Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah perbuatan menelan air liur itu dikira termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.


Definisi Air Liur

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, air liur adalah suatu cecair dinamik yang mengekalkan rongga mulut (kedua-dua tisu keras dan lembut) dalam keadaan yang sihat. Air liur dihasilkan oleh tiga pasang kelenjar air liur utama dan juga kelenjar-kelenjar air liur kecil. Kelenjar air liur utama terdiri daripada:

  • Kelenjar Parotid
  • Kelenjar Submandibel
  • Kelenjar Sublingual

Air liur mempunyai banyak peranan penting dalam rongga mulut. Ia membantu dengan proses pemakanan, pertuturan, penelanan dan juga untuk mengekalkan mulut dalam keadaan yang sihat.

Air liur juga adalah bahan pembilas mulut semulajadi. Ia membilas mulut sepanjang masa dan dengan ini secara tidak langsung membuang cebisan kecil makanan dari permukaan gigi. Semasa tidur, rembesan air liur adalah kurang menyebabkan mulut berbau apabila bangun tidur. Selain itu, kekurangan rembesan air liur menyebabkan air liur menjadi likat, susah untuk membilas mulut, menjadikannya kurang oksigen dan menyebabkan pembiakan bakteria anaerob di dalam mulut.[1]

Perkara yang Membatalkan Puasa

Sebelum menjawab persoalan di atas, elok juga diteliti terlebih dahulu berkenaan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Pada asasnya, antara perkara yang boleh membatalkan puasa – sepertimana dinyatakan oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji – boleh diringkaskan seperti berikut:

Pertama: Makan atau minum dengan sengaja, namun sekiranya terlupa atau tidak sengaja adalah dimaafkan seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya: Sesiapa yang terlupa, sedang dia berpuasa, lalu dia makan dan minum, dia hendaklah meneruskan puasa. Sesungguhnya Allah SWT yang memberinya makan dan minum itu [2]

Kedua: Memasukan sesuatu ke rongga dalam melalui ruang yang sedia terbuka seperti mulut, telinga, kemaluan dan dubur. Semua perbuatan yang membatalkan puasa itu jika tidak disengajakan sebab terlupa, ia tidak merosakkan puasa dan ini diqiaskan kepada makan dan minum. Begitu juga sekiranya dipaksa untuk makan, ia tidak membatalkan puasa. Ini kerana bukan kemahuan serta kehendak. [3]

Ketiga: Muntah yang disengajakan adalah membatalkan puasa. Akan tetapi sekiranya tidak disengajakan tidak membatalkan puasa ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

‏ مَنْ ذَرَعَهُ قَىْءٌ وَهُوَ صَائِمٌ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ وَإِنِ اسْتَقَاءَ فَلْيَقْضِ

Maksudnya: Sesiapa yang tidak dapat menahan muntahnya semasa berpuasa, dia tidak wajib mengqadha’ puasanya dan jika sengaja muntah, dia hendaklah mengqadha’kannya. [4]

Keempat: Melakukan persetubuhan dengan sengaja sekalipun tanpa mengeluarkan mani. Ini seperti firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ

Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam, iaitu waktu fajar. Kemudian, sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib), dan janganlah kamu menyetubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri’tikaf di masjid. [5]

Walau bagaimanapun, tidak membatalkan puasa sekiranya dia terlupa bahawa dirinya sedang berpuasa, perkara ini dikiaskan kepada makan dan minum.

Kelima: Mengeluarkan mani dengan sengaja maka terbatal puasanya. Namun sekiranya tidak disengajakan dan tidak dapat menahan maninya maka tidak terbatal puasanya.

Keenam: Haid dan Nifas merupakan keuzuran yang menghalang sahnya puasa. Oleh itu puasa seseorang perempuan itu terbatal jika terdapat haid atau nifas di siang hari dan wajib mengqadha’kannya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayat Abu Said RA, Rasulullah SAW bersabda:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ، وَلَمْ تَصُمْ؟

Maksudnya: Bukankah perempuan apabila haidh, dia tidak bersolat dan berpuasa? [6]

Ketujuh: Gila dan murtad. Kedua-dua perkara tersebut juga menghalang daripada puasa. Ini kerana orang yang berpuasa dalam keadaan itu telah terkeluar daripada kelayakan beribadat. Justeru, setiap orang yang berpuasa wajib menahan dirinya daripada semua perbuatan yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Ini bererti, jika seseorang melakukan sesuatu yang membatalkan puasa dengan sangkaan fajar belum terbit, kemudian ternyata sangkaannya itu salah, maka puasanya tetap batal. [7]

Menelan Air Liur Ketika Berpuasa

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Perlu dijelaskan terlebih dahulu, bahawa maksud air liur adalah air yang berada di dalam mulut selama mana ia berada di dalamnya. Sebaliknya, jika ia telah dikeluarkan daripada mulut, maka ia disebut sebagai ‘بُصاق’ (air liur yang telah diludahkan).

Secara asasnya, isu ini tidak dibahaskan dengan begitu mendalam oleh kalangan para fuqaha’. Ini kerana secara umumnya mereka hanya mengulas isu menelan air liur dan juga isu mengumpul air liur lalu menelannya.

Dalam menjelaskan isu ini, Imam al-Nawawi menyebut: ‘لَوِ ابْتَلَعَ مِنْهُ الرِّيقَ لَا يُفْطِرُ’ (Sekiranya ditelan air liur, maka ia tidaklah membatalkan puasa.) [8]

Selain itu, persoalan ini turut dijelaskan dalam kitab yang menghimpunkan fatwanya, yang disebut dengan Fatawa al-Nawawi seperti berikut: Apabila seseorang yang berpuasa itu merasa makanan dan tidak menelannya, atau dia mengunyah roti dan selainnya namun tidak menelannya, atau seseorang itu mengumpulkan air liur di dalam mulutnya, atau seekor lalat masuk ke dalam rongganya tanpa sebarang kehendak darinya, atau dia sedang mengadun gandum atau tepung dan selainnya lalu dia membuka mulutnya dan masuk sedikit daripada debu-debu, atau tertelan air berkumur atau istinsyak tanpa dia berlebihan (dalam perbuatan tersebut), adakah ini membatalkan puasa? Jawapannya, kesemuanya ini tidak membatalkan puasa. [9]

Malah, Imam al-Nawawi turut menukilkan berkenaan ijma’ (kesepakatan) tentang perkara ini. Dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, beliau menyebut: “Menelan air liur tidak membatalkan puasa berdasarkan ijma’ sekiranya ia dilakukan secara adat. Ini kerana kesukaran untuk mengelakkan dari melakukannya.”

Beliau turut menyatakan tiga syarat yang menjadikan menelan air liur tidak membatalkan puasa. Ketiga-tiga syarat tersebut boleh diringkaskan seperti berikut:

  • Air liur itu adalah semata-mata air liur. Jika air liur itu bercampur dengan sesuatu dan berubah warnanya, maka batal puasa sekiranya ia ditelan.
  • Air liur itu ditelan melalui bahagian salurannya. Jika air liur telah keluar daripada mulutnya, kemudian dia memasukkannya semula melalui lidahnya atau selain lidahnya lalu dia menelannya, maka ini membatalkan puasa.
  • Air liur itu ditelan secara normal (adat kebiasaan). Jika air liur itu dihimpunkan (di dalam mulutnya) dengan sengaja, lalu dia menelannya, adakah ia membatalkan puasa? Maka ada dua pendapat yang masyhur dalam mazhab Al-Syafi’e dan yang sahihnya ia tidak membatalkan puasa. [10]

Hal ini juga juga adalah sepertimana diterangkan oleh Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni. Kata beliau:Bagi sesuatu yang tidak dapat dielakkan seperti menelan air liur, maka ia tidaklah membatalkan puasa. Hal ini kerana menahan dari hal tersebut adalah menyukarkan. Perkara ini samalah seperti debu-debu jalanan dan juga debu-debu tepung. Jika seseorang itu mengumpulkan air liur kemudian dia menelannya dengan sengaja, maka yang demikian juga tidak membatalkan puasanya.” [11]

Selain itu, pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Puasa tidak batal jika lalat, agas atau debu jalan masuk ke dalam rongga. Ini kerana ia sukar untuk mengelakkannya. Begitu juga halnya jika tertelan air liur. Walau bagaimanapun, puasa akan batal sekiranya air liur yang ditelan bercampur dengan najis. Contohnya, seseorang yang mengalami gusi berdarah dan menelan air liurnya tanpa membasuh mulutnya dahulu, sekalipun air liurnya itu kelihatan putih.

Jika dia berkumur atau yang dimasukkan ke dalam hidung ketika berwudhu’, sampai ke dalam rongga, ia tidak membatalkan puasa sekiranya kedua-dua perbuatan tersebut dilakukan tidak berlebih-lebihan. Sebaliknya, jika dilakukan berlebih-lebihan, puasanya menjadi batal disebabkan membuat perkara yang ditegah ketika berpuasa. Begitu juga, sisa-sisa makanan dicelah-celah gigi yang tertelan bersama air liur, tidak membatalkan puasa sekiranya susah membeza dan meludahkannya kerana ada halangan dan tanpa kecuaiannya. Jika tiada kesulitan sedemikian, puasanya batal disebabkan kecuaiannya.” [12]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa isu menelan air liur ini termasuk dalam umum al-balwa (perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan). Hal ini samalah seperti menghidu wangi-wangian dan debu-debu jalanan, di mana kesemuanya tidak membatalkan puasa.

Oleh itu, menelan air liur secara umum tidaklah membatalkan puasa. Adapun berkenaan perbuatan menghimpunkan air liur di dalam mulut, kemudian ditelan air liur tersebut, maka sebahagian ulama’ menghukumkannya sebagai makruh. Manakala jika air liur itu telah dikeluarkan daripada mulut, kemudian dia memasukkan dan menelannya semula, maka inilah yang membatalkan puasa.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 8 April 2022 bersamaan 6 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/mulut-kering/ dan http://www.myhealth.gov.my/adakah-anda-mengalami-masalah-nafas-atau-mulut-berbau-halitosis/

[2] Riwayat Imam Muslim (1155)

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/95

[4] Riwayat Abu Daud (2830)

[5] Surah al-Baqarah: 187

[6] Riwayat al-Bukhari (298)

[7] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/93-98

[8] Lihat Raudhah al-Thalibin, 2/357

[9] Lihat Fatawa al-Nawawi, 1/90

[10] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/318

[11] Lihat al-Mughni, 3/16

[12] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/78

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *