Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya terkeliru sama ada tidur menghadap kiblat atau mengiring ke kanan. Adakah terdapat panduan Sunnah dalam hal ini? Mohon ustaz jelaskan juga tentang adab-adab ketika hendak tidur. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan jawapan ini dengan terlebih dahulu mengemukakan penjelasan berkaitan adab-adab dan sunnah ketika hendak tidur. Antaranya:
Pertama: Tidur dalam keadaan berwudhu`.
Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ
Maksudnya: “Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwudhu`lah seperti mana wudhu`mu untuk melakukan solat.” [1]
Kedua: Mengebas tempat tidur
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ فَلْيَنْفُضْ فِرَاشَهُ بِدَاخِلَةِ إِزَارِهِ، فَإِنَّهُ لاَ يَدْرِي مَا خَلَفَهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, maka hendaklah dia mengebas tempat tidurnya dengan memegang bahagian dalam kainnya kerana dia tidak mengetahui apa yang terdapat di atasnya.” [2]
Ketiga: Menutup pintu dan lampu
Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَطْفِئُوا المَصَابِيحَ إِذَا رَقَدْتُمْ، وَغَلِّقُوا الأَبْوَابَ
Maksudnya: “Padamlah lampu sekiranya kamu ingin tidur dan tutuplah pintu.” [3]
Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Menutup pintu mengandungi kemaslahatan agama dan duniawi, iaitu untuk menjaga jiwa dan harta daripada pelaku kerosakan, lebih-lebih daripada para syaitan.”[4]
Keempat: Tidur pada lambung kanan (mengiring ke kanan)
Ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW:
ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ
Maksudnya: “…kemudian berbaringlah kamu di atas lambung kamu di sebelah kanan.” [5]
Kelima: Membaca Ayat al-Kursi
Membaca ayat al-Kursi sebelum tidur dapat memelihara diri dari gangguan syaitan sehingga subuhnya. Fadhilat ini berdasarkan hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya.[6]
Keenam: Membaca 3 Qul
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW daripada `Aisyah R.Anha:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ} ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada keduanya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua tapak tangannya it uke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala. Muka dan bahagian depan badan Baginda dan Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”[7]
Ketujuh: Membaca Doa
Antara doa tidur yang boleh diamalkan:
بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Dengan nama-Mu Tuhan aku meletakkan lambungku Dan dengan Nama-Mu pula aku bangun daripadanya. Apabila Engkau menahan rohku (mati), maka berilah rahmat padanya. Tetapi apabila Engkau melepaskannya, maka peliharalah, sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.”[8]
اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلاَّ إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ
Maksudnya: Ya Allah, aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku mengarahkan wajahku kepada-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu menghadapkan wajahku kepada-Mu dan aku sandarkan belakangku kepada-Mu kerana mengharap dan takut kepada-Mu, tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari (ancaman)-Mu kecuali kepada-Mu, aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan kepada Nabi yang Engkau utus.[9]
اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ
Maksudnya: “Ya Allah, dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.”[10]
Kelapan: Buanglah sifat dengki dan maafkanlah orang lain sebelum tidur.
Kesembilan: Meletakkan tangan kanan di bawah pipi kanan
Daripada Hafsah R.Anha katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَرْقُدَ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى تَحْتَ خَدِّهِ ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ قِنِي عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ، عِبَادَكَ ثَلَاثَ مِرَارٍ
Maksudnya: “Apabila Baginda SAW ingin tidur, Baginda SAW akan meletakkan tangan kanannya di bawah pipi kanan. Lalu Baginda akan membaca: ‘اللَّهُمَّ قِنِي عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ، عِبَادَكَ’ (Ya Allah, Peliharalah diriku daripada azab-Mu iaitu pada hari Engkau membangkitkan hamba-hamba-Mu!)” sebanyak tiga kali.[11]
Selain itu, dalam hal ini berkaitan dengan adab dan tidak membawa kepada haram jika tidak melakukan, yakni tidak mengadap kiblat atau mengiring. Sepertimana dalam hadis kami nukilkan di atas, hadith daripada al-Barra’ bin Azib, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَأْ وُضُوءَكَ للصَلاةِ، ثُمَّ اضْطَّجِعْ على شِقِّكَ الأَيْمَنِ
Maksudnya: “Jika engkau hendak menuju pembaringanmu, maka berwudhulah seperti engkau berwudhu untuk shalat, kemudian berbaringlahlah di rusukmu sebelah kanan “[12]
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Bahagian kanan lebih dikhususkan kerana beberapa faedah. Antaranya ia akan membuatkan seseorang lebih cepat tersedar. Menurut Ibn al-Jauzi, posisi tidur seperti ini lebih disarankan oleh para ahli kedoktoran kerana lebih menyihatkan tubuh. Mereka mengatakan bahawa sebaiknya tidur dimulakan dengan berbaring pada sisi kanan, kemudian berbalik pada sisi kiri. Ini kerana posisi yang pertama (sisi kanan) merupakan sebab turunnya makanan, manakala posisi kedua (sisi kiri) membantu proses pencernaan kerana posisi hati di atas lambung.[13]
Ibn al-Qayyim berkata: “Tidur berbaring pada sisi kanan dianjurkan dalam Islam agar seseorang tidak kesukaran untuk bangun solat malam. Tidur pada sisi kanan lebih bermanfaat kepada jantung. Sebaliknya, tidur pada sisi kiri berguna bagi badan (namun menjadikan seseorang makin malas).”[14]
Nabi SAW juga direkodkan pernah berbaring terlentang di dalam masjid sambil salah satu kakinya diletakkan atas yang lain. Daripada Abdullah bin Zaid, katanya:
رَأَيْتُ رَسولَ اللَّهِ ﷺ في المَسْجِدِ مُسْتَلْقِيًا، واضِعًا إحْدى رِجْلَيْهِ على الأُخْرى.
Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW berbaring terlentang di dalam masjid, sambil meletak salah satu kakinya atas kaki yang lain.”[15]
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Perbuatan itu dilakukan ketika waktu istirahat, bukan ketika orang ramai berkumpul, sebagaimana diketahui daripada kebiasaan Baginda yang duduk di tengah mereka dengan penuh ketenangan.” Al-Khattabi berkata: “Di sini terdapat keterangan bahawa bolehnya terlentang di dalam masjid, dan berbaring merupakan salah satu bentuk istirahat.” Manakala al-Dawudi berkata: “Dalam riwayat ini terdapat penjelasan bahawa pahala yang dijanjikan untuk mereka yang berdiam di masjid, tidak hanya khusus bagi orang yang duduk, tetapi juga untuk orang yang berbaring.”[16]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″][1] Riwayat al-Bukhari (247), Muslim (2710) dan Abu Daud (5046)
[2] Riwayat al-Bukhari (6320)
[3] Riwayat al-Bukhari (6296)
[4] Lihat Fath al-Bari, 18/45
[5] Riwayat al-Bukhari (247) dan Muslim (2710)
[6] (no. 2311)
[7] Riwayat al-Bukhari (5017)
[8] Riwayat Muslim (2714)
[9] Riwayat al-Bukhari (7488)
[10] Riwayat al-Bukhari (7394)
[11] Riwayat Abu Daud (5045). Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menilai hadith ini sebagai hasan.
[12] Riwayat al-Bukhari (247) dan Muslim (6544)
[13] Lihat Fath al-Bari, 30/360
[14] Lihat Zad al-Ma’ad, 1/321
[15] Riwayat Bukhari (475) dan Sahih Muslim (2100)
[16] Lihat Fath al-Bari, 3/230