Tuan Yang di-Pertua,
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera, terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk turut sama berbahas berkaitan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 yang telah dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan.
Saya secara peribadi merakamkan ucapan tahniah kepada YB Menteri Kewangan atas pembentangan bajet yang dilihat lebih prihatin rakyat dan rentas parti terutama dalam mendepani cabaran pasca COVID 19 serta keterbukaan #TeamMOF dengan menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet 2022 dan empat Kertas Konsultasi Awam merangkumi topik berkenaan penambahbaikan perolehan kerajaan, pemberian bantuan tunai, insentif cukai dan tanggungjawab fiskal.
Berdirinya saya di sini sama seperti ahli-ahli dewan yang lain adalah bertujuan untuk menyemak imbang keputusan pihak kerajaan agar perkara yang baik akan terus didokong dan kekurangan dapat ditampung. Saya kira bajet pada kali ini adalah bajet terbesar yang pernah dirangka oleh Kementerian Kewangan Malaysia iaitu sebanyak 332.1 bilion ringgit. Oleh hal yang demikian saya berharap agar bajet 2022 pada kali ini benar-benar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Tuan Yang di-Pertua,
Pertamanya, saya ingin menarik perhatian ahli-ahli dewan yang mulia, bahawa menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019, sejumlah 620.07 juta ringgit telah terbazir pada 2019 iaitu melibatkan pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan juga pembaziran. Apa yang ingin saya sarankan, kerajaan seharusnya mempunyai tekad untuk mengurangkan bahkan mengelakkan pembaziran dari terus berlaku saban tahun dengan meningkatkan tahap kecekapan dan ketelusan menguruskan wang negara. Hal ini merupakan amanah yang akan dipersoal di hari akhirat kelak. Sedangkan dengan jumlah tersebut, banyak perkara yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dapat kita laksanakan.
Tuan Yang di-Pertua,
Kedua, saya sekali lagi merujuk kepada Laporan oleh Ketua Audit Negara menyatakan bahawa Hutang Persekutuan pada tahun 2020 adalah berjumlah RM879.560 bilion, iaitu 62.1% berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Pada tahun 2020, pinjaman baharu adalah berjumlah RM194.555 bilion berbanding RM138.559 bilion pada tahun 2019, iaitu meningkat sejumlah RM55.996 bilion atau 40.4%.
Daripada pinjaman baharu yang berjumlah RM194.555 bilion, sejumlah RM98.058 bilion atau 50.4% digunakan hanya untuk bayaran balik prinsipal pinjaman yang matang. Ini menunjukkan kebergantungan yang tinggi Kerajaan terhadap pinjaman baharu untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang telah matang. Dalam jangka masa panjang, bebanan kewangan Negara akan bertambah untuk pembayaran kos pinjaman menyebabkan peruntukan belanjawan mengurus untuk perolehan bekalan dan perkhidmatan serta pembelian aset akan berkurangan.
Justeru, dalam era pandemik ini, saya menasihati diri saya dan semua pihak agar dapat bersederhana dalam segenap aspek dan memfokuskan kepada aspek yang benar-benar penting dan harus dilunaskan terlebih dahulu sebelum kita pergi kepada agenda-agenda yang kurang penting dan tidak memberi impak berskala besar demi kepentingan rakyat dan Negara.
Tuan Yang di-Pertua,
Ketiga, saya menyambut baik usaha dan fokus kerajaan dari aspek pengimarahan syiar Islam dengan peruntukan sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri di mana jumlah ini diharapkan benar-benar dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk pembangunan hal ehwal Islam di Negara ini.
Ucapan terima kasih dan tahniah kepada pihak kerajaan atas usaha dan kecaknaan sebagaimana yang pernah saya cadangkan di dewan yang mulia ini bagi memperkasakan wakaf sebagai instrumen agihan semula kekayaan bagi pembangunan ekonomi ummah. Dengan dana permulaan sebanyak 10 juta ringgit bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal PKS, Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana, saya yakin ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang ditimpa bencana untuk bangkit semula dan saya mohon agar bantuan ini sampai kepada sasarannya serta tepat pada masanya.
Tuan Yang di-Pertua,
Keempat, saya juga menyambut baik hasrat kerajaan dalam usaha meningkatkan kawasan pertanian dan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan belia termasuk graduan untuk menjana pendapatan, di mana telah dicadangkan tanah terbiar dan tidak dibangunkan milik Kerajaan Persekutuan dan tanah Rizab Melayu disewakan bagi projek pertanian atau perniagaan. Melalui inisiatif ini, tanah-tanah tersebut juga dapat diuruskan secara optimum dan teratur. Hal sebegini adalah sangat baik di samping boleh menjana pendapatan bagi mereka yang tidak punya pekerjaan, di samping kerajaan negeri juga turut menjana pendapatan sampingan yang menyumbang kepada hasil negeri.
Tuan Yang di-Pertua,
Kelima, Malaysia mencatatkan peningkatan pendapatan pelancongan sebanyak 2.4 peratus kepada RM86.14 bilion pada 2019 manakala jumlah ketibaan pelancong pula bertambah 1.0 peratus kepada 26.1 bilion daripada angka tahun sebelumnya. Industri pelancongan terus mengekalkan momentum perkembangan yang baik bagi tahun 2019. NDKIP telah merekodkan sumbangan 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan nilai RM240.2 bilion.
Justeru, kita tidak boleh menafikan bahawa hasil Negara turut disumbang oleh sektor pelancongan. Apabila kita mula masuk ke fasa endemik, kita tidak lagi boleh menyekat pelancong-pelancong warga asing untuk datang ke Malaysia. Seharusnya kita perlu menambah baik dan memperkasakan SOP sedia ada untuk menerima kemasukan warga asing begitu juga warga kita untuk ke luar Negara.
SOP sedia ada sekarang agak menyulitkan pelancong asing untuk datang melancong ke Negara kita, begitu juga warganegara kita yang baru tiba dari luar Negara seperti setelah mengerjakan umrah apabila Kerajaan Arab Saudi telah membenarkan umrah dilaksanakan, para jemaah perlu melakukan kuarantin wajib setibanya di Negara ini.
Sebagai contoh, kerajaan Kemboja mengecualikan kuarantin di hotel kepada pelancong asing lengkap divaksin yang melawat ke destinasi pelancongan yang dibenarkan. Mulai 30 November, pelancong antarabangsa lengkap divaksin, akan dibenarkan tinggal dan melawat destinasi pelancongan selamat itu untuk lima hari tanpa perlu menjalani kuarantin di hotel.
Tuan Yang di-Pertua,
Sehubungan itu, saya tampil untuk menggesa kerajaan dan pihak berkaitan untuk menambah baik semula SOP sedia ada bagi menarik lebih ramai pelancong ke Negara ini pasca COVID 19. Saya menyedari bahawa perkara ini bukan suatu perkara yang mudah Tuan Yang di-Pertua. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak. Namun, kita semua perlu menerima hakikat bahawa sempadan Negara tidak akan dan boleh ditutup selamanya. Justeru, satu mekanisme baharu perlu diperkenalkan sebagai contoh pengecualian atau pengurangan tempoh kuarantin bagi individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin.
Tuan Yang di-Pertua,
Akhir sekali, saya berharap agar bajet ini benar-benar bersifat inklusif dan memberi manfaat kepada semua. Saya mohon untuk menyokong usul ini.