Alhamdulillah, sejak tahun 1957, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti yang mana parti politik yang memperolehi majoriti kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Sistem yang digunakan di Malaysia berasaskan First-Past-the-Post-System.

Antara tujuan pilihanraya umum adalah sebagai menunaikan pelaksanaan kaedah perlembagaan dalam sistem demokrasi negara dalam memilih kerajaan yang berwibawa yang teguh, beramanah, bertanggungjawab di mana ia mampu membina sebuah sistem tadbir urus dan tatakelola kerajaan yang cekap, telus serta amanah. Setelah hampir 2 minggu dengan penamaan calon dan seterusnya berkempen, makanya insyaAllah esok hari, 19 November 2022, seluruh warganegara yang layak mengundi akan keluar mengundi. Inilah kewajipan kita. 

Malam Ambang Pilihan Raya

Pada malam ambang Pilihan Raya, sewajarnya kita semua mengisi malam ini dengan solat, membaca al-Quran, doa dan munajat agar semua perjalanan Pilihan Raya sehingga selesainya berjalan dengan penuh aman damai yang akhirnya membentuk sebuah kerajaan. Marilah sama-sama kita mengambil kesempatan sama ada pengundi atau calon memohon keampunan Allah SWT, beristighfar dan bertaubat kepada-Nya. Ini dengan harapan agar jawatan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini benar-benar dapat dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Begitu juga kepada calon-calon,  sesungguhnya anda telah berusaha bersungguh-sungguh dengan pelbagai strategi dan ikhtiar selepas mengharungi tempoh masa kempen, penerangan, berhujah dan ceramah, maka berserahlah kepada-Nya.

Benarlah firman Allah SWT:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: “Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

(Surah Ali Imran: 159)

Al-Maraghi berkata: “Apabila kamu sudah bertekad untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan dan merealisasikan apa yang dihasilkan daripada musyawarah, maka kamu hendaklah bertawakal dan berserah diri kepada Allah SWT, sesudah melakukan segala persiapan dengan sebaik-baiknya dan memerhatikan segala sebab yang telah dijadikan Allah sebagai medan mencapai matlamat yang diinginkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/991)

Marilah sama-sama kita bertekad, khususnya kepada calon-calon dengan beriltizam dan ikrar yang tersemat di dada berdasarkan manifesto masing-masing untuk:

  • Menjadi wakil rakyat yang terbaik serta dapat menyumbang kepada negara dan rakyat jelata.
  • Melaksanakan serta merealisasikan manifesto yang telah diisytiharkan.
  • Memupuk hubungan sesama kita, bangsa dan etnik dengan penuh perpaduan dan harmoni sebagai warga Malaysia.
  • Cintakan kepada negara dan kukuhkan kesatuan ummah sehingga membina Malaysia menjadi negara yang maju, berdaya saing dan berkembang pesat dengan melakar dan menggapai kejayaan demi kejayaan.

Kerajaan Milik Allah

Hakikat sebenar sebuah kerajaan bergantung kepada kehendak, kuasa dan takdir Ilahi. Benarlah firman Allah SWT:

قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Surah Ali Imran (26)

Ibn Kathir berkata: “Dan Engkaulah yang apabila berkehendak pasti terjadi. Sebaliknya jika tidak, pasti tidak akan terjadi. Ayat ini terkandung peringatan sekaligus bimbingan kepada Rasulullah SAW dan umat ini agar mensyukuri nikmat Allah.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/31)

Justeru, menginsafi hakikat ini, sewajarnya kita imani dengan ayat tersebut dan akur atas apa yang berlaku dengan penuh keredhaan. Begitulah roda-roda kehidupan yang mematangkan kita. Ada masanya di atas, ada masanya di bawah. Kedua-duanya adalah rahmat daripada Allah SWT.

Malam Keputusan 

Debaran keputusan PRU 15 makin memuncak dan bertambah tegang menjelang tamatnya proses pengundian pada sebelah petang. Malam keputusan merupakan saat yang sudah pasti masyarakat Malaysia khasnya bahkan dunia amnya ingin menanti keputusan dan natijah calon, parti atau pasukan mana yang menang serta layak membentuk kerajaan. Antara nasihat tulus daripada saya:

  • Jika menang, bersyukurlah kepada-Nya. Ingatlah ucapan Nabi Sulaiman A.S tatkala dikurniakan dengan puncak kenikmatan dan pemerintahan maka lafazkanlah:

هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ

Maksudnya: “Ini adalah kurnia dari Tuhanku untuk menguji apakah Aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya).”

(Surah al-Naml: 40) 

Al-Tabari berkata: Yakni, kepandaian, kemampuan, kerajaan dan kekuasaan yang sedang ada padaku ini.. semuanya adalah kurniaan Tuhanku yang melebihkannya kepadaku dan anugerah-Nya yang dengannya Dia sangat baik kepadaku. Firman-Nya, ‘لِيَبْلُوَنِي’, yakni untuk mengujiku, apakah aku bersyukur kepada Zat yang melakukannya untukku, ataukah aku ingkar ketika melihat di dunia ini, tidak ada yang lebih berilmu daripadaku.  (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/872)

  • Jika tidak menang, itu bukanlah penamat. Bumi Allah SWT terbentang luas. Sudah pasti di sana ada hikmahnya. Amat perlu saat itu diisi dengan kesabaran serta redha ketentuan takdir Ilahi. 

Ingatlah firman Allah SWT: 

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ  وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.”

Surah Al-Baqarah (216)

Ibn Kathir berkata: Hal ini berlaku untuk semua perkara. Boleh jadi manusia menyukai sesuatu, padahal tidak ada kebaikan dan maslahat sama sekali di dalamnya..Allah yang mengetahui akhir sesuatu dari perkara kita. Allah yang mengkhabarkan dengan apa yang ada maslahat untuk dunia dan akhirat kita. Maka lakukan dan patuhlah pada perintah-Nya, nescaya kita akan beroleh petunjuk.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/573)

Walaupun ayat ini berkenaan dengan kewajipan jihad atau perang tetapi kaedah menyebut:        

الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ الْلفظِ لاَ بِخُصُوصِ السببِ

Maksudnya: “Pengajaran diambil dengan umum lafaz bukan sebab yang khusus.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir, al-Subki, 2/134)

Selepas 19 November 2022

Apa selepas 19 November 2022? Sudah tentu pembentukan kerajaan yang stabil, kukuh lagi ampuh dalam memimpin kerajaan Malaysia menjadi perkara utama. Saat yang sama, setiap pemimpin dan ahli parti atau warga Malaysia perlu merapatkan semula saf. Kedua-duanya, rakyat dan pemimpin mesti berperanan sekurang-kurangnya mengucap tahniah kepada yang menang dan saling bermaaf-maafan kepada yang lain. Pepatah Melayu menyebut: Buang yang keruh ambil yang jernih, hendaklah dijelmakan pada waktu itu. 

Hindarkanlah budaya “balas dendam” dan juga terus membina permusuhan yang tidak berkesudahan. Jika ini berlarutan, saraf kekuatan dan denyut nadi ummah akan melemah dan mudahlah musuh merobek maruah negara yang tercinta ini. 

 

Nasihat kepada yang Menang

Kepada yang menang, saya nyatakan bahawa jawatan merupakan amanah dan taklif yang mungkin sesal di hari akhirat. Ia bukanlah tasyrif atau kemuliaan semata-mata. Perlunya tekad, azam serta pelaksanaan tanggungjawab dengan penuh amanah. Justeru, sewajibnya kita bermuhasabah dan memohon pandangan daripada para ulama’ dan pakar dalam bidang masing-masing. 

Tidak ada masa untuk berbulan madu, mengecapi kemenangan PRU 15 yang diperoleh kerana masa itu emas. Lihatlah sejarah dan kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz pada malam pelantikannya diisi dengan meneruskan kerja sehingga larut malam. 

Firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya: “Ahli Zikri adalah umum pada setiap orang yang  disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533) Justeru, mereka adalah yang pakar dalam bidang masing-masing.

Ingatlah pesanan dan ucapan sulung Abu Bakar al-Siddiq tatkala dibai’ahkan sebagai khalifah di Saqifah Bani Sa’idah. Ucapan yang penuh tawadhu’ dan insaf katanya:

أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنِّي قَدْ وُلِّيتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُونِي، الصِّدْقُ أَمَانَةٌ، وَالْكَذِبُ خِيَانَةٌ

Maksudnya: Hai Manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemerintah ke atas kamu sedangkan aku bukan orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya aku memerintah dengan baik maka bantulah aku. Dan sekiranya aku memerintah dengan buruk, maka perbetulkan aku. Benar itu merupakan amanah, dan dusta itu adalah sebuah pengkhianatan. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 5/248)

Mufakkir Islam Syeikh Muhammad al-Ghazali mengatakan, ucapan seperti ini menggambarkan ketulenan khalifah yang mewarisi daripada Rasulullah SAW dengan adab yang tinggi, akhlak yang luhur lagi mulia dan tawadhu’ yang akhirnya menjadikan masyarakat dan rakyat berpuas hati serta mengikut Khalifah Abu Bakar. 

Selain itu, jadikan apa yang telah berlaku pada kerajaan-kerajaan sebagai pengajaran dan teladan. Apa yang baik, teruskan dan beri penambahbaikan. Apa yang buruk, usah diulangi.

 

Cita-Citaku

Sejujurnya, saya amat berharap dan ingin melihat sebuah negara Malaysia yang aman damai, makmur dan rakyatnya bahagia. Perinciannya seperti berikut:

  • Politik yang stabil dan kesatuan yang ampuh atas nama cintakan negara.
  • Pelbagai bangsa dan etnik warga Malaysia yang sentiasa hormat-menghormati dengan penuh tatasusilanya tanpa mengira etnik dan agama sesuai masyarakat majmuk dan hidup mengikut fiqh al-ta’ayush.
  • Masjid dan surau diimarahkan dengan semangat cintakan agama. Jika ini berlaku, nescaya kebaikan mengumumkan dalam masyarakat.
  • Ekonomi yang kukuh dan kadar inflasi mula mengecil, peluang pekerjaan dipertambahkan, kadar pengangguran dikurangkan serta pendapatan lebih besar dan kukuh. Di samping itu, nilai ringgit mula mengukuh dan stabil di pasaran antarabangsa. 
  • Tahap bahagia masyarakat berada di kedudukan yang tinggi di dunia di mana rumah tangga dan institusinya ampuh di samping kadar perceraian amat minimum.
  • Generasi baharu yang terpelajar dan diberi kemudahan untuk melanjutkan pembelajarannya sehingga ke tahap yang tertinggi sama ada dalam bentuk biasiswa, bantuan atau pinjaman mudah agar tidak ada lagi yang tercicir dan hak rakyat untuk menuntut ilmu dapat direalisasikan.
  • Umat Islam yang celik al-Quran serta ramainya yang menjadi penghafal al-Quran di samping memahami ilmu dunia dan akhirat sehingga dinobatkan sebagai professional yang berjaya.
  • Hospital dan klinik yang mencukupi dengan layanan kelas pertama serta meraikan hak pesakit dengan kadar bayaran yang berpatutan termasuklah di hospital swasta.
  • Kemudahan untuk beriadah di samping bersukan disediakan di kebanyakan tempat, taman atau perumahan agar melahirkan masyarakat yang sihat.
  • Para ulama’, agamawan, pendakwah, para imam, bilal, siak dan noja diberi kecaknaan dan peruntukan khas yang mewakili kerajaan sebagai jurubicara dakwah dalam mendidik masyarakat dan membina akhlak yang unggul.
  • Menghormati hak yang bukan Islam seperti nasihat Umar Ibn Abdul Aziz kepada gabenornya: “Jangan kamu robohkan gereja, biara dan rumah api yang menjadi tempat ibadat kepada orang-orang yang bukan Islam yang telah kamu membuat perjanjian perdamaian dengan mereka.
  • Keadilan dapat ditegakkan dalam masyarakat dan sistem perundangan. 

Ingatlah firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

(Surah al-Nahl : 90)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 447)

  • Kanak-kanak dan generasi kecil dalam masyarakat diperadabkan dengan tarbiah yang sesuai dengan zaman agar mereka melalui tumbesaran dengan nilai adab, akhlak, ilmu dan thaqafah sehingga melahirkan masyarakat yang menghormati antara satu sama lain.
  • Isu-isu melibatkan wanita diberi keutamaan dan perhatian serius.
  • Hak dan kebajikan OKU diperkukuhkan kerana tidak boleh ada lagi sebarang alasan untuk mereka diketepikan dari masyarakat.

Inilah sejuzuk daripada cita-citaku untuk kerajaan yang baru selepas PRU 15.

 

Inilah Doaku

Akhir kalam, sekali lagi marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT dengan 3 doa yang telah saya titipkan sebelum ini:

  • Doa Pertama:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

  • Doa Kedua:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

  • Doa Ketiga

اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.” (Lihat al Mustadrak ‘ala Majmu’ Fatawa, 3/108).

Saya akhiri dengan satu pesanan Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah, katanya: “Pemerintah bertanggungjawab melaksanakan sendiri pemantauan segala urusan dan mengenal pasti apa yang berlaku supaya dia dapat menjalankan tugas mentadbir umat dan menjaga agama. Dia tidak dibenarkan menyerahkan tugas itu kepada orang lain semata-mata kerana sibuk dengan keseronokan atau ibadat. Ini kerana orang yang amanah kadang kala juga berlaku pengkhianatan, dan ada orang yang menasihat adakalanya menipu.” (Lihat Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua, hlm. 85)

Akhirnya, dengan menginsafi PRU-15, kemuncak demokrasi dan cita-citaku, marilah sama-sama kita bertekad khususnya kepada pemimpin dan amnya kepada rakyat untuk membina sebuah negara yang layak dinobatkan sebagai Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *