Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah SWT yang telah mengurniakan kita nikmat iman dan kesedaran, serta memimpin hati-hati kita agar cakna terhadap nasib saudara-saudara seagama di mana jua mereka berada. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, contoh agung dalam perjuangan, serta kepada ahli keluarga dan para sahabat baginda yang sentiasa istiqamah dalam menegakkan kebenaran.
Isu Palestin bukan lagi isu asing dalam kalangan umat Islam. Ia telah berlarutan sejak puluhan tahun dengan penderitaan yang tidak pernah surut – dizalimi, diusir, dibunuh dan ditekan dari segenap arah. Namun serangan terbaru yang berlaku dalam bulan Ramadhan dan Syawal 1446H kali ini jelas mengundang gelombang kemarahan dan kesedaran baharu. Pembunuhan beramai-ramai, pengeboman, bahkan penghapusan nyawa wanita dan kanak-kanak telah mencalar kemanusiaan secara terang-terangan, dalam suasana masyarakat Islam ketika itu ingin menyambut kehadiran Ramadhan dan juga menyambut Hari Raya Fitri pada bulan Syawal.
Dalam menghadapi tragedi ini, umat Islam tidak boleh kekal membisu atau sekadar menjadi pemerhati. Maka mawaqif ini hadir untuk menjelaskan apakah pendirian kita terhadap jihad bersenjata di bumi Palestin, berasaskan kefahaman syarak yang benar dan disokong oleh kenyataan para ulama yang muktabar. Ia turut mengetengahkan perkembangan terkini di Gaza, termasuk kenyataan rasmi daripada Kesatuan Ulama Islam Sedunia, negara-negara Islam, serta gerakan-gerakan pembebasan yang terlibat secara langsung.
Oleh kerana polemik ini telah mendapat respon badan berautoriti agama antarabangsa dan juga tempatan, kami akan kemukakan selepas ini dalam Bahth Ilmi dengan lebih mendalam lagi serta perbahasan ilmiah untuk mendapatkan natijah yang terbaik dalam isu ini.
Semoga mawaqif ini membuka ruang refleksi dan membangkitkan kembali semangat solidariti, bukan sahaja dari segi emosi dan doa, tetapi juga melalui tindakan yang bijaksana dan strategik. Palestin memerlukan suara dan sokongan kita – bukan esok, tetapi sekarang.
Wallahu waliyyu al-taufiq.
Kenyataan Kesatuan Ulama Sedunia
Seruan Mendesak daripada Kesatuan Ulama Islam Sedunia untuk Membela Penduduk Gaza serta Menggerakkan Tindakan Umat, dan Menjadikan Khutbah Jumaat Akan Datang Dikhususkan untuk Membela Gaza yang Mulia.
Kesatuan Ulama Islam Sedunia dalam kenyataannya bertarikh 2 April 2025 bersamaan dengan 2 Syawal 1446 H menegaskan kepada seluruh dunia bahawa jenayah yang dilakukan oleh kerajaan Netanyahu di Gaza telah melampaui segala batasan, serta menyeru kepada keimanan orang-orang beriman dan nurani kemanusiaan agar segera menghentikan pembunuhan wanita dan kanak-kanak dengan senjata pemusnah, kebuluran, kehausan, dan penyakit.
Kesatuan juga menyeru agar segera bersolidariti bersama rakyat Palestin melalui tindakan segera yang melibatkan semua kaedah berkesan, sama ada ketenteraan, ekonomi, mahupun diplomatik di peringkat kerajaan. Selain itu, ia menyeru para khatib di seluruh dunia agar menyampaikan khutbah Jumaat secara seragam, mengadakan perarakan aman, serta memberikan tekanan politik bagi menghentikan serangan tersebut.
Ia turut menyeru masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia agar terus menyokong Gaza serta mendokumentasikan segala pencabulan sehingga sekatan dihentikan dan keadilan tercapai.
Kesatuan Ulama Islam Sedunia mengikuti dengan penuh kebimbangan dan dukacita terhadap apa yang sedang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Semenanjung Gaza berupa pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang yang terancang, kebuluran yang disengajakan, sekatan yang zalim, dan pengusiran secara paksa di bawah kekejaman jentera ketenteraan Zionis yang mendapat sokongan kuasa-kuasa angkuh dunia.
Di tengah-tengah pencerobohan yang terang-terangan ini, Kesatuan menegaskan solidariti penuhnya bersama saudara-saudara kita di bumi yang diduduki, serta mengingatkan tentang kewajipan membela golongan yang dizalimi sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
وَإِنِ اسْتَنصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ
Maksudnya: “Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya.”
(Surah al-Anfal:72)
Begitu juga sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Hadith al-Syarif bahawa:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya: “Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.”
Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi (1847), al-Nasa’i (2525) dan Ahmad (19188)
Dalam rangka menunaikan tanggungjawab syarak dan kemanusiaan, Kesatuan menyeru seluruh umat Islam dan masyarakat antarabangsa agar segera bertindak melalui langkah-langkah berikut:
Bagi pihak kerajaan:
Menjadi suatu keperluan untuk menggerakkan segala usaha dari segi ketenteraan, ekonomi dan diplomasi bagi menghentikan pencerobohan, serta memberikan tekanan kepada Amerika Syarikat agar menghentikan serangan tersebut. Ini kerana Amerika mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian, dan ia dianggap turut terlibat dalam apa yang sedang berlaku di Gaza.
Bagi umat Islam, kewajipan mereka adalah seperti berikut:
1 – Menetapkan Hari Jumaat Sebagai Hari Kesatuan Demi Gaza yang Mulia:
Kami menyeru kepada semua imam dan khatib di seluruh masjid agar memperuntukkan khutbah Jumaat yang akan datang pada tarikh 6 Syawal 1446H / 4 April 2025M dengan tajuk: “Membela Gaza… adalah Tanggungjawab Umat dan Menghentikan Pencerobohan adalah Kewajipan Utama.” Khutbah tersebut hendaklah menumpukan kepada mengecam sikap membisu masyarakat antarabangsa terhadap jenayah pembunuhan, kebuluran dan pengusiran paksa yang menimpa saudara-saudara kita di Gaza dan Tebing Barat, membongkar kerjasama serta pakatan pihak antarabangsa dalam meneruskan pencerobohan terhadap Palestin dan Masjidil Aqsa, menggesa para jemaah untuk memberikan sokongan dari segi kewangan dan moral kepada penduduk Gaza.
2 – Perarakan Aman Sedunia:
Kami menyeru kepada semua jemaah solat di seluruh masjid di dunia agar keluar menyertai perarakan aman selepas solat Jumaat ke lokasi awam terdekat, bagi menyatakan solidariti terhadap Gaza dan menolak pencerobohan yang berlaku. Kami juga menegaskan kepentingan untuk mematuhi prinsip keamanan sepenuhnya dan mengelakkan sebarang pertembungan dengan pihak keselamatan, serta mengangkat sepanduk dan slogan yang membongkar jenayah Zionis dan menuntut agar perang dihentikan.
3 – Penyelarasan Usaha Secara Institusi:
Kami menyeru kepada kesatuan para ulama dan badan-badan Islam di setiap negara agar menganjurkan aktiviti-aktiviti tekanan politik dan bantuan kemanusiaan, khususnya di Jordan, Syria, Libya, Yaman, Iraq, Turkiye, Malaysia, Pakistan dan negara-negara lain.
4 – Konsistensi dan Penggandaan Usaha:
Kami menegaskan tentang pentingnya mengulangi gerakan-gerakan ini setiap minggu, serta meningkatkan momentumnya sehingga pencerobohan dapat dihentikan dan sekatan zalim ke atas Gaza dapat ditamatkan.
5 – Penglibatan Masyarakat Sivil Antarabangsa:
Kami menyeru kepada pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, ahli-ahli parlimen, para peguam, kesatuan-kesatuan profesional, para pelajar dan pengamal media agar menganjurkan himpunan bantahan dan tekanan undang-undang sepanjang hari-hari dalam seminggu, serta mendokumentasikan segala pelanggaran dan mengambil tindakan undang-undang terhadap para pemimpin serta tentera penjajah di peringkat antarabangsa.
Kesatuan Ulama Islam Sedunia menghargai segala usaha yang baik di seluruh dunia yang dilakukan bagi membela saudara-saudara kita di Gaza. Kesatuan ini juga berdoa agar Allah Ta‘ala mengurniakan kepada umat Islam perpaduan dan kekuatan, serta memberi kemenangan kepada mereka yang dizalimi dan memelihara darah dan maruah mereka.
Dan Allah jualah tempat pergantungan segala tujuan, dan Dialah yang memberi petunjuk ke jalan yang benar.
Kenyataan Presiden PAS
Sokongan Terhadap Fatwa Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia Berkenaan Isu Gaza
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan ini menyatakan sokongan penuh terhadap fatwa terkini yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia berhubung situasi tragik dan berterusan di bumi Gaza yang kini menyaksikan pencerobohan zalim oleh entiti Zionis serta pelanggaran terhadap gencatan senjata yang sepatutnya dihormati.
Ketegasan yang diambil oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia ini adalah selari dengan pendirian dan seruan PAS yang konsisten dalam isu Palestin, yang menuntut kepada dukungan seluruh umat Islam merentasi perbezaan fahaman dan mazhab melibatkan peranan pemimpin, ulama’ dan masyarakat.
Fatwa ini bukan sahaja menjunjung tinggi prinsip-prinsip Islam yang menuntut keadilan dan pembelaan terhadap umat yang tertindas, malah ia juga merupakan satu seruan yang tegas dan syar’i kepada seluruh dunia Islam untuk bangkit melaksanakan tanggungjawab mereka.
Antara isi penting fatwa tersebut yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak adalah:
1. Kewajipan berjihad dengan senjata bagi setiap Muslim yang berkemampuan demi membebaskan Palestin daripada penjajahan.
2. Kewajipan campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam untuk menghentikan pencerobohan serta mempertahankan rakyat Palestin.
3. Kewajipan mengepung entiti Zionis dari segala arah – darat, laut dan udara – termasuk menutup laluan air, selat dan ruang udara yang berada dalam kawalan negara-negara Islam.
4. Sokongan menyeluruh kepada perjuangan Palestin, termasuk dalam aspek ketenteraan, kewangan, politik dan hak asasi manusia, adalah suatu kewajipan agama.
5. Penubuhan pakatan ketenteraan Islam bagi melindungi umat Islam dan menghalang pencerobohan adalah satu tuntutan mendesak syarak.
6. Haram menjalinkan sebarang bentuk normalisasi dengan Zionis yang merampas hak dan maruah umat Islam.
7. Haram membekalkan minyak dan gas kepada pihak penjajah yang menindas rakyat Palestin.
8. Perlunya penilaian semula terhadap perjanjian damai yang dimeterai oleh beberapa negara Arab dengan Zionis.
9. Kewajipan berjihad dengan harta untuk membantu saudara kita di Gaza serta mendesak pembukaan laluan sempadan untuk bantuan kemanusiaan.
10. Seruan kepada masyarakat Muslim di Amerika Syarikat agar mendesak pentadbiran kerajaan untuk menunaikan janji politik dalam menghentikan pencerobohan dan memulihkan keamanan.
PAS menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia untuk bersama-sama menginsafi dan menghayati isi kandungan fatwa ini, serta memperkasakan usaha membantu saudara kita di Palestin melalui doa, sumbangan, pendidikan dan apa jua cara yang termampu.
Kita tidak boleh lagi berdiam diri atau sekadar menjadi pemerhati kepada kezaliman yang berlaku. Ini adalah medan ujian bagi keimanan dan maruah umat Islam seluruhnya.
Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Syawal 1446 / 7 April 2025
Ulasan Kami
Berdasarkan pengamatan kami, jelas menunjukkan ketegasan yang dikemukakan oleh mereka, yang insaf akan agamanya serta tanggungjawab terhadap saudara seislam di bumi yang bermandikan darah serta dizalimi sejak sekian lama, makanya seruan yang dikemukakan itu merupakan sebuah respon serta tindak balas untuk menunjukkan sifat kebersamaan dengan umat Islam yang ditindas.
Cadangan dan saranan, langkah yang diberikan sewajarnya boleh dilihat kesesuaiannya untuk dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan Islam. Alhamdulillah, semua kerajaan umat Islam di dunia ini mempunyai badan-badan agama yang berautoriti, yang boleh menekuni dan mengkaji pandangan dan saranan yang dikemukakan oleh mereka.
Kami sendiri akan membuat kajian yang lebih mendalam dalam Bahth Ilmi, dalam tempoh yang terdekat ini untuk menekuni isu yang cukup mencabar ini, insya Allah.
Realiti yang Berlaku di Ghazzah Sekarang
Serangan Kali Pertama
Menurut laporan yang disiarkan oleh Berita RTM pada 18 Mac 2025, serangan udara yang dilancarkan oleh Israel ke atas Semenanjung Gaza telah mengorbankan lebih daripada 400 orang awam, seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin. Serangan ini memberi isyarat bahawa perjanjian gencatan senjata yang telah berlangsung selama dua bulan mungkin telah gagal, di samping tindakan berterusan rejim Zionis menyerang wilayah Palestin.
Pihak pejuang Palestin pula menegaskan bahawa Israel tidak menghormati perjanjian gencatan tersebut, sekaligus menjejaskan segala usaha pendamai antarabangsa untuk mencapai penyelesaian kekal. Menurut seorang saksi kejadian, Rabiha Jamal, serangan itu turut menyasarkan kawasan perumahan dan kem pelarian yang dihuni penduduk awam dari utara dan selatan Gaza.
Beliau berkongsi, “Malam itu sangat mengerikan ketika kami menyambut Ramadhan. Serangan yang berlaku mengingatkan kembali pada detik awal peperangan. Kami sedang bersiap untuk bersahur apabila tiba-tiba bangunan bergegar dan letupan berlaku. Kami sangka semuanya telah reda, rupanya perang kembali meletus.”
Walaupun ramai pemimpin utamanya telah terkorban dalam serangan tersebut, kumpulan pejuang Hamas tetap meneruskan perjuangan mereka demi membela rakyat Palestin. Antara tokoh yang terbunuh dalam serangan ke atas kediaman mereka termasuklah Ketua Kerajaan Hamas Essam Addalees, Timbalan Menteri Kehakiman Ahmed Al-Hetta, serta Mahmoud Abu Watfa yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Keselamatan Hamas.
Pada 4 April 2025, Israel telah memulakan satu lagi serangan darat baharu di Gaza pada hari Jumaat, menyebabkan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh sejak waktu subuh menurut pasukan penyelamat tempatan. Serangan ini berlaku selepas kegagalan rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, dan dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Israel untuk menekan Hamas membebaskan tahanan mereka.
Dalam masa yang sama, Israel turut memperluas operasi ketenteraannya ke negara jiran, termasuk Lubnan dan Syria. Serangan di Sidon, selatan Lubnan, dilaporkan telah membunuh seorang pemimpin Hamas bersama anaknya yang juga anggota sayap bersenjata kumpulan tersebut.
Di kawasan Syujaiya, Bandar Gaza, tentera Israel mengesahkan pelancaran operasi darat baharu dengan alasan memperluas kawasan yang digelar sebagai “zon keselamatan”. Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan bahawa serangan ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 30 nyawa, namun angka sebenar masih belum dapat disahkan sepenuhnya.
Di Khan Younis pula, sumber perubatan dari Hospital Nasser menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 25 orang telah terbunuh dalam serangan udara. Seorang penduduk tempatan, Elena Halas, menyatakan kepada AFP bahawa situasi sangat membimbangkan dan kematian berlaku di hampir setiap kawasan, sementara beliau dan keluarganya kini terperangkap di rumah saudara mereka di Syujaiya.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, menyatakan pada 3 April bahawa tentera akan meningkatkan kehadiran di kawasan Gaza untuk menghapuskan pejuang dan struktur Hamas. Beliau turut menyebut bahawa kawasan tertentu akan dikuasai dan dijadikan sebahagian daripada “zon keselamatan Israel”, walaupun butiran lanjut tidak diberikan.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pula mengesahkan bahawa operasi ketenteraan bertujuan membahagi-bahagikan kawasan Gaza serta mengawal wilayah tertentu bagi menekan Hamas membebaskan baki tebusan yang ditahan sejak serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023.
Serangan Kali Kedua
Pada 3 April, sekurang-kurangnya 31 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas sebuah sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal. Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan bahawa wanita dan kanak-kanak antara yang terkorban dalam serangan ke atas Sekolah Dar al-Arqam di kawasan al-Tuffah, Bandar Gaza. Enam orang lagi masih belum ditemui.
Tentera Israel menyatakan serangan itu menyasarkan pusat operasi Hamas, namun tidak dapat dipastikan sama ada sekolah tersebut turut menjadi sasaran utama.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sebanyak 1,163 orang terbunuh sejak serangan intensif disambung semula pada 18 Mac, menjadikan angka korban keseluruhan sejak perang bermula mencecah 50,523 orang. Tentera Israel juga mendakwa telah mengebom lebih 600 lokasi yang disifatkan sebagai “kubu pengganas” di seluruh kawasan Gaza sejak pertempuran terbaru bermula.
Tindak Balas Negara dan Umat Islam
Houthi, Yaman
Pemimpin Houthi dalam satu sidang media bertarikh 5 April 2025 mengecam tindakan rejim Zionis yang menyambung kembali jenayahnya di Gaza dengan kekejaman dan sikap agresif yang sama seperti dalam 15 bulan yang lalu
Dalam sidang tersebut, mereka menyatakan, sejak lebih dua minggu lalu, rejim Zionis telah menyambung semula pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza, dengan melontarkan bom-bom buatan Amerika yang dibekalkan oleh Amerika sendiri untuk memusnahkan rakyat Palestin serta membunuh kanak-kanak dan wanita.
Bom-bom itu dijatuhkan ke atas rakyat Palestin di Gaza — ke atas orang awam yang berada dalam khemah mereka, serta di runtuhan rumah-rumah mereka yang musnah. Ia membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua dan muda dengan penuh kekejaman. Antaranya juga ialah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukannya semalam (4 April 2025), apabila rejim menyasarkan Sekolah Dar al-Arqam di Gaza yang dipenuhi para pelarian, dengan tujuan untuk menghapuskan mereka.
Rejim itu terus melakukan pelbagai jenis jenayah, dan telah menyambung semula serangan ini sejak lebih dua minggu lalu dengan cara jenayah yang sama seperti yang telah dilakukannya selama 15 bulan yang lalu.
Iran
Pada 18 Mac 2025, jurucakap Kementerian Luar Negeri Iran, Esmaeil Baghaei, mengutuk keras serangan baharu Israel terhadap Gaza yang mengorbankan lebih 400 nyawa. Beliau menyifatkan serangan ini sebagai “sambungan kepada jenayah genosid dan pembersihan etnik di wilayah Palestin yang diduduki,” dan menyeru semua kerajaan serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan kekejaman tersebut.
Dalam laporan berita bertarikh 3 April 2025 menyatakan bahawa Iran mengutuk sekeras-kerasnya berterusan serangan dan jenayah oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, khususnya semasa cuti Aidilfitri, serta menyeru tindakan segera diambil terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh rejim tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri Iran, Esmaeil Baghaei, menyatakan bahawa jenayah-jenayah rejim Israel termasuk pembunuhan bersasar terhadap wartawan, serangan disengajakan ke atas petugas kesihatan dan pusat perubatan, serta pencerobohan oleh pendatang Yahudi ekstremis ke dalam kawasan Masjid al-Aqsa. Beliau menambah bahawa semua negara berkewajipan untuk mengambil tindakan bagi menghentikan dasar Israel yang menggunakan kelaparan dan kebuluran sebagai alat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Jurucakap Iran itu turut mengkritik sikap tidak bertindak oleh beberapa negara Barat, termasuk Britain, Kanada, Jerman dan Perancis, terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang terang-terangan dan sistematik oleh Israel di Palestin yang diduduki. Menurutnya, keheningan negara-negara Barat ini terhadap jenayah rejim Israel merupakan bukti nyata sikap hipokrit mereka dalam isu hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. Baghaei turut menegaskan bahawa semua negara memikul tanggungjawab bersama untuk mencegah dan menentang jenayah keji Israel, termasuk jenayah genosid dan jenayah perang, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Beliau juga menyatakan bahawa kekebalan rejim Tel Aviv daripada sebarang hukuman telah lebih menggalakkan rejim itu untuk terus membunuh rakyat Palestin dan meneruskan penjajahan terhadap tanah Palestin. Akhir sekali, beliau menyeru semua negara, khususnya negara-negara Islam, agar berdiri bersama rakyat Palestin yang tertindas demi menghentikan pembunuhan seterusnya terhadap wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
Hamas dan Qassam
Hamas, yang mentadbir Gaza, menyatakan bahawa mereka menganggap serangan Israel sebagai pembatalan sepihak terhadap perjanjian gencatan senjata.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan pemerintahannya yang ekstremis “telah membuat keputusan untuk membatalkan perjanjian gencatan senjata, sekali gus mendedahkan para tahanan di Gaza kepada nasib yang tidak menentu,” menurut kenyataan Hamas, merujuk kepada individu yang ditawan di selatan Israel semasa serangan yang diketuai Hamas pada 7 Oktober 2023.
Kemudian, pegawai Hamas, Izzat al-Risheq, berkata dalam satu kenyataan bahawa “keputusan Netanyahu untuk menyambung semula peperangan” merupakan “keputusan untuk mengorbankan tahanan pihak penjajah dan menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.”
Inilah Mauqif Kami
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
Maksudnya: “Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!”
(Surah al-Buruj: 8)
Ibn Kathir menjelaskan: Orang-orang yang beriman itu tidak mempunyai sebarang kesalahan, melainkan hanya kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Gagah Perkasa — Tuhan yang tidak akan mensia-siakan sesiapa pun yang berlindung di bawah naungan-Nya yang kukuh. Dia juga Maha Terpuji dalam setiap firman, perbuatan, syariat dan takdir-Nya. Sekalipun Dia menetapkan takdir agar hamba-hamba-Nya yang beriman berada di bawah kekuasaan orang-orang kafir, Dia tetap Maha Gagah Perkasa dan Maha Terpuji — walaupun hikmah di sebalik ketetapan itu tidak difahami oleh kebanyakan manusia. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/225)
Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اُنْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا. فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا، أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ؟ قَالَ: تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنَ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ
Maksudnya: “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi. Lalu seorang lelaki bertanya: ‘Wahai Rasulullah, aku akan bantu jika dia adalah orang yang dizalimi, akan tetapi bagaimana aku membantu orang yang zalim?’ Baginda menjawab: ‘Mencegahnya atau melarangnya daripada berbuat zalim, sesungguhnya itu merupakan bantuan baginya’.”
Riwayat al-Bukhari (6952)
Bangsa Arab memberi definisi terhadap perkataan al-Nashr (النصر) dengan makna al-I‘anah dan al-Ta’yid, keduanya mempunyai pengertian yang serupa, iaitu menolong atau membantu. Rasulullah SAW telah menafsirkan atau menjelaskan makna hadith ini di atas dengan menolong orang yang melakukan kezaliman di sini adalah dengan cara mencegahnya daripada perbuatan yang zalim. Ini kerana, jika dibiarkan begitu saja, ia akan terus melakukan kezaliman tersebut. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 6/572)
Daripada Huzaifah bin al-Yaman R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan orang Islam maka dia bukanlah daripada kalangan mereka.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (7/270) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8115). Al-Iraqi dalam takhrij al-Ihya’ (2/261) menyatakan sanadnya dha‘if. Begitu juga yang dinyatakan dalam Dha’if al-Targhib (1099)
Mengimbas sebuah kisah, yang sepatutnya ditulis dengan tinta emas.
Pada zaman pemerintahan Khalifah al-Mu‘tasim Billah, sebuah peristiwa yang sangat menyayat hati berlaku di wilayah perbatasan negara Islam — di kota ‘Ammuriyyah (kini dalam wilayah Turki). Dikatakan seorang wanita Muslim dari kalangan Arab Quraisy telah ditangkap dan dihina oleh tentera Rom Byzantine (yang disebut dalam riwayat sebagai tentera kerajaan Byzantium, atau juga dikenali sebagai Rom Timur).
Wanita ini, dalam perjalanan ke pasar atau wilayah perbatasan, ditangkap oleh tentera Rom. Mereka memperlecehkannya, menghina kehormatannya, bahkan dikatakan jilbabnya disingkap, dan dia dipermalukan di hadapan orang ramai.
Dalam keadaan sangat terdesak dan maruahnya diinjak-injak, dia menjerit:
“Wa Mu‘tasimaah! Wa Mu‘tasimaah!”
(Wahai Mu‘tasim! bantulah aku! Wahai Mu‘tasim! bantulah aku!)
Jeritannya bukan kepada sesiapa, tetapi kepada Khalifah umat Islam ketika itu, al-Mu‘tasim Billah.
Apabila berita ini sampai kepada Khalifah Mu‘tasim, beliau sangat marah dan terhina kerana maruah seorang wanita Islam dicemari, dan namanya disebut oleh wanita itu sebagai harapan terakhir.
Lalu beliau berkata:
“Labbaiki ya ukhti” – “Aku menyahut seruanmu, wahai saudariku!”
Satu riwayat menyebutkan:
“Labbaiki ya ummah!” – “Aku menyahut seruanmu, wahai ibu!”
Tanpa berlengah, al-Mu‘tasim segera mempersiapkan pasukan tentera besar — dalam beberapa riwayat menyebut kira-kira 70,000 orang tentera. Tujuannya hanya satu: membebaskan wanita tersebut dan membalas penghinaan terhadap Islam.
Tentera Islam di bawah pimpinan al-Mu‘tasim menyerang kota ‘Ammuriyyah, salah satu kota yang kuat pertahanannya di wilayah Byzantium. Setelah pertempuran hebat, tentera Islam berjaya menakluki kota tersebut dan membebaskan wanita Muslim itu.
Dalam satu riwayat masyhur, disebut bahawa al-Mu‘tasim sendiri mengatakan:
“Aku datang dengan tentera yang awalnya bersamamu dan akhirnya sampai padaku.”
Maksudnya, seluruh pasukan ini datang semata-mata demi menyahut jeritan seorang wanita yang dianiaya.
Inilah mauqif dan sikap yang ditunjukkan oleh umat Islam yang mengalir dalam darahnya ukhuwwah Islamiyyah dan sifat kebersamaan walaupun dipisahkan oleh sempadan geografi yang amat jauh. Mauqif ini mengingatkan kita bahawa orang Islam sebagai saudara kepada orang Islam yang lain. Dan Rasulullah SAW menyifatkannya sebagai sebuah anggota tubuh yang saling bantu membantu serta bekerjasama antara satu sama lain sama ada semasa senang atau susah. Daripada Nu’man bin Basyir R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya: Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.
Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi (1847), al-Nasa’i (2525) dan Ahmad (19188)
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan sebuah kata-kata menarik daripada Imam Ibn Abi Jamrah apabila mengulas hadith ini yang menyebut: ‘’Secara zahirnya sifat saling merahmati, saling berkasih sayang dan saling membantu ini meskipun mempunyai makna yang hampir sama, akan tetapi terdapat perbezaan tertentu padanya. Adapun saling merahmati, yang dimaksudkan dengannya adalah: Saling merahmati sesama mereka dengan ukhuwwah (persaudaraan) keimanan bukan dengan sebab selainnya. Adapun saling berkasih sayang pula membawa maksud: Saling berhubung yang boleh mendatangkan kasih sayang seperti saling menziarahi dan memberi hadiah. Adapun yang dimaksudkan dengan al-ta’atuf ia adalah mereka saling membantu antara satu sama lain.
Beliau berkata lagi: Nabi SAW memberikan perumpamaan iman dengan tubuh badan dan ahli iman diumpamakan dengan anggota tubuh. Ini kerana iman adalah asal dan cabangnya adalah taklif-taklif. Sekiranya seseorang itu mengabaikan taklif (tanggungjawab) maka yang demikian itu memberi kerosakan kepada asal (keimanan). Demikian jugalah jasad adalah asal seperti sebatang pokok dan anggota-anggota badan seperti dahan-dahan pokok. Apabila satu anggota terasa sakit maka sakitlah jua keseluruhan badan. (Lihat Fath al-Bari, 10/439)
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW perumpamakan orang yang beriman antara satu sama lain sama seperti sebuah bangunan yang saling kukuh mengukuh antara satu sama lain. Daripada Abu Musa R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
إِنَّ المُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا. وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya (bandingan) seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sebahagiannya saling menguatkan satu sama lain.” Dan Baginda SAW pun menyilangkan jari-jemarinya.
Riwayat al-Bukhari (481)
Kalaulah seorang sahaja umat Islam dianiayai, dizalimi dan telah diambil tindakan oleh pemerintah umat Islam termasuk Rasulullah SAW dalam banyak peristiwa, antaranya berita pembunuhan Saidina Uthman yang disiarkan secara bohong, maka apakah yang berlaku dengan lebih 50,000 nyawa (April 2025 sejak Taufan al-Aqsa) telah syahid tanpa sebarang pembalasan, bahkan lebih murah daripada secawan kopi. Lebih malang lagi, peristiwa ini berlaku di bulan yang mulia, Ramadhan dan hari lebaran, Aidilfitri di mana saat seluruh umat Islam menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan, tetapi mereka menyambut dengan kematian dan darah-darah yang menjadi saksi menyimbah ke bumi.
Justeru, kami katakan, sudah sampai masanya pemerintah dan pemimpin umat Islam mengambil tindakan yang sewajarnya dan bukan hanya lagi secara diplomasi, atau surat bantahan, tetapi juga hendaklah secara aksi. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:
وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ ۖ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّابِرِينَ
Maksudnya: “Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Nahl: 126)
Begitu juga nas Ilahi menyebut:
فَمَنِ اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu;
(Surah al-Baqarah: 194)
Ibn Kathir berkata: Firman Allah: “Maka sesiapa yang menyerang kamu, seranglah dia dengan serangan yang seimbang dengan serangannya terhadap kamu” merupakan perintah untuk berlaku adil, bahkan terhadap orang-orang musyrik. Hal ini sejajar dengan firman-Nya: “Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan balasan yang setimpal dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu.” [Surah al-Nahl: 126], dan juga firman-Nya: “Dan balasan bagi kejahatan ialah kejahatan yang setimpal dengannya.” [Surah al-Syura: 40].
Ali bin Abu Talhah meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa firman Allah: “Maka sesiapa yang menyerang kamu, seranglah dia dengan serangan yang seimbang dengan serangannya terhadap kamu” diturunkan di Makkah, iaitu pada waktu belum berlaku pertempuran atau jihad. Menurut beliau, ayat ini kemudian dinasakh (dimansuhkan hukumnya) dengan ayat-ayat yang diturunkan di Madinah berkenaan hukum berperang.
Namun, pendapat ini disanggah oleh Ibn Jarir. Beliau menyatakan bahawa ayat ini sebenarnya termasuk dalam kategori ayat Madaniyyah, iaitu diturunkan selepas peristiwa Umrah Hudaibiyah. Pendapat ini turut disokong oleh Mujahid, yang menafsirkan bahawa maksud ayat ini ialah membalas serangan secara setimpal dan seimbang. Sebagaimana ungkapan penyair Arab terkenal, ‘Amr bin Kulthum: “Ketahuilah, tiada siapa yang boleh memandang rendah terhadap kami; Kami berdiri dengan penuh kesedaran, melebihi kejahilan orang-orang bodoh.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/322)
Justeru, marilah sama-sama seluruh pemimpin umat Islam dan khalayak masyarakatnya, tanpa mengenal warna kulit, bahasa dan bangsa untuk bersatu dalam menidakkan keangkuhan rejim Zionis. Ingatlah, tanggungjawab membela saudara seagama bukan lagi boleh dipandang enteng dan ringan oleh mana-mana umat Islam. Ramai ulama’ telah berfatwa ketika suasana seperti ini, maka kewajiban membela saudara seagama yang tertindas adalah menjadi fardhu ‘ain.
Marilah sama-sama kita merenungi sebuah hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang mati dan tidak berperang serta tidak pernah bercita-cita pada dirinya untuk berperang dalam membela agama Allah, nescaya matinya dibimbangi menjadi satu cabang daripada sifat nifaq.”
Riwayat Muslim (1910) dan Abu Dawud (2502)
Sekurang-kurangnya, pada peringkat awal, hendaklah kita menghulurkan bantuan harta benda dan wang ringgit melalui NGO Islam yang dipercayai seperti Muslim Care dan lain-lain. Begitu juga, mengangkat kedua belah tangan memohon munajat kepada Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa agar diberi kemenangan kepada umat Islam serta dikalahkan musuh-musuh. Antara doa yang masyhur ialah:
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)
Sekali lagi, kami katakan dengan penuh keinsafan kepada saudara-saudara kami di Palestin, ‘Maafkan kami atas taqsir dan kelemahan kami dalam memberi bantuan kepada anda semua.”
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”