Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seorang makmum mendirikan solat terawih dengan melihat mashaf al-Quran sambil mendengar bacaan imam? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, seseorang itu diharuskan untuk mendirikan solat dengan membaca daripada mashaf — yakni dengan melihat mashaf — tidak kira dia menjadi imam ataupun solat secara bersendirian, dan perkara itu tidak membatalkan solatnya. Mengenai ini, Imam al-Nawawi menyebutkan jika seseorang itu membaca al-Quran daripada mashaf, maka solatnya tidak terbatal, tidak kira dia menghafalnya ataupun tidak. Bahkan, wajib ke atasnya perkara tersebut jika dia tidak menghafal surah al-Fatihah. Begitu juga jika dia kadang-kadang membelek-belek halaman al-Quran (dengan tidak melakukan pergerakan yang besar tiga kali berturut-turut) di dalam solatnya, maka solatnya tidak terbatal. Begitu juga sekiranya dia melihat tulisan yang tercatat selain daripada al-Quran dan mengulang-ulangkan apa yang dilihatnya itu untuk bacaan dirinya, maka tidak juga membatalkan solat walaupun ia panjang tetapi perbuatan tersebut dikira makruh. Perkara itu telah dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab al-Imla’, dan telah dipersetujui oleh ulama-ulama dalam mazhab Syafi‘i. Justeru, membaca al-Quran daripada mashaf tidak membatalkan solat. Inilah mazhab Syafi‘i, mazhab Malik, Abu Yusuf, Muhammad dan Ahmad.[1]
Walau bagaimanapun, sebahagian ulama menghukumkan perbuatan ini sebagai makruh, jika tiada sebarang keperluan seperti dengan melihat mashaf mampu untuk memanjangkan tempoh berdiri di dalam solat, membantu menambahkan kekusyukkan di dalam solat, mengurangkan kesilapan atau lupa ketika membaca ayat al-Quran, dan lain-lain. Mengenai perkara ini, al-Khatib al-Syirbini ada menjelaskan bahawa membaca ayat al-Quran dengan melihat mashaf dan juga membelek kertas mashaf ketika sedang mendirikan solat adalah harus dengan syarat ia dilakukan dengan tidak berturut-turut sebanyak tiga kali dan ia dilakukan kerana mempunyai keperluan. Jika ia dilakukan dengan sengaja tanpa ada keperluan, maka hukumnya adalah makruh.[2]
Di antara dalil yang menunjukkan kepada keharusan perbuatan ini adalah berdasarkan kepada sebuah riwayat yang menceritakan bahawa Aisyah R.Anha pernah menjadi makmum kepada hambanya yang telah dimerdekakan, Zakwan dalam keadaan dia membaca al-Quran di dalam solat dengan melihat mashaf. Imam al-Bukhari meriwayatkannya secara mu‘allaq di bawah bab ‘Hamba dan Bekas Hamba menjadi Imam’ (بَابُ إِمَامَةِ العَبْدِ وَالمَوْلَى) dalam sahihnya.[3]
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, hadith ini menjadi dalil bahawa harus bagi orang yang sedang mengerjakan solat untuk membaca al-Quraan dengan melihat kepada mashaf.[4] Peristiwa ini menjadi dalil yang jelas bahawa Zakwan menunaikan solat dengan melihat mashaf dan Aisyah R.Anha tidak mengingkari perkara tersebut. Jika perkara tersebut tidak dibolehkan, nescaya Aisyah R.Anha akan melarangnya daripada berbuat demikian.
Begitu juga Nabi SAW pernah mendukung cucu Baginda, Umamah R.Anha ketika Baginda sedang solat seperti mana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Ansari, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلِأَبِي العَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا
Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW menunaikan solat sambil mendukung Umamah, anak perempuan kepada Zainab binti Rasulullah SAW dan Abu al-‘As bin Rabi‘ah bin ‘Abd Syams. Apabila sujud, Baginda akan meletakkannya dan apabila bangun, Baginda akan mendukung semula.”[5]
Oleh itu, jika tiada halangan untuk Rasulullah SAW mendukung Umamah R.Anha ketika solat, begitu juga halnya tiada halangan untuk seseorang itu memegang mashaf dan membacanya ketika solat.
Selain daripada itu, pada asasnya makmum diperintahkan untuk diam dan mendengar bacaan imam di dalam solat. Firman Allah SWT:
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Dan apabila al-Quran dibacakan, maka dengarlah bacaan al-Quran tersebut serta diamlah supaya kamu memperolehi rahmat.”[6]
Ibn Kathir menyatakan bahawa Allah SWT telah memerintahkan untuk diam ketika ayat al-Quran dibaca sebagai satu penghormatan kepada al-Quran, tidak seperti apa yang dilakukan oleh kaum musyrikin Quraisy seperti mana dalam firman-Nya:
وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ
Maksudnya: “Dan orang yang kafir berkata: ‘Janganlah kamu mendengar al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya).’”[7]
Perkara ini lebih ditekankan jika imam membacanya secara kuat dalam solat fardhu,[8] seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya:
إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا
Maksudnya: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti, apabila imam mengangkat takbir, maka hendaklah makmum mengikutnya mengangkat takbir, dan jika imam membaca ayat al-Quran, maka hendaklah makmum diam — dan mendengar bacaan imam.”[9]
Selain itu, para sahabat R.Anhum pernah menunaikan solat Subuh di belakang Rasulullah SAW yang mana dalam solat tersebut, Baginda membaca ayat al-Quran dengan bacaan yang panjang dan para sahabat mengikut bacaan Baginda itu. Lalu Baginda SAW bersabda:
لا تَفعَلوا إلَّا بفاتحةِ الكتابِ؛ فإنَّه لا صلاةَ لِـمَن لم يَقرَأْ بها
Maksudnya: “Janganlah kamu berbuat demikian kecuali membaca surah al-Fatihah. Sesungguhnya tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca (surah al-Fatihah) di dalam solatnya.”[10]
Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, bolehkah seseorang makmum itu mengikuti bacaan imam dengan melihat kepada mashaf al-Quran? Mengenai ini, diceritakan bahawa Anas pernah mendirikan solat dan hambanya memegang mashaf untuknya di belakangnya. Apabila beliau lupa atau ragu pada suatu ayat, maka hambanya itu akan membukakan mashaf untuknya — yakni mengingatkannya.[11]
Manakala ‘Abd al-Karim al-Khudair pula berpendapat, sesiapa yang memegang mashaf al-Quran di dalam solat terawih bagi mengikuti bacaan imam, ia bertentangan dengan kewajipan makmum untuk diam dan mendengar dengan tekun bacaan imam serta tidak disibukkan dengan perkara lain. Maka perkara ini tidak sepatutnya dilakukan oleh makmum. Adapun imam yang tidak menghafaz al-Quran dan melihat mashaf, maka dibolehkan baginya.[12]
Selain itu, Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin juga pernah ditanya berkenaan hukum makmum mengikuti bacaan imam dengan melihat mashaf al-Quran? Beliau menjawab, jika kerana suatu keperluan seperti seorang imam itu hafalannya lemah, lalu dia berpesan kepada makmumnya untuk memegang al-Quran (ketika solat di belakangnya) dan menegurnya jika ada kesilapan dalam bacaan ayat al-Quran. Maka, dalam hal ini tidak mengapa makmum mengikuti bacaan imam dengan mashaf kerana adanya keperluan. Namun, jika tiada sebarang keperluan, beliau berpendapat seorang makmum tidak perlu seorang makmum mengikuti bacaan imam dengan memegang (yakni melihat) mashaf kerana akan gugur atau terlepas daripadanya banyak perkara sunat yang digalakkan seperti melihat ke arah tempat sujud dan meletakkan dua tangan atas dada (yakni mendekap tangan ketika berdiri).
Sebaliknya, dia akan melakukan perkara-perkara yang tidak digalakkan padanya seperti pergerakkan tangan ketika memegang mashaf, menyelak halamannya dan meletakkannya, kesemua pergerakan ini tiada keperluan kepadanya. Sebahagian ahli ilmu berpendapat sebarang pergerakan tanpa keperluan hukumnya adalah makruh kerana ia menafikan kesempurnaan khusyuk. Bahkan, ada sebahagian ulama yang lain pula berpendapat, pergerakan yang besar membatalkan solat. Seterusnya, di akhirnya beliau menasihati agar meninggalkan perbuatan ini dan mengembalikan kekusyukkan kepada diri masing-masing tanpa perlu melihat kepada mashaf al-Quran.[13]
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tiada masalah dan tidak makruh bagi makmum untuk mengikuti bacaan imam dalam solat dengan melihat mashaf sebagaimana dibolehkan juga kepada imam untuk melihatnya dalam solat terutamanya dalam solat terawih. Lebih-lebih lagi jika terdapatnya keperluan seperti mengingatkan imam jika terlupa atau tersilap dalam ayat yang dibaca, membantu menambahkan kekusyukkan di dalam solat, dan lain-lain. Apatah lagi, kebiasaannya dalam solat terawih, para imam akan membaca ayat-ayat yang panjang dan kadang-kadang makmum yang tidak menghafal al-Quran berhajat kepada mashaf bagi mengikuti bacaan imam itu supaya lebih menghayati, fokus dan khusyuk. Begitu juga, perintah kepada makmum untuk diam dan mendengar bacaan imam, tidak menafikan perbuatannya untuk melihat mashaf sambil mendengar dan menghayati bacaan imam itu.
Walau bagaimanapun, jika tiada sebarang keperluan, maka sebaiknya makmum tidak mengikuti bacaan imam dengan melihat mashaf, bagi mengelakkan daripada termasuk dalam pendapat mereka yang memakruhkannya, bertepatan dengan kaedah:
الخُـــرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ
Maksudnya: “Keluar daripada khilaf itu adalah digalakkan.”
Hal ini kerana perbuatan solat sambil memegang mashaf itu menyebabkan seseorang itu terlepas daripada melakukan beberapa perkara sunat yang digalakkan seperti menumpukan pandangan ke tempat sujud dan mendekap tangan ketika berdiri. Sebaliknya, dia akan melakukan pergerakan yang tidak digalakkan dalam solat tanpa sebarang keperluan seperti memegang mashaf, menyelaknya, dan meletakkannya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 12 April 2022 bersamaan 10 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/95.
[2] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/419.
[3] Lihat Sahih al-Bukhari, 1/245.
[4] Lihat Fath al-Bari, 2/185.
[5] Riwayat al-Bukhari (516)
[6] Surah al-A‘raf: 204
[7] Surah al-Fussilat: 26
[8] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/536.
[9] Riwayat Muslim (404)
[10] Riwayat Abu Daud (823)
[11] Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 2/321.
[12] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, no. fatwa: 3712.
[13] Lihat https://ar.islamway.net/fatwa/17044/ ما-حكم-متابعة-الإمام-من-المصحف-في-الصلاة. Diakses pada 11 April 2022.