Soalan
Apakah bacaan yang warid di dalam iktidal?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
I’tidal merupakan perbuatan berdiri di antara ruku’ dan sujud. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha ketika menceritakan cara bersolat Rasulullah SAW, katanya:
كَانَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ لَمْ يَسْجُدْ حَتَّى يَسْتَوِىَ قَائِمًا
Maksudnya: “Apabila mengangkat kepalanya daripada ruku’, Baginda tidak sujud sehingga telah berdiri tegak.”[1]
Terdapat hadith sahih daripada Nabi SAW mengenai zikir yang dibaca ketika i’tidal yang diriwayatkan oleh Rifa’ah bin Rafi’ RA, beliau berkata:
كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرَّكْعَةِ قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ “، قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قَالَ: مَنِ المُتَكَلِّمُ، قَالَ: أَنَا، قَالَ: رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلاَثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ
Maksudnya: Kami pernah solat bersama Rasulullah SAW, saat bangun dari ruku’ ia membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ. Tiba-tiba ada seorang sahabat yang membaca, رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ (Wahai Rabb kami, bagi-Mu segala puji, aku memuji-Mu dengan pujian yang banyak, yang baik dan penuh dengan barakah). Selepas selesai solat, Rasulullah SAW bertanya, ‘Siapa yang mengucapkan kalimah itu?’ Sahabat itu berkata, ‘Saya’. Kemudian Rasulullah SAW bersabda, ‘Aku melihat lebih tiga puluh malaikat berebut untuk menjadi yang pertama kali mencatatnya (pahalanya),’”[2]
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata di dalam syarahnya: “Secara zahirnya, para malaikat tersebut bukan malaikat penjaga, kerana terdapat di dalam kitab Sahihain (al-Bukhari dan Muslim), hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, marfu’ kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang mengelilingi jalan-jalan mencari ahli zikir”. Hal ini juga menjadi dalil bahawa sebahagian daripada amalan ketaatan ditulis oleh malaikat yang bukan tugasnya menjaga catatan amalan.”[3]
Ibn Rejab al-Hanbali pula di dalam kitab syarahnya menyebut: “Hadith ini menunjukkan kelebihan zikir ini di dalam solat, dan makmum boleh menambah tahmid dan pujian kepada Allah, sebagaimana pandangan mazhab al-Syafie dan riwayat daripada mazhab imam Ahmad. Contoh bagi zikir adalah baik dilakukan di dalam i’tidal daripada ruku’ ketika solat fardhu, kerana para sahabat R.anhum kebiasaannya solat di belakang Nabi SAW pada solat fardhu, serta mereka tidak banyak solat sunat dibelakang baginda SAW. Dalam hadith ini juga menjadi dalil bahawa tidak makruh makmum menjaharkan (mengangkat suara) sekali sekala sebahagian daripada zikirnya di belakang imam, sebagaimana tidak makruh imam kadang-kadang menjaharkan sebahagian daripada bacaannya pada solat di siang hari.” [4]
Selain itu, terdapat juga hadith di dalam Sahih Muslim yang menyebutkan bacaan lain di dalam I’tidal sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Aufa RA dan juga Abu Sa’id al-Khudhri RA.
- Daripada Abu Aufa RA, beliau bekata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا رَفَعَ ظَهْرَهُ مِنَ الرُّكُوعِ، قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، اللهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءُ السَّمَاوَاتِ، وَمِلْءُ الْأَرْضِ وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْد
Maksudnya: “Rasulullah SAW jika mengangkat kepalanya dari ruku’ beliau mengucapkan: Allah mendengar bagi sesiapa yang memujiNya, Ya Allah, Tuhan kami bagi-Mu pujian sepenuh langit dan bumi, sepenuh apa yang Engkau mahukan lebih daripada itu”[5]
- Daripada Abu Sa’id al-Khudhri RA, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ قَالَ : رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ مِلْءُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ، أَهْلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ، أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ، وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ، اللهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ “
Maksudnya: “Rasulullah SAW jika mengangkat kepalanya dari ruku’ beliau mengucapkan: Tuhan kami bagi-Mu pujian sepenuh langit dan bumi, sepenuh apa yang Engkau mahukan lebih daripada itu, yang memiliki semua pujian dan kebaikan, yang paling berhak diucapkan oleh setiap hamba, dan setiap daripada kami adalah hambaMu. Ya Allah tidak ada yang boleh menghalang apa yang Engkau berikan. Dan tidak ada yang boleh memberikan apa yang Engkau halang. Dan segala daya upaya tidak bermanfaat kecuali dengan izinMu, seluruh kekuatan hanya milikMu).”[6]
Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan bab ini menyebut: “Pada hadith ini mempunyai faedah yang banyak. Antaranya, sunat untuk mengucapkan zikir ini, serta wajib beri’tidal dan bertenang padanya.“[7]
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Riwayat Muslim (498)
[2] Riwayat al-Bukhari (799), al-Nasaie (1062), dan Ahmad (18996)
[3] Lihat Fath al-Bari, 2/286
[4] Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab, 7/202-203
[5] Riwayat Muslim (476)
[6] Riwayat Muslim (477)
[7] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/193