Soalan
Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang maksud dua kegembiraan yang diperoleh oleh orang yang berpuasa, seperti yang disebut dalam hadith? Saya pernah mendengar hadith ini dan kurang jelas maknanya. Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Sesungguhnya, amalan berpuasa memiliki kelebihan yang besar di sisi Allah SWT. Hal ini dapat dilihat melalui sebuah hadith qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
قَالَ اللَّهُ: كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ، إِلَّا الصِّيَامَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ، وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ، فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ. وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا: إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ، وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ.
Maksudnya: Allah berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) adalah untuknya melainkan puasa, kerana sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya ganjaran (pahala). Puasa itu adalah merupakan perisai. Oleh itu, janganlah berkata keji dan jangan pula berteriak-teriak. Sekiranya ada seseorang mencelanya atau memeranginya, maka katakanlah,“Sesungguhnya aku berpuasa.” Demi Dia (Allah) yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada aroma minyak kasturi. Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan, dia berasa gembira dengan dua perkara, iaitu apabila berbuka dia berasa gembira dan apabila bertemu Tuhannya, dia berasa gembira dengan puasanya. [1]
Berkenaan lafaz ‘فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ’ (Puasa itu untuk-Ku dan Aku-lah yang akan membalasnya), Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Baidhawi berkata: Terdapat dua perkara yang menjadi sebab mengapa ibadah puasa diistimewakan dengan kelebihan seperti ini.
Pertama: Kerana ibadah-ibadah selainnya dapat dilihat oleh manusia, berbeza dengan puasa kerana ia merupakan rahsia antara hamba dan Allah SWT. Dia melakukannya dengan ikhlas dan mengerjakannya kerana mengharapkan redha-Nya. Hal ini ditunjukkan menerusi firman Allah SWT dalam sabda Baginda SAW, ‘الصَّوْمُ لِي’ (Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku).
Kedua: Kerana seluruh perbuatan baik dilakukan dengan cara mengeluarkan harta atau menggunakan anggota fizikal. Manakala puasa mencakupi perbuatan mengekang hawa nafsu dan menjadikan fizikal menjadi lemah. Dalam ibadah puasa, terdapat unsur kesabaran menahan rasa lapar, haus dan meninggalkan syahwat. Hal ini ditunjukkan menerusi firman Allah SWT dalam sabda Baginda SAW: “Dia meninggalkan syahwat kerana-Ku.” [2]
Imam al-Munawi pula menjelaskan: (Yakni), orang yang berpuasa, Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain, kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku. [3]
Maksud Dua Kegembiraan yang Diraih oleh Orang Berpuasa
Berbalik kepada persoalan di atas, sesungguhnya Allah SWT telah memberikan kelebihan dan kemuliaan kepada orang yang berpuasa. Terdapat banyak hadith yang menyebutkan tentang kelebihan tersebut.
Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا: إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفِطْرِهِ، وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ
Maksudnya: “Dan orang yang berpuasa itu akan memperoleh dua kebahagiaan: Apabila berbuka, dia berbahagia dengan berbukanya, dan apabila berjumpa Rabb-nya, dia bahagian dengan (pahala) puasanya.” [4]
Dalam riwayat Muslim pula, disebut dengan lafaz:
لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ
Maksudnya: “Orang yang berpuasa akan memperoleh dua kebahagiaan: Iaitu kebahagiaan ketika berbukanya, dan kebahagiaan ketika berjumpa Rabb-nya (dengan pahala puasanya).” [5]
Manakala dalam riwayat lain, disebut dengan lafaz:
لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ حِينَ يُفْطِرُ ، وَفَرْحَةٌ حِينَ يَلْقَى رَبَّهُ
Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya.” [6]
Berdasarkan riwayat-riwayat dalam hadith di atas, dapat difahami bahawa Rasulullah SAW telah menyatakan bahawa orang yang berpuasa akan mendapat dua kebahagiaan atau kegembiraan, iaitu ketika berbuka puasa dan ketika dia bertemu Allah SWT di akhirat kelak.
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa makna gembira dalam hadith di atas dengan menukilkan perkataan para ulama’: “Adapun kegembiraan orang yang berpuasa ketika berjumpa dengan Rabb-nya, adalah kerana dia melihat pahala puasanya dan kerana dia teringat kepada nikmat taufiq yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya, sehingga dia dapat berpuasa. Manakala kegembiraan pada ketika berbuka puasa adalah kerana dia dapat dengan sempurna menyelesaikan ibadahnya, dapat dengan selamat terhindar daripada perkara-perkara yang membatalkan puasanya, dan memiliki harapan untuk memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT. [7]
Dari sudut yang lain, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan kenyataan sebahagian ulama’ berkenaan makna gembira tersebut seperti berikut: “Al-Qurtubi menyatakan bahawa makna gembira adalah dengan sebab rasa lapar dan dahaga telah hilang, kerana dia sudah dibolehkan untuk berbuka puasa. Ini adalah kegembiraan yang wajar dan mudah difahami.”
Sementara itu, sebahagian ulama’ yang lain pula berpendapat, bahawa orang yang berpuasa itu bergembira dengan berbuka puasanya, kerana amalan puasa dan ibadahnya telah berjaya dikerjakan dengan baik. Dia berasa diringankan serta mendapat pertolongan daripada Allah SWT untuk menunaikan puasa pada masa yang akan datang pula.
Setelah itu, al-Hafiz Ibn Hajar menyimpulkan, katanya: “Aku katakan: Tidak mengapa untuk membawa pengertian gembira di sini kepada pengertian yang lebih umum daripada makna yang telah disebutkan di atas. Hal ini kerana, setiap orang yang berpuasa, (ketika berbuka) akan bergembira sesuai mengikut keadaan masing-masing, disebabkan keadaan orang yang berkait dengan ibadah puasa berbeza-beza. Antara mereka, ada yang kegembiraan mereka itu hukumnya mubah (harus) iaitu kemanusiaan manusiawi yang wajar. Dan ada pula golongan yang mana kegembiraan mereka itu disunatkan, iaitu kegembiraan yang disebabkan oleh perkara-perkara telah disebutkan di atas (seperti bergembiran kerana dapat menunaikan ibadah puasa yang mampu dengan baik atas pertolongan Allah SWT.” [8]
Selain itu, maksud dua kegembiraan dalam hadith di atas, dengan merujuk kepada syarahan ulama’ juga boleh diringkaskan seperti berikut:
Pertama: Kegembiraan ketika berbuka puasa adalah disebabkan tabiat dan fitrah manusia yang cenderung kepada perkara syahwat seperti makan, minum, jima’ dan sebagainya. Oleh itu, apabila ia dilarang pada sesuatu tempoh masa, dan kemudian ia dibenarkan semula selepas daripada itu, maka hal tersebut akan menimbulkan kegembiraan apabila dia boleh kembali melakukannya. Khususnya bagi orang yang sangat merasa kesusahan dan kekangan dalam menjalani ibadah puasa tersebut. [9]
Kedua: Kegembiraan ketika bertemu Tuhannya pula dengan maksud, ganjaran balasan kebaikan yang akan diperolehnya daripada ibadah puasa yang dilaksanakan ketika dia bertemu Allah SWT di akhirat kelak. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللَّـهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا ۚ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [10]
Selain itu, Allah SWT turut berfirman:
يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُّحْضَرًا
Maksudnya: “(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia dibentangkan (kepadanya dalam surat-surat amalnya).” [11]
Justeru, apabila orang yang telah berpuasa tersebut melihat ganjaran yang bakal diperolehinya daripada Allah SWT, maka dia merasa gembira dengan puasa yang telah dilaksanakannya itu dengan sebaiknya. [12]
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan keterangan di atas, dapat difahami bahawa maksud kegembiraan yang dinyatakan di dalam hadith adalah kegembiraan di dunia dan di akhirat.
Kegembiraan di akhirat adalah ketika orang yang berpuasa berjumpa dengan Allah SWT, kerana dia melihat pahala puasanya dan teringat kepada nikmat taufiq yang dianugerahkan kepadanya sehingga dia mampu menjalankan ibadah puasa. Selain itu, dia juga bergembira kerana beroleh ganjaran yang besar, yang disimpan oleh Allah SWT buatnya. Justeru, dia akan bergembira dengan apa yang diraihnya itu.
Adapun kegembiraan di dunia adalah ketika dia berbuka puasa, di mana kegembiraan tersebut adalah sesuai mengikut keadaan masing-masing. Ada antara mereka ada yang kegembiraan mereka itu hukumnya mubah (harus) iaitu mengikut kemanusiaan manusiawi yang wajar. Misalnya, kegembiraan tatkala dia dapat melakukan perbuatan yang mana dia ditegah daripada melakukannya ketika berpuasa seperti makan dan minum.
Dan ada pula golongan yang mana kegembiraan mereka itu disunatkan, iaitu kegembiraan seperti kerana dapat menunaikan ibadah puasa dengan baik atas pertolongan Allah SWT. Inilah sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar dan lain-lain.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Riwayat al-Bukhari (1904)
[2] Lihat Fath al-Bari, 4/108
[3] Lihat Faidh al-Qadir, 4/250
[4] Riwayat al-Bukhari (1904) dan Muslim (1151)
[5] Riwayat Muslim (1151)
[6] Riwayat Muslim (1151), al-Nasa’i (2215), al-Tirmizi (766), Ibn Majah (1638) dan Ahmad (9429)
[7] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/273
[8] Lihat Fath al-Bari, 4/118
[9] Lihat Latha’if al-Ma’arif Fi Ma Li al-Mawasim al-‘Amm Min al-Wazhaif, hlm. 215
[10] (Surah al-Muzammil: 20)
[11] Surah Ali Imran: 30
[12] Lihat Latha’if al-Ma’arif Fi Ma Li al-Mawasim al-‘Amm Min al-Wazhaif, hlm. 216-217