Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seorang pesakit buasir memasukkan air ke dalam duburnya bagi memudahkan untuk membuang air besar, sedangkan dia berpuasa? Adakah puasanya itu terbatal? Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pengertian Buasir
Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu dijelaskan terlebih dahulu berkenaan penyakit buasir. Kami nukilkan di sini pengertian buasir sepertimana dijelaskan di dalam portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Buasir adalah salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur. Ia akan membawa masalah apabila ianya menjadi radang atau bengkak. Buasir boleh diklasifikasikan kepada dua bergantung kepada lokasinya iaitu buasir luaran atau buasir dalaman. Kedua-dua ini mempunyai simptom dan masalah yang berbeza.
Pertama: Buasir dalaman
Merupakan salur darah vena yang bengkak di lapisan dalam rektum. Pesakit akan mengadu terdapat pendarahan selepas membuang najis tanpa kesakitan. Ada juga pesakit yang akan terasa seperti unjuran yang terkeluar dari dubur selepas membuang air besar. Unjuran ini mungkin hilang sendiri atau ada juga yang perlu menolak balik unjuran ini ke dalam.
Kedua: Buasir Luaran
Merupakan salur darah vena di bahagian bawah kulit luar dari dubur. Pesakit akan mengadu sakit, berdarah, gatal atau bengkak semasa membuang air besar. Kesakitan yang dirasai seseorang itu mungkin berbeza. Ada orang yang mungkin merasa sedikit tidak selesa, tetapi ada juga yang merasa panas atau amat pedih. Sakit yang kuat mungkin berlaku akibat salur darah yang tersumbat oleh darah beku.
Kewajiban Menahan Diri daripada Perkara Membatalkan Puasa
Allah SWT berfirman:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”[1]
Berdasarkan ayat al-Quran ini, antara kewajipan bagi orang yang berpuasa Ramadan ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa setelah berniat puasa. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. [2]
Secara jelasnya, antara perkara yang membatalkan puasa adalah dengan memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka (manfaz maftuh) iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Rongga itu sama ada ia mempunyai kuasa memproses makanan dan ubat ataupun tidak. Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan maka terbatal puasanya. [3]
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji dalam menjelaskan hal ini berkata, bahawa salah satu daripada perkara yang membatalkan puasa ialah “sampainya suatu ain ke jauh (rongga) daripada saluran yang terbuka. Ain itu adalah suatu yang boleh dilihat dengan mata kasar. Jauf pula ialah bahagian otak atau bahagian selepas tekak sehingga perut dan usus-usus. Saluran terbuka pula bermaksud mulut, telinga, alat sulit hadapan, dan belakang, bagi lelaki dan perempuan.” [4]
Maka dapat difahami bahawa antara perkara yang boleh menyebabkan puasa terbatal adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka seperti hidung, telinga, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya: “Antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu ke bahagian dalam rongga. Para ulama telah menentukan piawaian sesuatu yang masuk (ke dalam rongga) yang membatalkan puasa dengan ain (objek) yang sampai, iaitu (dari) had zahir ke dalam had batin melalui rongga terbuka dengan sengaja dan sedar dalam keadaan berpuasa.” [5]
Justeru, secara umumnya, batal bagi orang yang berpuasa jika memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut secara sengaja dan ikhtiarnya sendiri. Dan dia mengetahui perbuatan tersebut adalah dilarang ketika berpuasa. [6]
Hukum Pesakit Buasir Memasukkan Air dalam Dubur Ketika Puasa
Menurut Mazhab Syafie, antara perkara yang membatalkan puasa adalah apabila sampai al-‘ain kepada jauf daripada rongga yang terbuka seperti yang dijelaskan di atas. Al-‘ain adalah sesuatu yang zahir dapat dilihat walaupun kecil seperti bijan, tidak boleh dimakan secara adatnya seperti batu kecil dan benang. Berbeza dengan sesuatu yang meninggalkan kesan seperti kentut yang dikesan dengan bau, kepanasan dan kesejukan air yang dikesan dengan rasaan, maka ia tidak dikira.
Al-Jauf di sisi mazhab Syafie adalah apa yang melepasi kerongkong hingga ke perut dan usus dalam, berbeza dengan apa yang sampai tanpa melalui jauf seperti ubat untuk luka pada daging betis atau peha, walaupun sampai ubat itu ke dalam otak atau daging, begitu juga jika dimasukkan besi ke dalamnya, tidak batal puasa.[7]
Ini termasuklah mana-mana saluran yang membawa sesuatu hingga ke bahagian dalaman tubuh seperti mulut. Ulama mazhab Syafi‘e umumnya menetapkan mulut, hidung, telinga, kemaluan dan dubur sebagai rongga terbuka yang menjadi saluran yang membawa kepada Maka apa sahaja yang dimasukkan hingga melepasi rongga tersebut sampai ke dalam membatalkan.
Antara 10 perkara yang membatalkan puasa menurut Mazhab Syafie adalah memasukkan ubat atau selainnya melalui salah satu daripada kedua-dua jalan samada depan atau belakang.[8]. Jika dikiaskan dalam hal memasukkan air ke dalam dubur seperti soalan di atas, maka ia juga membatalkan puasa di sisi mazhab Syafie.
Walaubagaimanapun, hal ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas iaitu:
- Kami melihat hukum menahan diri (imsak) daripada makan dan minum itu dari perspektif ta’lil iaitu hukum tersebut boleh dikaji justifikasi ‘illah dan hikmahnya. Sebab pensyariatan di sebalik imsak itu adalah sifat makanan yang memberi kekuatan kepada tubuh, manakala air yang masuk ke dalam dubur itu tidak memberi kekuatan kepada tubuh badan.
- Rongga zahir bagi pesakit buasir adalah berbeza dengan orang biasa. Maka had al-jaufjuga pastinya adalah berbeza.
- Masih terdapat perbezaan pandangan para ulama’ dalam menetapkan had al-jauf.
- Keperluan untuk sedaya upaya memelihara puasa pesakit memandangkan beliau sudah di tahap kronik dan memberatkan beliau untuk menggantikan puasanya. Sementelahan, beliau masih mampu untuk berpuasa.
- Air yang dimasukkan tidak akan sampai kepada usus dalam dan kemungkinan hanya sampai ke kawasan hujung rectum
Penutup
Berdasarkan keterangan di atas, kami berpendapat bahawa memasukkan air ke dalam dubur bagi memudahkan najis keluar bagi pesakit buasir, adalah tidak membatalkan puasa. Kami kiaskan isu ini dengan kenyataan sebahagian ulama’ Malikiah, ulama’ Zahiriah dan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah yang menghukumkan bahawa suntikan ke rongga dubur adalah tidak membatalkan puasa. [9] Ini juga pendapat ulama masa kini seperti Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil dan Dr. Abdullah bin Hammad al-Sakakir.
Hal ini juga sepertimana dinyatakan berkenaan hukum menyuntik ubat bagi pesakit buasir seperti yang terdapat dalam Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Merujuk kepada bab Penggunaan Ubat Dan Alat-Alat Perubatan Ketika Berpuasa pada poin ke 15, antara perkara yang tidak membatalkan puasa adalah: “Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.” [10]
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″]
[1] Surah al-Baqarah: 187
[2] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181
[3] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181
[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/342
[5] Lihat Raudah al-Talibin, 2/356
[6] Lihat Nihayah al-Zain, 1/187
[7] Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2/181
[8] Lihat al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, 1/237
[9] Lihat Mawahib al-Jalil, 2/424; al-Muhalla, 6/203; Haqiqat al-Siyam, hlm 37, 55
[10] Lihat Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, hlm. 5