Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Jika saya solat witir tiga rakaat, yang manakah lebih afdhal, dengan satu salam atau dua salam? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat witir ialah sunat muakkad. Ia dinamakan demikian kerana ditamatkan dengan satu rakaat, dan berbeza dengan solat yang lain.[1] Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali R.A, katanya:
إنَّ الْوِتْرَ لَيْسَ بِحَتْمٍ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكْتُوبَةِ وَلَكِنْ سَنَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Solat witir tidaklah wajib seperti solat yang difardhukan atas kamu, tetapi Rasulullah SAW melakukannya.”[2]
Hadith yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:
يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat Witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan dia menyukainya.”[3]
Imam al-Nawawi menyebutkan, solat witir adalah sunat di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i tanpa khilaf. Bilangan rakaatnya yang paling sedikit ialah sebanyak satu rakaat. Manakala tahap kesempurnaannya yang paling rendah adalah dengan melakukannya sebanyak tiga rakaat, dan tahap yang lebih sempurna daripada itu pula adalah dengan mendirikannya sebanyak lima rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak tujuh rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sembilan rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sebelas rakaat. Inilah bilangan rakaatnya yang paling banyak menurut pendapat masyhur dalam mazhab Syafi‘i dan pendapat yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab serta ramai ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i.[4]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya sesiapa yang ingin menunaikan solat witir lebih daripada satu rakaat — yakni sama ada tiga rakaat, lima rakaat dan lain-lain — boleh mendirikannya dengan satu tasyahhud, atau dua tasyahhud di dua rakaat yang terakhir sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كانَ لا يسلِّمُ في رَكعتيِ الوترِ
Maksudnya: “Baginda SAW tidak memberi salam pada dua rakaat witir.”[5]
Atau boleh juga dengan memisahkan antara syafa‘ dan witir, dan ini adalah yang paling afdhal, berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
أنَّ رسولَ اللهِ ﷺ كان يفصِلُ بينَ الشَّفعِ والوِتْرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah memisahkan di antara solat syafa‘ dan juga witir.”[6]
Begitu juga dalam riwayat Nafi‘, beliau berkata:
أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا كَانَ يُسَلِّمُ بَيْنَ الرَّكْعَةِ وَالرَّكْعَتَيْنِ فِي الوِتْرِ حَتَّى يَأْمُرَ بِبَعْضِ حَاجَتِهِ
Maksudnya: “Abdullah bin Umar R.Anhuma memberi salam di antara satu rakaat dan dua rakaat di dalam solat witir sehinggalah beliau memerintahkan seseorang untuk memenuhi sebahagian keperluannya.”[7]
Selain itu, menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili lagi, dalam rakaat ketiga witir dibaca dengan kuat (jahar). Justeru, kalaulah ketiga-tiga rakaat witir ini disambung, nescara tidak dibaca dengan kuat pada rakaat ketiga sebagaimana rakaat ketiga dalam solat Maghrib. Begitu juga termasuk dalam perbuatan yang afdhal bagi sesiapa yang mendirikan solat witir lebih daripada satu rakaat untuk memisahkannya setiap dua rakaat dengan satu salam. Malah, ia lebih baik daripada menyambungnya — yakni tanpa memisahkan setiap dua rakaat dengan salam — kerana lebih banyak amalannya, dan hadith yang menyebutkan mengenainya juga lebih banyak.[8]
Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, sesiapa yang ingin mendirikan witir sebanyak tiga rakaat, maka para ulama berbeza pendapat mengenai cara melaksanakannya yang terbaik (afdhal). Menurutnya, cara menunaikannya yang paling baik (afdhal) adalah dengan memisahkannya dengan dua salam berdasarkan hadith-hadith sahih yang banyak menyebutkan mengenainya. Hal ini juga disebabkan lebih banyak ibadat (amalan) kerana (dengan memisahkannya dengan dua salam) dia dapat memperbaharui niat, doa iftitah, doa di akhir solat dan salam, serta lain-lain lagi. Selain itu, terdapat ulama yang berpendapat, menyambungnya — yakni solat witir tiga rakaat dengan satu salam — adalah lebih baik, dan ini merupakan pendapat al-Syeikh Abu Zaid al-Marwazi kerana keluar daripada khilaf Abu Hanifah yang tidak mensahihkan (menganggap sah) solat witir yang ditunaikan secara terpisah — yakni dengan dua salam.[9]
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat witir yang ditunaikan secara terpisah yakni dengan dua salam adalah lebih baik, berbanding solat witir tiga rakaat yang ditunaikan dengan satu salam kerana berlakunya pertambahan amalan dan ibadah seperti pertambahan niat, doa, takbir dan lain-lain. Lebih-lebih lagi, perkara ini juga selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا كَانَ أَكْثَرَ فَضْلً
Maksudnya: “Lebih banyak sesuatu perbuatan, lebih banyak fadhilatnya (kelebihan).”[10]
Al-Suyuti menyatakan bahawa kaedah ini diambil daripada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَلَكِنَّهَا عَلَى قَدْرِ نَصَبِكِ أَوْ قَالَ: نَفَقَتِكِ
Maksudnya: “Akan tetapi ia (ganjaran) adalah mengikut kadar usaha kamu — atau katanya: belanja kamu (yang dikeluarkan).”[11]
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, secara zahirnya ia menunjukkan bahawa pahala dan fadhilat dalam ibadah akan menjadi lebih banyak dengan banyaknya usaha dan infak yang dikeluarkan. Makna usaha dan infak di sini adalah yang tidak dicela oleh syarak.[12] Oleh sebab itu, al-Suyuti menyebutkan di bawah kaedah ini bahawa memisahkan solat witir adalah lebih afdhal berbanding menyambungkannya — yakni melakukannya dengan satu salam — sebagai contoh bagi kaedah tersebut kerana berlakunya pertambahan niat, takbir dan salam.[13]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 6 April 2022 bersamaan 4 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/215.
[2] Riwayat al-Tirmizi (453) dan yang lainnya
[3] Riwayat Abu Daud (1416)
[4] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/12.
[5] Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ daripada riwayat Muhammad bin al-Hasan (1/96); Riwayat al-Tabarani dalam al-Ausat (6/375)
[6] Riwayat Ibn Hibban (2433)
[7] Riwayat al-Bukhari (991)
[8] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/373.
[9] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/13.
[10] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 143; Mausu‘ah al-Qawaid al-Fiqhiyyah, 9/171.
[11] Riwayat Muslim (1211)
[12] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/153.
[13] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 143.