Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang yang solat, ketika ingin memberi salam, dia menyebut ‘السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ’ iaitu dengan menambah lafaz ‘وَبَرَكَاتُهُ’ pada lafaz salam tersebut. Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Rukun adalah bahagian yang asas bagi sesuatu perkara. Contohnya dinding bagi sesebuah bilik. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua bahagiannya mengikut cara dan susun atur yang datang daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diterimanya daripada Jibril AS. Semua rukun solat dapat kita rumuskan kepada 13 perkara.[1]
Memberi salam yang pertama adalah termasuk di dalam rukun solat kategori qauliyyah. Ianya dinamakan sebagai qauliyyah kerana disyaratkan kepada orang yang solat bagi melafazkan sebutannya yang didengari dirinya sendiri.[2]
Memberi salam yang pertama adalah wajib berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
مِفتاحُ الصَّلاةِ الطُّهورُ، وتحريمُها التَّكبيرُ، وتحليلُها التَّسليمُ
Maksudnya: “Kunci solat (tanpanya solat tidak sah) adalah bersuci (berwudhuk), pengharamannya (haram daripada melakukan perbuatan-perbuatan lain) adalah ketika bertakbir (takbirat al-Ihram) dan penghalalannya (halal untuk melakukan perbuatan-perbuatan lain) adalah setelah memberi salam.”[3]
Dalam menjelaskan hadis ini, Imam Nawawi berkata: “Kesimpulannya, memberi salam adalah merupakan rukun daripada rukun-rukun solat. Tidak sah sesuatu solat itu melainkan dengannya. Dan tidak ada yang dapat mengambil tempatnya (menggantikannya). Sekurang-kurangnya hendaklah dia menyebut lafaz salam (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ). Sekiranya dia kurang satu huruf daripada huruf-hurufnya ini, tidak sah salamnya itu.”[4]
Lafaz salam yang paling ringkas adalah (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ) sebanyak sekali, dan yang sebaik-baiknya ialah (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ) sebanyak dua kali, iaitu pada kali pertama sambil berpaling ke kanan dan pada kali kedua pula berpaling ke kiri.[5]
Hal ini adalah berdasarkan hadis, daripada Sa’d bin Abi Waqqas RA :
كُنْتُ أَرى رَسولَ اللهِ ﷺ يُسَلِّمُ عن يَمِينِهِ، وَعَنْ يَسارِهِ، حتّى أَرى بَياضَ خَدِّهِ.
Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW mengucapkan salam ke kanan dan ke kirinya hingga kelihatan putih pipinya.”[6]
Adapun memberi salam dengan lafaz (عَلَيْكُمُ السَّلَامُ), menurut mazhab Syafie ianya diterima tetapi hukumnya adalah makruh.[7]
Isu Tambahan Lafaz Salam ketika Solat
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Berkenaan penambahan lafaz pada salam, memang terdapat riwayat yang menyatakan sedemikian iaitu, dalam hadis riwayat daripada Wa’il bin Hujur RA, katanya:
صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَكَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، وَعَنْ شِمَالِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ
Maksudnya: “Aku solat dibelakang Nabi SAW dan Baginda SAW memberi salam di sebelah kanan dengan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ” dan di sebelah kiri dengan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ”.[8]
Berdasarkan persoalan yang diajukan, hukum menambah perkataan “وبركاته” di dalam salam pertama adalah menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama kerana kewujudan dalil yang berbeza. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa disunatkan mengucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” dan ini adalah yang sahih lagi tepat.[9]
Manakala, Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan bahawa sunat diucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” dan ini adalah riwayat Ibn Mas’ud, Jabir bin Samurah R.Anhuma dan selain daripada mereka berdua. Adapun Wa’il bin Hujur RA juga ada meriwayatkan bahawa Nabi SAW mengucapkan pada salam yang di sebelah kanan (salam pertama) dengan lafaz “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهُ وَبَرَكَاتُهُ” dan ia adalah baik di dalam Sunan Abu Daud. Akan tetapi, ucapan yang pertama (السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ) adalah lebih baik kerana jalurnya (riwayatnya) banyak dan jalurnya lebih sahih (berbanding jalur atau riwayat daripada Wa’il bin Hujur).[10]
Kami cenderung kepada pandangan yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa mengucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” adalah lebih baik kerana riwayatnya banyak berbanding riwayat yang terdapat penambahan pada lafaz salam tersebut. Akan tetapi, jika seseorang itu mengucapkan “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهُ وَبَرَكَاتُه” pada salam yang pertama, maka tidak boleh kita menyatakan bahawa hal itu adalah bid’ah kerana riwayat tersebut (riwayat yang ada penambahan) juga adalah sahih daripada Nabi SAW dan ini merupakan khilaf yang maqbul (diterima) sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama dan ia tidak termasuk di dalam khilaf yang dicela.
Penutup
Kesimpulannya, penambahan lafaz “وبركاته” di dalam salam merupakan penambahan yang warid (terdapat) di dalam hadith Nabi SAW sebagaimana yang kami nyatakan di atas. Tambahan pula, tidak menjadi kesalahan untuk seseorang untuk mengucapkan pada salam yang pertama dengan lafaz “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهُ وَبَرَكَاتُه” dan solatnya adalah sah.
Akan tetapi, kami menasihati agar tidak melakukannya di tempat-tempat yang sekiranya dengan melakukannya boleh menimbulkan fitnah seperti ketika menjadi imam di masjid kerana tidak semua orang mengetahui akan perkara-perkara seperti ini dan bimbang ada yang mendakwa solat tidak sah dengan penambahan tersebut.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 11 Mac 2022 bersamaan 8 Syaaban 1443H
[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141
[2] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 208
[3] Riwayat Abu Daud (618) dan al-Tirmizi (238). Hadith ini dinilai hasan lighairihi oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’uth.
[4] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/475
[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/300; Mughni al-Muhtaj, 1/385 dan Raudhah al-Talibin, 1/267-268
[6] Riwayat Muslim (582)
[7] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/90; Raudhah al-Talibin, 1/267; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/476 dan al-Azkar li al-Nawawi, hlm. 148
[8] Riwayat Abu Daud (997). Sanad hadith ini dinilai sahih pada sanadnya dan perawi-perawinya adalah thiqah oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’uth.
[9] Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 3/478
[10] Lihat al-Mughni, 1/397