmad (3839)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *