Muawiyah bin Abi Sufyan R.A yang menjadi khalifah pada tahun 40 Hijrah hingga 60 Hijrah yang berpusat di kota Damsyiq, dalam pengalaman siyasahnya pernah berkata kepada Ziyad bin Abihi:

إِنَّهُ لاَ يَنْبَغِي أَنْ نَسُوْسَ النَّاسَ سِيَاسَةً وَاحِدَةً؛ أَنْ نَلِيْنَ جَمِيْعاً فَيَمْرَحُ النَّاسُ فِي الْمَعْصِيَةِ، وَلاَ نَشْتَدَّ جَمِيْعاً، فَنَحْمِلُ النَّاسَ عَلَى المَهَالِكِ، وَلَكِنْ تَكُوْنُ لِلشِدَّةِ وَالفَظَاظَةِ، وَأَكُوْنُ أَنَا لِلِّيْنِ وَالأُلْفَةِ، وَالرَّحْمَةِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak sayugia kami bersiyasah dengan manusia hanya dengan satu siyasah di mana kami berlembut kepada semuanya menyebabkan mereka bergembira dalam maksiat. Begitu juga, tidak sewajarnya kami bersikap keras semuanya, nescaya kami membawa orang ramai ke arah kebinasaan. Sepatutnya, ada masa hendaklah kamu berkeras sedangkan aku menggunakan pendekatan yang lembut dan rahmah. (Lihat al-‘Iqd al-Farid, 1/41; al-Bidayah wa al-Nihayah, 11/443 dan Siyar A’lam al-Nubala’, 5/149)

Memahami nasihat Muawiyah ini, dapatlah disimpulkan beberapa noktah:

Pertama: Mentadbir manusia dan menguruskannya tidak boleh dalam bentuk yang sama kerana mereka mempunyai perbezaan sama ada taraf nasab keturunan, kekayaan, kecerdikan, budaya dan lain-lain. Inilah yang membezakan mereka. Justeru pendekatannya juga semestinya berbeza. 

Kedua: Berlembut kepada semua orang dan rakyat boleh menjurus kepada hilangnya haibah pemimpin. Ketika itu, mereka boleh menginjak dan berlebih kurang termasuklah dalam perkara yang haram dan ini membahayakan keadaan sesebuah negara.

Ketiga: Mengambil sikap berkeras dalam semua orang boleh menjurus ke arah kebinasaan. Ini kerana, semua akan merasa tertekan dan tiada lagi merasa keseronokan serta keamanan dan kedamaian dalam hidup. Bahkan, firman Allah SWT menyebut:

وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu).”

Surah Ali Imran (159)

Syeikh Mustafa al-Maraghi berkata: “Sekiranya kamu hai Muhammad bersikap kasar lagi jumud dalam menjalani perhubungan dengan mereka nescaya mereka akan lari darimu dan mereka tidak selesa lagi tinggal bersamamu.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/111)

Keempat: Menggabungkan antara sifat lembut dan tegas adalah yang terbaik. Boleh jadi pihak penguasa bersikap tegas, kemudian dirahmati oleh pihak pemerintah yang lebih tinggi. Ketika itulah, dapat dirasakan kemanisan sesebuah kerajaan dan didoakan oleh rakyatnya.

Acuan seperti yang digambarkan ini oleh Muawiyah jelas menunjukkan kehidupan akan menjadi lebih baik, stabil dan keamanan boleh dikecapi dengan sebaiknya. Telah terbukti Khalifah Muawiyah menjadi gabenor di Syam atau Damsyik selama 20 tahun dan menjadi Khalifah selepas itu selama 20 tahun. Pentadbirannya dapat diterima dengan baik oleh segenap lapisan masyarakat dan beliau dapat menyelesaikan pelbagai kemelut dan krisis politik kabilah dan negeri-negeri di bawah khilafah Islamiyyah dengan bijaksana dan jayanya.

Selain itu, Yunus bin Abd al-A’la menyebut bahawa beliau pernah mendengar Imam al-Syafi’i berkata:

سِيَاسَةُ النَّاسِ أَشَدُّ مِنْ سِيَاسَةِ الدَّوَابِّ

Maksudnya: “Politik memimpin manusia lebih sukar dari politik untuk memimpin binatang.” 

Lihat Adab al-Syafi’i wa Manaqibuhu oleh Ibn Abi Hatim, hlm. 207 dan al-Baihaqi dalam Manaqib al-Syafi’i, 2/187. Lihat juga al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi oleh al-Khatib al-Baghdadi, 1/244; Manaqib al-Syafi’i oleh al-Razi, hlm. 122; Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat oleh al-Nawawi, 1/55; Tawali’ al-Ta’sis, hlm. 72; Tabaqat al-Syafi’iyyin oleh Ibn Kathir, hlm. 29; Siyar A’lam al-Nubala’, 10/98.

Memikirkan kata-kata ini, kerana seninya serta siyasah mengurus manusia begitu sukar. Seorang lelaki mungkin boleh mengawal beribu-ribu ekor lembu dalam kandangnya. Begitu juga boleh menjinakkan puluhan ekor harimau sehingga menjadi tontonan dalam sarkas. Tetapi manusia ini unik. Mempunyai akal, kehendak, tipu helah, nafsu dan perancangan yang mungkin berbeza dengan orang yang mentadbir dan mengarahnya. Sepuluh orang yang diarah serta disuruh boleh jadi mempunyai seratus perangai, kelakuan, tindakan dan kehendak yang berbeza dari arahan. Itulah manusia. 

Justeru, tidak pelik, kita melihat ramai orang yang boleh memimpin diri sendiri dan mengatur tugasnya serta membuat perancangan yang berjaya, tetapi tidak ramai orang yang mampu menggerakkan manusia dengan menggerakkan hati-hatinya terlebih dahulu sehingga ikutan mereka kepada seseorang itu atas rasa cinta, suka dan kepatuhan yang tinggi. Inilah yang terjadi kepada Rasulullah SAW, bagaimana sahabat amat setia dan patuh dek kerana cinta kepada Rasulullah SAW, sama ada ketika aman dan perang. Wala’ mereka kepada Rasulullah SAW bersifat mutlak dan benar-benar mentatbiqkan apa yang terwujud dalam al-Quran al-Karim.

Dalam fiqh politik ini, seni yang dipamerkan oleh Muawiyah bin Abu Sufyan dan kenyataannya perlu dilihat dengan lebih mendalam dan dipraktikkan dengan sebaik mungkin. Semoga negara kita menuju ke arah Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *