Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.
Sale!
Original price was: RM310.00.Current price is: RM160.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Benarkah mimpi orang yang soleh adalah satu peringatan daripada Allah SWT kepada dirinya dan orang sekelilingnya. Dan bolehkah ia dikategorikan sebagai firasat orang Mukmin juga. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menurut Kamus Dewan, mimpi merupakan sesuatu yang seolah-olah dialami atau dilihat seorang sewaktu tidurnya. Ia merupakan hal keadaan yang biasa berlaku kepada manusia.

Pada asasnya, terdapat beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seseorang Muslim. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada ‘Auf bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ : مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam; Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.” [1]

Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  • Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.
  • Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga. Apabila tidur lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya.
  • Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. Atau mimpi ketuhanan iaitu yang datang dan ilham daripada Tuhan.

Guru kami, Syeikh Atiyyah Salim Rahimahullah ketika menafsirkan 46 bahagian kenabian menyebut, ini kerana kerasulan Nabi SAW selama hampir 23 tahun sedangkan muqaddimah kenabian melalui mimpi hampir 6 bulan. Justeru, 6 bulan daripada 23 tahun bersamaan 1/46. Wallahu a’lam.

Dalam hal ini, mimpi yang wajar ditafsirkan adalah mimpi yang ketiga sahaja. Bukan yang pertama dan juga yang kedua. Para ulama menganggap tafsiran mimpi bukan semestinya mengikut apa yang berlaku tetapi ia boleh jadi berlainan.

Ibnu Battal pula berkata, mimpi ada dua jenis:

Pertama, mimpi yang jelas-jelas menjadi nyata, seperti seseorang yang bermimpi memberi seseorang kurma, dan pada siang harinya ia memberi seseorang kurma. Mimpi seperti ini tidak memerlukan takwil.

Kedua, mimpi yang hadir dengan simbol-simbol. Untuk memahami mimpi seperti ini harus ada seseorang yang memiliki ilmu dan pengalaman mentakwil mimpi untuk memahaminya kerana kadang-kadang simbol-simbol itu sangat halus dan rumit. [2]

Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa mimpi tidak boleh dijadikan landasan dalam menghukumkan sesuatu perkara. Imam al-Syatibi berkata, “Sesungguhnya mimpi dari selain para Nabi secara Syar’ie tidak boleh dijadikan landasan untuk menghukumkan perkara apa pun, kecuali setelah ditimbangkan dengan hukum Syariat. Apabila bertepatan dengan hukum Syariat, maka boleh diamalkan. Apabila bertentangan, maka wajib ditinggalkan dan berpaling darinya. Faedah dari mimpi tersebut hanyalah memberi khabar gembira atau peringatan. Adapun menentukan sesuatu hukum dengannya, maka tidak boleh sama sekali.” [3]

Abd al-Rahman bin Yahya al-Mu’allimi menyatakan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa mimpi tidak boleh dijadikan hujjah (dalil). Oleh itu, mimpi hanyalah sekadar memberi khabar gembira atau peringatan. Di samping itu, ia juga boleh menjadi ibrah (pelajaran) apabila bertepatan dengan dalil Syar’i yang sahih. [4]

Seseorang yang ingin menta’bir mimpi amat perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan juga sifat yang soleh dan warak. Beliau hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah. Rasulullah SAW sendiri menafsirkan mimpi dan pernah Rasulullah SAW berkata kepada sahabatnya di waktu pagi, seperti riwayat Samurah bin Jundub R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِمَّا يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ لِأَصْحَابِهِ: «هَلْ رَأَى أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنْ رُؤْيَا، قَالَ: فَيَقُصُّ عَلَيْهِ مَنْ شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَقُصَّ….

Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW kerap kali bertanya kepada sahabat-sahabatnya, adakah seseorang kamu bermimpi? Maka dikisahkan ke atasnya, siapa yang Allah menghendaki untuk menceritakannya… [5]

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Di sini juga memberi maksud sebagai menolak pendapat yang berkata di kalangan ahli ta’bir, ‘sesungguhnya sunat ta’bir mimpi selepas keluar matahari sehingga tengahari, dan daripada Asar hingga sebelum Maghrib. Sesungguhnya hadis ini menunjukkan juga sunat ta’bir sebelum keluar matahari. [6]

Makanya, ramai tokoh-tokoh ulama’ yang mempunyai keahlian dalam ilmu ta’bir mimpi, antaranya Ibn Sirin, Imam Syafi’e, Syeikh Abd al-Ghani al-Nablusi dan lain-lain. Ta’bir yang mereka lakukan banyak yang tepat dan benar. Ini kurniaan Allah SWT kepada mereka.

Seperkara lagi perlu diingat bahawa mimpi orang yang beriman di akhir zaman menjadi pembawa berita gembira. Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis, daripada Abi Hurairah R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَبْقَ مِنَ النُبُوَّة إِلاَّ المبُشِّراتُ. قالوا: وَمَا المُبشِّراتُ؟ قَالَ: الُّرؤْيَا الصَّالِحةُ

Maksudnya: Tiadalah kekal daripada kenabian kecuali banyak berita gembira. Mereka bertanya: “Apakah yang dimaksudkan dengan banyak berita gembira?” Sabda Rasulullah SAW: “Mimpi yang soleh.” [7]

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: al-Mubasyyirat jama’ daripada perkataan mubasyyirah iaitu al-busyra; berita atau khabar gembira datang dalam nas Ilahi: ‘لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَة’ (Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat). Ia memberi maksud mimpi yang soleh dan baik. [8]

Dalam menjadikan serta mendapat mimpi yang benar, maka hendaklah seseorang itu sentiasa bercakap benar. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا

Maksudnya: “Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya.” [9]

Imam Nawawi berkata: Zahirnya bahawa ia mengikut itlaqnya. Dihikayatkan oleh al-Qadhi Iyyadh, daripada sebahagian ulama’ bahawa hal ini terjadi pada akhir zaman ketika terputusnya ilmu dan mati ramai para ulama serta solehin dan siapa yang dapat diberi cahaya ucapannya dan amalannya, maka Allah menjadikannya sebagai penguat dan ganti di samping memberi peringatan kepada mereka semua. [10]

Mimpi yang Baik

Mimpi yang baik dan benar adalah satu perkara kemuliaan serta mempunyai kedudukan yang tinggi. Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشِّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلاَّ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُسْلِمُ أَوْ تُرَى لَهُ

Maksudnya“Tidak terdapat lagi berita-berita gembira tentang kenabian kecuali mimpi yang benar yang dialami oleh seorang muslim, atau diperlihatkan kepadanya (mimpi itu).” [11]

Allah SWT berfirman:

لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Maksudnya“Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia..” [12]

Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azhim (2/515) ketika menafsirkan ayat ini menyebut salah satu pendapat dengan menyertakan sebuah hadis daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang ayat tersebut lalu Baginda SAW menjawab:

هِيَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُؤْمِنُ أَوْ تُرَى لَهُ

Maksudnya“Ia adalah mimpi yang baik, yang orang Mukmin bermimpi dengannya atau diperlihatkan kepadanya.”

Selain itu, Allah SWT menjadikan mimpi sebagai salah satu daripada mukjizat kenabian yang dibenarkan oleh-Nya, sepertimana firman-Nya di dalam al-Quran:

لَّقَدْ صَدَقَ اللَّـهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam – insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) – dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunnya). [13]

Antara mimpi yang baik adalah mimpi yang dialami oleh para nabi-nabi, wali-wali Allah SWT dan orang-orang soleh. Ini sepertimana yang diceritakan di dalam al-Quran. Contohnya kisah Nabi Ismail AS dan Nabi Ibrahim AS. Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. [14]

Begitu juga, kisah Nabi Yusuf AS dan Nabi Yaakub AS. Allah SWT berfirman:

إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ

Maksudnya: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. [15]

Hal ini juga boleh dilihat pada Nabi Yusuf AS yang berkata bahawa diberikan kelebihan oleh Allah SWT dengan ilmu untuk menafsirkan mimpi:

رَبِّ قَدْ آتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِن تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ ۚ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. [16]

Begitu juga, di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ تَكْذِبُ رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ وَرُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: Apabila telah menghampiri zaman, mimpi seseorang yang beriman itu hampir tidak dusta, dan mimpi orang yang beriman itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. [17]

Daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW juga bersabda:

الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ مِنْ الرَّجُلِ الصَّالِحِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: Mimpi baik yang berasal dari seorang yang soleh adalah satu bahagian dari 46 juzuk kenabian. [18]

Mimpi Sebagai Satu Bahagian Daripada Tanda Kenabian

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ تَكْذِبُ رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ وَرُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ

Maksudnya“Apabila Kiamat semakin hampir, mimpi seseorang yang beriman itu hampir tidak dusta, dan mimpi orang yang beriman itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian…” [19]

Daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW juga bersabda:

الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ مِنْ الرَّجُلِ الصَّالِحِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ

Maksudnya“Mimpi baik yang berasal dari seorang yang soleh adalah satu bahagian dari 46 juzuk kenabian.” [20]

Ibnu Battal berkata, mimpi ada dua jenis:

  • Pertama, Mimpi yang jelas-jelas menjadi nyata, seperti seseorang yang bermimpi memberi seseorang kurma, dan pada siang harinya ia memberi seseorang kurma. Mimpi seperti ini tidak memerlukan takwil.
  • Kedua, mimpi yang hadir dengan simbol-simbol. Untuk memahami mimpi seperti ini harus ada seseorang yang memiliki ilmu dan pengalaman mentakwil mimpi untuk memahaminya kerana kadang-kadang simbol-simbol itu sangat halus dan rumit. [21]

  Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشِّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلاَّ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُسْلِمُ أَوْ تُرَى لَهُ

Maksudnya“Tidak terdapat lagi berita-berita gembira tentang kenabian kecuali mimpi yang benar yang dialami oleh seorang muslim, atau diperlihatkan kepadanya (mimpi itu).” [22]

Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (19/461) ketika mensyarahkan hadith ini menyertakan bersama sebuah hadith Abu Ya’la daripada Anas bin Malik R.A:

إِنَّ الرِّسَالَة وَالنُّبُوَّة قَدْ اِنْقَطَعَتْ وَلَا نَبِيّ وَلَا رَسُول بَعْدِي وَلَكِنْ بَقِيَتْ الْمُبَشِّرَات قَالُوا : وَمَا الْمُبَشِّرَات؟ قَالَ : رُؤْيَا الْمُسْلِمِينَ جُزْء مِنْ أَجْزَاء النُّبُوَّة

Maksudnya“Sesungguhnya risalah dan kenabian itu telah terhenti. Tidak ada nabi lagi dan tidak ada rasul lagi selepas-ku, akan tetapi akan kekal al-Mubassyiraat. Para sahabat bertanya: Apakah al-Mubassyiraat itu?” Jawab Baginda: Mimpi orang muslim satu bahagian daripada bahagian-bahagian kenabian.”

Ibn al-Tiin berkata: “Maksud hadith ini ialah bahawasanya wahyu akan terhenti dengan kematian-ku (Nabi SAW). Dan tidak akan kekal apa yang diketahui daripadanya akan apa yang akan berlaku melainkan mimpi.” [23]

Oleh itu, berdasarkan nas-nas yang telah dibentangkan, mimpi yang benar oleh orang soleh dengan menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan boleh menjadi pembawa berita gembira atau satu bentuk peringatan. Hal ini sebagaimana yang telah disebut di atas.

Walaupun begitu, perlu juga untuk dijelaskan bahawa mimpi yang benar tidak datang kepada sembarangan orang. Ia hanya dikurniakan kepada mereka yang berpegang teguh dengan agama, warak dan bersih hatinya. Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا

Maksudnya“Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya.” [24]

Di sini jelas menunjukkan bahawa mereka yang dengan ciri-ciri tertentu seperti soleh, teguh beragama dengan menjaga lidah hanya akan dikurniakan mimpi tersebut. Imam al-Qurtubi berkata: “Orang Islam yang jujur dan soleh adalah menyerupai keadaan para nabi. Oleh sebab itu, mereka dianugerahkan sebahagian daripada apa yang diberikan kepada para nabi iaitu melihat alam ghaib.” [25]

Begitu juga kita dikehendaki agar tidak secara suka-suka untuk mentafsirkan sama ada mimpi kita mahupun mimpi orang lain. Imam Malik pernah ditanya: “Bolehkah seseorang itu mentafsirkan mimpi secara sembarangan sahaja?” Beliau menjawab: “Adakah dia hendak bermain-main dengan kenabian? Mimpi itu satu bahagian daripada kenabian. Maka tidak boleh bermain-main dengan kenabian! ”

Mempercayai Tafsiran dan Takwil Mimpi

Tafsir mimpi merupakan satu ilmu yang muktabar, yang mempunyai kaedah dan usulnya tersendiri. Sumber-sumbernya adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan juga berdasarkan qiyas dan tasybih bagi ayat-ayat al-Quran. Ia juga dinamakan sebagai ilm al-Ta’bir dan ilm al-Takwil.

Ia tidak boleh dipelajari oleh sebarangan orang kecuali golongan yang diberikan kelebihan oleh Allah SWT untuk mengetahui rahsia-rahsianya. Ini seperti yang disebutkan oleh Ibn Sirin dengan berkata: Oleh sebab itu, tidak semua orang mampu untuk mendalami ilmu takwil mimpi ini. Hanyasanya yang mampu untuk melakukan perkara tersebut ialah sesiapa yang diberikan hikmah dan penglihatan yang halus oleh Allah SWT bagi mengistinbath simbol-simbol dan mengaitkannya dengan realiti berdasarkan ilmunya terhadap al-Quran, sunnah Rasulullah SAW serta kemampuannya untuk melakukan qiyas dan tasybih. [26]

Tambahan pula, tafsir dan takwil mimpi hendaklah datang daripada orang yang beramal soleh, bersikap jujur dan sentiasa berkata benar. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu berada dalam keadaan mengikut sunnah Rasulullah SAW seperti berwuduk sebelum tidur. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا

Maksudnya:Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar pertuturannya.” [27]

Justeru itu, hukum mempercayai takwil atau tafsir mimpi adalah dibolehkan, namun hendaklah mengikut dhawabith yang berikut:

  • Tidak beriktikad dan yakin bahawa takwilan dan tafsiran itu seratus-peratus benar dan mustahil untuk berlaku sebaliknya. Ini kerana mimpi tidak mengisbatkan apa-apa dan hanya bersifat dzaniyyah. Disamping itu, hendaklah dia menyakini bahawa urusan seseorang itu di bawah kekuasaan Allah SWT yang melakukan apa sahaja mengikut kehendak-Nya.
  • Hendaklah takwilan dan tafsiran mimpi tersebut tidak bertentangan dengan aqidah Islam dan tidak membawa kepada melanggar hukum-hakamNya yang telah sabit dengan dalil-dalil syarak.
  • Tafsir dan takwil berdasarkan kepada tafsiran yang benar dan dipercayai seperti kitab-kitab yang muktabar, orang-orang yang terkenal dengan kesolehan, keilmuan, jujur serta benarnya dia dalam berkata-kata. Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَم تَكَد رُؤْيَا المُؤْمِن تَكْذِب

Maksudnya: “Apabila telah hampirnya akhir zaman, maka hampir tidak ada mimpi orang mukmin yang tidak berlaku.” [28]

  • Tidak membawa kepada perkara yang buruk dan negatif seperti putus asa, lemah semangat, meninggalkan usaha, bersikap pesimis atau terlalu optimis dan sebagainya.

Penutup

Berdasarkan persoalan di atas, kami berpendapat bagi seseorang yang bermimpi yang baik maka perkara yang pertama dia memohon kepada Allah dan jika sekiranya tidak baik maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah. Begitu juga mimpi yang membabitkan ummah sejagat seperti datangnya bala atau petaka, maka lebih baik dia sembunyikan dan berdoa memohon keampunan serta perlindungan kepada Allah. Dia mengajak manusia bertaubat kepada Allah dan memberi ilmu dan pengetahuan dalam pengajarannya kepada masyarakat. Inilah cara yang terbaik.

Kita amat khuatir apabila disalahtafsirkan dan disalah anggap oleh masyarakat sehingga menjadi fitnah. Begitu juga terkadang, kefahaman membawa kepada mimpi sebagai tasyri’ Ilahi atau yang perlu dipatuhi selain daripada nas Syarak. Maka dalam hal ini telah dijawab oleh ulama Usul Fiqh bahawa mimpi bukan termasuk dalam sumber nas Syarak.

Akhir sekali, marilah kita sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT agar dihindari daripada gangguan dan tipu daya syaitan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Riwayat Ibn Majah (3907)

[2] Lihat Fath al-Bari, 19/451

[3] Lihat al-I’tisam, 2/78

[4] Lihat al-Tankil, 2/242

[5] Riwayat al-Bukhari (7047)

[6] Lihat Fath al-Bari, 12/440

[7] Riwayat al-Bukhari (6990), Ahmad (24977), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4750) dan al-Daraqutni (1/177)

[8] Lihat Fath al-Bari, 12/375)

[9] Riwayat Muslim (6042)

[10] Lihat Syarah Sahih Muslim, 15/20

[11] Riwayat Muslim (1102)

[12] (Surah Yunus: 64)

[13] (Surah al-Fath: 27)

[14] (Surah al-Saaffat: 102)

[15] (Surah Yusuf: 4)

[16] (Surah Yusuf: 101)

[17] Riwayat al-Bukhari (7017)

[18] Riwayat al-Bukhari (6893)

[19] Riwayat al-Bukhari (7017)

[20] Riwayat al-Bukhari (6893)

[21] Lihat Fath al-Bari, 19/451

[22] Riwayat Muslim (1102)

[23] Lihat Fath al-Bari, 19/461

[24] Riwayat Muslim (6042)

[25] Lihat Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 19/451

[26] Lihat Tafsir al-Ahlaam Li Ibni Siriin, hlm. 7

[27] Riwayat Muslim (6042)

[28] Riwayat Muslim (2263)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *