Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum makan telur padi atau dipanggil juga sebagai century eggs? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”[1]

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas.[2]

Definisi telur padi

Telur padi atau dikenali juga sebagai telur pidan dan telur beralkali adalah makanan istimewa tradisional Cina yang diperbuat daripada telur itik atau ayam. Ia sering dipanggil telur seribu tahun atau abad, walaupun proses pengawetan hanya berlangsung kira-kira 30 hari.[3] Telur padi dibuat hasil pengawetan telur dalam campuran tanah liat, abu, garam, kapur dan sekam padi yang dieram selama beberapa minggu hingga beberapa bulan. Proses itu mengubah sifat dan rupa isi telur di mana kuningnya menggelap menjadi hijau tua dan kelabu manakala putihnya memerang gelap dengan rasa amat kuat. Telur ini dapat dimakan tanpa perlu dimasak lanjut setelah dikupas dan dibilasnya sama ada begitu sahaja atau dijadikan hidangan sampingan. Putih telur padi lutcahaya dengan kelikatan seakan jeli dengan rasa masin manakala kuning telurnya mempunyai rasa masin berkrim.

Dari segi sejarahnya, kaedah penghasilan telur padi mungkin timbul melalui keperluan mengawet bekalan telur yang berlebihan menyalutinya dalam tanah liat alkali sepertimana yang diamalkan dalam beberapa budaya Barat. Tanah liat mengeras di sekitar telur dan mengawetkan telur yang tidak membusuk tembelang. Catatan pertama mengenai telur awet ini direkodkan dari tahun 1646. Namun, terdapat penceritaan umum dalam masyarakat Cina bahawa penemuan dibuat lebih awal 600 tahun yang lalu di Hunan semasa Dinasti Ming, di mana terkisahnya seorang pemilik rumah yang menemui telur itik dalam kolam cetek berisi kapur mati yang digunakan sebagai bahan binaan semasa pembinaan rumahnya dua bulan sebelum itu. Pemilik rumah tersebut merasa telur itu lalu terilham menghasilkan lebih banyak lagi telur yang dianggapnya sedap — kali ini dengan menambahkan garam untuk meningkatkan rasa — sebatian ini yang kemudiannya menjadi ramuan sempurna untuk menghasilkan telur padi.

Secara umumnya, terdapat dua kaedah bagi menghasilkan telur ini iaitu kaedah tradisional dan moden. Kaedah lama menghasilkan telur padi telah dibangunkan melalui penambahbaikan proses primitif yang disebutkan di atas. Tanah liat yang merupakan bahan salutan asal diperkayakan lagi dengan abu kayu, kalsium oksida, dan garam dimasukkan ke dalam campuran plaster, dengan itu meningkatkan kandungan pH dan natriumnya. Penambahan kalsium oksida dan abu kayu ke dalam campuran itu menurunkan risiko untuk rosak dan juga mempercepatkan proses. Tiga paun daun teh diseduhkan dalam air panas bersama kalsium oksida yang sama berat (atau tujuh paun, jika dilakukan pada musim sejuk), sembilan paun garam laut, dan tujuh paun abu kayu oak dibakar; adunan ini dicampurkan lalu dijadikan pes halus. Setiap telur disalut satu per satu, dengan menggunakan sarung tangan untuk melindungi kulit dari lecur kimia. Telur-telur ini kemudiannya digolek dalam sekam padi untuk mengelakkan telur melekat antara satu sama lain sebelum diletakkan dalam balang yang dilapisi kain atau bakul tenunan. Lumpur perlahan-lahan kering dan mengeras menjadi kerak selama beberapa bulan di mana telur yang digali keluar ini siap untuk dimakan.

Kaedah moden pula terhasil melalui pemahaman moden tentang kimia di sebalik pembentukan telur padi telah menyebabkan banyak peringkasan dalam resipi. Contohnya, telur mentah direndam dalam larutan garam, kalsium hidroksida, dan natrium karbonat selama 10 hari, diikuti oleh beberapa minggu penuaan ketika dibungkus plastik dikatakan dapat mencapai kesan yang sama seperti kaedah tradisional. Ini kerana tindak balas yang diperlukan untuk menghasilkan telur padi dicapai dengan memperkenalkan hidroksida dan natrium ion ke dalam telur, tanpa mengira kaedah yang digunakan. Kepingan sebatian plumbum (II) oksida ada ditambah mempercepat tindak balas untuk menghasilkan telur padi, namun zink oksida kini merupakan bahan alternatif yang disyorkan. Kandungan zink yang diserap perlu dikawal agar tidak berlebihan di mana ia boleh membawa kepada kekurangan tembaga, jadi produk siap harus mempunyai tahap zink yang dinilai selamat dimakan.[4]

Hukum makan telur padi

Pada asasnya, telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak.[5] Justeru, ia adalah halal untuk dimakan. Begitu juga hukum asal makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya.[6] Hal ini bertetapan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”[7]

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus.[8]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, melihat kepada hukum asal telur dan proses pengawetan telur padi yang melibatkan bahan-bahan yang suci dan bukannya bahan-bahan kotor lagi najis seperti bangkai, darah dan seumpamanya, maka hukum telur padi adalah halal untuk dimakan. Begitu juga telur padi tidak termasuk dalam makanan yang memudaratkan. Hal ini kerana telur padi yang dibuat dengan betul adalah bebas daripada bakteria dan sangat selamat untuk dimakan.[9] Perkara ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa telur padi atau century eggs adalah halal untuk dimakan, selagi mana ia dibuat dengan betul — yakni melalui proses pengawetan yang betul — dengan bahan-bahan yang suci dan tidak dicampurkan dengan bahan-bahan yang diharamkan. Hal ini kerana ia kembali kepada hukum asal telur dan hukum asal makanan iaitu harus dan halal untuk dimakan selagi mana tidak memudaratkan serta tidak terdapat dalil lain yang menyatakan sebaliknya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-Maidah: 87

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122

[3] Lihat https://www.fftc.org.tw/en/publications/main/512. Diakses pada 24 Mac 2022.

[4] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Telur_padi dan lihat juga https://www.fftc.org.tw/en/publications/main/512. Diakses pada 24 Mac 2022.

[5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/555.

[6] Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271.

[7] Surah al-Baqarah: 168

[8] Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80

[9] Lihat https://www.masterclass.com/articles/century-eggs-explained-plus-century-egg-recipe#what-is-a-century-egg. Diakses pada 24 Mac 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *