Sesungguhnya, Ramadhan mencatatkan banyak kemenangan. Menelusuri sejarah kegemilangan Islam dan obor kejayaannya telah dipandu dan dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri selepas tertegaknya kerajaan Islam di Madinah. Hal ini diteruskan lagi oleh Khulafa’ al-Rasyidin, Khilafah Umawiyyah, Khilafah Abbasiyyah, sehinggalah ke zaman mutakhir ini.
Apabila disebutkan tentang kemenangan Islam, apa yang terlintas dalam minda kita sudah tentu penaklukan, ekspedisi dakwah, peperangan, dan pembukaan kota. Itulah yang ingin saya sampaikan. Madrasah Ramadhan merupakan madrasah jihad dan kemenangan yang dicatatkan di dalam sejarah Islam. Ramadhan tidak menjadi alasan untuk mereka mengeluh, tidak produktif, dan malas.
Antara yang boleh diambil iktibar adalah:
- Permulaan Nuzul al-Quran (25 atau 17 Ramadhan). la merupakan titik permulaan peradaban manusia. Ini kerana ia menyingkap kegelapan Jahiliyah seterusnya dipancar sinar keilmuan Islam melalui kitab Ilahi dengannya tertegak tamadun Islam dan insan. Maka beruntunglah mereka yang berpegang dengan kitab suci al-Quran yang menjadikannya petunjuk dan pedoman hidup.
- Kemenangan dalam Peperangan Badar pada tahun ke-2 Hijrah, di mana tentera Islam seramai 313 orang dengan kelengkapan yang tidak sempurna, namun mereka mempunyai ketinggian iman dan keyakinan kepada Allah SWT, lalu dapat mengalahkan musuh yang mempunyai kelengkapan dengan jumlah melebihi 900 orang yang dipimpin oleh Abu Jahal. Kemenangan ini merupakan suntikan semangat kepada umat Islam untuk bersama menegakkan agamanya dan mempertahankan Rasulullah SAW.
- Persediaan Rasulullah SAW dari sudut ketenteraan dalam menghadapi tentangan golongan Quraiys kerana membalas dendam atas kekalahan peperangan Badar pada tahun ke-3 Hijrah.
- Pada tahun ke-5 Hijrah, para sahabat bersedia menghadapi Peperangan Khandak.
- Pada tahun ke-6 Hijrah berlaku peperangan kecil membabitkan seratus tiga puluh mujahid Islam memerangi Bani Abdillah bin Sa’labah yang menzahirkan permusuhan.
- Peristiwa meruntuhkan segala bentuk berhala di Ka’bah dan di Kota Makkah pada bulan Ramadhan, tahun ke-7 Hijrah.
- Pembukaan Kota Makkah pada tahun ke-8 Hijrah, juga berlaku pada bulan Ramadhan. Ini hasil daripada pencabulan perjanjian yang dimeterai antara Rasulullah SAW dengan puak Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 Hijrah. Dengan kemenangan tersebut, umat Islam dapat menjadikan Mekah sebagai kota Islam di mana terdapatnya Ka’bah yang menjadi kiblat umat Islam seluruhnya.
- Kedatangan rombongan Thaqif dari Taif menemui Rasulullah SAW dalam bulan Ramadhan pada tahun ke-9 Hijrah untuk memeluk Islam.
- Utusan Rasulullah SAW dengan mengiringi Ali bin Abi Talib ke Yaman pada bulan Ramadhan, yang membawa keislamnya penduduk Yaman, iaitu pada tahun ke-10 Hijrah.
- Pada tahun ke-13 Hijrah berlaku peperangan al-Buaib di bulan Ramadhan. Peperangan ini berlaku di Iraq di antara tentera Islam dan Parsi. Ketua tentera Islam bernama al-Muthanna bin Harithah, manakala ketua Parsi bernama Mahran. Peperangan ini berakhir dengan kemenangan yang besar yang diperolehi oleh tentera Islam dan mereka Berjaya membunuh hampir 100,000 tentera musuh.
- Peperangan Qadisiyah yang menyaksikan kemenangan bergaya tentera Islam menumbangkan Parsi pada tahun ke-15 Hijrah.
- Pada tahun 31 Hijrah, pembukaan al-Nubah dan perjanjian al-Qibt. Al-Nubah ialah kawasan di selatan Mesir yang mana kebanyakan penduduknya beragama Kristian. Pembukaannya dilakukan oleh seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Saad bin Abi Sarh.
- Pada tahun 53 Hijrah, pembukaan Semenanjung Rhodes. Pembukaan ini dilakukan oleh Janadah bin Abi Umayyah pada bulan Ramadhan setelah menerima tentangan daripada Musyrikin yang merupakan lanun di lautan.
- Pada tahun 67 Hijrah, terkuburnya negeri al-Mukhtar al-Thaqafi. Seorang pendusta sesat yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW yang akan muncul dalam kalangan Bani Thaqif. Dia mendakwa didatangi wahyu sehingga ulama pada masa itu menyesatkannya. Gabenor Basrah Mus’ab bin al-Zubair telah mengepalai peperangan menentang al-Mukhtar di Kufah di dalam satu peperangan yang hebat sehingga akhirnya al-Mukhtar berjaya dikepung dan dipancung kepalanya.
- Pada tahun 91 Hijrah, Tariq bin Ziyad berjaya menguasai Kota Andalusia. Peristiwa ini sebagai mukadimah bertapaknya Islam di Negara Eropah sehinggalah kepada kawasan yang lain.
- Pada tahun 102 Hijrah, peristiwa pembukaan bandar-bandar di Negara Perancis. Antara bandar yang dibuka ialah Touloise, Sabtamania dan Urbunah. Kulshonah dan Sans iaitu kawasan yang jauhnya 30 batu Paris, ibu kota Perancis. Pembukaan ini berjaya dilakukan setelah kekalahan teruk yang dihadapi oleh pihak tentera Perancis di dalam peperangan dengan tentera Islam. Peperangan ini berterusan sejak zaman Musa bin Nusair menjadi Gabenor Andalus, kemudian diganti dengan anaknya, Abdul Aziz setelah kematiannya, jawatan itu kemudiannya diserahkan kepada al-Samh bin Malik alKhulani atas arahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Setelah itu diserahkan kepada ‘Anbasah bin Sulaiman al-Kalbi. Beliau meneruskan kemaraan bersama Islam membuka kota-kota di selatan Perancis.
- Pembukaan Kota Babak al-Khurmi pada tahun 222 Hijrah. la berlaku pada zaman khalifah al-Mu’tasim di zaman Kerajaan Abbasiah.
- Pembukaan Ammuriah yang berlaku pada tahun 223Hijrah. Juga dibuka pada zaman al-Mu’tasim. Pembukaan ini diketuai sendiri oleh al-Mu’tasim.
- Jatuhnya Kota Sarqusah pada 14 Ramadhan tahun 264 Hijrah. Kota Sarqusah itu jatuh setelah dikepung di darat dan di laut selama 9 bulan oleh tentera Islam yang diketuai oleh Jaafar bin Muhammad. Dengan jatuhnya kota tersebut dan kekalahan tentera Rom menyebabkan kerajaan Byzantine merasa amat terpukul dan lumpuh teruk.
- Pada pagi hari Jumaat, bersamaan 25 Ramadhan, tahun 479 H, berlaku peperangan Zallaqah (suatu kawasan tanah rendah yang terletak berhampiran negara Portugis sekarang). Dalam peperangan itu, tentera Islam di bawah pimpinan Yusuf bin Tashfin telah mengalahkan tentera Perancis, pimpinan Alfonso.
- Peperangan Harem yang berlaku pada 559 Hijrah. la berlaku pada zaman pemerintahan seorang raja yang soleh dan terkenal, iaitu Sultan Nuruddin Mahmud al-Zanki melawan tentera Perancis di Harem. Tentera kafir terbunuh seramai 10 ribu orang di dalam peperangan
- Salahuddin al-Ayyubi mengalahkan pasukan tentera salib juga pada bulan Ramadhan, iaitu pada tahun 584 H. Seterusnya mereka berjaya mengambil dan menguasai kembali benteng Shafad.
- Kerajaan Mamalik mengalahkan pasukan tentera Tartar Monggol di Ain Jalut pada bulan Ramadhan tahun 658 H. Penguasa Mesir, Qutuz mengalahkan tentera Monggol di Ain Jalut juga pada bulan Ramadhan.
- Pembukaan Kota Antakya (Antioch) pada tahun 666 Hijrah. Peperangan ini menentang golongan Salib (Kristian) di tempat yang bernama Antakya, Syria. Peperangan ini diketuai oleh Panglima tentera Islam yang masyhur Raja al-Zahir Baybars (الظاهر بيبرس). Tentera musuh yang berada di dalam bandar itu berjumlah 100,000 ribu. Mereka tidak mahu menyerah kalah kepada tentera Islam. Akhirnya, tentera Islam berjaya memasuki kota tersebut pada hari sabtu dan berlakulah peperangan yang sengit di antara kedua belah pihak. Pada hari ahad, tentera musuh yang berkubu di dalam kubu kuat mereka akhirnya menyerah kalah dan menyerahkan kubu itu kepada Raja al-Zahir Baybars. Beliau mengampuni kesemua daripada mereka yang berada di dalam kubu itu. Akhirnya, bandar Antakya telah selamat dikembalikan kepada umat Islam dengan kekalahan di pihak tentera Salib.
- Pembukaan negeri Armenia pada tahun 673 Hijrah. Pembukaan ini adalah satu kemenangan yang besar bagi tentera Islam ke atas golongan Kristian Arman. Armenia adalah tempat yang amat strategik kepada pihak Rom.
- Peperangan Shughub yang berlaku pdaa 2 Ramadhan tahun 702 Hijrah (20 April 1303M). Sebab berlakunya peperangan ini ialah kerana Qazan cucu kepada Hulagu Khan ingin menghancurkan kerajaan Islam di Mesir. Pada masa yang sama, mahu mengembalikan al-Quds untuk diserahkan kepada golongan Kristian. Qazan menghantar Khatlushah untuk bergabung dengan pihak Kristian terutamanya di Arman. Mereka telah berjaya menawan banyak bandar umat Islam dan membunuh ramai umat Islam. Peperangan itu berlaku pada hari Sabtu 2 Ramadhan di Shuqhub. Permulaan peperangan berlaku, tentera Monggol telah berjaya memberi tamparan yang hebat kepada tentera Islam dengan membunuh ramai dalam kalangan tentera Islam. Akan tetapi ianya tidak kekal lama. Dengan kurniaan Allah SWT, keadaan menjadi berubah di mana tentera Islam tetap cekal dan tidak berganjak untuk melawan musuh dan akhirnya tentera Islam berjaya mengalahkan tentera Mongol setelah mengharungi peperangan yang sengit. Akibat semangat berkobar-kobar tentera Islam, tentera musuh lari dari medan peperangan dan bersembunyi di celah-celah bukit. Sementara tentera Islam mengekori mereka sehingga ke sungai Furat untuk membunuh dan melawan mereka. Pada 4 hari bulan Ramadhan, tentera Islam balik ke Dimashq dengan kemenangan yang besar termasuklah Ibn Taimiyyah dengan sahabat-sahabatnya yang berjihad dengan jiwa raganya sendiri.
- Pembukaan Negara Bosnia Herzegovina pada tahun 791 Hijrah. Negara Bosnia Herzegovina sebenarnya sudah lama berada di bawah pemerintahan Islam di zaman Khilafah Uthmaniah. Sultan-sultan kerajaan Uthmaniah semuanya berjiwa pejuang dan banyak meneroka tempat-tempat baru terutamanya di sebelah Eropah. Banyak raja-raja di Negara Eropah tunduk di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniah Tentera Islam pernah sampai ke Vienna, Itali dengan mengepung bandar itu.
- Kemenangan tentera Mesir dan Syria mengalahkan tentera Israel di Semenanjung Sinai pada pada bulan Ramadhan 1393 H. Ini menjadikan pukulan yang hebat kepada tentera Israel sehingga mengheret kepada perjanjian gencatan senjata.
Daripada peristiwa-peristiwa ini menunjukkan kepada kita betapa para sahabat makin bersemangat dengan kedatangan Ramadhan kerana ia memberi kekuatan Ruhi yang seterusnya menjadikan mereka dapat mengalahkan nafsu syahwat dan juga dengannya cahaya dan sinar ilham Allah SWT kepada hati mereka.
Dengan sebab itulah apabila mereka menuju ke medan jihad kemenangan sentiasa bersama mereka. Ini kerana mereka mempunyai dua kekuatan iaitu rohani dan jasmani sedangkan musuh hanya bergantung kepada zahir jasmani sahaja. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka kosong perasaan takut bertapak dalam hati mereka ditambah dengan keberanian yang luar biasa yang ditunjukkan oleh tentera Islam hasil daripada ubudiyah mereka kepada Tuhannya.
Semoga catatan kemenangan Ramadhan ini menjadi motivasi dan inspirasi kepada kita untuk menjadi insan muttaqin dan seterusnya kita membina kejayaan untuk diri kita, keluarga kita dan negara kita. Amin.
Akhukum fillah,
Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
1 Ramadhan al-Mubarak 1444 H