“Saya perkenalkan, ini Ustaz Abdul Rahman, juga lulusan Universiti Islam Madinah dulu. Mungkin senior Ustaz.”, kata salah seorang Ahli Jawatankuasa Masjid al-Ghufran, Singapura kepada Zulkifli. Perjalanan daripada Negeri Sembilan ke Johor, seterusnya menaiki keretapi ke Singapura adalah antara pengalaman baharu dalam kerjayanya. Mereka singgah solat Zohor di Masjid al-Ghufran dan sempat beramah mesra dengan komuniti Melayu Muslim di sana.

Beliau dan beberapa rakan sejawatnya berada di Singapura bagi jelajah memperkenalkan Kolej UNITI dan menyampaikan pengajaran bagi Program Pendidikan Jarak Jauh. Ia dilaksanakan setelah kejayaan menghantar para pelajar kumpulan pertama Diploma Pengajian Islam ke Universiti al-Azhar, terus ke Tahun 3.

Di Singapura, Zulkifli mengambil kesempatan bertemu Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad Milatu yang terkenal dengan kitab tafsirnya, ‘Abr al-Athir atau lebih dikenali dalam masyarakat Nusantara sebagai “Tafsir al-Quran di Radio”. Beliau juga tidak melepaskan peluang menziarahi Mufti Singapura, Sahibus Samahah Ustaz Syed Isa Muhammad Semait.

“Ana berkhidmat sebagai Mufti sejak 1972. Walaupun cabaran tu sentiasa ada, khususnya bagi membentuk kesatuan Muslim di sini, dan membina jambatan keharmonian yang baik antara agama, alhamdulillah segalanya dipermudahkan Allah SWT. Apa yang penting, asatizah kita kena bersatu. Kami ada MUIS, ada PERGAS. Apa-apa masalah, kita selesaikan baik-baik sesama kita.”, kata Ustaz Syed Isa Semait kepada Zulkifli. Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Fatris Bakaram yang berada di sebelahnya mengangguk tanda setuju.

“Ustaz Fatris ni, insya-Allah akan sambung PhD di University of Birmingham. Kami mahu asatizah kami benar-benar berkebolehan dan mampu untuk mendepani arus perubahan buat Muslim di sini.”, katanya lagi.

Walaupun tidak dapat berbual lama, namun setiap untaian kata daripada Mufti Singapura, benar-benar membekas di hati Zulkifli.

Cabaran di Singapura pasti berbeza dengan jumlah penganut Muslim lebih kurang 15%, hampir setara dengan Kristian dan kelompok tidak beragama, berbanding Buddha yang mempunyai penganut lebih 40%. Ia diikuti agama-agama lain seperti Hindu, Tao dan agama-agama kepercayaan nenek moyang.

Suatu perkara yang tidak dapat dinafikan, Islam merupakan agama yang membawa risalah universal bertujuan menyalur kesejahteraan yang seimbang dan kebahagian lestari dan berkekalan dari dunia hingga akhirat. Rasulullah SAW telah melakar kepada kita melalui sirah kehidupan dan sunnah perjalanan baginda beberapa kaedah dan prinsip asas berkenaan konsep kehidupan bersama antara orang Islam dan bukan Islam. Malahan, para sahabat turut mengasas gagasan ketamadunan Islam yang menyerlahkan keindahan Islam ketika mereka hidup bersama golongan yang berbeza akidah dengan mereka tanpa mengabaikan hukum-hakam dalam Islam.

Perkataan al-ta’ayush pula berasal daripada kalimah a’ish yang bermaksud hidup. Kalimah al-ta’ayush merujuk kepada kehidupan bersama antara satu sama lain dalam keadaan kasih sayang dan harmoni. Dari segi istilah, kalimah al-ta’ayush ialah satu terma yang baharu dan kontemporari. Terdapat beberapa ilmuwan semasa yang cuba memberikan penafsiran dan maksud terhadap terma ini. Ada segelintir yang meletakkan tambahan kepada ta’ayush al-silmi yang membawa maksud kehidupan bersama secara aman atau peaceful co-existence. Oleh kerana itu, kadang kala terma-terma yang hampir sama dengan maksud ta’ayush turut digunakan seperti al-tasamuh, al-taqarub, al-tasakun, al-takamul dan al-tajanus.

Syeikh Abdullah bin Bayyah berkata: “Al-ta’ayush bermaksud kewujudan bersama. Ia berkait juga dengan al-tasakun yang bermaksud tinggal bersama (cohabitation). Beliau berpendapat, di sisi Islam, ia bermaksud kita hidup bersama dengan orang bukan Islam dengan keadaan selamat dan sejahtera, dengan syarat dan kriteria tertentu.

Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah juga bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya hanya pada faham creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah). Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.

Terlalu banyak contoh-contoh dalam al-Qur’an, bagaimana para Nabi dinamakan kepada kaum masing-masing oleh Allah SWT sebagai “saudara” walaupun bagi kaum yang menentang Nabi mereka.

وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا

Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh.”[1]

Firman Allah SWT:

قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَابْعَثْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ

Maksudnya: Mereka berkata: “Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir).”[2]

Firman Allah SWT:

وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا

Maksudnya: “Dan kepada kaum ‘Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud…”[3]

Berdasarkan nas-nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa perkataan saudara digunakan walaupun pada masa itu kebanyakan kaumnya tidak seagama dengan mereka berdasarkan mafhumnya. Mereka didakwahkan oleh Rasul-rasul dengan penuh hikmah dan kesabaran. Firman Allah Taala:

ذَٰلِكَ الَّذِي يُبَشِّرُ اللَّـهُ عِبَادَهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ ۗ قُل لَّا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَىٰ ۗ وَمَن يَقْتَرِفْ حَسَنَةً نَّزِدْ لَهُ فِيهَا حُسْنًا ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ شَكُورٌ

Maksudnya: “(Limpah kurnia yang besar) itulah yang Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)”. Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).”[4]

Hatta, dalam sejarah jelas menukilkan kata-kata Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

لَوْ قَالَ لِي فِرْعَوْنُ: بَارَكَ اللَّهُ فِيكَ. قُلْتُ: وَفِيكَ

Maksudnya: “Sekiranya Fir’aun berkata kepadaku: ‘Semoga Allah memberkati kamu.’ Nescaya aku akan menjawab: ‘Kepada kamu jua.”[5]

Ini bermakna, perbezaan fahaman apatah lagi pegangan tidak menjadi masalah bagi Muslim untuk menerima dan menanggapi bukan Muslim sebagai seorang saudara, yang bersusurgalurkan daripada Adam dan Hawa. Apatah lagi dalam konteks menjaga keselamatan negara, keharmonian dan keamanan, pastilah lebih utama.

“Antara kenangan ana sepanjang puluhan tahun jadi Mufti ni, pernah timbul usul untuk bakar mayat sebagai salah satu uraian bagi isu tanah yang terhad di Singapura. Termasuk jenazah orang Islam. Itu tahun 70-an. Ana bantah. Alhamdulillah Kerajaan ambil cakna bantahan ini.”, cerita Mufti Singapura dengan penuh semangat.

Keluar daripada pejabat Mufti, Zulkifli berpaling ke arah Ustaz Fatris dan bertanya, “Ustaz, di sini apa makanan yang sedap-sedap? Bukan selalu kami nak datang sini. Hehe…”

“Takpe. Bab makan ustaz jangan risau. Kami dah susun. Nanti sahabat kami akan bawa makan Murtabak Singapore di Restoran Zam Zam, dekat dengan Masjid Sultan. Di sana, Ustaz Kamaruzzaman, Ustaz Fuad akan tunggu.”, balas Ustaz Fatris ketawa kecil.

Tempoh masa yang singkat di Singapura, dimanfaatkan untuk mengunjungi madrasah-madrasah yang ada di sini. Madrasah di sini menawarkan pendidikan rendah hingga peringkat tertiari iaitu Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Madrasah Alarabiah Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dan Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah adalah khusus untuk pelajar perempuan manakala selebihnya menggabungkan lelaki dan perempuan. Sistem pendidikannya amat mengagumkan dan mampu melahirkan para pelajar yang boleh berkomunikasi dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris dengan baik.

******************

Sebelum pulang, Zulkifli sekali lagi singgah ke Masjid al-Ghufran untuk bertemu sahabatnya, Ustaz Jamaluddin.“Terima kasih semua asatizah daripada Kolej UNITI. Jangan segan silu untuk datang ke sini lagi. Ustaz Zul, mungkin satu hari nanti boleh datang lagi ke sini untuk sampaikan ceramah, berforum dengan Ustaz Fatris.”, ujar Ustaz Jamaluddin.

Walaupun hanya sekejap di Singapura, terasa begitu hangat dan erat ukhuwwah komuniti Muslim di sini. Sambutan dan layanan yang diterima, begitu meriah. Tidak terasa asing, walaupun berbeza negara. Orang Boyan, Jawa, Melayu atau apa sahaja, bersatu atas nama Muslim di Singapura. Komuniti mereka mungkin kecil, tetapi suaranya tetap bergema daripada Kampong Lorong Buangkok, sampai ke Parlimen.

Selamat tinggal Singapura. Moga sampai ke sini lagi!

___________________

[1] Surah al-A’raf: 73

[2] Surah al-Syu’ara: 36

[3] Surah Hud: 50

[4] Surah al-Syura : 23

[5] Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1113)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *