Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya terbaca hadis berkenaan syaitan dirantai dan dibelenggu pada bulan Ramadhan. Persoalannya, jika telah dirantai, kenapa masih ada gangguan daripada makhluk halus ketika dalam bulan Ramadhan. Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh barakah. Bulan yang diturunkan kitab suci al-Quran. Firman Allah SWT:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. [1]
Menurut Syeikh Tantawi – sepertimana disebut oleh Ibn Kathir – Allah SWT memuji bulan Ramadhan daripada bulan-bulan lain kerana turunnya kitab Allah SWT.[2]
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang dapat meningkatkan keimanan dan bulan pengampunan dari pada Allah SWT. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[3]
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[4]
Gangguan Makhluk Halus di Bulan Ramadhan
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan terlebih dahulu hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”[5]
Dalam lafaz yang lain, disebutkan:
إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu.”[6]
Dalam menjelaskan hadith di atas, Syeikh al-Izz bin Abd al-Salam berkata: Adapun yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga pada bulan Ramadhan adalah satu perumpamaan daripada banyaknya ketaatan, yang dapat menjadi penyebab terbukanya pintu-pintu syurga. Yang dimaksudkan dengan ditutupnya pintu neraka adalah perumpamaan daripada sedikitnya maksiat (pada bulan Ramadhan), yang menjadi penyebab tertutupnya pintu neraka. Sedangkan maksud daripada terbelenggunya syaitan adalah perumpamaan kepada terlepasnya orang-orang yang sedang melakukan puasa daripada bisikan-bisikan syaitan, kerana orang yang berpuasa tidak akan terlalu berkeinginan untuk melakukan maksiat.[7]
Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, hadith di atas boleh ditafsir secara zahir dan secara hakikat, di mana pintu-pintu syurga memang dibuka, pintu-pintu neraka memang ditutup dan syaitan-syaitan dirantai sebagai tanda kemuliaan dengan masuknya bulan Ramadan. Di samping syaitan dirantai untuk menegah mereka daripada mengganggu dan memperdaya orang yang beriman. [8]
Menurut beliau, terbukanya pintu syurga, tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan adalah tanda masuknya bulan Ramadhan, mulianya bulan tersebut dan syaitan juga terhalang daripada mengganggu orang beriman. Ini juga isyarat bahawa pahala dan keampunan daripada Allah SWT begitu banyak pada bulan Ramadhan. Hasutan dan godaan syaitan terhadap manusia juga berkurangan kerana mereka bagaikan para tahanan ketika itu.[9]
Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Boleh juga membawa maksud bahawa terbukanya pintu syurga kerana Allah SWT memudahkan pelbagai ketaatan terhadap hamba-Nya pada bulan Ramadhan seperti puasa dan solat malam. Hal ini berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Pada bulan Ramadhan, orang akan lebih sibuk melakukan kebaikan daripada melakukan maksiat. Inilah sebab mereka dapat memasuki syurga dan pintunya. Sedangkan tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan, inilah yang menjadikan seseorang lebih mudah menjauhi maksiat ketika itu.[10]
Bagaimana dengan maksud syaitan yang dibelenggu dalam hadith ini?
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan bahawa al-Hulaimi berkata: “Ada kemungkinan bahawa yang dimaksudkan adalah syaitan yang mencuri berita langit. Belenggu ini berlaku pada malam-malam Ramadhan, bukan pada siang harinya, kerana pdaa masa turunnya al-Quran, syaitan-syaitan telah dihalang daripada mencuri berita. Kemudian mereka dibelenggu untuk lebih menjamin keamanan. Ada juga kemungkinan yang dimaksudkan adalah syaitan tidak dapat mengganggu umat Islam kerana mereka sibuk melaksanakan ibadah puasa, di mana dalam puasa tersebut, mereka berusaha untuk mengalahkan nafsu syahwat. Di samping itu, mereka juga sibuk berzikir dan membaca al-Quran.”
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar lagi: “…Berdasarkan sebahagian pandangan, yang dimaksudkan syaitan dalam hadith ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang (bukan semua syaitan). Sebab itulah Ibnu Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Sahihnya untuk hadis berkaitan, lalu beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, al-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan al-Hakim… (sebagaimana di atas).”[11]
Jika diteliti, terdapat satu bab dalam Sahih Ibn Khuzaimah yang dinamakan:
بَابُ ذِكْرِ الْبَيَانِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا أَرَادَ بِقَوْلِهِ: «وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ» مَرَدَةُ الْجِنِّ مِنْهُمْ، لَا جَمِيعَ الشَّيَاطِينِ «إِذِ اسْمُ الشَّيَاطِينِ قَدْ يَقَعُ عَلَى بَعْضِهِمْ
Maksudnya: “Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi SAW: ‘Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk sebahagian dari mereka.”[12]
Syeikh Anwar al-Kashmiri menyebut: “(Dibelenggu syaitan-syaitan) di sisi riwayat Tirmidzi: Jin yang ganas. Justeru, tidak lazim bahawa dirantai keseluruhannya.”[13]
Menurut Imam al-Qurtubi sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya…”[14]
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami cenderung bahawa maksud syaitan yang dibelenggu itu adalah:
- Hanya sebahagian syaitan sahaja yang dibelenggu iaitu yang besar atau ganas (مَرَدَةُ الْجِنِّ) manakala selebihnya masih ada.
- Ia juga membawa maksud syaitan tidak bebas menggoda orang-orang yang beriman berbanding bulan-bulan yang lain.
Gangguan boleh dielakkan dengan memperbanyakkan ibadah dalam bulan Ramadhan seperti amalan puasa itu sendiri, membaca al-Qur’an, berzikir dan sebagainya. Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Hulaimi yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai memberi ujian/godaan kepada umat Islam sepertimana di luar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir.[15]
Dalam masa yang sama, kami juga mencadangkan kepada mereka yang berhadapan dengan individu yang mengalami gangguan sebegini untuk merujuk juga kepada pakar perubatan kerana kemungkinan ia berkait rapat dengan masalah psikiatri dan bukannya gangguan makhluk halus semata-mata.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] (Surah al-Baqarah: 185)
[2] Lihat al-Tafsir al-Wasit li Tantawi, 1/386
[3] Riwayat Muslim (760)
[4] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/39
[5] Riwayat al-Bukhari (1898) dan Muslim (1079)
[6] Riwayat al-Bukhari (3277) dan Muslim (1079)
[7] Lihat Fawa’id al-Saum, hlm. 38
[8] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167
[9] Lihat Fath al-Bari, 4/114 dan Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167
[10] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167
[11] Lihat Fath al-Bari, 4/114
[12] Lihat Sahih Ibn Khuzaimah, 1/188
[13] Lihat Faidh al-Bari ‘ala Sahih al-Bukhari, 3/327
[14] Lihat Fath al-Bari 4/114
[15] Lihat Fath al-Bari, 4/114