Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sempena dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak, saya cuba mengimbas kembali nostalgia catatan kemenangan Islam – yang berlaku pada bulan Ramadhan – yang teramat banyak dalam kitab-kitab tarikh. Justeru, saya nyatakan di sini, salah satu daripada catatan tersebut adalah peperangan Ain Jalut & Iktibarnya.

Mudah-mudahan kita memahami betapa bulan Ramadhan adalah bulan kemenangan, bulan umat Islam bersiap-siaga dan bulan yang melakarkan sejumlah kejayaan dengan gemilang umat Islam sejak dahulu lagi.

Latar belakang Peperangan

Peperangan Ain Jalut berlaku pada 25 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 3 September 1260 Masihi. Peperangan ini menyaksikan pertempuran yang hebat di antara kerajaan Islam Mamalik Mesir dan tentera Mongol.

Kekuatan Tentera Islam Mamalik dicatatkan sekitar 20,000 sehingga 50,000 orang. Manakala tentera Mongol pula adalah sekitar 20,000 tentera. (Lihat ‘Ain Jalut bi Qiyadah al-Malik al-Muzaffar Qutuz oleh Dr. Shauqi Abu Khalil, hlm. 74 dan Qissah al-Tatar min al-Bidayah hatta ‘Ain Jalut oleh Dr. Raghib al-Sirjani, hlm. 245)

Tentera Mongol sangat terkenal dengan kekuatan mereka dari sudut ketenteraan. Sifat mereka yang hidup secara nomad membentuk sifat dan kekuatan fizik mereka. Proses yang alami ini menjadi satu proses latihan ketenteraan bagi pasukan Mongol. (Lihat The Mongol oleh David Morgan, hlm. 84)

Sultan Qutuz telah memainkan peranan yang penting dalam menyatukan kekuatan bagi menghadapi tentera Mongol termasuklah menyelesaikan isu ketamakan sebahagian daripada pembesar yang berniat untuk merampas takhta Mesir dari tangannya. Seterusnya beliau mengambil langkah selanjutnya dengan mengobarkan semangat para tentera Mamalik di Akka, Palestin yang pada awalnya menolak untuk berjihad melawan tentera Mongol. Sultan Qutuz telah memberikan pidato sebelum peperangan bermula agar seluruh tentera Islam berjuang atas nama menegakkan Islam serta memerangi kekufuran. (Lihat Mongol and Mamluks-Ilkhanid War, hlm. 39)

Akhirnya setelah berlangsungnya pertempuran yang dahsyat di sebuah kawasan bernama Ain Jalut, pasukan Mamalik yang dipimpin panglima tenteranya Baibars telah berjaya meraih kemenangan yang gemilang. Tentera-tentera Islam yang telah memenangi peperangan tersebut lantas mengejar tentera Mongol. Sultan al-Muzaffar Qutuz kemudiannya telah mengirimkan berita berkenaan kemenangan yang diraih dalam pertempuran tersebut ke Damsyiq. (Lihat Tarikh al-Khulafa’ oleh Imam al-Suyuti, hlm. 556)

Kemenangan tersebut selepas pertempuran yang berlangsung selama tiga hari telah memberi tamparan yang cukup hebat kepada tentera Mongol yang sangat terkenal dengan sifatnya yang ganas dan buas. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 13/258-260.

Hasil kemenangan ini telah berjaya memberi pukulan maut terhadap pasukan Mongol lantas sedikit sebanyak mengekang misi perluasan dan penawanan wilayah oleh tentera Mongol. 

Kemenangan tersebut juga telah menjadikan kerajaan Mamalik sebagai harapan umat Islam di sekitarnya. Kepercayaan dan taat setia oleh pemerintah-pemerintah Syria lantas diberikan terhadap pemerintah Mamalik. Kemenangan tersebut juga merupakan balasan terhadap bangsa Mongol yang telah menghancurkan Baghdad sebagai pusat pemerintahan Islam sebelumnya. (Lihat al-Sultan Saif al-Din Qutuz wa Ma’rikah ‘Ain Jalut fi ‘Ahd al-Mamalik oleh Muhammad ‘Ali al-Salabi untuk maklumat lanjut)

Dikatakan riwayat yang masyhur bahawa jumlah tentera Tartar seramai 20,000 orang yang dipimpin oleh Katija sebagai wakil dan jumlah yang terbunuh dari kalangan tentera Mongol dalam pertempuran tersebut adalah hampir semua tenteranya.

Iktibar Peperangan

  • Persediaan Menghadapi Peperangan

Persiapan dan persediaan dalam menghadapi sesuatu peperangan adalah sangat penting. Dalam perang menentang Mongol, Sultan Qutuz telah terlebih dahulu menyelesaikan isu-isu dalaman yang boleh melemahkan kesepakatan. Beliau telah berjaya menghimpunkan para ulama, pembesarnya dan umat-umat Islam atas dasar iman dan perpaduan. Pengumpulan dana serta persediaan kelengkapan peperangan yang jitu juga turut telah digerakkan demi tujuan ini.

  • Penglibatan Para Ulama’

Dalam mengobarkan semangat para tentera Islam serta menghimpunkan kekuatan bagi menghadapi tentera Mongol, para ulama’ turut memainkan peranan. Mereka turut terlibat dalam menasihati pemerintah sepertimana yang dilakukan oleh Sultan al-‘Ulama’ al-‘Izz bin Abd al-Salam. Sultan Qutuz telah meminta fatwa dari beliau agar kerajaan dibenarkan untuk mengambil cukai daripada rakyat bagi tujuan persediaan kelengkapan peperangan, namun beliau menegaskan bahawa kerajaan mesti mengutamakan harta pemerintah dan pegawai terlebih dahulu bagi tujuan tersebut.

  • Kemenangan di Bulan Ramadhan

Walaupun peperangan Ain Jalut berlaku di bulan Ramadhan, namun ia bukanlah penghalang untuk tentera Islam bersikap lemah dalam menghadapi musuh. Malah kesungguhan mereka telah menatijahkan kejayaan yang gemilang.

Ia juga menandakan umat Islam meraikan dua perayaan, iaitu perayaan kemenangan tentera Islam terhadap Mongol yang menghampiri penghujung Ramadhan dan perayaan Aidilfitri yang hampir kunjung tiba. Alhamdulillah.

  • Kesatuan Ummah

Ini merupakan nilai yang terpenting apabila semua pihak sama ada di Mesir atau Syria, Palestin dan sekitarnya bersatu hati mendokong perjuangan Qutuz serta Zahir Baibars yang menghasilkan kejayaan yang gemilang. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ

Maksudnya: “..dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu..”

(Surah al-Anfal: 46)

Ibn Kathir ketika menjelaskan firman Allah SWT “وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ”, menyebut: Iaitu kekuatan dan semangat kamu semua. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/50)

Marilah sama-sama kita membetulkan niat merapatkan saf dan menyatukan masyarakat dengan penuh keharmonian dan aman yang menjadi cita-cita kita semua dalam masyarakat Malaysia ini.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

27 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *