Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum puasa qadha’ yang dilakukan pada hari Syak, iaitu hari terakhir Sya’ban, di mana keesokan harinya akan bermula puasa Ramadhan? Bolehkah dia mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya pada tahun lalu pada hari tersebut?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kewajipan Mengqadha’ Puasa
Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadhan atas sebab-sebab tertentu, maka dia wajib mengqadakan puasanya itu mengikut bilangan hari yang dia tinggalkan. Firman Allah SWT:
وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.[1]
Jika dia merupakan seorang yang memiliki uzur syarie, seperti sakit, lalu dia meninggalkan puasa Ramadhan dalam keadaan dia mampu untuk menggantikannya pada bila-bila waktu selepas Ramadhan, kemudian dia mati. Maka ke atas wali/warisnya untuk menunaikan puasa bagi pihak dia.
Daripada Aisyah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mati sedangkan ke atasnya ada puasa (yang perlu diqadakan) maka walinya berpuasa bagi pihaknya.”[2]
Daripada Ibn Abbas RA, beliau menceritakan:
جاء رجلٌ إلى النبيِّ صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسولَ اللهِ إن أمي ماتتْ وعليها صومُ شهرٍ، أفأقضِيه عنها ؟ قال: نعم ، قال: فديْنُ اللهِ أحقُّ أن يُقْضَى
Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku sudah wafat dan ke atasnya ada sebulan puasa yang perlu diqada, bolehkah aku menunaikannya bagi pihak beliau? Berkata Baginda SAW: Boleh. Adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan. [3]
Wali bererti kaum kerabat dan keluarga. Perlu diperhatikan bahawa fidyah hanya dibayar jika seseorang yang meninggal sebelum sempat mengqadakan puasanya sedangkan dia mampu untuk berbuat sedemikian ketika hidup.
Para ulama membahagikan kaedah penentuan bilangan hari untuk puasa qada kepada dua; tahdidi dan taqribi. Tahdidi bererti menentukan dengan tepat bilangan hari yang ditinggalkan, manakala taqribi ialah menggunakan anggaran berapa hari yang ditinggalkan kerana seseorang itu lupa berapa hari puasa yang telah dia tinggalkan.
Guru kami, Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti menjelaskan kaedah penentuan secara taqribi ini ialah dengan bertanya kepada seseorang itu seperti ini:
Ditanya: “Adakah telah tinggalkan 50 hari?” Dia menjawab: “Terlalu sedikit.” Ditanya lagi: “90 hari?” Dia menjawab: “Terlalu banyak”
Maka jumlah taqribinya ialah 75 hari. Berkenaan dengan fidyah, hendaklah seseorang itu berusaha mengqadakan puasanya setiap hari yang mungkin terlebih dahulu. Ini lebih bersifat ihtiyati (berhati-hati) dalam urusan agama berbanding terus membenarkan membayar fidyah sehingga mengabaikan tuntutan qada’.
Selain daripada itu, boleh juga ditanya kepada mufti negeri masing-masing untuk kepastian lanjut.
Maksud Hari Syak
Yang dimaksudkan dengan hari syak adalah hari yang ke- 30 dari bulan Sya’ban sebagaimana yang dinyatakan oleh para fuqaha’. Imam Al-Nawawi berkata :
قَالَ أَصْحَابُنَا يَوْمُ الشَّكِّ هُوَ يَوْمُ الثَّلَاثِينَ مِنْ شَعْبَانَ
Maksudnya: Para ashab kami berkata bahawa hari syak adalah hari ke- 30 dari bulan Sya’ban. [4]
Hukum Asal Puasa Hari Syak
Pada asasnya, terdapat larangan daripada berpuasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan. Antaranya, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
Maksudnya: “Janganlah kalian mendahulukan Ramadhan dengan sehari berpuasa atau dua hari kecuali bagi sesiapa yang telah terbiasa berpuasa sebelumnya.” [5]
Dalam lafaz yang lain di dalam Sahih al-Bukhari:
لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ ، إِلَّا أَنْ يَكُوْنَ رَجُلٌ كَانَ يَصُوْمُ صَوْمَهُ ، فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ
Maksudnya: “Janganlah seorang daripada kalian mendahului bulan Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari kecuali apabila seseorang itu sudah biasa berpuasa maka berpuasalah pada hari itu.” [6]
Maksud hadith di atas adalah, tidak dibolehkan berpuasa awal sehari atau dua hari apabila tiba bulan Ramadhan melainkan jika seseorang itu sentiasa melakukan puasa dan secara kebetulan hari yang biasanya dia berpuasa itu bersamaan dengan hari akhir dalam bulan Sya’ban. Contohnya seperti berpuasa hari Isnin pada setiap minggu dan hari isnin jatuh pada hari terakhir dalam bulan Sya’ban. Maka dalam masalah ini, dibolehkan untuk berpuasa sama ada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan berdasarkan kebiasaan yang dilakukan. [7]
Antara hikmah larangan mendahulukan puasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan adalah agar dapat dibezakan antara puasa wajib dan puasa sunat. Ini kerana, memisahkan antara amalan yang wajib dan sunat adalah sesuatu yang disyariatkan, berdasarkan arahan Nabi SAW melarang seseorang itu menyambung solat yang wajib dengan solat sunat tanpa diselangi dengan salam atau zikir terlebih dahulu. [8]
Ini juga merupakan antara perkara yang disukai oleh Ibn Abbas dan juga disukai oleh golongan salaf iaitu memisahkan antara Sya’ban dan Ramadhan dengan tidak berpuasa sehari atau dua hari. [9]
Hukum Puasa Qadha’ pada Hari Syak
Berbalik kepada persoalan di atas, hukum berpuasa pada hari syak secara umumnya adalah haram sekiranya tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh syarak. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Silah beliau berkata :
كُنَّا عِنْدَ عَمَّارٍ فِي الْيَوْمِ الَّذِي يُشَكُّ فِيهِ فَأُتِيَ بِشَاةٍ فَتَنَحَّى بَعْضُ الْقَوْمِ فَقَالَ عَمَّارٌ مَنْ صَامَ هَذَا الْيَوْمَ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: Kami berada di sisi ‘Ammar (bin Yasir R.A) pada hari syak. Kemudian beliau dihidangkan dengan daging kambing, maka sebahagian orang menjauhkan diri dari memakannya. Lalu ‘Ammar berkata: “Sesiapa yang berpuasa pada hari ini (hari syak) sesungguhnya dia telah menderhakai Abu al-Qasim SAW.” [10]
Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya seseorang berpuasa padanya (hari syak) yang menjadi kefardhuan ke atas dirinya, maka ia dimakruhkan dan puasa tersebut adalah sah.” [11]
Kemudian Imam al-Nawawi berkata lagi:
لَا يَصِحُّ صَوْمُ يَوْمِ الشَّكِّ عَنْ رَمَضَانَ بِلَا خِلَافٍ لِمَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ فَإِنْ صَامَهُ عَنْ قَضَاءٍ أَوْ نَذْرٍ أَوْ كفارة أجزأه
Maksudnya : Tidak sah berpuasa pada hari syak (sebagai puasa) Ramadhan tanpa sebarang khilaf (di sisi para ulama) berdasarkan apa yang disebutkan oleh musannif (pengarang kitab). Sekiranya seseorang itu berpuasa qadha’, nazar, atau kaffarah padanya (hari syak) maka puasanya sah.
Kemudian beliau menukilkan dua pendapat antara yang memakruhkan hal tersebut dan juga ulama yang tidak memakruhkannya. Jumhur Al-Syafi’eyyah mengatakan bahawa ia tidak makruh. [12]
Antara hujah yang menguatkan pendapat di atas adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَقَدَّمُوا صَوْمَ رَمَضَانَ بِيَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ صَوْمًا يَصُومُهُ رَجُلٌ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الصَّوْمَ
Maksudnya: “Janganlah kamu mendahulukan puasa Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari (sebelumnya) melainkan seseorang yang berpuasa lalu hari tersebut jatuh pada hari dia berpuasa, maka dia boleh berpuasa pada hari tersebut.” [13]
Justeru, hadis ini secara umumnya melarang seseorang itu untuk berpuasa pada sehari atau dua hari sebelum masuknya bulan Ramadhan. Namun, diberikan pengecualian bagi seseorang yang sudah melazimi puasa sunat, kemudian hari kebiasaan dia berpuasa jatuh pada hari larangan tersebut.
Sebagai contoh, seseorang yang melazimi puasa sunat Nabi Daud iaitu puasa sehari dan tidak berpuasa sehari, maka jika dia berpuasa dan esoknya tidak berpuasa, masuk hari berikutnya yang dia sepatutnya berpuasa merupakan hari syak, maka untuk orang ini tidak ada masalah baginya berpuasa pada hari tersebut meskipun ia merupakan sehari atau dua hari sebelum Ramadhan. Demikian juga bagi mereka yang melazimi puasa pada hari Isnin dan juga Khamis.
Imam al-Nawawi ketika mengulas isu ini beliau berkata:
لِأَنَّهُ إذَا جَازَ أَنْ يَصُومَ فِيهِ تَطَوُّعًا لَهُ سَبَبٌ فَالْفَرْضُ أَوْلَى
Maksudnya: Ini kerana, apabila dibolehkan untuk seseorang berpuasa sunat yang mempunyai sebab padanya (hari syak), maka puasa fardhu pasti lebih utama. [14]
Penutup
Berdasarkan keterangan yang kami telah jelaskan di atas, kami nyatakan bahawa hukum berpuasa qadha’ pada hari syak adalah sah dan dibolehkan. Lebih-lebih lagi tempoh masa untuk melakukan qadha’ puasa telah sempit pada waktu tersebut, maka dibolehkan baginya untuk qadha puasa pada hari tersebut.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 25 Mac 2022 bersamaan 22 Syaaban 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Surah al-Baqarah: 185
[2] Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)
[3] Riwayat al-Bukhari (1953) dan Muslim (1148)
[4] Lihat al-Majmu’, 6/401
[5] Riwayat Muslim (1812)
[6] Riwayat al-Bukhari (1781)
[7] Lihat Syarah Bulugh al-Maram, 1/151
[8] Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 258-259
[9] Lihat al-Istizkar, 3/271
[10] Riwayat Abu Daud (2334)
[11] Lihat al-Majmu’, 6/452
[12] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/399
[13] Riwayat Abu Daud (2335)
[14] Lihat al-Majmu’, 6/400