Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Saya ada terpegang satu tin makanan. Ketika membelek-belek tin tersebut sambil membaca kandungannya, baru saya perasan di dalamnya ada bahan yang berasaskan babi. Justeru, soalan saya adakah saya perlu menyertu tangan saya kerana memegang tin makanan tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih.[1] Firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”[2]
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi.[3] Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’”[4]
Selain daripada itu, diqiyaskan babi dengan anjing dari segi basuhan sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan air bercampur tanah kerana babi lebih buruk halnya berbanding anjing. Justeru, ia lebih utama dari segi hukum bilangan basuhan.[5]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut mazhab Syafi‘i, menyentuh najis secara sengaja tanpa sebarang tujuan atau keperluan adalah haram. Hal ini adalah seperti mana dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini, al-Ramli dan lain-lain bahawa:
التَّضَمُّخ بِالنَّجَاسَةِ حرام
Maksudnya: “Melumur dengan najis — secara sengaja — adalah haram.”[6]
Pengarang-pengarang hasyiah dalam mazhab Syafi‘i mengikat hukum haram tersebut, jika ia dilakukan tanpa sebarang keperluan seperti yang disebutkan oleh al-Syabramalisi, al-Syarwani dan lain-lain.[7] Di dalam Bughyah al-Mustarsyidin dinyatakan bahawa haram untuk menyentuh najis secara terus (direct) dalam keadaan lembap atau basah tanpa sebarang keperluan. Maka, wajib membasuhnya secara segera (jika menyentuhnya tanpa keperluan), berbeza sekiranya ada keperluan seperti beristinja’.[8]
Oleh itu, dapat difahami bahawa jika najis itu disentuh disebabkan adanya keperluan atau secara berlapik — yakni tidak secara direct — maka tidak mengapa. Begitu juga najis itu hanya akan menajiskan benda lain, jika kedua-duanya atau salah satunya (yakni yang menyentuh dan yang disentuh) dalam keadaan basah dan lembap. Di dalam Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i dinyatakan bahawa jika sesuatu yang najis atau mutanajjis bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat. Sekiranya kedua-duanya — yakni yang bernajis dan yang suci — dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf. Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu.[9]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tangan yang memegang atau menyentuh tin makanan yang mengandungi bahan berasaskan babi tidak perlu disertu yakni tidak perlu dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan dengan air tanah. Hal ini kerana persentuhan yang berlaku itu bukanlah secara terus (direct) tetapi melibatkan dengan bahagian luar tin makanan tersebut dan bukannya dengan bahan berasasnya babi itu sendiri.
Selain itu, bahagian luar tin makanan itu dihukumkan sebagai suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya. Perkara ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.”[10]
Begitu juga dengan kaedah:
نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّاهِرِ، وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ
Maksudnya: “Kita berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang tersembunyi.”[11]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 25 April 2022 bersamaan 23 Ramadhan 1443H
[give_form id=”14962″][1] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302.
[2] Surah al-Ma’idah: 3
[3] Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77.
[4] Surah al-An‘am: 145
[5] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/333-334; al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, hlm. 95.
[6] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/194; Nihayah al-Muhtaj, 1/185.
[7] Lihat Tuhfah al-Muhtaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 1/174; Nihayah al-Muhtaj wa Hawasyi al-Syabramalisi wa al-Rasyidi, 1/143.
[8] Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 33.
[9] Lihat Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i, 1/179.
[10] Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114
[11] Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/324.