Semasa saya masih bergelar Mufti Wilayah Persekutuan, saya pernah menulis sebuah surat terbuka kepada pemimpin parti politik, sebelum Pilihanraya Umum (PRU) ke-14. Baru-baru ini saya diminta oleh beberapa rakan media untuk menyampaikan pandangan berhubungan PRU 15.

Nasihat dan pandangan yang anda baca hari ini mungkin berbeza nadanya atau mungkin lebih matang. Sedikit pengalaman dalam Kabinet Malaysia – walaupun saya tidak melangkah masuk atas tiket politik – mengajar saya sepak terajang dunia politik yang penuh warna-warni ini.

Menjelang PRU 15, arus politik negara kembali bergelora. Ada beberapa fakta nombor yang menjadi titik tolak kepada nasihat yang akan saya kemukakan. Mengikut laporan MalaysiaNow, 16% dari 6.9 juta pengundi baru mewakili kumpulan umur 18-20 tahun. Berbanding mereka yang berumur antara 31 hingga 50 tahun di mana mereka mewakili kira-kira 23% daripada pengundi baru. 60% pengundi baru adalah Melayu, diikuti Cina (25%) dan India (7.5%), manakala masyarakat Sabah dan Sarawak mewakili kira-kira 7%.

Melihat kepada angka-angka tersebut, isu-isu melibatkan bangsa Melayu dan Islam sudah pasti akan mendominasi PRU 15, sebagaimana sebelumnya. Suara pengundi muda tidaklah terlalu besar dan ini akan menjadi cabaran bagi sesetengah parti yang menjenamakan diri mereka sebagai parti mewakili golongan muda. Pun begitu, saya melihat peranan pengundi muda amat luas dan tidak mustahil gelombang yang mereka cetuskan terutamanya di aplikasi Twitter dan Tiktok, mampu merubah lanskap politik negara. Orang muda ada bisanya yang tersendiri. Cuma mereka tidak boleh selesa dengan “fyp” di Tiktok semata-mata kerana pengundi luar bandar telah pun menzahirkan kuasa mereka dalam PRU 14 yang lalu.

Islam memberikan ruang yang luas untuk demokrasi namun sudah pasti ia datang dengan beberapa syarat. Demokrasi adalah natijah daripada perjuangan yang panjang untuk meraih kebebasan dan hak. Kebebasan dan hak ini juga yang menjadi asas kepada politik Islam yang mengangkat tema hak dan kebebasan sesuai dengan syariat-Nya. Itulah antara poin utama yang ditekankan oleh Rached Ghannouchi dalam bukunya Al-Dimuqratiah wa al-Huquq fi al-Islam (Demokrasi dan Hak-Hak dalam Islam)

Ada 3 nasihat utama saya tujukan kepada semua parti politik khususnya kepada pemimpin parti dan pasukan jentera masing-masing.

1. Saya menyeru semua parti politik untuk memperbaharui niat masing-masing bagi menghadapi kempen PRU 15. Dua tunjang utama politik Malaysia adalah rakyat dan agama. Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa “janji Puteri Gunung Ledang” oleh pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab. Apatah lagi kita tidak mahu soal agama Islam selaku agama Persekutuan dikesampingkan oleh mana-mana parti yang memerintah kelak. Isu moral dan akhlak adalah asas pembinaan negara yang stabil, maju dan seimbang. Justeru, tidak ada kompromi bagi pihak yang memandang ringan soal agama.

2. Usik-mengusik itu biasa semasa kempen tetapi adab dan akhlak hendaklah dipelihara. Tidak perlu keterlaluan membenci dan memusuhi kerana hakikatnya kempen cuma perlawanan kebijaksanaan dalam mengatur strategi mempromosi parti masing-masing di lapangan dan media sosial. Kata Saidina ‘Ali:

أحبب حبيبك هونا ما عسى أن يكون بغيضك يوماً ما وابغض بغيضك هوناً ما عسى أن يكون حبيبك يوماً ما
Maksudnya: “Cintai orang yang anda cintai seadanya. Mungkin suatu hari nanti dia akan menjadi orang yang kamu benci. Benci orang yang membencimu seadanya, boleh jadi suatu hari nanti dia akan menjadi orang yang kamu cintai.”

3. Fitnah adalah sekeji-keji bentuk kempen dan permainan politik. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Maksudnya: “Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya”. [Riwayat Muslim (4482)]

Al-Qadhi Iyadh berkata: Bahawa maksudnya siapa yang menceritakan dengan setiap apa yang didengar, yang padanya terdapat kebenaran dan kebatilan, dan kebenaran serta pendustaan. (Lihat Ikmal al-Mu’lim bi Fawa’id Muslim, 1/100)

Fitnah boleh menaikkan seseorang yang jahat. Fitnah juga boleh menjatuhkan seseorang yang baik. Sudah pasti azab bagi penyebar fitnah adalah amat dahsyat. Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

وَأَمَّا الرَّجُلُ الَّذِي أَتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَمَنْخِرُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ، فَإِنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الْكَذْبَةَ تَبْلُغُ الآفَاقَ
Maksudnya: “Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah SAW: “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia” [Riwayat Ibn Hibban di dalam Sahihnya (655)]

Saya tertarik dengan sebahagian anak muda di Tiktok yang merupakan pengundi buat pertama kali, berusaha bersungguh-sungguh membuat penelitian menerusi internet untuk menilai calon dan parti mana yang perlu diundi. Hakikatnya, masih ramai pengundi baru yang kabur dalam hal ini. Selain carian di alam maya, saya sarankan supaya hadir ke rapat umum semua calon yang bertanding. Dapat maklumat sebanyak mungkin melalui pertanyaan, perbualan dengan pengundi yang lebih senior daripada pelbagai parti. Akhirnya, mohonlah petunjuk daripada Allah SWT melalui solat istikharah.

Secara idealnya, kita mahukan pemimpin yang terbaik untuk kita dan masa depan generasi kita. Pun begitu, secara realistiknya ia seumpama memilih antara dua kelemahan. Pilihlah yang lebih ringan atau kurang kelemahannya, asalkan mereka berjaya membuktikan kesungguhan mereka mengutamakan memperkukuh ekonomi, mensejahterakan rakyat dan memelihara agama. Selamat berkempen dan selamat mengundi. Dirgahayu Malaysiaku tercinta!

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.”

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.”

اللَّهُمَّ أَبْعِدْ عَنْهُمْ بِطَانَةَ السُّوْءِ وَالْمُفْسِدِيْنَ ، وَقَرِّبْ إِلَيْهِمْ أَهْلَ الْخَيْرِ وَالنَّاصِحِيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah daripada mereka (para pemimpin kami) teman rapat yang jahat dan yang merosakkan. Dekatkanlah kepada mereka orang-orang yang baik dan pemberi nasihat yang baik, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *