Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum seseorang wanita itu menggunakan kuku palsu? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.[1]

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT telah berfirman, ‘Qul – katakanlah’ iaitu wahai Muhammad kepada mereka kaum Musyrikin yang telah mengharamkan sesuatu berdasarkan pendapat mereka yang menyeleweng lagi bidaah. Begitu juga firman Allah SWT, ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya’ iaitu perhiasan tersebut adalah sesuatu yang telah dijadikan atau diciptakan oleh Allah SWT buat sesiapa yang beriman kepada-Nya atau para hamba-Nya di atas dunia ini, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari kiamat kelak, perhiasan tersebut adalah khusus buat mereka — yakni orang yang beriman — dan tidak ada seorang pun dalam kalangan orang kafir itu yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana syurga itu telah diharamkan buat orang kafir — yakni dari memasukinya.[2]

Definisi kuku palsu

Kuku palsu atau nama lainnya kuku tiruan, kuku buatan, kuku fesyen, kuku akrilik dan pelbagai lagi merupakan sambungan yang diletakkan ke atas kuku sebagai suatu aksesori fesyen. Sebahagian reka bentuk kuku tiruan ini ada yang direka menyamai rupa bentuk kuku asal dan begitu juga ada yang direka supaya berbeza bagi menampakkan nilai artistik. Tidak seperti kebanyakan manicure,[3] kuku palsu ini memerlukan penjagaan yang rapi, yang mana si pemakai perlu menghadiri salun rawatan kuku sekurang-kurangnya setiap dua minggu sekali, dan dikatakan ia boleh bertahan sehingga sebulan. Maka, tidak dinafikan bahawa kepelbagaiannya dari sudut saiz, corak, reka bentuk dan ketahanan yang tinggi meletakkan ia lebih terkehadapan berbanding jenis penjagaan dan perawatan kecantikan kuku yang lain.[4]

Secara umumnya, terdapat tiga jenis kuku palsu, yang dibezakan berdasarkan bahan-bahannya. Setiap bahan yang berbeza mempunyai cara pemasangan yang berbeza dan juga hasil yang berbeza. Berikut adalah tiga jenis kuku palsu biasa ditemui:

  1. Kuku palsu gel. Jenis kuku palsu ini mempunyai tekstur yang serupa dengan pengilat kuku. Cara memasang kuku palsu gel adalah dengan melekatkannya pada kuku, kemudian panaskan dengan cahaya ultraviolet selama kira-kira dua minit. Kuku palsu ini tidak berbau sehingga selesa untuk digunakan.
  2. Kuku palsu akrilik. Jenis kuku palsu ini mempunyai bau yang sangat kuat apabila digunakan. Cara pemasangannya adalah dengan mencampurkan akrilik terlebih dahulu dengan bahan lain. Selepas itu, campuran digunakan pada seluruh permukaan kuku yang dikehendaki. Kuku tiruan jenis ini akan mengeras dengan sendirinya apabila terdedah kepada udara.
  3. Kuku palsu silk. Jenis kuku palsu ini biasanya hanya bertahan selama dua hingga tiga minggu. Pemasangannya juga adalah lebih mudah iaitu hanya dengan melekatkannya pada kuku kemudian disapukan gam di atasnya supaya kuku palsu itu melekat kuat pada kuku. Selain itu, ia juga tidak hanya digunakan untuk mencantikkan kuku tetapi turut digunakan untuk membaiki kuku yang retak dan juga menguatkan kuku.[5]

Walau bagaimanapun, di sebalik pemakaiannya yang cantik dan menarik itu, ia turut mengandungi pelbagai risiko dan keburukan. Di antaranya ialah:

  • Kuku menjadi rosak. Proses pemasangan kuku akrilik akan mengikis kuku semula jadi anda. Selepas itu, kuku anda akan disalut dengan bahan kimia. Kedua-dua proses boleh membuat kuku lebih nipis. Di samping itu, jika anda ingin menanggalkannya, proses menanggalkan kuku palsu akrilik atau gel juga boleh menjadikan kuku lebih nipis. Biasanya, kuku akan direndam dalam aseton selama 10 minit atau lebih. Pendedahan kepada bahan kimia ini boleh membuat lapisan kuku anda lebih kering. Jika ini dilakukan secara berterusan tanpa penjagaan yang betul, kuku menjadi sangat rapuh dan mudah patah.
  • Terkena jangkitan. Menurut Lawrence E. Gibson, M.D, pakar kesihatan kulit di Mayo Clinic, bahaya memakai kuku tiruan sekalipun jarang berlaku, kuku tiruan boleh meningkatkan risiko jangkitan pada kuku. Penggunaan kuku akrilik, menyebabkan adanya jurang kuku. Kawasan itu sangat lembap, yang membolehkan bakteria dan kulat berkembang biak. Jika keadaan ini berterusan, jangkitan kuman dan kulat boleh berlaku. Jangkitan bakteria pada kuku anda, akan menyebabkan kuku menjadi merah, bengkak, dan bernanah. Manakala jangkitan kulat pula akan membuatkan kulit sekeliling menjadi gatal, kuku menjadi kekuningan dan mudah rapuh.[6]

Sekalipun begitu, Ahli Dermatologi[7] ada memberikan tips bagi mengurangkan kerosakan akibat penggunaan kuku palsu atau tiruan. Di antaranya ialah:

  • Jangan terlalu kerap menggunakan kuku palsu. Sekali-sekala biarkan kuku anda bersih daripada cat, gel atau akrilik. Manfaatkan penggunaan kuku tiruan hanya untuk menghadiri acara tertentu, seperti perkahwinan, pesta atau acara lain, bukan penggunaan secara harian.
  • Pilih salun kuku yang menggunakan lampu LED untuk mengeringkan kuku gel tiruan dan bukannya cahaya UV. Lampu LED memancarkan radiasi yang lebih rendah berbanding sinar UV.
  • Minta kakitangan salun untuk tidak memotong kutikula apabila kuku dibersihkan sebelum menggunakan kuku tiruan. Kutikula melindungi kuku dan kulit sekeliling daripada jangkitan.[8]

Selain itu, fahami cara menjaga kebersihan kuku palsu. Hal ini kerana banyak kes kerosakan kuku yang disebabkan oleh pemilik kuku yang tidak tahu menjaganya. Di samping itu, jika timbul masalah seperti kuku palsu patah atau rosak, segera kembali ke salun kuku untuk memperbaikinya. Begitu juga jika timbul masalah seperti kuku yang gatal, bengkak dan kemerahan, segera dapatkan nasihat daripada doktor supaya ia tidak menjadi lebih teruk dan menyebabkan jangkitan.[9]

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud, katanya:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.[10]

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi.[11] Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan hukum haram yang ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan.[12]

Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut.[13]

Kesimpulan

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa pemakaian kuku palsu demi kecantikan tambahan semata-mata tanpa sebarang keperluan yang lain, adalah dilarang dan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT. Apatah lagi perbuatan tersebut secara jelas mengandungi unsur penipuan dan pembaziran. Selain itu, perbuatan tersebut juga dilihat menyerupai perbuatan orang kafir, sedangkan agama Islam menuntut penganutnya agar berbeza dengan mereka. Perkara ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.[14]

Al-San‘ani menjelaskan, maknanya ialah sesiapa yang menyerupai atau meniru orang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah, maka dia termasuk dalam kalangan mereka — yakni sama seperti mereka. Dalam erti kata lain, dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.[15]

Walau bagaimanapun, jika pemakaian kuku palsu tersebut atas sebab keperluan yang mendesak seperti untuk melindungi bahagian kulit kuku asal yang tercabut, bertujuan untuk merawatnya atau seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. Namun, pemakaiannya hendaklah dilakukan oleh mereka yang berkemahiran dan pakar, bagi mengelakkan sebarang risiko atau bahaya yang tidak diingini disebabkan oleh pemakaiannya yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan. Selain itu, bahan yang digunakan juga hendaklah suci dan tidak bernajis serta telah melalui proses tapisan dan kebenaran Kawalan Produk Kosmetik Malaysia agar ia selamat dan baik untuk digunakan. Di antara perkara yang perlu diberi perhatian juga hendaklah pemilihan bentuk dan warnanya yang tidak terlalu menyerlah atau melampaui batas kerana ia diberi keringanan (rukhsah) untuk melakukannya disebabkan adanya keperluan — seperti untuk rawatan dan seumpamanya — dan bukannya berbentuk tahsiniyyat (menambah baik lagi).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-A‘raf: 32

[2] Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15.

[3] penjagaan dan perawatan kecantikan kuku.

[4] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Artificial_nails. Diakses pada 3 Mac 2022.

[5] Lihat https://doktersehat.com/informasi/kuku-palsu/. Diakses pada 3 Mac 2022.

[6] Lihat https://hellosehat.com/penyakit-kulit/perawatan-kuku/bahaya-kuku-palsu/. Diakses pada 3 Mac 2022.

[7] Cabang perubatan yang berkaitan dengan kulit dan segala penyakit yang berkaitan dengannya.

[8] Lihat https://hellosehat.com/penyakit-kulit/perawatan-kuku/bahaya-kuku-palsu/; https://www.aad.org/public/everyday-care/nail-care-secrets/basics/pedicures/reduce-artificial-nail-damage. Diakses pada 3 Mac 2022.

[9] Lihat https://doktersehat.com/informasi/kuku-palsu/. Diakses pada 3 Mac 2022.

[10] Riwayat al-Bukhari (4886)

[11] Lihat Fath al-Bari, 10/373.

[12] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107.

[13] Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73.

[14] Riwayat Abu Daud (4031)

[15] Lihat Subul al-Salam, 4/175.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *