Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah bacaan yang disunatkan untuk dibaca dalam solat witir? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat witir merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut dalam agama kita. Menurut mazhab Syafi‘i, kita disunatkan untuk solat sunat witir secara berjemaah di dalam bulan Ramadhan. Hal ini kerana fadhilat dan kelebihannya yang besar sebagaimana yang dinyatakan dalam beberapa hadith. Di antaranya riwayat daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ
Maksudnya: “Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah mendirikan solat witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah mendirikan solat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam disaksikan — yakni dihadiri oleh malaikat — dan itulah yang paling baik (afdhal).”[1]
Tambahan pula, Nabi SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Hurairah R.A untuk melazimi solat sunat witir ini sebelum tidur. Ini dinyatakan sendiri oleh Abu Hurairah R.A:
أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: “Kekasihku SAW mewasiatkan tiga perkara kepadaku, iaitu supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mendirikan dua rakaat solat Dhuha, dan solat sunat witir sebelum aku tidur.”[2]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, bagi sesiapa yang berwitir sebanyak tiga raakat, sunnahnya adalah untuk membaca pada rakaat pertama selepas surah al-Fatihah surah al-A‘la, pada rakaat kedua surah al-Kafirun dan pada rakaat ketiga surah al-Ikhlas. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbbas R.Anhuma bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُوتِرُ بِثَلَاثٍ: بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى، وَقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ، وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
Maksudnya: “Nabi SAW berwitir sebanyak tiga rakaat dengan membaca surah
‘سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى’, ‘قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ’ dan ‘قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ’.”[3]
Begitu juga riwayat daripada Ubai bin Ka‘ab R.Anhuma, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوتِرُ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى ، وَقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ، وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
Maksudnya: “Rasulullah berwitir dengan membaca surah ‘سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى’, ‘قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ’ dan ‘قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ’.”[4]
Selain daripada itu, sebahagian ulama berpendapat, disunatkan juga untuk membaca al-Mu‘awwizatain — yakni surah al-Falaq dan surah al-Nas — selepas surah al-Ikhlas pada rakaat ketiga. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah R.Anha, di mana beliau ditanya berkenaan bacaan Nabi SAW di dalam solat sunat witir. Lalu beliau menjawab:
كَانَ يَقْرَأُ فِي الأُولَى: بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى، وَفِي الثَّانِيَةِ بِقُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ، وَفِي الثَّالِثَةِ بِقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَالـمُعَوِّذَتَيْنِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW membaca pada rakaat pertama ‘سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى’, pada rakaat kedua ‘قُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ’ dan pada rakaat ketiga ‘قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ’ serta mu‘awwizatain — yakni surah al-Falaq dan surah al-Nas.”[5]
Selain itu, Ibn Qudamah ada menyatakan dalam kitabnya, disunatkan untuk membaca dalam witir tiga rakaat; yakni pada rakaat pertama dengan surah al-A‘la, pada rakaat kedua dengan surah al-Kafirun dan pada rakaat ketiga dengan surah al-Ikhlas. Ini merupakan pendapat al-Thauri, Ishaq dan ashab al-Ra’yi (ulama dalam kalangan Mazhab Hanafi). Manakala Imam al-Syafi‘i pula berpendapat, disunatkan untuk membaca pada rakaat ketiga surah al-Ikhlas dan mu‘awwizatain.[6] Begitu juga Muhammad al-Zuhaili menyebutkan dalam kitabnya, solat witir paling minima adalah sebanyak satu rakaat. Kemudian, tahap kesempurnaan solat witir yang paling rendah adalah sebanyak tiga rakaat. Dibaca pada rakaat pertama selepas surah al-Fatihah surah al-A‘la, pada rakaat kedua surah al-Kafirun dan pada rakaat ketiga surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas. Inilah juga bacaan pada tiga rakaat terakhir, jika jumlah rakaat witir yang dikerjakan melebihi tiga rakaat.[7]
Di samping itu, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa para fuqaha bersepakat pada setiap rakaat witir untuk dibaca surah al-Fatihah dan surah (selain al-Fatihah). Manakala surah (selain al-Fatihah) pula adalah sunat di sisi jumhur. Ulama mazhab Hanafi tidak menetapkan bacaan dalam witir selain al-Fatihah. Justeru, mana-mana ayat dibaca di dalamnya adalah baik. Adapun hadith daripada Nabi SAW bahawa Baginda membaca dalam rakaat pertama surah al-A‘la, pada rakaat kedua surah al-Kafirun, dan pada rakaat ketiga surah al-Ikhlas. Maka, kadang-kadang Baginda membacanya dan kadang-kadang Baginda menbaca surah yang lain (selainnya). Hal ini adalah supaya baki surah-surah yang lain dalam al-Quran tidak ditinggalkan oleh umatnya. Selain itu, ulama dalam kalangan mazhab Hanbali berpendapat disunatkan untuk membaca selepas surah al-Fatihah dengan ketiga-tiga surah yang disebutkan. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Maliki dan Syafi‘i pula berpendapat disunatkan dalam rakaat yang genap (yakni dua rakaat yang awal) untuk membaca surah al-A‘la dan surah al-Kafirun. Sedangkan dalam rakaat yang ketiga disunatkan untuk membaca surah al-Ikhlas dan mu‘awwizatain.[8]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk membaca dalam solat witir selepas surah al-Fatihah, pada rakaat pertama surah al-A‘la, pada rakaat kedua surah al-Kafirun dan pada rakaat ketiga surah al-Ikhlas sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith. Malah sebahagian ulama berpendapat bahawa disunatkan juga untuk membaca surah al-Falaq dan surah al-Nas, selepas surah al-Ikhlas dalam rakaat ketiga.
Walau bagaimanapun, kami juga melihat perkara ini adalah luas. Lebih-lebih lagi jumhur ulama bersepakat bahawa bacaan surah atau ayat al-Quran selain surah al-Fatihah adalah disunatkan. Justeru, seseorang itu boleh membaca mana-mana ayat atau surah pilihan selepas surah al-Fatihah dalam solat sunat witir yang dikehendakinya dan yang mudah baginya. Firman Allah SWT:
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran (dalam solat).”[9]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Riwayat Muslim (755)
[2] Riwayat al-Bukhari (1981)
[3] Riwayat Ahmad (2715); al-Tirmizi (462)
[4] Riwayat al-Nasa’i (1730); Ibn Majah (1171)
[5] Riwayat al-Tirmizi (463) dan beliau menilainya sebagai hasan gharib. Selain itu, hadith ini juga dinilai sahih oleh al-Hakim dan al-Zahabi bersetuju dengannya. Begitu juga Ibn Hajar menilainya sebagai hasan dalam Nata’ij al-Afkar. Selain daripada itu, al-Albani juga menilainya sebagai sahih dalam Sahih al-Tirmizi. Walau bagaimanapun, ia dinilai dhaif oleh Imam Ahmad, Yahya bin Ma‘in, al-Syaukani dan lain-lain.
[6] Lihat al-Mughni, 2/599.
[7] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/372.
[8] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/298.
[9] Surah al-Muzammil: 20