Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah berwitir dengan hanya satu rakaat sahaja? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat witir ialah sunat muakkad.  Ia dinamakan demikian kerana ditamatkan dengan satu rakaat, dan berbeza dengan solat yang lain.[1] Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali R.A, katanya:

إنَّ الْوِتْرَ لَيْسَ بِحَتْمٍ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكْتُوبَةِ وَلَكِنْ سَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Solat witir tidaklah wajib seperti solat yang difardhukan atas kamu, tetapi Rasulullah SAW melakukannya.”[2]

Hadith yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ

Maksudnya:Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat Witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan dia menyukainya.”[3]

Bagi menjawab persoalan di atas, di dalam al-Fiqh al-Manhaji ada dinyatakan bahawa sekurang-kurang solat witir ialah satu rakaat, tetapi makruh melakukannya satu rakaat sahaja. Tahap kesempurnaan solat witir yang paling rendah ialah sebanyak tiga rakaat, iaitu melakukannya secara dua rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Sementara yang paling sempurna — yakni tahap kesempurnaan yang paling tinggi — adalah melakukannya sebanyak sebelas rakaat dengan mengucap salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat.[4] Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith, daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ

Maksudnya:Solat witir ialah satu rakaat dilakukan pada akhir malam.”[5]

Hadith seterusnya, daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى فِيمَا بَيْنَ أَنْ يَفْرُغَ مِنْ صَلاَةِ الْعِشَاءِ إِلَى الْفَجْرِ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُسَلِّمُ بَيْنَ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ وَيُوتِرُ بِوَاحِدَةٍ فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُ مِنْ صَلاَةِ الْفَجْرِ وَتَبَيَّنَ لَهُ الْفَجْرُ وَجَاءَهُ الْمُؤَذِّنُ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ ثُمَّ اضْطَجَعَ عَلَى شِقِّهِ الأَيْمَنِ حَتَّى يَأْتِيَهُ الْمُؤَذِّنُ لِلإِقَامَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mendirikan solat sebanyak sebelas rakaat di antara selepas Baginda solat Isyak sehingga waktu terbit fajar. Baginda mengucap salam setiap dua rakaat dan mengakhirinya dengan satu rakaat. Apabila muazzin selesai azan solat Subuh dan fajar telah nyata, muazzin pun menemui Baginda, lalu Baginda bangun mendirikan solat sunat dua rakaat yang ringkas, kemudian Baginda mengiring atas lambung kanannya sehingga muazzin menemuinya lagi untuk iqamah.”[6]

Begitu juga hadith daripada Abu Ayyub R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْوِتْرُ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِخَمْسٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِثَلاَثٍ فَلْيَفْعَلْ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُوتِرَ بِوَاحِدَةٍ فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: “Solat witir ialah hak yang dituntut atas setiap orang Islam. Sesiapa yang hendak melakukannya sebanyak lima rakaat lakukanlah, sesiapa yang hendak melakukannya sebanyak tiga rakaat lakukanlah, dan sesiapa hendak melakukannya sebanyak satu rakaat sahaja lakukanlah.”[7]

Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan dalam kitabnya, solat witir paling minima adalah sebanyak satu rakaat. Kemudian, tahap kesempurnaan solat witir yang paling rendah adalah sebanyak tiga rakaat. Dibaca pada rakaat pertama selepas surah al-Fatihah surah al-A‘la, pada rakaat kedua surah al-Kafirun dan pada rakaat ketiga surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas. Inilah juga bacaan pada tiga rakaat terakhir, jika jumlah rakaat witir yang dikerjakan melebihi tiga rakaat. Seterusnya, tahap kesempurnaan solat witir yang paling tinggi adalah dengan melakukannya sebanyak lima rakaat, kemudian tujuh rakaat, kemudian sembilan rakaat dan kemudian sebelas rakaat. Inilah bilangan rakaat witir yang paling banyak dan tidak boleh menambahkan bilangan rakaatnya — yakni melebihi sebelas rakaat.[8]

Selain itu, al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah menyebutkan, para ulama berbeza pendapat mengenai bilangan rakaat witir. Namun, al-Thauri berpendapat bahawa solat witir boleh dilakukan sama ada dengan lima, tiga atau satu rakaat, tetapi digalakkan untuk berwitir dengan tiga rakaat. Pendapat ini juga merupakan pendapat Ibn al-Mubarak dan ulama dari Kufah serta sebahagian sahabat seperti Abdullah bin Mas‘ud. Manakala sebahagian sahabat lagi berpendapat, boleh berwitir dengan satu rakaat. Di antara mereka yang berpegang dengan pendapat ini ialah Uthman bin ‘Affan, Sa‘ad bin Abu Waqqas, Zaid bin Thabit, Abu Musa al-Asy‘ari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Zubair, Mu‘awiyah, Aisyah, Imam Malik, Imam Syafi‘i dan lain-lain.[9]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa bilangan rakaat witir yang paling sedikit adalah sebanyak satu rakaat. Justeru, jika seseorang itu mendirikan solat witir dengan hanya satu rakaat, maka witirnya itu adalah dikira sah. Namun, yang lebih utama atau afdhalnya ialah seseorang itu mendirikan solat witir sebanyak tiga rakaat sekurang-kurangnya dan ini merupakan serendah-rendah tahap kesempurnaan. Manakala setinggi-tinggi tahap kesempurnaan solat witir pula adalah dengan mendirikannya sebanyak sebelas rakaat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/215.

[2] Riwayat al-Tirmizi (453) dan yang lainnya

[3] Riwayat Abu Daud (1416)

[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/216.

[5] Riwayat Muslim (752)

[6] Riwayat al-Bukhari (1071); Muslim (736)

[7] Riwayat Abu Daud (1422)

[8] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/372.

[9] Lihat Syarh al-Sunnah, 4/82.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *