Soalan
Assalamualaikum ustaz. Adakah wajib kaffarah jika seseorang bersetubuh ketika dia sedang melakukan puasa ganti Ramadhan? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Puasa di dalam bulan Ramadhan merupakan asas kepada rukun Islam. Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya berpuasa seperti firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”[1]
Ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang difardhukan ke atas setiap umat Islam. Hal ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Terbinanya Islam itu atas lima perkara; syahadah bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadhan.”[2]
Kewajipan Mengqadha’ Puasa
Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan atas sebab-sebab tertentu, maka dia wajib mengqadakan puasanya itu mengikut bilangan hari yang dia tinggalkan. Firman Allah SWT:
وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.[3]
Jika dia merupakan seorang yang memiliki uzur syarie, seperti sakit, lalu dia meninggalkan puasa Ramadhan dalam keadaan dia mampu untuk menggantikannya pada bila-bila waktu selepas Ramadhan, kemudian dia mati. Maka ke atas wali/warisnya untuk menunaikan puasa bagi pihak dia.
Daripada Aisyah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mati sedangkan ke atasnya ada puasa (yang perlu diqadakan) maka walinya berpuasa bagi pihaknya.”[4]
Hukum Bersetubuh Ketika Puasa Ganti Ramadhan
Pada asasnya, puasa wajib sama ada puasa Ramadhan, puasa nazar, puasa qadha, puasa kaffarah atau puasa wajib lainnya, tidak boleh dibatalkan begitu sahaja melainkan jika ada keuzuran seperti sakit dan permusafiran.
Ibnu Qudamah mengatakan bahawa sesiapa yang telah memulakan puasa wajib seperti qadha Ramadhan, puasa nazar hari tertentu atau nazar mutlak, atau puasa kerana kafarah, dia tidak boleh membatalkannya. Hal ini kerana sesuatu yang statusnya wajib ain, perlu dilakukan. Sementara sesuatu yang bukan wajib ain, ia menjadi wajib ain jika telah dilakukan, sehingga statusnya sama dengan wajib ain.[5]
Hal ini berbeza dengan puasa sunat, dimana seseorang bebas untuk meneruskan puasa atau berbuka. Sabda Rasulullah SAW:
الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
Maksudnya: Seseorang yang berpuasa sunat, jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.[6]
Adapun berkenaan persoalan di atas, maka jumhur ulama kecuali sebahagian kecil seperti Qatadah telah bersepakat bahawa tidak wajib kaffarah bagi sesiapa yang membatalkan puasa selain daripada puasa wajib di bulan Ramadhan, sama ada dengan makan dan minum atau bersetubuh. Ini merupakan pandangan Imam Nawawi, Ibn Qudamah dan Ibn Rusyd.[7]
Maka dalam kes ini, wajib ke atas mereka yang membatalkan puasa qadha Ramadhan untuk mengulangi semula puasa ganti tersebut, bertaubat kepada Allah SWT dan berazam untuk tidak mengulangi kesalahan itu.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 25 Mac 2022 bersamaan 22 Syaaban 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Surah al-Baqarah: 183
[2] Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)
[3] Surah al-Baqarah: 185
[4] Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)
[5] Lihat al-Mughni, 3/160 – 161
[6] Riwayat Tirmizi (732)
[7] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/345; al-Mughni, 3/139-139; Bidayah al-Mujtahid, 2/69