Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum pemakaian niqab (purdah) oleh wanita ketika menunaikan solat?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Menutup aurat bagi wanita muslimah adalah satu kewajipan di dalam agama. Kewajipan tersebut bertujuan untuk memelihara kehormatan wanita seterusnya mengangkat taraf dan kedudukan wanita kepada yang lebih tinggi. Bersesuaian dengan salah satu tujuan perutusan Nabi SAW iaitu untuk mengangkat martabat kaum wanita itu sendiri yang ditindas pada zaman arab jahiliyyah.
Merujuk kepada persoalan di atas, pemakaian niqab atau purdah adalah salah satu cara yang terbaik dalam bab penjagaan aurat wanita. Justeru hukum pemakaian niqab atau purdah ini adalah sunat dan afdhal bagi kaum wanita.
Namun pemakaian niqab atau purdah ketika solat pula berbeza hukumnya dengan keadaan biasa. Perkara ini dijelaskan dalam kitab Kifayatu al-Akhyar seperti berikut: Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang mempunyai gambar atau lukisan. Makruh juga wanita yang memakai niqab (purdah) ketika solat kecuali jika keadaan di masjid itu terdapat ajnabi yang tidak menjaga pandangan mereka. Namun jika dibimbangi terjadinya perkara yang buruk, maka haram ke atasnya untuk membuka niqab (purdah) tersebut.[1]
Manakala dalam kitab al-Iqna’ pula menjelaskan seperti berikut: “Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang mempunyai gambar, atau pakaian yang mempunyai lukisan atau wanita yang memakai niqab(purdah) kecuali disana terdapat lelaki ajnabi yang tidak menjaga pandangan mereka kepadanya, maka tidak harus untuk membuka niqab(purdah) dan wajib ke atasnya untuk menutup.[2]
Kesimpulan
Justeru, berdasarkan kenyataan di atas, pemakaian niqab atau purdah bagi wanita ketika mengerjakan solat adalah makruh. Meskipun begitu, sekiranya terdapat sebab yang munasabah, maka hukumnya adalah harus. Samalah juga seperti memakai pelitup muka pada musim pandemik Covid-19. Hukumnya adalah harus.
Melihat kepada surau dan masjid yang ada di Malaysia, tempat solat tersebut kebiasaannya adalah terlindung daripada pandangan lelaki ajnabi. Maka, isu fitnah yang diperkatakan adalah tidak timbul.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H
[1] Lihat Kifaayat al-Akhyar, 1/93
[2] Lihat al-Iqna’, 1/124