Haruman manisan semerbak di Souq al-Hamidiyah yang terletak di bandar lama Damsyik, menandakan hampirnya sambutan Maulidur Rasul. Gula-gula, manisan dan kekacang dipamerkan di barisan kedai di dalam pusat perniagaan tradisi tersebut.

“Mari-mari…Manisan ini khas diperbuat daripada kacang, bijan, kelapa dan kacang pistachio. Istimewa sempena Maulidurrasul!”, seorang peniaga separuh abad umurnya memanggil-manggil orang ramai untuk ke kedainya yang terletak di sudut hujung Souq al-Hamidiyah. Itulah pemandangan biasa di Damsyik, senja sebelum Maulidurrasul. Kota Damsyik bagaikan ada pesta besar-besar.

Di masjid-masjid, petugas mula sibuk memasang lampu berwarna warni dan menghias masjid. Maulidurrasul di Syria ibarat satu perayaan besar-besaran yang amat meriah dan dipenuhi dengan pengisian daripada para ulama’ dan persembahan nasyid memuji Rasulullah SAW.

“Seronok ana kecik-kecik dulu, Mi. Ana teringat kenangan Maulidurrasul mase kecik. Seronok tengok kumpulan marhabah tewwah start lepah Zohor, berenti solat Asar, lepah tu ade jamuang.”, kata Zul kepada Izhar Arif. Sebelum Maghrib, masyarakat sekitar sudah berkumpul di masjid-masjid utama di seluruh Syria untuk menghidupkan Sambutan Maulidurrasul. Zul dan beberapa orang sahabatnya ke Masjid Manjak kerana dikhabarkan Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti turut berada di sana.

Dalam sela masa menunggu Maghrib, Zul mengimbau kembali kenangan Maulidurrasul yang diraikannya di Terengganu. “Biasanya orang sejik sedia nasik lauk ayam. Jiran-jiran akan tukar lauk pauk. Tapi kalu kalau lauk kita sedap, dok tukar doh. Hehe…”. Izhar Arif turut ketawa mendengar kisah Zul.

Sementara menunggu Maghrib, kedua-duanya sempat berbual beberapa topik semasa termasuk hukum-hakam agama. “Apa pandangan Ustaz Zul tentang hukum sambutan Maulidurrasul?”, tanya Izhar Arif dengan penuh minat.

“Hal ni, kita kena lihat dengan menyeluruh. Syeikh Abu Shamah Abdul Rahman bin Ismail al-Maqdisi, salah seorang Syeikh Dar al-Hadis di Damsyik berpendapat, dibolehkan sambut Maulidurrasul berdasarkan amalan oleh tokoh ulama zaman dahulu antaranya di Irbil. Imam Jalaluddin al-Suyuti, Imam Ibn Hajar al-Haithami, Imam Ibn al-Battal, Syeikh ‘Atiyyah Saqar, Syeikh Abdul Halim Mahmud, Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi benarkan sambutan ni. Kejap lagi pun Syeikh al-Buti ada dalam majlis kita ni.” Zul menerangkan satu persatu sebahagian nama ulama’ yang menyokong sambutan Maulidurrasul.

Beliau menyambung lagi, “Apa yang penting, sambutan Maulidurrasul itu tak ada perkara maksiat, diisi dengan peringatan kepada Nabi melalui riwayat yang disepakati, baca kitab sirah, Syama’il, galakkan orang ramai mengikut sunnah, ada jamuan, itu dah ok. Orang awam umumnya, perlu dipupuk semangat cintakan Nabi melalui program-program macam ni. Tak semua minat baca buku tebal-tebal. Kena pelbagaikan pendekatan.”.

***********************

Masjid Manjak bergemerlapan dengan lampu warna warni yang menghiasinya. Orang ramai memenuhi masjid sehingga ke jalan raya. Majlis bermula selepas ‘Isyak sehinggalah jarum jam menghampiri 12 tengah malam. Selepas solat Isyak, para ulama mula mengambil tempat di kerusi yang disediakan di hadapan, menghadap hadirin. Asap bukhour mula memenuhi ruang masjid dan menerbitkan bauan yang wangi. Seorang petugas datang mencalitkan minyak atar di tangan Zul dan mereka yang lain.

Pengerusi majlis mengalu-alukan kehadiran semua dan memperkenalkan para ulama’ yang bakal memberikan tazkirah pada malam tersebut. Majlis dimulakan dengan bacaan al-Qur’an oleh seorang qari. Beliau membacakan Surah Surah al-Ahzab ayat 40-48:

مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَآ أَحَدٖ مِّن رِّجَالِكُمۡ وَلَٰكِن رَّسُولَ ٱللَّهِ وَخَاتَمَ ٱلنَّبِيِّـۧنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٗا ٤٠ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ ذِكۡرٗا كَثِيرٗا ٤١ وَسَبِّحُوهُ بُكۡرَةٗ وَأَصِيلًا ٤٢ هُوَ ٱلَّذِي يُصَلِّي عَلَيۡكُمۡ وَمَلَٰٓئِكَتُهُۥ لِيُخۡرِجَكُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۚ وَكَانَ بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَحِيمٗا ٤٣ ﵞ ﵟتَحِيَّتُهُمۡ يَوۡمَ يَلۡقَوۡنَهُۥ سَلَٰمٞۚ وَأَعَدَّ لَهُمۡ أَجۡرٗا كَرِيمٗا ٤٤ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ إِنَّآ أَرۡسَلۡنَٰكَ شَٰهِدٗا وَمُبَشِّرٗا وَنَذِيرٗا ٤٥ وَدَاعِيًا إِلَى ٱللَّهِ بِإِذۡنِهِۦ وَسِرَاجٗا مُّنِيرٗا ٤٦ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ بِأَنَّ لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَضۡلٗا كَبِيرٗا ٤٧ وَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَدَعۡ أَذَىٰهُمۡ وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلٗا ٤٨

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu – dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) – untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat). Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah ucapan “Salam” (selamat sejahtera); dan Ia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia. Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah dengan taufiq yang diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi. Dan (dengan itu) sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah. Dan janganlah engkau menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan janganlah engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).

Majlis sunyi seketika.

Suara Imad Rami, penasyid terkenal di Syria memecah kesunyian dalam majlis berkenaan. Hadirin bagai terpukau dengan lagu pembukaannya, Sollu ‘Alaih. Setelah tamat, tazkirah pertama disampaikan oleh Syeikh Sadiq Habannakah.

“Apa yang kita raikan ini, hanyalah satu wasilah untuk menzahirkan cinta kita kepada Baginda.  Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti dalam al-Hawi fi al-Fatawa, ‘Perayaan Maulid pada hakikatnya ialah mengumpulkan kebanyakkan orang untuk membaca beberapa ayat al-Quran. Kemudian menjelaskan jalan-jalan dakwah sejak mula diutuskannya Rasulullah. Acara itu diisi dengan menghidangkan makanan sebelum para hadirin kembali ke tempat masing-masing. Dengan tidak berlebihan saya katakan bahawa perayaan semacam itu tergolong dalam bidaah hasanah yang bila dilakukan akan mendapat pahala. Mereka telah mengagungkan kedudukan Baginda dan menyatakan kesyukuran mereka di atas kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai penghulu umat.”

Seorang demi seorang Syeikh memberikan tazkirah berkenaan keindahan peribadi Rasulullah SAW. Tazkirah mereka tidaklah lama, sekitar 5-10 minit setiap orang. Ada tazkirah yang begitu bersemangat. Ada juga yang membangkitkan kesyahduan dan kerinduan. Setiap seorang mempunyai pendekatan tersendiri.

Majlis diteruskan dengan selang-seli persembahan nasyid oleh Imad Rami.

أحمد يا حبيبي حبيبي

سلام عليك

يا عون الغريب

سلام عليك

أحمد يا حبيبي حبيبي

سلام عليك

يا عون الغريب

احمد يا حبيبي

Imad Ramai yang memakai sut lengkap dan tali leher terus mengalunkan lagu tersebut dengan diiringi penasyid iringin di belakangnya yang turut memakai pakaian yang sama berserta tarbus. Suara mereka bagaikan satu dan begitu harmoni. Seumur hidup, itulah kali kedua Zul menyaksikan persembahan nasyid yang begitu mengujakan, selepas konsert Nadamurni yang dihadirinya semasa di SMAASZA. Suara Imad Rami sememangnya tiada tandingan di Syria, malah mungkin antara yang terbaik dalam dunia Arab.

“Ana minat betul Imad Rami ning.”, bisik Zul kepada Azli Khalid di sebelahnya. “Lagu Ya Rasulullah Syafa’ah, Ya Asyiqin Muhammad, Asmaul Husna, Muhammad Nabiyyina. Memang sedak. Ana beli kaset ye.”, sambung Zul sambil mulutnya dimuncungkan, ke arah Imad Rami.

Masjid yang dibina sejak abad ke-15 itu bergema dengan nasyid dan puji-pujian kepada Rasulullah SAW. Sambil hadirin terhibur dengan suara emas Imad Rami, urusetia mula sibuk mengedarkan manisan dan kopi baris demi baris.

Setelah lebih sejam, majlis sudah sampai ke penghujungnya. Seperti biasa, Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti dijemput menyampaikan tazkirah penutup bagi majlis malam itu. Itu juga kebiasaan saban tahun. Bagai ada satu tarikan pada beliau kerana setiap patah katanya, pasti berbeza dengan semua Syeikh yang menyampaikan tazkirah sebelumnya walaupun temanya berkenaan Rasulullah SAW.

“Perkara yang ingin aku nyatakan bahawa kita adalah umat Muhammad sepatutnya lebih bersungguh-sungguh meraikan Maulidurrasul melebih Baginda sendiri. Hanya cintalah yang menggerakkan hati seseorang untuk meraikan sambutan kelahirannya. Semakin mekar cintanya, semakin rindulah seseorang kepadanya setiapkali tiba hari kelahirannya. Kita mungkin pernah menziarahi makam Baginda. Apa perasaan kita? Perasaan itulah yang biasa juga datang setiap kali datangnya Maulidurrasul.”

Syeikh al-Buti berhenti seketika dan merenung hadirin. Beliau kemudiannya menyambung tazkirahnya. “Perasaan itu mendesak kita untuk membaca sirahnya, meniru amalannya dan akhlaknya. Apabila kita melihat seseorang yang hatinya lemas dalam cinta kepada Baginda, pasti akan tersentuh walau dengan perkara-perkara kecil berkaitannya. Apabila kita membaca sirahnya, rasa cinta dan kasih membakar dalam hati kita. Bagaimana kita tidak mencintai seseorang yang diiktiraf Allah SWT atas ketinggian akhlaknya?”

Bila jarum jam menghampiri angka 12, majlis pun tamat dan hadirin mula beransur. Zul mencapai basikalnya yang dibonceng Hazman. Sepanjang jalan, kedua-duanya berkongsi keterujaan dengan setiap tazkirah yang disampaikan, terutamanya oleh Syeikh al-Buti. Pastinya, itu adalah Rabi’ul Awwal yang paling diingati Zul sepanjang hayatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *