Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah ada beza dari segi kuantiti makanan atau minuman yang membatalkan puasa seseorang sekalipun terlupa? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya umat telah bersepakat mengenai haramnya makan dan minum bagi orang yang sedang berpuasa — pada siang hari — jika ia dilakukan dengan sengaja. Hal ini kerana menahan diri daripada makan dan minum adalah maksud atau tujuan puasa itu sendiri berdasarkan firman Allah SWT:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”[1]
Justeru, sekiranya seseorang itu makan dan minum, dalam keadaan dia sedar atau mengetahui bahawa dia sedang berpuasa, mengetahui tentang haramnya perbuatan itu, dan mempunyai pilihan, maka puasanya terbatal kerana perbuatan makan dan minumnya itu bertentangan dengan tujuan puasa tanpa sebarang keuzuran. Walau bagaimanapun, sekiranya dia makan dan minum pada siang Ramadhan dalam keadaan terlupa bahawa dia sedang berpuasa, maka dalam hal ini, puasanya tidak terbatal dan masih lagi dikira sah.[2]
Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Maksudnya: “Sekiranya seseorang itu terlupa (bahawa dia sedang berpuasa), lalu dia makan atau minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah SWT yang telah memberinya makan dan minum.”[3]
Hadith di atas secara jelas menyebutkan bahawa perbuatan makan dan minum dalam keadaan terlupa bagi bagi orang yang berpuasa itu tidak membatalkan puasa. Begitu juga dia tidak perlu menggantikan (qadha’) puasanya semula, mahupun dikenakan kaffarah,[4] sebagaimana riwayat yang lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن أفطَر في شهرِ رمضانَ ناسيًا فلا قضاءَ عليه ولا كفّارةَ
Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan dalam keadaan terlupa, maka tiada qadha’ mahupun kaffarah ke atasnya.”[5]
Berdasarkan hadith di atas, jelas menunjukan bahawa perbuatan makan dan minum dalam keadaan terlupa bagi orang yang berpuasa itu tidak membatalkan puasa, sebaliknya puasa mereka masih dianggap sah. Oleh sebab itu, Baginda mengarahkan supaya golongan yang terlupa ini untuk meneruskan puasa tersebut. Selain daripada itu juga, tidak kira makanan atau minuman itu dalam kuantiti yang sedikit atau banyak berdasarkan kepada keumuman hadith.[6] Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh:
تُرِكَ الاسْتِفْصَالُ فِي حِكَايَةِ الْحَالِ مَعَ قِيَامِ الاحْتِمَالِ يُنَزَّلُ مَنْزِلَةَ الْعُمُومِ فِي الْمَقَالِ، وَيَحْسُنُ بِهِ الاسْتِدْلال
Maksudnya: “Ditinggalkan suatu perincian ketika menjelaskan suatu keadaan, dalam keadaan adanya kebarangkalian untuk diperincikan, maka ia digolongkan dalam perkataan umum, dan sah beristidlal dengannya.”
Dalam erti kata lain, dalam hadith Abu Hurairah tidak dinyatakan kuantiti makanan yang dimakan itu sedikit atau banyak, sedangkan ada kebarangkalian untuk diperincikan. Jadi, ia kekal sebagaimana keumumannya dan sah beristidlal dengannya.
Tambahan lagi, Imam al-Nawawi menyebutkan, apabila seseorang itu makan atau minum dalam keadaan terlupa, ia tidak membatalkan puasa di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i, tidak kira kadar makanan dan minuman itu sedikit ataupun banyak. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi‘i.[7] Meskipun begitu, tidak dinafikan terdapat sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i yang berpendapat bahawa jika kadar makan dan minum itu banyak, maka terdapat dua pendapat dalam mazhab. Pendapat yang paling sahih di sisi al-Rafi‘i adalah ia membatalkan puasa. Hal ini kerana, sifat terlupa bersama dengan kadar yang banyak itu adalah suatu yang jarang — yakni bukan kebiasaan.[8]
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa makan dan minum pada siang Ramadhan dalam keadaan terlupa bahawa mereka sedang berpuasa, tidak membatalkan puasanya dan puasa mereka masih lagi dikira sah, tidak kira jumlah yang dimakan atau diminum itu sedikit ataupun banyak, berdasarkan keumuman hadith. Perkara ini juga bertepatan dengan riwayat daripada Zar al-Ghifari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”[9]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Surah al-Baqarah: 187
[2] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/180.
[3] Riwayat al-Bukhari (1933)
[4] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/180.
[5] Riwayat Ibn Hibban (3521)
[6] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/181
[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/324.
[8] Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 199.
[9] Riwayat Ibn Majah (2043)