Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Benarkah terdapat perintah dalam hadith sahih untuk membunuh anjing? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Suruhan berbuat baik kepada semua makhluk termasuklah haiwan
Sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk, tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam, termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”[1]
Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan.[2]
Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”[3]
Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”[4]
Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:
فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً
Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).”[5]
Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya.[6]
Begitu juga, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh haiwan melainkan dengan tujuan bagi mendapat manfaat daripadanya seperti untuk memakannya, atau mencegah daripada kemudaratannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:
ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها
Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”[7]
Perintah membunuh anjing
Bagi menjawab persoalan ini, terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A, beliau berkata:
أمَرَنا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِقَتْلِ الكِلابِ، حَتَّى إِنَّ المَرْأةَ تَقْدُمُ مِنَ البَادِيَةِ بِكَلْبِهَا فَنَقْتُلُهُ، ثُمَّ نَهَى النَّبيُّ صلى الله عليه وسلم عَنْ قَتْلِهَا، وَقَالَ عَلَيْكُمْ بِالأسْوَدِ البَهِيمِ ذِي النُّقْطَتَيْنِ فَإنَّهُ شَيْطَانٌ
Maksudnya: “Kami diperintah oleh Rasulullah SAW untuk membunuh anjing-anjing, sehingga seorang wanita datang daripada pelusuk kampung dengan anjingnya, maka kami ingin membunuh anjing itu tetapi ditegah oleh Rasulullah SAW daripada membunuhnya lalu bersabda: ‘Hendaklah kamu membunuh anjing yang hitam legam lagi memiliki dua titik (di bawah matanya) kerana itu adalah syaitan.’”[8]
Begitu juga riwayat daripada Abdullah bin Mughaffal R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَولَا أَنَّ الكلابَ أمةٌ من الأمَمِ لأمرتُ بقتلِها، فاقْتُلُوا مِنْهَا الأسودَ البهيمَ
Maksudnya: “Kalaulah bukan kerana anjing-anjing dianggap ummah di antara ummah nescaya aku perintahkan membunuhnya, maka bunuhlah daripadanya yang berwarna hitam legam.”[9]
Adapun maksud al-Bahim itu ialah syaitan yang jauh daripada manfaat, (bahkan) dekat pula kepada mudarat. Namun semuanya itu adalah urusan atau perkara-perkara yang tidak boleh dicapai dengan penglihatan dan tidak pula boleh dihubungkan dengan cara qiyas. Semuanya terhenti apa yang datang daripada syarak.[10]
Selain daripada itu, Imam al-Nawawi ketika menghuraikan hadith di atas menukilkan daripada pendapat Imam al-Haramain bahawa Nabi SAW mengarahkan agar dibunuh semua anjing pada permulaan sahaja, kemudian arahan itu dimansuhkan lalu ditegah daripada membunuh anjing melainkan anjing hitam legam sahaja. Kemudian Syarak menetapkan larangan membunuh apa jenis anjing yang tidak mendatangkan mudarat sama ada anjing hitam atau selainnya.[11]
Di samping itu, Ibn Qutaibah juga ada mensyarahkan maksud ‘syaitan’ dalam hadith di atas sebagai justifikasi membunuh anjing hitam dalam kitabnya, bahawa oleh kerana anjing hitam legam ialah sejenis anjing yang paling mudarat dan paling kuat mencederakan. Ia juga paling kurang manfaat dan paling buruk kemahiran menjaga — harta dan ternakan — paling teruk kemahiran memburunya dan banyak mengantuk. Selain itu, ia dipanggil syaitan kerana ia paling keji dan mengacau orang, seperti seseorang dipanggil sebagai syaitan, panggilan itu hanyalah untuk menunjukkan sifat syaitan yang derhaka, singa yang menyerang, atau serigala, yakni itu hanyalah sebagai permisalan sahaja. Boleh jadi juga itu ialah anjing daripada jenis jin, ataupun dipengaruhi jin, jadi yang dimaksudkan dengan anjing hitam itu ialah syaitan lantas dibunuh kerana mudarat padanya. Sedangkan diketahui bahawa syaitan itu ialah jenis jin yang derhaka. Adapun kenapa dibunuh semua anjing di Madinah, maka hal itu tidak terbantah kerana tanah Madinah pada zaman Nabi SAW ialah tempat turunnya wahyu Allah SWT bersama malaikat-Nya, sedangkan malaikat tidak masuk rumah yang ada padanya anjing atau gambar.[12]
Selain daripada itu, terdapat juga perintah untuk membunuh anjing yang ganas, bahkan ia dipanggil sebagai haiwan fasiq iaitu haiwan perosak yang boleh membawa mudarat dan bahaya kepada manusia sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْفَأْرَةُ وَالْعَقْرَبُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ
Maksudnya: “Lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) boleh dibunuh di Tanah Haram: Tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas.”[13]
Lafaz “فَوَاسِق” berasal daripada bahasa Arab, iaitu (فَسِق) dan merupakan kata jamak “فُوَيْسِق” iaitu ‘si kecil yang suka membuat kerosakan (kejahatan).’ Ia memberi makna sama, iaitu haiwan perosak, liar, buas, jahat, pengganggu, penceroboh dan berbahaya kepada manusia.[14] Tambahan lagi, perkataan ‘fasiq’ pada haiwan adalah dengan maksud dicabut kehormatan pada sebahagian haiwan disebabkan sifatnya yang membawa kemudaratan, kehinaan dan kemusnahan kepada manusia.[15] Malah, al-Syirazi menyatakan bahawa disunatkan untuk membunuh haiwan daripada jenis yang membawa mudarat dan tidak bermanfaat seperti serigala, singa, ular, kala jengking, tikus, sejenis burung lang, gagak, anjing gila, pepijat, pinjal dan kutu kepala kerana menolak darurat daripada terkena pada diri sendiri mahupun pada orang lain.[16]
Selain itu, menurut Imam al-Nawawi, para ulama berbeza pendapat tentang maksud al-Kalb al-‘Aqur yang dinyatakan dalam hadith. Ada yang berpendapat, maksudnya ialah anjing yang biasa diketahui. Ada juga yang berpendapat, maksudnya ialah setiap haiwan pemangsa yang menyerang itu dipanggil kalbun ‘aqur dari sudut bahasa.[17] Manakala Ibn Manzur pula berpendapat, ertinya ialah setiap haiwan pemangsa yang memburu dengan menggigit yang melukakan dan membunuh serta menyerang seperti singa, harimau, serigala, harimau bintang dan apa sahaja haiwan yang serupa dengannya. Ia dinamakan anjing kerana persamaan daripada aspek pemangsa. Selain itu, Sufyan bin ‘Uyaynah menyebutkan, ia ialah setiap haiwan pemangsa yang menggigit untuk melukakan, dan tiada khusus bagi jenis anjing. Kalimah ‘Uqur ialah perkataan yang terbina secara hiperbola, tidak disebut sebagai sifat bagi sesuatu melainkan haiwan yang memiliki ruh. Begitu juga Abu Ubaid menyebutkan, dipanggil setiap yang mencederakan, atau melukakan daripada jenis haiwan pemangsa sebagai anjing ganas.[18]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa terdapat perintah untuk membunuh anjing disebutkan dalam hadith-hadith sahih. Namun, perintah tersebut adalah merujuk kepada anjing yang ganas dan memudaratkan, dan bukannya semua anjing yang ditemui, tidak kira anjing yang berwarna hitam atau selainnya sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Haramain. Hal ini kerana anjing yang ganas dan memudaratkan itu termasuk dalam jenis haiwan perosak yang mengganggu dan membahayakan manusia. Justeru, diperintahkan untuk membunuhnya bagi menolak darurat daripada terkena pada diri sendiri mahupun pada orang lain.
Walau bagaimanapun, dalam konteks negara kita, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh anjing yang dijumpai yang berkemungkinan membahayakan keselamatan manusia. Akan tetapi, ia hendaklah dirujuk dan dilaporkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal tersebut, supaya tindakan dapat diambil dengan segera.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″][1] Surah al-Nahl: 90
[2] Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/447
[3] Riwayat al-Bukhari (5997)
[4] Surah al-Taubah: 128
[5] Surah al-Ma’idah: 13
[6] Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123.
[7] Riwayat al-Nasa’i (4349)
[8] Riwayat Muslim (1572)
[9] Riwayat al-Tirmizi (1489); al-Nasa’i (4280)
[10] Lihat ‘Umdah al-Qari, 15/202.
[11] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/235.
[12] Lihat Ta’wil al-Mukhtalaf al-Hadith, hlm. 208-209.
[13] Riwayat al-Bukhari (3314) dan Muslim (1198)
[14] Lihat Lisan al-Arab, 10/310.
[15] Lihat Fath al-Bari, 4/45 dan Tuhfah al-Ahwazi, 3/375.
[16] Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, hlm. 388.
[17] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/114.
[18] Lihat Lisan al-‘Arab, 4/594.